Wednesday, September 24, 2008

RENYAI DI RENDEZVOUS

I

SEGALANYA bermula setelah kami berselisih pendapat dan saya bertindak meninggalkannya tanpa memberi peluang dan ruang untuknya menghabiskan ayat pun.

“Sedalam manapun kebenaran diselam, akhirnya…” Mulutnya masih belum terkatup sewaktu saya berpaling pergi.

II

UDARA nyaman di sekitar rendezvous tercemar oleh luapan haba kemarahan yang menyengat raut wajah, dan sempat saya perhatikan dia merenung cuping telinga saya yang sedang bergerak-gerak.

Saya sakit hati mendengar komennya seputar dunia sastera yang baru dijinakinya tidak sampai setahun; itu pun kerana perangsang dan dorongan saya yang tidak pernah putus semenjak dia menyuarakan minat untuk menulis. Biarpun tidak pernah terpacul dari mulutnya mengangkat saya setaraf pemenang Hadiah Nobel, saya tahu dia amat mengkagumi tulisan saya, dan saya sekaligus; dan kerana itulah dia mula berjinak dengan bidang sastera.

Tiba-tiba kini dia pula berhujah dengan saya, seolah-olah dia alim sastera, dan saya pula perlu menurut katanya. Mengingatkan bagaimana susahnya saya mengedit karya sulungnya, sehinggakan saya terpaksa mengetepikan karya sendiri, saya semakin pijar hati. Ingin saja saya menampar mulutnya, tetapi mengingatkan bukan hanya kami berdua di situ, saya mengilas tangan ke belakang, mengepal penumbuk. Sempat saya perhatikan beberapa pengunjung di meja bersebelahan tersenyum sinis memandang saya.

“Itu bukan ujaranku. Aku hanya memindahkan kata itu dari mulut Muhammad Jaluddin al-Qusimi dalam mendefinisikan sasterawan petualang bagi menjelaskan maksud al-Quran tentang ciri sasterawan tersebut. Dia tunduk dari terus menentang tenungan saya.

III

MENGINGATKAN kata-kata yang menyengat hati saya sebentar tadi, saya menjadi geram. Anak batu di sepanjang jalan, saya sepak tanpa haluan, sembari mulut terkumat-kamit bagai tuk dalang membaca mantera; menyeranah manusia yang baru tadi saya tanggalkan gelaran sebagai sahabat setia. Bagi saya dia sudah mati, malah saya tidak mahu menerima kunjungan rohnya pun.

Saya tidak salah, kerana apa yang saya tulis itu adalah kenyataan. Tidak sekadar menukilkan pendapat individu, saya merujuk komentar sebilangan besar rakan yang tidak bersetuju dengan langgam penulisan serta pemikiran sepertinya, namun tidak berani menyuarakan pandangan; hanya berkokok di belakang; menjolok saya agar menjadi hero, melabrak rakan yang telah beralih arah itu melalui media; supaya tiada lagi penulis yang berani menujuk belang sebagai alim sastera, atau bagi mereka yang berlagak pandai membawa angin perubahan sastera tanah air dengan karya falsafi yang menyesak benak.

Saya tidak menyesal memadamkan namanya dari senarai penyokong saya. Tiada gunanya menyimpan teman lancut sepertinya. Saya juga tidak terkejut menerima perkara ini kerana saya sudah menjangkakannya. Hujahnya mutakhir ini tambah membuktikan jangkaan saya; saya syak dia mengalami kontaminasi pemikiran.

Apa muslihatnya bercerita tentang perisytiharan Abu Hasan al-Asyaari keluar daripada Muktazilah; dan berpendapat itu adalah suatu keadilan dan kebenaran yang diputuskan oleh Abu Hasan, suatu tindakan yang memerlukan kekuatan yang tidak sedikit; dan yang pasti Abu Hasan adalah contoh pengikut yang perlu diteladani oleh semua ahli persatuan politik atau pengikut kumpulan tertentu dalam menyuarakan kebenaran.

Tidak semua guru itu betul dan tidak semua murid itu salah, katanya lagi. Masakan Abu Hasan sanggup menjelungkap daripada ikatan gurunya Abu Ali al-Jubbai hanya kerana satu soalan yang tidak dapat dijawabnya; atau beliau tidak sanggup lagi menerima pemikiran yang hanya menggunakan logik - tidakkah itu bukan hanya satu soalan; bahkan ia bertitik tolak dari pemikiran, dia membidas saya.

Semenjak dia mengutarakan persoalan itulah saya mula rasakan bahang pertembungan pemikiran antara kami akan membakar hubungan ini. Kalau dia sanggup menikam guru dari belakang, saya tidak was-was membunuh seorang pengikut secara berdepan. Mata pena lebih tajam dari mata pedang!

IV

TIADA reaksi terhadap rencana polemik yang saya lontarkan dalam media. Barangkali analogi saya tidak cukup berkesan atau memang dia sendiri tidak mudah kesasar menerima kritikan. Rencana yang menghentam penulis yang suka memutar-belit minda khalayak, menggunakan bahasa yang memualkan, penuh dengan jargon yang sukar difahami dalam karya itu sebenarnya ditujukan hanya untuk dia. Insinuasi itu hanya untuk dia sebenarnya, dan saya tahu dia dapat mengagaknya.

Saya benci metah dengan karya sebegini. Tulis saya lagi - tiga suku khalayak dalam negara enggan membaca karya berbentuk begini kerana faktor bahasa dan mereka yang suka menghasilkannya ialah manusia melalaikan, membodohkan pembaca melalui mainan kata. Penulis sebegini gila bahasa; pemain bahasa yang tidak punyai matlamat dalam berkarya.

Tulisan seumpama ini membenarkan kajian Sigmund Freud – faktor utama yang mendesak proses imaginasi ialah hasrat yang tidak pernah puas dalam serba tindakan. Lalu berimaginasi menenggelami diri dalam khayalan dan fantasi, mencipta sebuah dunia rekaan dalam bentuk seni yang khusus iaitu karya kesusasteraan terutamanya novel, cerpen dan sajak.

V

SAYA masih mengunjungi rendezvous tempat perpisahan kami itu, dan semestinya bukan lagi bertemankannya. Saya lebih suka menyendiri kerana tidak lagi percayakan sebarang teman. Semenjak apa yang berlaku di antara kami berdua, pengikut lain juga telah saya sisihkan. Mereka itu pemusnah hidup saya; menghasut saya berpolemik, tetapi menyepi saat saya dibuli di media; memuji karya saya yang kononnya layak memenangi Hadiah Nobel atau Pullitzer atau Booker atau Neustadt Prize atau Dublin Award atau Hadiah Ramon Magsaysay; mengakui pemikiran saya setara Tolstoy, Dostoevsky, Geothe, Sartre, Camus, Faulkner dan berpuluh nama yang saya sendiri tidak pernah mendengarnya, namun di belakang saya mereka itulah yang mengutuk tulisan saya – karya saya malah tidak layak meraih hadiah tempatan pun. Tidak untung saya mempunyai pengikut seperti itu dan semuanya telah saya humbankan ke dalam gaung kebinasaan. Bukan susah mematikan watak seperti itu, cukup dengan satu rencana bertajuk “Penulis promosi tidak mampu bertahan melawan arus sastera” atau “Penulis tenggekan pupus sekerat jalan”.

Dua tiga bulan, beberapa nama yang sentiasa tertera di ruangan sastera akhbar tempatan sebelum ini tidak lagi muncul. Saya terkekeh-kekeh memikirkan kebenaran rumusan saya. Saya membayangkan pengikut yang jimbam itu datang penuh hiba memohon ampun, berteleku di kaki saya meminta nyawa mereka dalam jagat sastera.

VI

SAYA melupakan dunia sastera beberapa purnama dan beruzlah mencari kekuatan bagi mengukuhkan jati diri setelah berjaya mengkharab pengikut yang hanya bergantung sumber kepada saya. Hari pertama saya membelek lembaran akhbar, mata saya tertancap pada tajuk sebuah rencana yang menarik perhatian.

Darah merah menyerbu ke muka, saya tahu rencana itu menyelar saya. Catatan nama penulisnya tambah menebalkan kulit muka saya, seolah tertampal kulit khinzir. Nasib baik tiada sesiapa yang dikenali di sekitar rendezvous itu. Tulisan seputar karya underground itu, saya pasti ditujukan kepada saya. Menurutnya, tulisan sebegitu memaparkan jiwa neurotik, mengeksplotasi bidang sastera sebagai medan mencarut dan memperihalkan perkara dalam kain; atau lebih tepat berselindung di sebalik poetic license untuk menyelitkan adegan erotik.

Dan lagi, dia menyelar penulis sebegini adalah penyebab sirnanya kemuliaan dunia sastera yang dimartabatkan sebagai antara lima bidang yang dipilih untuk menerima Hadiah Nobel. Hujahnya lagi, karya seumpama ini adalah petanda bidang sastera negara terlempar ke zaman jahiliah.

Bukankah begitu, jika apa yang ditulis adalah tentang kejelitaan wanita yang dilacuri; tentang betapa nikmatnya meniduri seorang gadis yang lehernya umpama leher seekor kijang, yang perutnya ramping dan dadanya yang putih bagai kaca, tentang barang sulitnya yang begitu-begini. Adakah karya seperti ini yang mahu diangkat sebagai karya agung bukti ketamadunan sebuah bangsa? Saya membayangkan dia senyum sinis melihat saya berkerut kening mencari jawapan.

Apakah nilai yang mahu diserlahkan oleh penulis melalui karya seumpama itu selain mencerminkan kebejatan dalam masyarakat dan dunia penulis itu sendiri. Sama ada anda memilih untuk menghidupkan watak Imra’ al-Qais yang penuh kelucahan karyanya itu, atau anda lebih senang mencontohi Zuhair bin Abi Salma biarpun kedudukannya adalah kedua selepas Imra’ al-Qais dalam golongan al-Mu’allaqat?

Gantinama ‘anda’ yang digunakan itu terpanah ke muka saya. Siapa lagi yang dimaksudkannya jika tidak saya? Bukankah dia telah memutuskan ikatan antara saya dengannya sewaktu dia menuturkan tentang kebenaran yang tenggelam suatu ketika dulu, ketika meja serta kerusi di rendezvous itu menjadi saksi ujarannya itu?

VII

SAYA hampir usai menyiapkan perenggan terakhir karya masterpiece yang hampir sedekad saya tukangi, sewaktu saya tiba-tiba teringat kata seorang manusia yang pernah bergelar sahabat, yang pernah saya seranahinya, yang pernah saya haramkan bertemu muka dengannya.

Sasterawan seharusnya menulis tentang kebenaran dan keadilan. Berhentilah menulis jika sekadar memaparkan karya najis. Tiada suatu bangsa bertamadun pun yang mengangkat karya yang jauh sekali mulia itu sebagai masterpiece yang memperihalkan bangsa mereka, kecuali puak jahiliah.

Saya menutup telinga dengan telunjuk. Suaranya pun saya haramkan menyentuh gegendang telinga saya. Mengapa suara itu datang pada waktu saya mahu menyiapkan karya yang bakal menjadi tagan jati diri saya di persada sastera tanah air? Adakah dia telah menyihir saya agar tidak lagi dapat menulis, atau sengaja dia jampikan saya supaya tulisan saya tidak lagi menghiasi dada akhbar? Setankah atau manusia dia itu, tidak cukup mengutuk karya, saya pula diserang voodoo.

Semakin kemas saya menyumbat telinga dengan jari, semakin kuat pula kata itu bernyanyian di telinga saya. Saya bertempik menghalau suara itu, menerajang dinding sembari menyeranah namanya; namun suara itu bertambah kuat. Jika tahu di mana dia berada kini, pasti saya tidak lengah lagi menyerangnya; supaya dia mengutip kembali mantera dan nyanyian yang diutuskannya untuk mengganggu. Dada sesak menahan kemarahan, kepala tiba-tiba pening, seolah diterpa komplikasi dan saya terseradung ke penjuru meja. Segalanya gelap dan suara itu hilang begitu saja.

VIII

“AKU pasti, kau sasterawan Muslim tidak lupa kepada sabda Nabi Muhammad -Kutukilah mereka, Jibril bersama anda! Aku tidak salah dalam hal ini. Bukankah keadilan itu telah dinyatakan sendiri daripada perintah Muhammad supaya sasterawan Islam membalas cercaanmu itu! Salahkah aku mengaplikasi ajaran tersebut?”

“Habis, aku ini kafir bagimu?” tergegap saya membalas. Dia, saya lihat pucat mukanya, mengeleng.

“Aku tidak pernah menuduhmu sedemikian. Aku hanya menulis apa yang patut untuk membela diriku. Aku tidak pernah melampaui batas, kata dibalas kata.”

Perselisihan yang terpercik daripada pendapat yang tidak selari tentang nilai imaginasi dan kreativiti itu rupanya titik permulaan saya kehilangan teman. Ketegaran saya membela freedom of expression sebagai dasar imaginasi dan kreativiti ditolak mentah olehnya.

Bidasnya, sebuah karya dikira agung jika daya kreativitinya berada di bawah sinaran wahyu, bukan sekadar memuaskan pancaindera rasa dan naluri seni; malah ia bertanggungjawab memimpin rohani ke arah keimanan, ketakwaan dan amal salih; bukan mendorong pembaca ke arah kemaksiatan. Karya bukanlah medan untuk kita mempamerkan kemahiran kita tentang tubuh wanita, tentang marijuana, tentang takhta atau harta atau perihal pengetahuan penulis yang arif tentang pelbagai jenis dan rasa arak, sehingga menghafalnya satu persatu.

Salahkah aku bertasybib atau berghazal mengolah kecantikan yang dikurniakan Tuhan kepada kekasihku, berhamasah dengan kemenangan puakku menggondol anugerah negara dalam bidang sastera, atau sumbangkah madahku dalam memuji kehebatan seorang penulis yang aku kagumi? Tidak juga salah fikirku, jika aku menulis ratha’ sebagai kenangan ke atas jasa penulis agung seperti Dostoevsky atas sumbangannya terhadap kesusasteraan; atau aku tidak layak menulis wasfun tentang pengembaraanku di bumi Rusia untuk ketemu dengan Boris Parnickel; juga hinakah aku membidas lawan yang sentiasa mencari kesalahanku dengan hija’. Jika itu semua merupakan kesalahan bagimu, aku berjanji akan menyiapkan serangkaian i’tizar untukmu. Ingat itu janjiku!

Jiwa saya lega setelah dapat menghamburkan kekesalan sebagai balasan kutukannya terhadap karya saya; sehinggakan saya termengah dan tercungap kesesakan nafas. Saya menyangka dia akan meminta maaf atas kesalahannya, mengakui bukan dia seorang alim sastera, malah saya lebih alim darinya sehingga dapat menghafal segala jenis dan motif syair Arab.

Dia membatukan diri, masih tertunduk dan menguis butiran pasir yang lekat di kasutnya. Ilmu yang diberikan kepada kita umpama butir pasir ini, dia masih belum mengangkat mukanya. Inilah contoh sifat ketuhanan yang diberikan kepada kita, roh yang punya kecintaan kepada kebenaran, keadilan dan kebaikan. Sanggupkah kau menukarnya demi keagungan namamu dengan menghasilkan karya sebegitu?

Dia hilang tiba-tiba setelah menghabiskan ayat tersebut. Suasana hening seketika, bayu laut berpuput lembut dan awan secara perlahan bertukar suram. Saya masih termangu memikirkan ujarannya tadi. Tiba-tiba saya berasa sayu, pilu sedih dan gundah yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Mungkinkah saya akan mati, kerana kata orang, perasaan sebegitu yang dialami secara tiba-tiba adalah antara alamat kematian?

Memikirkan kematian, saya menjadi takut; tidak pernah pula mengandaikan yang saya akan mati dalam usia yang masih belia begini. Saya teringat adegan lucah yang saya lakarkan secara terperinci dalam karya berpandukan pengalaman saya, juga pemikiran saya yang bakal membawa anjakan paradigma pemikiran baru sasterawan di negara saya serta tokoh pemikir agung barat yang saya kagumi, yang saya pinjam katanya dan saya jadikannya idola. Semuanya tertayang di depan saya, bersilih ganti dan berlegar di sekeliling saya; bergabung menjadi satu, bergumpal-gumpal menghempap kepala. Sebelum saya terjelepuk ke tanah, sempat dirasa dingin titisan hujan renyai hinggap ke pipi.

IX

Saya disedarkan oleh titisan air terpercik ke muka. Saya buka mata; rupanya saya masih berada di bilik. Di sisi, skrin komputer mempamerkan wajah Dostoevsky yang telah saya ubah dengan teknik super imposed, sedang tersenyum – gambar asalnya beliau sedang tersenyum pahit, bersilih ganti dengan beberapa gambar sasterawan barat lain membentuk screen saver. Butiran jernih dari kopi yang sudah cair aisnya menitik dari plastik yang tergantung di tepi kerusi ke atas lantai tempat saya terperosok tadi.

Saya bangun perlahan, menekan belikat yang kebas. Azan maghrib berkumandang di masjid Putrajaya. Saya menghala ke jendela, merenung alam yang yang kelam; lampu berkilauan masih tidak dapat menggantikan fungsi bulan di langit yang baru saja menurunkan renyainya siang tadi. Tidak semena-mena saya diserang rindu yang sarat kepada sahabat yang sudah lama tidak saya ketemui itu.

X

Usai menukangi bab terakhir karya masterpiece, saya bergegas ke rendezvous. Saya tidak mahu terlewat sesaat pun kerana bagi saya; tiada peluang kali kedua untuk tanggapan pertama; apatah lagi penerbit yang saya akan temui ini seorang yang amat mementingkan masa. Itulah yang diberitahu rakan penulis yang pernah menerbitkan buku dengan penerbitannya. Dan jangan sekali menyusupkan unsur pornografi melalui lesen sastera, pesan seorang rakan yang baru saya temui.

Saya yakin dia setuju menerbitkan karya saya ini; malah kalau dia tidak mahu menerbitkannya pun, saya pasrah. Mungkin itu balasan kepada dosa saya terhadap dunia sastera, walaupun saya mungkin kecewa setelah masterpiece pertama telah saya kuburkan demi mencari sebuah keadilan dalam berkarya.

Di jihat kanan ruang rendezvous, lelaki itu sedang menulis sesuatu di kertas tisu sewaktu saya tercegat di depannya. Dia menjawab salam sembari mendongak, air mukanya dapat saya perhatikan sedikit berubah. Dan saya pula terkedu, di bawah sedar, menghulurkan manuskrip tanpa dipinta.

“Namamu…,” saya hendak bertanya sesuatu sewaktu titis renyai di rendezvous menyapa wajah. Dia senyum lalu pergi bersama manuskrip saya. Saya terkesiap, tercegat dalam renyai, seminit kemudian menghanggau gumpalan tisu yang hampir basah itu - dakwatnya sudah kembang. Saya masih dapat membaca tulisan tertera; yang cukup saya kenali - maaf kerana tidak dapat menunggu… Zuhair. Nama Islamnya itu menggamit kenangan pertelingkahan kami dulu.

ROZAIS AL-ANAMY
Pohon Buloh, Pasir Mas
September 05, 2002

* Berita Minggu, 13 Oktober 2002
* Antologi Karya Sasterawan 2005, PENA, 2005
* Hadiah Sastera: Kategori Eceran (Cerpen),
Anugerah Sastera Negeri Kelantan Darul Naim 2003.

No comments: