Wednesday, September 24, 2008

WHITE METAL

HANCUR manusia!
Persetankan kemanusiaan. Bukankah manusia itu haiwan yang pandai bertutur? Burung gagak pun, jika punya lidah seperti manusia dan boleh membina ayat - menuturkannya, memutar-belit fakta, mengampu dan macam-macam kelebihan lagi; kesinambungan daripada kepandaian bertutur, semestinya layak dipanggil manusia.

Bukankah begitu kaedah ilmu mantik yang anda pelajari? Malah sekarang, bukti-bukti yang haiwan akan bertukar menjadi manusia hampir menjadi kenyataan.

Begitu juga sebaliknya, manusia pun telah lama terbukti, sejak keturunan bapa manusia; merebut gelaran haiwan daripada segala binatang yang ada di jagat raya. Buktinya, ramai yang sudah berhati haiwan, memiliki sifat binatang buas – anak tidak lagi sayang (jangankan hormat) kepada ibu bapa, lalu tanpa perasaan menyembelih manusia yang pernah menatangnya bagaikan minyak yang penuh, ada ibu dan ada juga bapa yang sanggup menyembelih anak sendiri tanpa secalit pun rasa kemanusiaan.

Hairankah anda mendengar manusia berkaki empat, lapan, sepuluh atau punya beribu kaki - berparuh, bertanduk, punya lidah terjelir-jelir? Manusia tidak hanya boleh bertutur, lebih daripada itu mereka sudah mengalami perubahan drastik; mengiau, melenguh, mengaum dan menyalak?

Saya pernah ajukan pertanyaan ini kepada seorang kawan. Dia menyumpah seranah saya, menuduh saya gila kerana meletakkan taraf binatang sama tinggi dengan manusia. Saya tidak terkejut atau terasa hati dengan tuduhan itu kerana saya sudah menjangkakan penerimaannya terhadap logik yang saya suarakan itu - manusia adalah haiwan yang boleh bertutur, maka binatang yang boleh bertutur adalah manusia. Salahkah logik saya itu? Apapun, itulah logik yang dipelajari dalam ilmu mantik.

Anda marah? Jangan cepat melatah dengan logik yang tersurat, sebaliknya fahamilah maksud tersirat. Bukankah anda selalu mendengar logik ini disebut sewaktu di sekolah menengah lagi? Saya juga pasti, teori yang dinyatakan Charles Darwin; manusia itu berasal dari beruk pernah singgah ke telinga anda. Nah, nampaknya fikiran anda sedikit goyah bila saya menyebut teori evolusi manusia, mungkin kerana anda yakin terhadap teori yang datang dari Barat, dan lazimnya segala yang berasal dari Barat – fesyen, budaya, gaya hidup, doktrin pemikiran atau sebarang idea, cukup senang diterima di sini. Dan yang terbaru dapat dibongkar ialah ketaksuban terhadap muzik black metal yang menggegarkan negara.

Beruk kata Darwin, beruklah kata anda. Untuk mengiakan teori Darwin, anda mengaku berketurunan gorila, agar tampak lebih gah. Kalau mereka pakai subang sebelah simbol homoseksual, anda berebut memakai sepasang anting-anting, berceretet pula di sekeliling cuping, ditambah pula subang di atas kening. Anda lebih homo daripada mereka, anda juga biseksual, juga pencandu orangnya. Anda mahu buktikan bahawa anda pengikut yang setia, lebih Barat berbanding orang Barat sendiri kerana segala yang datang dari Barat itu melambangkan ketamadunan; sehingga mereka sendiri terbeliak mata mendapati serangan pemikiran yang dihalakan, dengan scud hedonisme, westernization, dan terkini, kumpulan Black Metal yang bersifat antiagama berjalan lancar menuju sasaran. Tidakkah para pelajar, remaja dan belia terbabit itu kini sedang mengeruhkan sosiopolitik negara anda dengan usaha mereka menukar identiti menjadi binatang?

Khabarnya raja di hutan sedang bermesyuarat, apakah impak penukaran status ini kepada jagat rimba, kerana kumpulan ini mengamalkan kehidupan seperti binatang juga, malah lebih daripada itu – mereka mengamalkan seks liar yang dikenali seks touch and go, meneguk darah, dan tidak mempercayai Tuhan. Segelintir binatang yang terkenal mengamalkan hidup sihat, seperti monyet, dan seketurunan dengannya risau dengan berita itu, kerana menurut mereka, spesies yang bernama manusia (yang bertukar menjadi binatang) itu mengamalkan seks sejenis juga. Sifat itu diluar tabii kami, kata raja beruk dengan muka hambar.

Anda ingat saya memfitnah? Sumpah, saya dengar sendiri perkara ini daripada sumber pertama, datang dari mulut sekumpulan pelancong asing dari Las Vegas sewaktu bas pesiaran yang kami naiki rosak dalam perjalanan ke Genting Higlands. Saya bertinggung di tepi jalan, menunggu kedatangan bas ganti; manakala kumpulan pelancong tersebut lepak lima meter jaraknya dari tempat saya duduk.

Pada awalnya, saya tidak menghiraukan, sehinggalah gegendang dipukul ketawa salah seorang dari pelancong, sembari menuturkan kata-kata yang memaku saya dari beranjak ke sebatang tunggul kayu. Anda mahu tahu apa yang menarik pendengaran saya, sekali gus mendorong saya mencuri dengar perbualan pemuda yang bertindik di kening, yang baru saja kencing di tepi belukar dan belum sempat menyarungkan senjata sulitnya ke dalam seluar itu?

Katanya: “Saya gembira melihat perkembangan remaja di negara ini. Usaha kita, bermula akhir tahun 60-an, biarpun beberapa kali mengalami perubahan, terbukti tidak sia-sia. Anjing-anjing hitam berkepala manusia telah ramai di sini, malah lebih liar daripada yang didapati di negara kita.” Saya pura-pura membaca akhbar.

Wanita di sisinya, yang hanya bersinglet putih, mempamerkan dada labuh tanpa coli, sedang mencangkung menghadap ke arah saya, bergelegak ketawanya. Dalam sisa gelak kemenangan, dia menyampuk: “Dunia kata, wanita Timur beradab sopan, menjaga maruah. Apa yang aku perhatikan, mereka itu tidak lebih daripada barang dagangan saja di negara ini, sanggup bertelanjang demi meraih kemegahan.” Dia menunjukkan sebuah majalah picisan, kulitnya dihiasi seorang wanita separuh telanjang, duduk terkangkang, buah dada membuak keluar. Cover girl itu cukup saya kenali.

Saya mula membara, apatah lagi wanita bermulut celupar itu seolah-olah menduga saya apabila secara sengaja dia mendedahkan anggota tanpa alas di celah kelangkangnya ke arah saya. Saya cukup terpukul oleh kata-kata mereka. Negara saya dihina. Warganegara pula dijadikan bahan lelucuan.

Kata-katanya disambut seruan lelaki yang memakai singlet hitam, pada belakang bajunya tertulis Sil Khannas (bisikan syaitan):
Hidup Black Metal
Lestari Pemuja Syaitan
Tuhan sudah mampus!


Saya kira, Frederich Nietzsche, ahli falsafah Jerman sendiri tercabar oleh kata-kata itu. Mereka rupanya lebih melampau.

Dada saya mahu pecah oleh tujahan kata-kata lelaki itu. Nafas saya tiba-tiba sesak, tercungap-cungap menyedut oksigen di celah jerubu. Kepala saya pening, manusia sekitar saya kelam-kelam. Wanita berdada labuh itu memandang saya sambil ketawa, dua tiga orang rakannya seakan-akan terhibur melihat saya terhoyong-hayang. Wajah mereka timbul di depan mata saya, bertukar ganti. Saya tidak sedarkan diri.

Saya merayau di sebatang lorong di sekitar Bangsar, waktu hampir dinihari. Saya sengaja mengheret kaki ke sini sejak jam enam petang tadi, usai mesyuarat tergempar metah meletihkan bersama pemimpin tertinggi negara. Pertemuan siang tadi tepu seputar kumpulan Black Metal yang dianggotai pelajar dan remaja negara. Saya diserang habis-habisan, kebanyakan ahli mesyuarat membedil saya kerana gagal membendung budaya kuning memasuki negara, kononnya peranan saya sebagai ketua generasi pelapis kepimpinan negara tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

Saya dipertanggungjawabkan atas kelahiran kumpulan yang memalukan ini, pada saat negara sedang kalut menyelidik punca watan yang ramai diserang sakit mental, sakit jiwa dan kemelut isu penyembelihan manusia, kes rogol, liwat dan sumbang mahram yang berleluasa. Saya metah buntu, dura dan kesal atas wabak yang menyerang, dan dalam fikiran yang bersimpang-siur, saya di luar sedar mengheret kaki ke lorong gelap yang gegak-gempita ini.

Sedang fikiran saya menerawang mengingati sebab yang mengheret kaki longlai ke mari, pendengaran saya disergah bunyi bising dari sebuah rumah teres dua tingkat yang menghadap sebuah bar; metah gamat dengan hilai ketawa. Bunyi muzik membingitkan, tidak dapat saya tangkap liriknya.

Saya menghampiri rumah itu. Pintu pagarnya ternganga luas, bunyi orang berpesta semakin jelas. Saya baru saja berniat melangkah pergi, khuatir dituduh mengintip, apabila disapa dari belakang. Seorang gadis berambut perang, hanya bercoli dan skirt kulit paras paha tersenyum. Saya terkedu. Dia mengajak saya berlaku sumbang! Tanpa menunggu jawapan, dia cepat-cepat menarik tangan saya menuju rumahnya yang gegak-gempita. Saya sentap semula tangan daripada cengkamannya dan cuba lari apabila dua orang lelaki yang tiba-tiba muncul, mengheret saya ke dalam rumah itu.

“Ayuh, sertailah pesta kami. Anda beruntung datang tepat pada masa kami baru saja membakar suasana pesta Woodstock!” Lelaki berpakaian serba hitam dengan lambang pentagram -- bintang berbucu lima -- dan memakai salib itu menyuakan segelas air setan kepada saya. Saya menepisnya - gelas itu jatuh ke lantai. Pecah. Dia terbahak-bahak ketawa, kemudian menampar saya berkali-kali. Bibir saya berdarah. Penghuni rumah yang saya anggap isi neraka itu datang berkerumun, melingkungi saya. Mereka berteriak kata-kata kesat, bertempik perkataan lucah sambil menunjuk beberapa simbol kumpulan.

Seorang yang berkepala botak, berdiri di hadapan saya. Tangannya mencarik-carik Bible, kakinya memijak-lanyak naskah Al-Quran. Mata saya berpinar dan saya seakan-akan nanar. Melihat keadaan saya, mereka seronok dan beraksi liar untuk menakut-nakutkan. Beberapa orang remaja perempuan ke luar dari satu jihat tanpa seurat benang, menerpa seorang pemuda yang sedang dalam keadaan dirasuk, menggomolinya. Muzik black metal dengan lirik memuja syaitan bertambah bingit. Mereka tenggelam dalam pesta seks liar. Segalanya dilakukan di hadapan saya - menyaksikan upacara penjelmaan binatang buas. Saya teringat kawan yang menuduh saya gila ekoran logik yang saya sebutkan, inilah masanya untuk membuktikan manusia itu binatang, malah lebih sesat!

Saya pejam mata sewaktu seorang anggota kumpulan itu menghenyak punggung telanjangnya tepat ke muka saya, bibir tidak lepas mengucap nama Allah agar terlepas daripada situasi gila ini. Mereka yang ghaib di alam khayali hasil serangan LSD (lysergic acid diethylamide), mula memuja syaitan pembawa panji fahaman antiagama dan antimoral. Perempuan yang dipanggil Madonna diarah mengawal saya agar tidak meloloskan diri daripada rumah neraka itu. Dia separuh sedar, membebel, menyeru dengan lagak pembaca mentera. Antara yang saya ingat dia lantang menyebut Black Sabbath, Led Zeppelin, Death Metal; kemudian menjerkah saya – engkau dari kumpulan Slayer, atau Rigor Mortis? Ho, ho! Dia ketawa nyaring. Saya mengibas muka, mengelak daripada mencium bau nafasnya.

Hei, apa yang disibukkan tentang kami? Kalian usah melatah dengan kebangkitan kami, dia tersedak dan menyambung, kami bakal menyambut ulangtahun muzik black metal yang ke-30 bertepatan pada sambutan hari merdeka ini. Merdeka! Dia melaung ke telinga saya. Hidup muzik black metal! Dia terjelepuk sembari senyum puas.

Tanggal 31, bulan lapan, era millennium, dia mengangkang di depan saya, hari perjumpaan seluruh kumpulan yang berideologi sama akan merayakan kebangkitan kami di era globalisasi. Anda dijemput menyertai kami, silalah. Dia mula merapu sejurus itu. Air setan telah meresap ke seluruh urat nadinya.

Hari pembebasan wajib diraikan, bukan? Aku tidak sabar menunggu rakan-rakan dari segenap jihat datang berpesta. Dia mengernyih. Kawan sekelasku, kau tahu – menyertai crash, hip hop, punk dan dua tiga orang daripada mereka telah bertemu dengan salah seorang anggota Black Sabbath, pelopor muzik black metal, supaya datang merasmikan kemerdekaan kami. Mereka baru balik dari meninjau sebuah pusat peranginan yang masyhur di puncak bukit sana, semalam. Matanya menyala sewaktu menuturkan, menoleh ke arah anggota lain yang memulakan persembahan. Saya diterpa wajah-wajah yang ditemui semalam.

Kumpulan dalam rumah itu sedang asyik di alam pemujaan – menyimbah darah ke seluruh ruang rumah, ada pula yang beraksi dengan senjata tajam dan tengkorak. Saya tidak melihat seorang manusia pun di dalam rumah neraka itu, kecuali wajah-wajah syaitan dalam rupa anjing hitam sedang berpesta.

Lirik dari hi-fi pula menyeru kematian sebuah kehidupan, agama dan kemanusiaan. Seorang yang baru saja usai menikmati tubuh pasangannya berteriak sebaris lirik kumpulan Morbid Angel, diikuti siulan Deicide dan Possessed oleh temannya.

Woi, khabarkan pada masyarakat, kami tidak takut ugutan Kongres (Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia). Periksalah tubuh kami, silakan. Madonna menjerkah saya lagi, setelah melihat saya tenggelam dalam fikiran.

Apa yang mereka mahu buat dengan sejumlah 40 murid bersalib di tangan kiri itu, masukkan mereka ke sekolah Henry Gurney, atau membunuh mereka kerana murtad? Ho, ho! Dia ketawa sekali lagi.

Bukankah ramai daripada kalian juga sudah hilang agama, Islam hanya pada fizikal. Kalian juga, daripada rakyat hingga pemimpin, semuanya layak menjadi haiwan. Haiwan yang boleh bertutur, bukan lagi haiwan yang pandai berfikir! Kerana kalian menganggap kemanusiaan itu tidak lagi memberi makan. Hanya dengan kuasa seseorang boleh menjadi Tuhan.

Dia beredar mengambil segelas lagi air berbusa, mengacah kepada saya dan melalak kegembiraan. Hey, kalian yang pakai kopiah, bertutup litup, sembahyang cukup waktu, memperjuangkan Islam, bangsa dan negara; sedarkah bahawa kalian yang sebenarnya sesat dan menyesatkan, prihatinkah kalian bahawa dalam perjuangan dan percaturan politik kalian, kami semakin subur. Kebangkitan kami pun kerana sikap kalian yang tidak mempedulikan akidah pewaris generasi, kalian sibuk berebut tampuk kepimpinan. Ibu bapa kami, guru-guru dan masyarakat sudah dibius politik. Di rumah, di sekolah dan di mana saja, mereka hanya bercakap tentang kuasa. Mereka pun menganut ajaran sesat – ajaran White Metal, white colar criminal!” Dia tiba-tiba memuntahkan hilai-ketawa.

Siapa yang untung apabila rakyat bertelagah? Orang luarlah! Saya terpaku mendengar bebelannya. Nyatalah, mereka lahir daripada ketidakpuasan hati terhadap peperangan yang berlaku dalam negara – peperangan merebut kuasa; faktor yang membenihkan kumpulan pelopor selepas Perang Vietnam.

Anda ingat saya tidak mendengar ulasan pemimpin negara tentang kebangkitan kami? Semalam, salah seorang dari mereka menyalahkan kumpulan kami sebagai perosak akhlak muda-mudi dengan seruan kegelapan dan kejahatan, menyebar amanat kemusnahan melalui muzik yang menggunakan ritma khusus dan synchronicity bagi membangkitkan keganasan, untuk menentang dunia. Nyata Madonna menghafal sejarah kumpulan ini.
Benak saya tepu pelbagai persoalan. Saya berkira-kira untuk merempuh pintu, lari dari dunia syaitan itu. Saya gagahkan diri, dan melompat ke arah wijil. Madonna berteriak, memanggil rakannya yang sedang rancak berpesta. Tapi rakan-rakannya tidak berdaya menghalang. Mereka hoyong-hayang dirasuk syaitan. Saya terus berlari dan berlari, membuat laporan serta menyeru para pemimpin menghentikan pertelagahan.

Sematkan perpaduan yang jitu sebagai benteng kepada kemasukan budaya sesat. Perebutan kuasa hanya merugikan kita. Muhasabah diri paling utama dalam menghadapi masalah ini. Saya tiba-tiba jadi berani dan bersemangat untuk membaiki kepincangan yang mungkin tidak saya sedari selama ini.

ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
Ogos 02, 2001

Mingguan Malaysia, 16 September 2001

No comments: