Wednesday, September 24, 2008

WACANA WARGA MERDEKA

KUSELURUHI wajahnya yang terlena di sisi. Jelas kelihatan keletihan yang dialami. Aku sendiri yang sedari tadi tidak dapat melelapkan mata, sesekali memandang sayu pada bundar wajahnya. Sungguh asyik menyambung mimpi yang terganggu sebentar tadi kerana menyapaku yang sedang memerhati.

Kami sama-sama di dalam sebuah perjalanan. Tepatnya, pengembaraan. Eksplorasi mencari diri. Mencari peradaban yang hilang. Berkelana mencari Tuhan.

“Barangsiapa yang mengenal Tuhannya, maka sesungguhnya dia telah mengenal dirinya.” Dia mula berfalsafah. Jalanya cukup lebar untukku.

Barangsiapa yang tidak mengenal dirinya maka dia tidak mengenal Tuhannya. “Tidakkah timbul paradoks antara keduanya?” Aku yang telah lama mencari jawapan kepada sebuah persoalan sufi sengaja memerangkapkan diriku dalam tebaran jalanya. Namun dia petah menjawab segala persoalan. Aku kalah dalam telahan.

Sejak hari itu kami bukan insan yang asing lagi. Perjalanan kami sehaluan. Cita-citanya ingin menjadi pemuisi agung. Aku yang telah lama melukis impian setinggi awan untuk menjadi sasterawan negara bagaikan mengantuk disorong bantal dengan pertemuan ini. Sewaktu hampir-hampir terlupa pada bait-bait puisi dan kecewa dengan hasil karyaku yang bagaikan tidak bergaram, dia metah tekun memberi dorongan. Kata-kata perangsang tidak pernah usak dititipkan padaku setiap kali kami berbincang tentang perkembangan sastera tanah air.

Kisah pertemuan kami bagai sudah diatur. Doaku agar dikurniakan seorang teman termakbul. Waima tidak seindah pertemuan dan segah persahabatan Jalaluddin Rumi dan Syamsuddin atau Syamsi At-Tabrizi, kami cukup memahami hati budi masing-masing. Dia yang perwatakannya seperti Syamsuddin, si pemadam api Jalaluddin Rumi, amat perlu bagi sikapku yang agak panas. Lantaran itulah kami terus kekal bersama.

“Seringkali sepanjang perjalanan yang jauh, kita tercicir sesuatu yang amat berharga dalam hidup. Pengorbanan masa adalah perlu jika kau ingin mengutipnya. Andai ingin diteruskan pula, engkau harus berkorban sesuatu yang metah berharga dalam hidupmu.” Dan dia tetap setia sebagai teman melawan arus, mengutip kembali sesuatu yang amat bernilai dalam hidupku. Nasib baik perjalananku tidak terlepas terlalu jauh. Kadangkala dia sendiri hampir lemas melawan arus yang deras.

Perjuangan merempuh arus memerlukan insan berhati waja. Istiqamah. Dan kekuatan itu sedang aku pelajari daripadanya. Serasi dengan sifat seninya, kelemahanku diatasi tanpa aku sendiri berasa malu untuk terus belajar. Jauh sekali sikapnya untuk menghenyakku dengan tapak kasut kemahirannya berkarya. Sebaliknya bakatku terus diasah. Dan ternyata dia berjaya menyalakan sumbu yang telah sedia ada dalam diriku. Dan aku pula bukanlah jenis kacang lupakan kulit. Kami meneruskan perjuangan yang tiada akhirnya; berjuang melalui tinta.

Bukan sekali dua tindakan kami diperkotak-katikkan. Tidak cukup dengan memperlekehkan hasrat nurani, mereka menuduh kami kandas pelajaran. Masakan anak muda lulusan sarjana sanggup menjadi penulis sepenuh masa. Menulis boleh dijadikan kerja sampingan. Mengapa tidak menulis selepas balik pejabat? Mana boleh sasterawan dikira pejuang?

Perjuangan memanipulasikan tenaga lebih besar maknanya dari menulis – perjuangan dengan titis darah dan air mata; sebagaimana yang dikorbankan nenek moyang untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah – perjuangan wira bangsa dengan senjata, mengejar musuh tanpa mempedulikan harga nyawa. Itulah perjuangan sebenar - atau sekurang-kurangnya berani mencabar kepimpinan negara dengan mengadakan demonstrasi; suatu langkah yang terang-terangan membantah kezaliman.

Bukankah menghapuskan tirani itu wajib? Betapa penakut anda, bukankah anda lulusan institusi pengajian tinggi? Oh, minta maaf, anda dibiayai oleh kerajaan – tidak patut anda menyerang orang yang memberi anda makan, bukan?

Aku yang cepat berasap telinga ingin sahaja mengajar mulut-mulut celupar itu. Namun kata-kata hikmat yang keluar dari mulutnya mematikan hasratku.

“Mereka bukan bercakap dari jiwa, tapi kejahilan yang membelenggu perasaan.” Caranya mendidik manusia mengkagumkan. Dia masih boleh bersabar. Dalam diam aku mengaku, dialah adiratna, bukan hanya fizikal, malah jiwanya.

“Insan seni hendaklah berperibadi mulia. Jika tingkahlakunya sama sahaja dengan manusia yang tidak bertamadun, apa guna kita memilih menjadi penulis. Maksudku, penulis yang membawa mesej duniawi dan ukhrawi, bukannya penulis upahan, ataupun penulis yang menangguk di air keruh.” Aku yang hampir tewas oleh kemarahanku sebentar tadi terkedu. Memang betul hujahnya.

“Manusia mempunyai istilah sendiri dalam mentafsirkan perjuangan. Para sasterawan menggunakan mata pena dan dakwat sebagai alat perjuangan. Dalam perjuangan mereka, tiada musuh atau lawan untuk diserang. Hanya sasaran. Iaitu masyarakat. Cara berjuang pula bukan dengan mencerca atau menghentam. Membedil, menembak jauh sekali.”

Dia berpaling ke arah sekelompok remaja yang riuh di jihat kiri, sedang bergurau senda bersama pasangan, raba-meraba tanpa segan silu. Keriuhan Pasar Budaya sedikit sebanyak mengganggu perbualan kami. Ada riak tidak senang terpamer di rona wajahnya menyaksikan perlakuan itu.

Aku faham apa yang sedang bermain di fikirannya dan menyambung perbualan yang terencat, “Negara merdeka kita, hasil titik peluh, darah dan air mata pejuang negara rupanya sedang dijajah secara perlahan – tanpa terkesan oleh mata kasar – oleh penjajahan minda dan perang saraf. Licik sekali penjajah zaman sekarang!”

“Jika kita tahu kita sedang dijajah, itu masih beruntung. Paling membimbangkan jika kita terus alpa dan menganggap sikap sedemikian adalah lambang kemodenan dan pembangunan; kerana ramai yang menganggap segala bentuk kebebasan itulah yang dinamakan kemerdekaan. Aku melihat penjajah akan menakluk kita dengan lebih senang lagi dengan cara ini – membantutkan pertumbuhan generasi pelapis kepimpinan negara dengan candu keseronokan, hedonisme – mengkhayalkan mereka tanpa senjata canggih. Dan kita sibuk menyediakan pelbagai kelengkapan perang, walhal apa yang kita akan tembak? Kerana virus yang akan kita bedil tidak kita nampak.”

Aku yang hanya mendengar, menanti kata seterusnya. “Masyarakat kita sudah jauh menyimpang. Perjuangan yang mereka nampak hanyalah perjuangan secara fizikal. Mereka mahukan perubahan drastik. Bagi mereka, dengan melaungkan takbir dan slogan, masyarakat akan berubah. Kadangkala, usaha bagi kepentingan individu yang bertopengkan agama turut bercampur dalam perjuangan mereka. Akhirnya masyarakat jadi tunggang terbalik.” Luahannya itu kukira telah menyelinap masuk ke dalam kain politik.

“Adakah maksudmu kita tidak payah berpolitik – berpilihan raya dan mengikut sistem demokrasi negara?” Maksudnya masih ilam-ilam pada pemahamanku lantaran fikiranku masih terlindung daripada melihat gagasan yang ingin diterapkan.

“Engkau imbas kembali jawapan Ayatullah Ruhullah Imam Khomeini sewaktu dia ditanya tentang bentuk perjuangan yang akan dilaksanakan olehnya - sejurus menjejakkan kaki di Teheran pada 1 Februari 1979 – setelah 15 tahun hidup dalam pembuangan di luar negeri – dia menyatakan bahawa dengan mata pena sahajalah dia akan membangunkan negaranya, dan pengikutnya adalah janin-janin di dalam perut ibu masing-masing, yang akan mendokong perjuangannya.”

“Maksudnya melalui revolusi kita boleh merungkai penjajahan, begitu?” Aku masih mencari kerasionalan daripada asosiasi yang dibentangkan.

“Ke situ pula, maksud aku pendidikan generasi amat penting untuk sesebuah negara, pembentukan bermula daripada rebung - tunas yang akan menjadi rebung! Sepuluh orang belia bertakwa dan bijaksana sudah cukup untuk menakluk dunia sebagaimana kata sahabat Nabi s.a.w.”

“Bukannya dengan sejuta demonstrator, bukan!” Sindiranku memuntahkan ketawanya. “Ya,ya – juga bukan dengan tulisan yang mengampu – seperti para demagog yang membodek pemerintah untuk habuan dunia,” spontan dia membalas.

“Kita juga harus ingat, secara tidak langsung, dunia sasterawan juga penuh tipu helah politik. Malah ramai yang menulis untuk pihak-pihak tertentu. Tidak kurang pula yang sudah bertukar sifat menjadi seperti sumpah-sumpah, banyak tangan. Sebelah tangan menulis perihal mendidik bangsa manakala sebelah tangan lagi membantai usaha para penulis lain yang ingin mendidik bangsa. Tangan yang selebihnya digunakan untuk menulis secara upahan.” Hatiku digeletek, namun masih cuba menahan ketawa melihat keseriusannya.

Tidak kunafikan kebenaran kata-katanya. Apatah lagi untuk menyanggah pendapatnya. Dalam bahasa yang adiwarna, terselit falsafah mulia. Mungkin kerana berpegang kepada matlamat yang unggul, dia terus hidup, terus menulis biarpun ramai yang tidak setuju dengan langgamnya. Apatah lagi perjuangannya itu tidak pernah diiktiraf oleh keluarganya sendiri, perjuangan yang tidak tersenarai dalam siri-siri perjuangan mereka. Namun, dia unggul dengan caranya tersendiri.

Hampir tiba ke destinasi, aku diterpa gelisah. Merangka ayat-ayat yang paling baik untuk kupujuk keluarganya. Paling utama ketua keluarganya yang metah tebal dengan aliran perjuangan berbentuk kepartian. Aku cuba menepis prejudis yang ingin bertapak.

Kebenaran itu amat sukar untuk dimanifestasikan. Perjuangan untuk mencari kebenaran bukanlah semudah memangkah kertas undian. Apatah lagi perjuangan yang bakal kami suarakan nanti amat bertentangan dengan pendirian ayahnya. Aku cuba membayangkan kemungkinan yang bakal kami hadapi. Apakah cara terbaik untuk sahabatku ini meyakinkan ayahnya tentang perjuangan yang telah dipilih.

Bas berhenti menurunkan penumpang. Aku berpaling melihatnya. Masih lena. Lima minit kemudian aku terpaksa membangunkannya. Aku mendahului langkah menuruni tangga bas. Debu-debu berterbangan sebaik sahaja bas meninggalkan kami. Ada habuk singgah ke dalam mataku. Amat pedih. Aku mengenyeh-genyeh.

Dia kulihat tersenyum penuh makna. Kami terpaksa melangkah lebih kurang setengah kilometer untuk sampai ke rumahnya. Dalam perjalanan itulah aku semacam beroleh kekuatan.

“Perjuangan jika tidak diwarnai kesengsaraan dan kejerihpayahan, bukanlah perjuangan yang sebenar. Usah mengharapkan bentangan permaidani merah sepanjang perjalanan. Perjuangan manusia agung dahulu pun ditaburi onak dan duri.” Wajah Mat Kilau, Tok Janggut, Syed Qutb, Hassan Al-Banna menerpa dalam benakku. Terbayang sebatang tubuh tergantung dan darah membuak dari kepala Hasan Al-Banna.

“Kadangkala kita tidak dapat mengalihkan halangan yang sengaja dilempar ke tengah jalan, kerana sirah membuktikan perjuangan menuntut pengorbanan – sama seperti untuk melahirkan karya agung. Pada masa itulah kita harus memijaknya. Kuasa jiwa yang kental menjadi penahan segala pedih.” Sempat lagi dia menyelit amanahnya.

Sebelum sempat aku bertanya dia menyambung, “Penjara adalah salah satu tempat yang melahirkan ramai sasterawan agung, pemimpin negara dan mujaddid.”

“Ya, selidiklah latar belakang mereka yang pernah melahirkan karya besar seperti Syed Qutb, Ibnu Taimiyyah, Nelson Mandela dan para pejuang kontemporari. Kebanyakannya pernah menginap di penjara, tetapi bukan kerana jenayah, tetapi menzahirkan kebenaran.” Aku terlopong mendengar nama-nama yang disebut, benak pula keras bekerja, mengimbas kembali perjalanan hidup mereka sebelum terkenal di mata dunia.

“Apakata kalau keluargamu tidak dapat menerima rasional yang dibentangkan?” Aku menduga.

“Aku tetap yakin kebenaran akan timbul selama manapun ia diselam. Dan Tuhan tidak akan menyelamkan hambanya ke dasar laut yang dalam untuk melemaskannya, tetapi untuk mengujinya. Maka, penulis semestinya berjiwa besar.”

Kami meneruskan perjalanan yang hampir tiba. Walaupun atap rumahnya sudah kelihatan, perjalanan kami dalam perjuangan mendidik bangsa dan warga masih belum selesai. Dan kami sedia menerima segala kemungkinan yang hadir sepanjang meneruskan perjuangan – memerdekakan tanah air tercinta dari “ghuzwatul-fikr” (perang pemikiran) yang melanda negara. Serangan yang tidak menggunakan senjata, peluru malah kereta kebal, tetapi peperangan yang mematikan warga sesebuah negara dengan memusnahkan keperibadian. Serangan tanpa menumpahkan darah, tetapi virus menanggalkan agama daripada pengikutnya – cukup untuk merebahkan sebuah tamadun dan peradaban sesebuah negara.

ROZAIS AL-ANAMY
Pasir Mas
Mac 22, 2001

Jendela Timur, DBPWT, April-Ogos 2001

No comments: