Pertemuan saya dan Adam bagaikan ombak dinihari, tenang menghantar bebuih kecil ke pantai pada musim semi yang lepas.Dia dianugerahkan kepada saya untuk membuktikan kebesaran Tuhan yang mentadbir alam dan jiwa-jiwa hamba. Saya mula faham aturan Tuhan yang amat kreatif dan penuh seni, mula mengenal makna takdir dan kuasa Tuhan. Betapa Tuhan mampu dan boleh berbuat apa sahaja hanya dengan sepatah Kun Fayakun.
Hari ini saya menangis sepuasnya. Empangan ketabahan yang selama ini gagah bertahan tidak mampu lagi teguh diasak keresahan jiwa. Saya menanggung rasa sebak, pilu, dan gundah-gulana ini sekian waktu. Lima belas tahun, saya rasa jiwa saya pun berhak untuk mengekspresikan debar, getar yang sekian lama tidak diluahkan raga.
Segalanya tentang kesedihan, kepiluan, kekesalan dan rasa sebak yang menunda-nunda setelah kehilangan dia. Saya sedih kerana ruang waktu untuk hidup bersama terlalu singkat. Saya pilu kerana dia pergi sewaktu zaman remajanya mula mekar dan kami tidak sempat mesra. Saya kesal kerana dia pergi sewaktu busung amarah saya belum mengecut sepenuhnya.
Dia lelaki pendiam. Kami hanya bercakap apabila perlu. Jarang sekali bertembung mata. Saya pun tidak tahu mengapa begitu. Dia suka menyendiri, dan saya pula suka mengekori gerak langkahnya dan kerjanya tanpa dia sedari. Dia amat suka membaiki kenderaan bermotor, dan perkara itulah yang paling tidak saya sukai kerana ia makin merenggangkan kami.
Namun saya begitu gembira apabila melihat dia mengusung kayu dan menghimpunkannya di suatu tempat. Tentu dia mula membina reban ayam, fikir saya. Dan semenjak hari itu saya jarang lagi melihat dia bersama motornya. Dia mula menggali tanah di tepi rumah dan mendirikan rangka. Saya mengelak jadi mandur kerana saya tahu dia tidak akan menyiapkan kerjanya selagi saya masih terpacak di situ. Lalu saya tidak pedulikan kerja-kerjanya. Tidur saya sering terganggu oleh bunyi ketukan tukul dan sorong tarik mata gergaji. Beberapa hari kemudian, saya lihat sebuah rumah pondok terbina. Itulah Adam.
Suatu hari, kami bergaduh. Puncanya, saya tidak suka Adam bergaul dengan remaja yang suka merempit. Namun Adam tegaskan, dia punya misi sendiri, dan akan memberitahu saya suatu hari nanti. Saya tetap berdegil meminta Adam menjelaskan perkara sebenar. Adam nekad, tidak akan menghebahkan sebelum tiba masanya.
Masing-masing tidak dapat menahan marah, dan di antara kami tidak nampak tanda-tanda beralah. Kerana tersinggung dengan tenungan mata, dia membaling ketul-ketul ais ke arah saya. Saya tahu dia tidak sesekali bermaksud menujukan ke badan. Saya berlalu dengan kesan biru di dada dan bahu. Semenjak hari itu, saya tidak mahu lagi berselisih dengannya. Biarpun begitu, saya sentiasa ingat pengajaran dari kisah itu – usah ditenung mata lelaki yang sedang marah.
Kemarahan saya berlanjutan sehingga saya meninggalkan tanah tepian pantai, menjejak kaki ke ibu negara. Saya sengaja menyibukkan diri dengan alam kampus. Dua tahun di sana, saya tidak pernah bertanya khabar tentang dia. Hati saya masih berdarah dengan peristiwa tempohari.
Pada suatu hari, saya diserang resah luar biasa. Saya berkelintar di segenap ruang bilik tanpa tujuan. Dari tengahari hingga ke malam, resah itu tidak jua berkurangan. Saya cuba mencari punca. Buntu. Dalam keadaan keluh-kesah, nama saya diumumkan, bergema tepat-tepat tengah malam. Saya turun menemui pengawal keselamatan yang sedia menunggu di bawah blok bangunan. Dia menyambut saya dengan ucapan minta saya bersabar. Wajah bonda dan ayahanda terpamer dalam minda.
Saya cuba mendapatkan tiket penerbangan, namun hampa. Takdirnya, hanya bas perjalanan pagi esok masih bersisa. Saya menghitung. Lapan jam adalah terlalu lama untuk membiarkan jenazah menunggu kepulangan saya. Pasti dia disemadikan lebih awal dari ketibaan saya. Saya diserang pilu dan rasa berdosa.
Perjalanan terasa begitu lama. Apalagi yang mampu saya buat selain membacakan Surah Yasin dan Al-Fatihah untuk rohnya, sesekali berdoa agar berlaku keajaiban yang memungkinkan saya tiba lebih awal di sana. Namun hidup ini bukan sebuah karya kreatif yang boleh diselitkan realisma magis sebagai penyelesaiannya.
Saya tiba di kampung selepas Asar. Disambut sedu-sedan dan jiran tetangga yang sembab matanya. Mereka melihat saya seolah-olah saya orang asing. Saya lihat bonda terperuk di suatu sudut dengan bola mata yang berselirat urat merah, dan saya mula mencari wajah ayahanda. Saya jumpai dia di halaman, di bawah rimbun daun mempelam harum manis. Mata kami bertemu dan kami sama-sama kelu.
Saya segera ke rumah pondok tinggalan Adam. Tak berkunci. Saya menyelinap masuk, sambil mengintai bimbang ada mata yang memandang. Pangkin kayu beralas tilam nipis bercadar rapi. Beberapa jenis alat pertukangan kayu dan peralatan membaiki motor tersimpan kemas di atas rak kayu hasil tukangannya.
Semuanya tersusun sebagaimana kali terakhir saya melihatnya dulu, kecuali sebuah rak tukangan sendiri saya kira, tersusun padanya sejumlah buku. Tajuk-tajuknya membuatkan saya berfikir seketika, sejumlah besarnya adalah rujukan saya di universiti, dan beberapa buah buku dalam bidang psikologi. Tak kurang pula sejumlah novel Sasterawan Negara yang disusun bertindan.
Saya membelek secara rawak beberapa buah buku, tertulis pada setiap helaian pertama buku-buku “Tahtal Milki: Al-Faqiirul Ilallah”. Adam tidak keseorangankah di pondok ini? Buku-buku ini dibawah milik “yang fakir (lelaki) ke jalan Allah”? Yang pasti rakannya itu lelaki!
Saya menjenguk ke arah pohon manggis di sisi rumah melalui jendela kayu separas pusat. Kelihatan wajahnya di celahan ungu bunga senduduk, di putik manggis, pada merahnya buah mata ayam, pada kudup kemboja di halaman.
Saya tutup jendela dan baring di atas pangkin kayu. Merenung atur susun kepingan bata. Wajahnya bertampal di mana-mana. Saya lihat dia terbongkok-bongkok menukar tayar motosikal. Saya lihat dia ke paip air membersihkan sisa minyak hitam di lengan. Saya lihat dia menyapu peluh dengan tukul yang masih di tangan. Di mana-mana, saya lihat dia. Sedu telah pecah dalam dada. Saya pekup mulut, menghalang sedu melepasinya. Mata saya terasa panas, saya pejam sekemasnya agar air mata terbendung di dalam.
Di luar, saya dengar suara perempuan sedang berbual. Luahan rasa seorang makcik menyentakkan saya. Katanya dia tidak dapat menahan sebak melihat keadaan saya sewaktu tiba. “Macamana agaknya kalau dia tengok pakaian yang arwah pakai semasa kemalangan.” Saya dengar sedu-sedan. “Saya pun tak sanggup tengok besen penuh darah dalam bilik air tu.” Makcik seorang lagi menyambung sedu.
Saya bingkas menuju bilik air rumah itu dari arah belakang. Sebesen air merah darah masih di situ. Di dalamnya pakaian yang sudah tentu milik Adam. Saya angkat jaket hitam, menelitinya. Ada koyak di beberapa tempat. Baju T dan seluar dalam tidak terjejas. Saya capai jeans biru, dekat ke muka. Juga ada carikan padanya, beberapa tompok minyak hitam jelas kelihatan, kesan seretan dan ketulan batu di celah lipatan kaki seluar. Bahagian paha kanan rabak, dihubungi oleh sisa secarik kain pada bahagian lutut. Saya terjelepuk ke lantai bilik air.
Saya masih berteleku di tepi besen. Terasa jasad baru turun ke bumi. Saya gagahkan diri, berdiri dan mula membasuh pakaian tersebut. Memerhatikan air darah yang bercampur kemarahan saya dulu, mengalir ke saluran air buang dalam bilik air tersebut. Seliter demi seliter.
Ayahanda masuk tiba-tiba. Dia terkejut melihat keadaan saya. Saya letak telunjuk di bibir dan berbisik kepadanya. Saya minta keizinan untuk menyimpan pakaian penuh kenangan luka tersebut. Ayahanda berlalu. Diganti oleh abang ipar saya. Dia banyak membantu kerja-kerja menguruskan jenazah Adam. Dia kelihatan tidak terkejut dengan kehadiran saya di situ, mungkin ayahanda saya telah memaklumkan keadaan itu kepadanya sebelum dia masuk.
Saya lihat dia mengepal sesuatu dan memandang saya dengan wajah pilu. Dia membatu apabila saya tanya apa yang ada di dalam genggamannya. Dia minta saya naik ke rumah kerana katanya dia ada tugas yang belum selesai dilaksanakan berkaitan urusan jenazah. Saya mengesyaki sesuatu dari penjelasannya, dan mendesak agar dia menyatakan tugasnya itu.
Dia buka kepalan. Seketul daging merah-kebiruan memanah jiwa saya. Ada debar dan getar di hati. “Daging paha arwah yang terlekat di bahagian motornya. Abang nak basuh dan tanam di kubur arwah.”
Dan saya tidak dengar butir bicaranya lagi. Saya nampak imej daging seketul dan bahagian paha seluar yang rabak di merata dinding bilik air. Tanpa sedar saya hanggau daging tersebut, membasuh secermat-cermatnya dengan jiwa. Air merah mengalir perlahan, membawa bersamanya sejumlah kenangan. Saya lihat dia berdiri di tepi saya, memandang saya dengan sebuah senyum. Senyum yang sampai di sukma. Hati saya terasa dibelai angin dingin, sedingin ais yang pernah singgah di dada dan bahu lima belas tahun dulu.
Saya hulurkan ketul daging kepada abang ipar. Selesai membasuhnya sekali lagi, dia ajak saya bersamanya ke kubur, namun saya menolak. Dia disergah kehairanan dengan penolakan saya. Saya katakan padanya, “Saya semadikan dia di jiwa, bukan di sana.”
Dan sehingga kini, saya tidak pernah melihat nisannya. Lima belas tahun berlalu, dia masih di hati ini. Dan setiap kali saya melihat ketulan ais, saya sentiasa doakan rohnya dirahmati dan mendapat tempat mulia di sana. Dan setiap kali dimarahi lelaki, saya selalu merenung bumi.
Saya kehilangan Adam. Dan semenjak itu saya tidak pernah berharap saya akan menemui seseorang yang mampu bertapak di jiwa. Saya benar-benar serik diterpa ujian sebegitu. Saya hanya terfikir untuk menghabiskan sisa hidup dengan mengakrabkan diri kepada Ilahi, tiada cinta seagung cinta-Nya. Saya menjadi manusia bohemian, semenjak pemergian Adam.
Sehingga hari ini, saya merenung bumi bukan kerana dimarahi. Tapi saya keliru berhadapan dengan seorang lelaki yang datang mengetuk pintu hati saya. Dia mengingatkan saya pada nisan dan kemboja, pada saat saya hilang jiwa. Katanya, dia berhutang budi dan nyawa dengan saya. Alangkah, cerita yang bagaimana pula harus saya hadapi kali ini. Saya tidak pernah kenal lelaki itu!
“Saya Han, sahabat Adam. Saya suka cara dia menasihati kami, dingin bagai air di kali, meresap terus ke jiwa. Ramai di antara kami tinggalkan dunia rempit, dan kebanyakan mereka jadi orang berguna kepada bangsa.” Seolah-olah dia dapat melihat pertanyaan yang berselirat di dalam minda saya.
“Saya tahu berita kematian Adam melalui laporan surat khabar. Waktu itu saya sedang belajar di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Saya pulang seminggu selepas pemergian arwah, dan sempat melawat pusaranya, juga pondok ilmunya. Buku-buku miliknya, semuanya diwasiatkan kepada saya. Surat wasiat yang Adam poskan kepada saya sampai seminggu selepas saya pulang menziarahi pusaranya, namun alamat wasiat bertarikh empat puluh hari daripada tarikh kematiannya...”
“Kenapa dia mewasiatkan harta bukan miliknya kepada awak. Ke mana Al-Faqir Ilallah?” Saya tidak merungkaikan pertanyaannya, tetapi menambah tanya.
Usai saya bertutur, lelaki di depan saya melepas nafas, seolah-olah dia tidak bernafas sebelumnya. Dia senyum, seperti senyum seorang ayah tatkala usai mendengar kerisauan seorang anak.
“Adam suka menggunakan nama penanya untuk menandatangani buku-bukunya.” Penjelasan ringkas itu menjelaskan bukan hanya satu persoalan.
“Adam banyak bercerita tentang awak. Malangnya awak terlalu jauh, dan kata Adam pula, dia berharap awak memaafkan dia atas apa yang menyebabkan kalian berdua berpisah, dan sering mengharapkan awak menyambung semula tali kasih persahabatan kalian. Dia menunggu kemaafan dari Madinah.”
Saya mendengar cerita Han dalam keadaan membatu, namun fikiran terbang sayup ke saujana langit kenang, lapis berlapis peristiwa. Saya terhempas ke bumi dengan ucapan mohon diri dan salam daripada Han, dan setelah saya tanpa sedar mengucapkan “jumpa lagi.”
Semenjak pertemuan pertama itu, dua patah perkataan terakhir saya kepada Han mengikat silah temu kami kepada siri-siri perbualan lain, namun jarang sekali bertemu. Kami bukan bercerita tentang diri masing-masing, tetapi banyak berbicara seputar Adam, sehingga saya kadangkala cemburu akan keintiman mereka berdua, seolah-olah saya hanya pendengar kepada kisah mereka.
Sehinggalah semalam, saya diserang kerinduan kepada Adam, entah kenapa. Sewaktu Han menyatakan hasratnya untuk menyunting saya, sebagaimana wasiat Adam; saya menangis sepuasnya. Mereka bukan kembar, tetapi saya rasakan mereka berkongsi keperibadian yang sama.
“Saya menerima awak bukan sepenuhnya kerana wasiat Adam, tetapi kerana jiwa saya.” Jelas Han merungkaikan kerisauan saya.
Hari keempat puluh setelah lamarannya, hari ini saya mengutusi Han, dengan jawapan bertinta ke pejabatnya.
“Saya menerima awak bukan kerana wasiat Adam, tetapi kerana saya temui awak di dalam diri Adam.”
Keesokannya, saya menziarahi pusara Adam, buat pertama kalinya.
WANITA, Jun 2010

No comments:
Post a Comment