MATA binar itu kutatap lembut, walaupun hati sedang mendidih dalam belanga amarah. Berkali-kali kupujuk rajuknya dengan kata-kata lembut, namun perangainya cukup menduga kesabaran pada petang yang masih panas. Mentari masih menyinga biarpun dua jam lagi azan maghrib akan berkumandang. Bahang daripada aspal makin menambah kuantiti keringat yang mengalir.
“Kalau bonda tak beli senapang itu, Umar tak mahu puasa esok!” Bentakan itu terasa cukup mendukacitakan jiwaku. Mana mungkin anak yang berumur tujuh tahun itu mengugut seorang ibu, lebih-lebih lagi pada bulan penuh berkat ini.
Hati menjadi hiba, terasa Umar sudah mengurangi darjah kesolehannya. Sedangkan selama ini dia kuasuh dengan tertib sopan sejalur suruhan agama dan budaya. Tidak pernah dia bersikap seperti itu semenjak enam hari ramadan lepas, kecuali hari ini. Setiap kali aku ke bazar ramadan, aku terpaksa membawanya sekali setelah menjemputnya dari kelas mengaji al-Quran. Dan setiap kali sampai ke bazar itu, setiap kali itulah juga dia merengek minta aku belikan senapang, yang dijual di gerai kurma, bersebelahan gerai lauk-pauk yang selalu kusinggahi.
Tatkala aku sibuk membeli lauk-pauk di gerai pilihanku itu sebaik pulang dari pejabat, Umar kulihat perlahan-lahan beredar ke gerai sebelah, gerai kurma yang juga menjual beberapa laras senapang. Bagaimana mungkin senapang dijual bersekali dengan kurma dan produk dari timur tengah, amat tidak sesuai, fikirku.
Namun hal itulah yang agaknya menarik minat Umar sehingga aku membiarkan sahaja dia meleraikan genggaman tangan kami, untuk beredar ke gerai kesukaannya. Setiap kali dia ke sana, kulihat dia membelek-belek senapang itu dan berbual-bual dengan perempuan separuh abad dan anaknya yang kukira sebaya Umar. Mungkin Umar tidak perasan aku melirik pergerakannya itu sambil membeli juadah. Dari pemerhatianku selama enam hari sebelumnya, Umar akan meraih kembali tanganku, sebaik aku kelihatan mahu beredar dari bazar itu, seolah-olah baginya aku tidak sedar langsung akan kehilangannya di sisiku untuk ke gerai sebelah, dan jalan bergandingan denganku seperti sebelum kami tiba di bazar.
Cuma kelihatan pada riak wajahnya dia sedang memikirkan sesuatu sewaktu kami berpulang dari padang bola yang dipilih sebagai lokasi untuk sebulan bazar ramadan itu. Terkadang wajah itu mempamerkan ceria seorang kanak-kanak, kadangkala tegang seolah-olah sedang mengikhtiarkan sesuatu dan kebanyakan masa, ia terkandung seribu persoalan yang tidak upaya difikir oleh insan seusia dia. Namun tidak pernah disuarakan padaku apa-apa sahaja, dan aku tidak pernah bertanya kepadanya, kecuali menanti dia meluahkannya padaku.
Aku mahu mengasuhnya jadi seorang lelaki yang punya kekuatan untuk meluahkan, bukan sebagaimana ayahnya, seorang pemendam. Seorang lelaki yang bagiku punya sifat sebagaimana pulau ais, sedikit sahaja terzahir di permukaan, terpendam di bawah laut sebesar-besar ketulan yang mampu mengaramkan sebuah kapal sebesar Titanic. Aku tidak mahu Umar terbiasa dengan sikap yang bagiku bahaya jika dimiliki seseorang.
Hari ini, nyata ketakutanku selama ini jadi kenyataan. Luahan yang tertunda selama enam hari itu bagaikan pulau ais yang muncul tiba-tiba dalam haluan asuhanku. Umar tidak puas hati dengan jawapanku, yang agak keras mungkin pada naluri seorang kanak-kanak seusianya.
“Senapang itu alat berbahaya, Umar!” Nadaku agak keras walaupun kututurkan dengan suara lembut. Dia membatu, menatap rahangku yang sedikit bergerak-gerak akibat mengetap gigi. Sungguh hari itu aku rasa terganggu dengan permintaan Umar yang memujukku agar membelikan senapang dari gerai sebelah. Apatah lagi cuaca panas dengan pengunjung gerai yang pelbagai aroma itu bersesak-sesakan, sebahagian besarnya pula merempuh belakangku tanpa ucapan maaf sepatah pun. Di kedua-dua tangan, penuh plastik berisi makanan.
Umar menarik hujung kebayaku. Masih meminta-minta biarpun telah kunyatakan jawapannya. Bukankah senapang itu berbahaya, apatah lagi bagi kanak-kanak sebesar dia? Senapang adalah malaikat maut yang bila-bila masa boleh menjadi alat menerbangkan roh dari jasadnya. Senapang juga terbukti menyebabkan anak kehilangan ayah ibu, suami hilang isteri dan manusia hilang yang disayangi. Senapang itu alat bahaya, Umar! Oh, senapang itu merentap kebahagiaanku.
Umar merentap hujung kebayaku. Senapang itu merampas nyawa ayahmu, Umar! Entahkan keluar atau tidak ujaran itu dari mulutku, atau ia hanya di ruang kenanganku. Namun kulihat Umar tercengang dengan situasiku yang seolah-olah baru sedar dari pukau.
“Senapang itu nanti mahukan korban, Umar!” Ugutku lagi. Walaupun kutahu kenyataan berbau ugutan amatlah tidak sihat untuk kanak-kanak seperti dia. Aku penat dan terganggu dengan kenangan yang menerpa dalam udara pengap petang ini. Ah, sudah berapa banyak pahala puasaku berkurangan dengan jiwa yang tidak tenteram dan amarah yang menguasai hari ini.
“Bukankah ayahanda juga miliki senapang?” Umar menyentakkan sedarku. Kenapalah mulut kecil itu mengeluarkan sebaris ayat yang menyengat kenangan pahitku? Aku sepi dalam riuh manusia, menarik nafas dalam-dalam.
“Dan juga pistol!” Ulas bibir merah itu mengeluarkan belati yang menusuk jantungku. Mengapa kenangan itu dibidiknya di padang latihan ramadan nan terik ini?
“Senapang dan pistol alat bahaya, Umar...” Dalam suara lirih, aku mengelus rambut lurus berona bulu jagung Umar tanpa sedar, dan menapak ke luar kawasan padang.
Umar tidak berganjak, dan aku memilih pergi tanpa dia. Aku pasti, dia akan menyertai tapakanku sebentar lagi. Budak seusia itu tidak tega ditinggal sendirian, sudah tentu dia gentar memikir bagaimana mahu pulang nanti.
Benar tekaanku, Umar menuruti langkahku. Masuk ke dalam kereta, menarik tali keledar tanpa sepatah kata. Ada titis air mata di pipinya, diseka dengan kura tangan seraya berpaling ke luar jendela, enggan menatapku. Aku memecut laju, sejam lagi azan Maghrib akan berkumandang. Nasi belum dimasak, lauk-pauk untuk jiran sebelah, sebuah keluarga daif juga perlu dihantar sebelum iftar, Asar juga belum ditunaikan. Semuanya kerana melayan kerenah Umar.
Usai solat, aku bergegas masak nasi, dan menghantar juadah ke rumah jiran. Umar tidak mahu ikut serta sebagaimana selalunya. Dia membatu dan menekuni buku doanya sewaktu aku mengajaknya. Sebaik tiba di pintu, kudengar Umar melaungkan doa wahdah dalam alunan penuh sayu, lebih sayu daripada bacaanku selama ini. Aduh, anak ini cukup menyuburkan sepohon kenangan dalam diriku, dan menggoncangnya dengan sikap-sikap luar biasa seminggu ini, sehingga helai demi helai daun kenangan yang masih hijau itu menimpa diriku.
Azan berkumandang, Umar dengan suara gemersik membaca doa berbuka. Aku dan hanya Umar beriftar dengan tiga biji kurma dan segelas air suam setiap seorang, kemudian menuju ke surau berhampiran. Umar membisu dalam perjalanan, dan kami berpisah di ruang solat. Malam ini aku berdoa agar diberi kekhusyukan solat, dan tidak dibayangi peristiwa petang tadi.
Aku berjaya meminggirkan ingatan itu pada rakaat-rakaat awal, namun sebagaimana dedaun diterpa ribut, helaian-helaian hijau kenangan aku dan suami menerpa benak sebaik sahaja imam mengangkat takbiratul ihram untuk memulakan witir. Sebak menyerbu, aku tercungap-cungap, cuba menahan sesak nafas. Ahli jemaah di sebelah mencuit, mempamerkan wajah penuh soal. Aku tunjuk isyarat ke kepala, dan beredar.
Kupilih pangkin di luar ruang surau, tepi ruang solat lelaki, agar senang kulihat Umar yang keluar nanti. Dalam kelam, aku beristighfar, semoga dukaku ini tidak dicampur urusannya oleh syaitan di jiwa, kerana syaitan telah dirantai kesemuanya dalam sepurnama bulan mulia ini, kecuali yang menghuni jiwa-jiwa manusia itu sendiri.
Terngiang-ngiang ugutan Umar petang tadi. Mungkinkah Umar akan melaksanakan ugutannya itu esok? Jika benar, akulah yang bersalah kerana tidak berhikmah menangani jiwa seorang anak. Jiwa seorang anak yatim yang kehilangan ayah dua purnama yang lepas. Yang tekun berpuasa tanpa ponteng walau sehari semenjak berusia lima tahun. Oh, bersalahnya aku, dan berdosanya aku jika Umar betul-betul melaksanakan ugutannya.
Aku gagal mendidik Umar dengan baik, sekaligus khianat akan amanah Umar Hanzalah yang berpesan dua purnama lepas, agar aku menjaga Umar Mukhtar, anak tunggal kami sehingga menjadi lelaki soleh yang berani berkorban demi agama, nusa dan bangsa. Yang tidak gentar akan musuh Islam dan umatnya, sehingga sanggup mengorbankan diri. Itulah pesan Umar Hanzalah, arwah suamiku sehari sebelum dia ditembak pengganas rejim Zionis Israel dalam tragedi serangan ke atas MV Mavi Marmara dua purnama lalu.
Betapa durjananya komando Israel yang telah menembak suamiku dengan senjata automatik biarpun bendera putih telah dikibarkan oleh MV Mavi Marmara apabila flotilla itu dipaksa memberhentikan pelayaran. Bukankah suamiku dan enam buah kapal yang membawa aktivis, sukarelawan bantuan dan bahan bantuan bagi warga Gaza yang telah dikepung dan zalimi semenjak 3 tahun lepas itu tidak membawa sebarang senjata berbahaya, melainkan melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan sesama manusia?
Menurut rakan arwah suamiku yang terselamat dan hanya cedera ringan, suamiku tidak tumpas sewenangnya di tangan komando yang selayaknya dilabel pengganas oleh dunia itu, tetapi berjuang mati-matian sebelum gugur. Ceritanya lagi, arwah suamiku melaungkan takbir sehingga terdengar di seluruh ruang, berusaha mempertahankan diri dengan hanya bersenjatakan kayu dan pisau pemotong daging. Namun sehebat manapun seni mempertahankan diri yang dipelajari suamiku, senjata automatik bukanlah lawannya.
Aku reda atas pengorbanan suamiku, dia pergi demi agama. Cita-citanya untuk berjuang demi agama sebagaimana kisah Hanzalah dalam sirah Rasulullah akhirnya terlaksana, cuma arwah suamiku tidak dimandikan malaikat sebagaimana Hanzalah. Tidak hairanlah suamiku gemar menyertai pelbagai organisasi dan persatuan yang menyuntik semangat juang sepanjang usianya sehingga layak memiliki senapang dan pistol hasil penyertaan dalam RELA dan persatuan menembak.
Cuma emosiku terganggu petang tadi dengan permintaan Umar, anak tunggalku mungkin kerana aku perit akan kehilangan orang tercinta. Sepatutnya aku menyokong minatnya, yang mewarisi kecenderungan ayahnya, serta mendidiknya ke arah landas yang betul. Kesilapanku, aku melarang kehendaknya tanpa hikmah. Aku janji, akan belikan dia senapang itu petang esok. Akan kugembirakan Umar dengan persetujuan itu sebaik sahaja dia keluar dari ruang surau itu nanti.
Para jemaah lain sudah ramai keluar, namun kelibat Umar belum nampak. Setengah jam berlalu, aku jadi risau. Ya Allah, semoga Umar waras dan tidak merajuk dengan sesuatu tindakan di luar batas. Aku mula keluh-kesah. Aku bangun menuju ruang solat lelaki. Sebelum melangkah, kelihatan Umar Mukhtar menyarung seliparnya, dan menunggu di ruang muslimat seperti selalu. Aku memanggil namanya, dan dia agak was-was memandang ke arahku, kemudian perlahan-lahan menuju ke arahku, diikuti seorang kanak-kanak lelaki sebaya.
Aku tidak sabar menunggu Umar tiba, dan terus menyatakan hasratku tadi sebaik sahaja dia menyalamiku. Umar tersentak dengan persetujuanku, dan sebelum aku menyambung janji, kanak-kanak yang membontoti Umar merapati kami. Budak itu kulihat wajahnya sama dengan kanak-kanak di gerai senapang dan kurma itu, wajah yang sama seperti kanak-kanak Palestin yang sentiasa jadi mangsa bedilan dan lontaran bom di Palestin.
“Bonda, ini Ibrahim Siddiqie. Ayahnya ada banyak senapang. Tapi bukan senapang kayu macam yang Ibrahim jual di gerai ibunya!” Umar mendahului pertanyaanku dengan jawapannya.
“Saya pun pandai buat senapang, makcik, tapi senapang kayu. Saya belajar dari arwah ayah sewaktu sebelum kami berhijrah dari Ramallah. Saya ingin hadiahkan satu senapang kepada Umar sebagai tanda persahabatan kami, saya minta kebenaran makcik.” Kanak-kanak itu masih pelat berbahasa Melayu.
“Ya, ya. Nanti makcik beli daripada Ibrahim, makcik beli lima!” Saya teruja mahu menebus kesilapan.
“Saya hanya ada empat senapang yang baru siap makcik, tak cukup lima!” Ujar Ibrahim pantas.
Ah, anak ini. Ingin saja aku mencepungnya, dan meluru ke rumahnya untuk ketemu ibunya memulakan rantai silaturrahim antara dua negara.
Dalam perjalanan ke rumah Ibrahim yang hanya didiami dengan ibunya, dia bercerita tentang nasibnya sebagai pelarian, yang kemudiannya mendapat suaka politik di sini memandangkan arwah ayah dan abang-abangnya yang terkorban adalah golongan profesional yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Menurut Ibrahim lagi, dua tahun berada di Malaysia, ibunya tidak pernah lupa akan tragedi yang melibatkan kedurjanaan Zionis Israel terhadap keluarganya. Lima abang Ibrahim terkorban dalam serangan pengganas Zionis di Ramallah, dengan tuduhan kelima abangnya itu terlibat dalam siri pengeboman terhadap beberapa bandar utama di Israel.
“Sebelum Ibrahim menjadi mangsa, saya fikir lebih baik saya bawa dia ke sini. Kalau diikut jiwa saya, saya mahu dia pun syahid mempertahankan agama, namun dia perlu hidup untuk merangka perjuangan seterusnya. Saya mahu Ibrahim menjadi pemimpin yang dapat menyatukan negara-negara Islam dalam memerangi Zionis Israel.” Ibu Ibrahim menutup cerita, sewaktu kami minta diri untuk beredar dari rumahnya. Janjinya dia akan bertamu pula ke rumahku esok, membalas kunjungan kami.
Sewaktu bergandingan dengan Umar pulang ke rumah, kugenggam erat jari-jemarinya. Terasa ada semangat ayahnya yang mengalir dari celah jari-jemari kecil itu. Dan aku berjanji kepada diri, kepada Umar Hanzalah dan kepada Tuhan, anak ini akan kuasuh dengan semangat juang yang tak kunjung padam sinarnya. Akan kuburu malam seribu bulan untuk melayangkan doaku ini. Biar Umar jadi lelaki yang memimpin bangsa dalam menyuburkan semangat perpaduan di kalangan ummah di merata alam, sebagaimana mewanginya ikatan wahdah aku dan ibu Ibrahim, dua wanita yang berkongsi duka dan semangat yang sama, biarpun berbeza bangsa.
“Umar, Islam tak menang kerana senapang atau pedang!” Aku cuba membetulkan semangat Umar agak tidak bersalahan dengan konsep perjuangan.
“Tapi kalau ada pengganas tembak kita atau Ibrahim dan ibunya dengan senapang, Umar pun kena balas dengan bedilan senapang.” Dia mendongak ke arahku, seraya membetulkan tali senapang di sebelah kiri bahu.
Aku terkesima dengan jawapan itu. Sungguh Umar telah mengerti konsep mempertahankan diri dalam usia sekecil dia. Aku yakin dia dan Ibrahim adalah hilal penyatuan sempena awal ramadan, seterusnya bakal menerangi kegelapan ummah yang berpecah dan larut dalam umpan hedonisme oleh Zionis, setelah sinar purnama menjarah dunia Islam dan pelosok marcapada.
WANITA, 23.06.2010
WANITA, 23.06.2010

No comments:
Post a Comment