DIA senyum, setelah menamatkan cerita duka. Dan saya masih lagi berfikir-fikir, apakah masih wujud wanita setia, sebagaimana dia? Atau dia seorang lagi wanita yang bakal memuramkan hidup saya, sehingga saya rela digelar teruna daripada beristerikan wanita berjiwa kaca?
“Saya menangis saban ketika hingga kepala berdenyut-denyut dan rasa mahu pecah. Matahari tiada lagi dalam kamus hidup, yang terbit saban hari selepas Subuh itu hanyalah malam, malam dan malam.” Matanya memandang perbukitan yang tampak ilam-ilam di depan kami, bukan ke arah saya.
“Bertahun-tahun dibakar penderitaan, suatu malam saya mengambil satu keputusan – saya menulis dalam diari “confirmed bachelor”. Dan menutup diari itu, selamanya; berjanji, itulah kali terakhir saya mahu menangis.” Kelihatan dia menyapu air mata dengan kura tangan. Saya membatu.
“Sehinggalah suatu hari, tatkala purnama buram di dada malam, saya terasa aliran hangat keluar daripada saluran telinga. Saya tidak peduli, saya fikir mungkin air mata yang sedang mengalir jatuh ke kelopak telinga.” Dia jeda, menarik nafas.
Kemudian dengan suara serak menyambung “namun setelah aliran itu semakin banyak, dan dirasakan puncanya dari dalam telinga, cepat-cepat saya nyalakan lampu kamar. Saya terkedu. Titis darah memerahkan lengan saya yang kebas setelah sekian lama dijadikan bantal.” Dia mengesat hidungnya pula dan meneruskan cerita.
“Baru saya sedar, hati saya sedang menangis rupanya, pecah berderai dan titisnya mencari rongga yang mampu menyalirinya. Pada masa itu hanya Tuhan di jiwa – saya mohon agar Tuhan ambil nyawa saya, atau lahirkan kembali saya tanpa jiwa. Malam kelam, dan bertambah kelam, segalanya hitam. Saya berasa kosong, sekosong-kosongnya.” Dia menamatkan ceritanya, yang saya kira cukup derita buat seorang wanita sebatang kara; tiada tempat bergantung dan bergelandangan pula di kota batu sejak berdekad lalu.
Dan katanya, dia gembira kerana Tuhan telah beri pilihan kedua kepadanya. Masih berjiwa, bukan untuk memahami jiwa manusia, tetapi jiwa yang hanya mampu mengerti jiwa alam.
Mega, wanita tabah yang saya kenali sebulan lalu; bagai pelakon teater malam tersebut. Malam yang menemukan kami di sebuah panggung ketika sama-sama menonton teater “Sebutir Mutiara, Segunung Kaca” hasil tulisan Kartika. Teater arahan rakan saya, mengisahkan perjuangan ibu tunggal yang masih mengekalkan jati diri Melayu di ibu negara, walaupun terpaksa bergelut dengan seribu duga dan goda kota harta.
Penulis skripnya sudah lama arwah, jawab rakan saya sewaktu saya nyatakan hasrat untuk ketemu penulis skripnya. “Ini skrip pertama dan terakhirnya.” Tambahnya lagi.
Sengaja saya memenuhi undangan rakan saya setelah penat mencipta lagu dan menulis lirik semenjak pagi. Apatah lagi karya saya hari ini bagaikan gulai tidak bergaram. Tidak berjiwa. Kecewa dengan keadaan, saya meninggalkan studio dan bergegas menaiki LRT ke kotaraya.
“Kamu percaya akan takdir, Az?” Perempuan itu menyentakkan lamun saya. Seorang pelakon wanita yang sedang disepak terajang oleh seorang lelaki, dan seorang bayi dipijak-henyak oleh seorang pemuda sedang beraksi di pentas. Barulah saya sedar saya sedang menonton teater. Pandangan saya berkalih pada Mega di kerusi sebelah. Dalam cahaya samar, saya lihat kerut keningnya dan kemudian, dia mengeleng-geleng kepada saya.
“Adakah kamu percaya bahawa setiap kesengsaraan itu ditakdirkan kepada seseorang?” Dia tertumpu ke pentas sebaik menuturkan itu.
"Apa yang berlaku kepada mereka itu adalah ujian, namun perlukan usaha dan tindakan untuk melepasi ujian itu. Tetapi, ramai juga yang salah faham erti takdir, bukankah wanita itu sudah tahu bakal suaminya itu jenis perengus, kasar dan tidak berhati perut, masih juga mahu dipilih sebagai suami!” Saya merujuk jawapan kepada adegan di pentas. Sungguh saya geram dengan skrip yang dituturkan wanita yang sedang ditendang itu.
Sewaktu keluar dari panggung, saya sempat minta nombor telefonnya. Dia mencatat sesuatu pada sampul surat putih dengan pen yang dihulur oleh perempuan hampir seabad usianya, saya kira, di sisinya.
“Ini untuk awak, sebagai tanda pertemuan kita andai kita tak lagi bertemu.” Dia pun minta diri, dan berjalan ke seberang bangunan.
Saya menatap tulisan bertinta biru pada lembaran kertas rona kapas. Tulisan kemas dan rapi, senggeng ke kanan, berkait antara huruf-hurufnya. Pasti Mega wanita yang bukan mudah untuk difahami. Itu yang terlintas di benak saya.
Tajuk sajak terlakar “Lelaki Dengan Sekarung Kata” saya nikmati dalam lekit udara setelah kesejukan penghawa dingin panggung beransur hilang dari kulit.
Ah, saya harus ketemu Mega! Lantas saya menghubunginya. Tiada jawapan. Seminggu saya berusaha menelefonnya. Kalau tidak hormatkan prinsip berkarya, ingin saja saya menggubah terus lagu dari sajak ini tanpa makluman kepada Mega. Dan memakai nama Azka Zihni sebagai penulis liriknya.
Suatu hari, Mega tercegat di depan pintu pejabat saya, masih berteman perempuan seabad usia itu. Perempuan yang tidak pernah saya dengar suaranya.
“Bukan susah mahu cari pejabat seorang komposer kepada syarikat rakaman yang terkenal.” Dia menjelaskan, seolah-olah otak saya ini telus pandang.
“Bagaimana kamu tahu saya sedang menanti dan berhajat pada kehadiran kamu?’ Saya rasa seolah-olah Mega dapat “membaca” naluri saya.
“Dengan jiwa!” Pantas dia menyampuk.
Saya terangkan hajat saya. Keizinan yang diberikan Mega membuatkan saya sedikit terkejut. Seumpama telah lama dia mengharapkan sajaknya itu dijadikan lirik lagu, hanya dengan sedikit syarat “hanya lelaki yang menyanyikannya”. Dia senyum sewaktu saya memberi janji. Kerana kegembiraan, saya menahan mereka berdua untuk menemani saya di pejabat, dan seterusnya ke kawasan perbukitan. Berkat kehadiran mereka, karya saya siap sebelum Asar. Dan dua wanita itu jadi saksi kepada kerja seni saya.
Bayu hampir senja membelai bunga lalang kawasan perbukitan mewah itu. Tempat saya mendengar cerita Mega buat kali pertama, pada pertemuan kedua. Dan perempuan seabad usia itu sebagaimana waktu sebelumnya, tetap membisu.
Mega pada mulanya enggan berkisah kepada saya, namun selepas dia melihat perempuan seabad usia itu memandang sayu kepadanya, dia pun merenung mata saya; dan berkisah. Walaupun kisah antara dia dan lelaki yang disebutkannya itu tidak diceritakan secara terperinci, saya dapat menebak bahawa lelaki itu sudah pergi dari hidupnya. Saya cuba menghubungkan sajaknya dengan cerita yang diringkaskan kepada saya itu.
“Hati-hati menebar jala kata. Jangan sampai ia koyak tatkala kau sangat-sangat memerlukan suatu masa nanti.” Dia ketawa, kelihatan seperti berseloroh.
“Penggubah lagu yang kehilangan kata?” Saya ketawa. Tidak tahu maksudnya, sebenarnya.
Semenjak pertemuan kedua itu, saya sibuk dengan urusan keluarga di kampung. Saya cuba menghubungi Mega namun sepertimana sebelum ini; gagal. Ah, terdera sungguh saya.
Saya sengaja lewat ke pejabat. Selalunya beginilah jika berlamaan di kampung. Sewaktu tiba di depan pintu, saya lihat Mega terpacak di situ, perempuan seabad usia terlena di sofa pada suatu sudut. Tentu sudah lama mereka menunggu.
"Saya ada hajat besar ketemu kamu.” Ujarnya lembut. Dia menghulurkan sekeping sampul surat putih sebelum saya sempat bertanya akan hajatnya, dan meminta izin untuk pergi.
Saya membuka sampul surat nipis itu. Hanya sekeping nota tertulis alamat sebuah rumah. Jauhnya Mega menghuni.
Saya memilih hari cuti untuk ke sana. Sengaja tidak menelefon, kerana saya yakin ia tidak berjawab. Biar Mega pula yang tertunggu-tunggu telefon dari saya. Biar dia rasa bagaimana peritnya saya menanti; merindu sebenarnya!
Rumah kampung tepi jeram yang agak tersohor itu tampak sepi dan terbiar. Pintu terkunci dari dalam. Saya memberi salam kali ketiga, apabila kepala perempuan hampir seabad yang selalu menemani Mega itu terjongol ke luar jendela. Dan terdengar selak pintu ditarik.
Dia mengisyaratkan saya supaya mendaki tangga kayu bulat, dan mengarahkan dengan ibu jari ke sebuah kerusi jati. Dia tanpa sapa, terus ke dapur. Saya memanfaatkan ruang itu untuk menjelajah seluruh ruang; dengan mata.
Sekeping gambar dalam bingkai kayu seraya tergantung di sudut kanan dinding. Seorang wanita dan seorang lelaki dalam usia 20-an. Gambar hitam putih itu pada telahan saya diambil sekitar tahun 70-an. Di antara mereka berdua, seorang wanita separuh abad, bersanggul matterhorn menguntum senyum.
“Di kanan itu Mega Kartika semasa muda, lelaki itu kekasihnya yang diceritakan pada kau tempohari, masa kita ambil angin di perbukitan.” Jika jantung saya berada di luar badan, sudah tentu ia terloncat ke tikar mengkuang rumah itu. Saya terlopong, mati-mati saya ingat perempuan seabad usia itu pekak bisu! Dan, tiba-tiba saya teringat rakan pengarah itu.
“Di tengah itu makcik.” Dia senyum, sebagaimana selalu.
“Kamu mahu ke kubur arwah?” Dia meletakkan dulang minuman di hadapan saya. Saya tertinjau-tinjau ke ruang dapur, masih menunggu kehadiran Mega; mengesahkan sesuatu.
“Kamu tunggu siapa lagi, ayuhlah kita pergi!” Ajak perempuan seabad usia itu, gagah suaranya.
“Mega tak mahu ikut?” Saya sedikit terkilan. Perempuan seabad usia itu nampak terkejut. Dia menangis tiba-tiba dan meraung kemudiannya.
“Kan aku dah cakap Mega tak ada, tak ada, tak ada. Dia dah meninggal setahun lalu.” Dia tersedu-sedu, mengusap-usap dada. Kemudian meluru ke dinding, menanggalkan frem dari dinding dan meletakkan ke riba saya.
“Itu lelaki, anak makcik. Mati disantau peminat. Lain kali jangan tulis lirik ada nama perempuan. Lirik itu bukan hanya kata, lirik itu ada jiwa.” Dia meraung lagi.
“Itu... itu Mega Kartika. Dia selamatkan Halimah yang cuba bunuh diri dalam jeram. Lain kali jangan cuba selamatkan orang kalau kita tak tahu berenang.” Dia mengusap gambar perempuan di kirinya.
“Mulianya hati kau, nak. Sanggup kau gadaikan nyawa selamatkan orang yang bunuh kekasih kau.” Dia tersedu-sedan.
Saya terlontar ke liang lahad yang paling dalam, gelap gelita. Rasa terselam ke dalam sebaldi air, kemudian dibawa mendaki langit pada sebuah malam tanpa sekilas cahaya, dan akhirnya dihunjam ke kerak bumi.
“Huhu, makcik nak tinggal dengan siapa?” Perempuan seabad usia merintih.
Saya yang terbungkam melihat teater yang saya sendiri salah seorang pelakonnya terujar kata, “dengan saya, makcik.”
Saya renung gambar Mega yang sedih, bertukar ceria. Saya merenung perempuan seabad usia, hilang kata.
URTV, 15.04.2010

No comments:
Post a Comment