PADA tapak
WANITA, OKTOBER 2012
Saturday, April 6, 2013
HASRAT SEINDAH KRISTAL
SEINGAT saya, inilah kali pertama saya
menjejakkan kaki ke daerah ini semenjak meninggalkannya lebih tiga dekad lalu.
Tempat itu bukanlah daerah asing yang pertama dalam hidup saya, malah sudah
hampir sepuluh tempat saya pernah bermastautin dan menyambung kehidupan dalam
dunia yang sudah berpenghujung buat saya beberapa tahun lepas.
Tempat tumpahnya keringat saya ini bukanlah saya lupakan terus. Malah kenangan pahit
maung juga suka duka sering silih berganti menghiasi mimpi saya. Kata orang,
tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat saya mengenal diri dan makna
kehidupan. Sungguh tempat ini banyak mendidik saya menjadi insan penyabar dan
bertoleransi.
Apa tidaknya, saya yang bersifat perengus tidak mudah menerima keadaan yang tidak
bersesuaian dengan kehendak dan jiwa beransur-ansur menjadi seorang yang
bertolak ansur dan empati. Tidak keterlaluan jika saya katakan mereka ini mampu
mengubah saya menjadi selembut-lembut manusia. Mereka adalah air yang menitik
ke atas jiwa dan raga saya, yang sebelum ini sekeras batu.
Kampung ini telah banyak berubah. Sudah terdapat jalan tar yang menghubungkannya dengan
bandar terdekat, berbanding jalan tanah merah yang hanya muat untuk laluan motosikal.
Saya masih ingat bagaimana saya terhumban ke semak setelah "scrambler" yang saya tunggangi,
satu-satunya pengangkutan yang mampu mendaki ke puncak sana tergelincir sewaktu
mendaki laluan tanah merah basah yang baru sahaja disirami hujan lebat
semalamnya.
Hari pertama saya menjalankan tugas disambut dengan keadaan yang sangat menyesakkan
perasaan. Sambil menyalahkan diri kerana tidak berpakaian basahan, saya mula
meratap nasib. Dendam apakah yang bersarang dalam jiwa ketua jabatan kepada
saya sehingga tergamak menghantar saya ke sini, sedangkan saya bertungkus-lumus
memajukan anak bangsa dengan menabur ilmu dan hikmah kepada mereka, tidak kira
tempat dan masa.
Namun daerah yang satu ini sangat mengecewakan saya, suatu perjalanan hidup yang
tidak pernah saya bayangkan. Suatu noktah pada peta yang tidak pernah saya
hiraukan. Ah, sungguh perencanaan Tuhan itu mengatasi setiap harapan dan tanggapan
manusia. Benar, apa yang baik pada perkiraan hamba tidak semestinya baik untuk
dirinya, dan apa yang buruk pada fikiran mereka mungkin terkandung kebaikan di
sebaliknya.
Dengan pakaian yang dipenuhi selut
merah, saya menapak hambar ke pejabat yang terletak di sebuah bangunan usang
yang hanya dibina daripada kayu dan berlantaikan lepaan simen kasar. Saya
dipelawa duduk oleh guru besar di sebuah kerusi kayu lama yang terjungkit
sebelah kakinya, membuatkan saya hampir terlungkup sewaktu melabuhkan punggung.
Guru besar senyum lebar melihat keadaan saya terkial-kial membetulkan kedudukan.
Saya yang baru sahaja bersalin baju secara tergesa-gesa di sebuah tandas
berdekatan sekolah tadi menahan geram dengan apa yang berlaku pagi ini. Senyum
guru besar disambut senyum sumbing saya.
Saya tidak peduli apa
tanggapan dia pada saya. Biar sikap saya ini menjadi faktor utama dia tidak
menyukai saya dan seterusnya lebih memudahkan urusan saya untuk minta
berpindah. Oh, biarlah dia memandang saya dengan pandangan negatif hasil
penampilan pertama saya yang tidak menyenangkan!
“Cikgu Mustafa Azhari bernasib baik. Ramai guru yang jatuh tergolek “digeletek” kerusi
itu, dan terus hilang dari sekolah esoknya.” Guru besar ketawa kecil. Saya
ketawa bodoh.
Kelas pertama saya hadiri terletak agak jauh dengan bangunan pejabat. Tidak
keterlaluan jika saya katakan ia umpama kandang kambing di kampung datuk saya.
Terbina daripada kayu dan tidak bersimen. Kerusi dan meja kayu pula
kebanyakannya hampir reput dan kelihatan jelas kekotoran padanya.
Sepuluh anak murid dengan pakaian seragam kumal menyambut kehadiran saya dengan berdiri
dan mengucapkan selamat pagi. Kebanyakan daripada mereka berambut kerinting
warna kopi dan berhidung pesek. Hanya ketinggian membezakan beberapa orang
daripada mereka.
Seorang yang memakai tag nama “Alam” menuju ke arah kerusi yang bakal saya duduki, dan menyapunya dengan
sehelai kain lusuh. Dia senyum dan mengangguk kepada saya, dan kembali ke
tempatnya di penghujung kelas. Masing-masing mengeluarkan buku dan merenung
saya yang masih kelihatan teragak-agak hendak memulakan kelas.
Semenjak hari pertama, tidak pernah tidak saya terfikir untuk pulang ke pangkuan keluarga. Biarlah
saya dibuang kerja kerana engkar dan menyalahi aku janji majikan, asalkan saya
tidak terdera di kampung ini. Keadaan yang terlalu berbeza dengan keselesaan
yang melingkungi saya selama ini tidak memungkinkan saya meneruskan khidmat
saya di sini.
Setiap hari saya mengadu kepada teman seperjuangan yang sudah lama bertugas. Dia mengulangi pesan yang
sama – bersabarlah. Sudah naik jemu saya mendengarnya, sedangkan keadaan tidak
juga berubah. Anak murid saya tetap dengan sikap mereka. Membatu dalam kelas
dan membiarkan saya bercakap seorang diri. Mati kutu saya dibuatnya.
Fikir saya, buat apalah mereka datang awal-awal pagi semata-mata memaku mata pada pengajaran saya.
Sungguh jauh bezanya dengan murid-murid di bandar yang kadangkala tidak memberi
peluang kepada saya untuk mengajar, sebaliknya mulut mereka bagai bertih
goreng. Hairannya mereka tidak bermasalah dengan waktu kehadiran, berbeza
dengan saya yang sentiasa terbabas waktu.
“Cantiknya, cikgu!” Dalam kehairanan saya terhadap sikap mereka yang suka membatu sewaktu dalam kelas, pada
suatu hari saya dikejutkan oleh suara mereka yang jarang kedengaran sebelum ini.
“Cikgu kan memang sentiasa cantik.” Saya berseloroh dalam keterujaan terhadap perkembangan sikap mereka.
“Bukan cikgu, tapi motor di tangan cikgu.” Deru suara mereka sepakat menyentuh deria, menukar rona muka
saya menjadi kemerahan. Malu tak terkata disapa ketulusan mereka.
Sebaik sahaja arca motor kristal menyapa muka meja, saya terus memulakan kelas. Murid-murid kelihatan
agak ceria hari ini, cuma hati saya terasa sepi. Wajah Mustika menyapa minda, teman
jiwa yang menghadiahkannya sempena hari lahir saya awal tahun ini. Bilakah
pengorbanan saya ini akan berakhir?
Hendak pulang bukannya senang. Perjalanan meredah hutan belantara bermula 35 km dari kaki bukit sangat
mendera, lebih-lebih lagi jika sebelumnya hujan. Jalan akan licin dan kejadian
tercampak dari "scrambler" sering berlaku. Ditambah lagi dengan masalah kenderaan yang sering rosak dan kejadian
terserempak dengan binatang buas sangat memberi kesan kepada psikologi saya.
Barang dan bekalan pula dibawa cukup-cukup makan sahaja. Perjalanan sejauh 175 km daripada daerah
kediaman cukup memenatkan. Justeru kumpulan kami memutuskan untuk berulang
sebulan sekali sahaja. Tempoh yang cukup mendera dengan persekitaran yang tidak
sempurna. Namun ke mana jua saya pergi, hadiah daripada Mustika tidak akan saya
lupakan.
Saya sanggup mengurangkan jumlah bekalan makanan semata-mata mahu melebihkan pakaian bagi
menggulung kristal tersebut, agar tidak pecah dan cacat cela seandainya beg
saya tercampak lagi.
“Cikgu ingat kampung?” Pertanyaan klise yang selalu ditanya teman serumah sebelum ini setiap kali
melihat saya termenung jauh, kali ini keluarnya daripada kerongkong salah seorang anak murid.
“Kampung cikgu mesti cantik, kan?” Sapa murid perempuan.
"Bukan, saya tinggal di Kuala Lumpur. Tengah bandar.” Spontan saya menjawab. Dalam hati bertanya,
kenalkah mereka akan Kuala Lumpur?
“Saya dengar orang Kuala Lumpur tinggal dalam rumah tinggi, cikgu. Macamana mereka turun?” Pertanyaan
Alam membuatkan saya terkedu.
Hari itu saya tidak mengajar. Masa dihabiskan menjawab siri pertanyaan berangkai yang diajukan oleh
kesepuluh orang murid. Hari itu, saya tahu mereka ini sebenarnya peramah, cuma
air muka saya yang sentiasa menyebarkan aura negatif lantaran dalaman yang
tidak murni menjadikan mereka begitu.
Bermula hari itu, kami menjadi semakin rapat dan saya pula mula menyuburkan pohon keredhaan dalam diri
untuk menabur bakti kepada insan terpinggir lokasi ini. Saya yakin ada intan
yang akan tercanai di puncak ini kerana hikmah Tuhan itu tidak mengira tempat,
masa dan bangsa.
Dalam kesukaran dan kepayahan meneruskan amanah, sudah tiga suku tahun saya berbakti pada
kanak-kanak orang Asli di puncak pedalaman itu. Hubungan kami semakin baik, dan
setiap kali pulang saya cuba menyelitkan beberapa buah bahan bacaan tambahan,
khususnya untuk Alam yang sangat berminat mengetahui dunia luar dan fakta
mengenai bangunan tinggi di seluruh dunia.
Suasana dalam kelas riuh rendah, di luar kawalan. Ketua murid diketepikan peranannya. Masing-masing bertumpu di sudut belakang
kelas. Saya meluru ke arah kumpulan tanpa meletakkan beg di tempat saya dahulu. Kelihatan muka Alam pucat dan ketakutan. Murid-murid sedang memarahi dan
menyalahkan Alam, seolah-olah Alam telah melakukan suatu kesalahan besar.
“Jangan bergaduh.” Saya menjerkah. Dan minta mereka ke tempat masing-masing. Saya hulur tangan kepada
Alam dan menariknya bangun. Alam bangkit dan mengebas seluarnya yang kotor, menuju ke mejanya. Saya pula ke meja saya.
Degupan jantung hampir
terhenti. Motor kristal tiada bentuknya. Bertukar menjadi taburan berkilau di kaki meja dan kerusi.
“Siapa pecahkan?” Tempik saya.
Isi kelas membatu. Saya renung wajah mereka satu-persatu. Semua tunduk kecuali Alam.
“Siapa pecahkan?” Saya lembutkan suara. Untuk mengawal diri, bukannya untuk mengetahui jawapan lagi, kerana saya sudah tahu jawapannya.
Alam memandang saya.
Dia terus menuju ke arah saya dan membersihkan taburan kristal seraya berkata “cikgu boleh jatuhkan apa sahaja hukuman kepada saya, saya bersalah.
Saya mendengus dan meramas tangan sendiri. Saya minta Alam cepat-cepat ke mejanya. Saya bimbang emosi saya tidak terkawal. Saya ambil bungkusan kertas yang mengandungi taburan kristal yang dihulurkan Alam. Alam merenung tepat ke mata saya. Ada genang di matanya.
Sejak peristiwa itu, Alam tidak semesra dulu. Dia banyak mendiamkan diri. Dan saya mengajar seperti biasa, biarpun hati terluka, umpama taburan kristal. Hendak dimarah tiada guna. Bukan boleh diganti semula.
Saya cuba menerima takdir Ilahi. Tiada dendam pada Alam, cuma rasa sedih kerana barang yang paling saya sayang tidak lama kekal di sisi, walau di hati tak pernah hilang. Saya cuba merapatkan diri dengan Alam supaya dia tidak terbeban dengan kesalahannya. Apatah lagi dia tidak tahu berapa besar nilai barang itu kepada saya.
Saya yakin dia cukup menyesal dengan apa yang berlaku. Jika tidak, masakan dia akan menempatkan sejambangan bunga di atas meja saya. Pasu daripada ruas buluh yang dipotong saya jangka hasil kreativitinya. Kuntum capa rengat, ranting melur susun, anggerik hutan dan pelbagai jenis bunga yang tidak pernah saya lihat bertukar ganti saban minggu.
Sewaktu Alam dipilih ke sekolah berasrama penuh di bandar, dia mengunjungi saya di rumah. Dia minta maaf bertalu-talu daripada saya dan meminta restu dan doa saya agar dia berjaya dalam hidup.
Lima tahun berlalu, saya dipanggil balik ke bandar. Bertugas di bandar, cabarannya dalam bentuk lain. Kanak-kanak yang membesar dengan semaraknya teknologi maklumat memerlukan pendidik yang sentiasa menambah kemahiran diri.
Saya menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dalam bidang akademik, sehingga akhirnya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri. Setelah bersara, saya
sering diundang menyampaikan ceramah berkaitan pendidikan. Undangan datang dari serata pelosok negara. Dan undangan kali ini entah yang ke berapa ratus bilangannya.
Selain menghormati dan berkenalan dengan Pegawai Daerah tempat tersebut, saya menerima jemputan khas ini kerana ingin mengimbau kenangan suka duka di daerah yang pernah menjadi tempat bermastautin saya lama berdekad lalu. Amat tepatlah hasrat tuan rumah dan niat saya menerima jemputan tersebut.
Saya ditempatkan di sofa berukir di depan dewan yang telah dipenuhi penduduk tempatan. Selesai pengerusi majlis mengalu-alukan kedatangan para jemputan, saya diminta naik ke pentas.
“Majlis ini di luar kebiasaan. Dijemput YBhg. Datuk Cikgu Mustafa Azhari untuk menerima sedikit tanda budi tersemai di sanubari khas daripada YBhg. Datuk Pegawai Daerah Hutan Sekajang.” Saya tergesa-gesa ke depan, bukan kerana cenderamata, tetapi kerana pemberinya.
Setiba di sofa, saya menjeling motor kristal dalam bekas kaca tersebut yang saya tempatkan di meja sisi. Datuk Pegawai Daerah di sisi senyum. Pasukan koir sedang mendendangkan lagu “Anak Kecil Main Api”.
“Maaf, saya minta pengerusi majlis kekalkan gelaran cikgu, dan tidak memperkenalkan diri saya.” Lelaki berusia lewat 30-an itu menghulurkan kad nama kepada saya.Saya renung nama yang terpapar, menjeling kristal dalam bekas kaca, memandang insan di sisi. Darah tiba-tiba menyerbu ke muka. Saya lihat mata Datuk Alam berkaca.
“Saya bukan berniat menggantikan barang cikgu yang telah saya pecahkan. Saya hanya ingin berkongsi rasa pahit yang cikgu rasa akibat kecuaian saya. Namun waktu itu saya tak berdaya.
“Murni dah terangkan kepada saya. Awak terlanggar kristal itu sewaktu mengelap meja saya, bukan sengaja.” Saya memecahkan rahsia yang disampaikan Murni, rakan baik Alam.
Kami berpandangan. Saya menepuknya di bahu. Pasukan koir menamatkan bait akhir dendangan mereka.
JENDELA TIMUR, APRIL 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)
