Wednesday, September 24, 2008

PUTERI DUNIA

TANGAN yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Siapa tidak pernah mendengarnya? Tentu sekali. Sebilangan besar wanita dunia bersetuju. Bangga. Kebanyakan para lelaki mencebik.

“Itu hanya perumpamaan. Tidak lebih daripada itu.” Lelaki tetap dengan egonya.

“Masakan kuasa wanita sebegitu besar.” Masih lagi memperlekehkan.

Itu hanya sebahagian komen spontan setiap kali Dia turun dari pentas pidato di dalam setiap pertemuan anjuran Pertubuhan Wanita Sedunia.

Segolongan besar wanita di seluruh jagat tahu pernyataan keramat itu. Namun Dia tetap menekankan selalu, kerana jika sekadar mengetahui, tidak memadai. “Kebenaran hanya terserlah setelah terbukti hasilnya. Jika tidak, ia tidak lebih dari satu ayat sahaja. Apa yang mahu dibanggakan?”

“Jika wanita cuma menyerah diri kepada takdir atau membiarkan lelaki menentukan nasibnya, mampukah menggoncang dunia? Seperti pena yang lebih tajam dari mata pedang, begitu jugalah tangan wanita.”

Dia benar-benar mahu memegang peranan itu. Wanita penggoncang dunia. Biar seluruh alam kenal siapa Dia yang sebenarnya. Kekuatan yang terhasil daripada kekentalan jiwa. Dia akan buktikan, wanita boleh memporak-perandakan bumi sekiranya Dia mahu. Sebaliknya di tangan wanita juga manusia dan kehidupan boleh jadi aman.

“Nampaknya haiwan terbaik semesta semakin haru-biru. Sudah ada tanda-tanda akan kembali ke zaman jahiliah. Wanita dijadikan hamba. Hamba kepada lelaki dayus. Senang-senang sahaja membeli abdi dengan sebuah akad yang sah. Gelaran isteri dijadikan pengikat untuk berkhidmat kepada manusia lelaki. Engkar-nusuz. Boleh diberi talak. Para isteri yang jahil menggigit jari.Tersepit antara ketaatan dan rasa diperkosakan kepada taraf kemanusiaan sejati. Ramai yang mengambil jalan mendiamkan diri.”

Dia kesal dengan sikap sebilangan besar wanita Malaysia. Rasa terkilan itu diluahkan ketika majlis penutup kursus perkahwinan anjuran pertubuhannya.

Hati Dia makin sakit dengan penyakit masyarakat. Kesalkan sikap sesetengah ‘wanita batu’. Sanggup menggadai maruah, kononnya bagi menjaga hati suami, mertua dan macam-macam alasan remeh. Tidak kurang pula yang sengaja memekak-tulikan saranan-saranan pemimpin dari kaum sejenis agar bangun mengadu penderaan mental dan fizikal dan menyuarakan hak.

Atas alasan derhaka, mereka undur diri. Para lelaki juga pandai menggertak. Talak, poligami, ingkar dan bermacam keistimewaan mereka dijadikan senjata.

“Wanita sebegini tidak mampu menggoncang dunia.” Dia menjelaskan kepada cucu cicit Hawa yang khusyuk mendengar ceramahnya.Dalam setiap pidato, ceramah, dan ucapannya, Dia sentiasa menyelitkan kisah-kisah teladan wanita dunia.

“Tiadakah wanita seberani Waris Dirie yang mahu bangkit?” Dia memancing pendengar.

“Siapa itu?” Khalayak memandang kiri-kanan. Termangu.

Mungkin ada yang tahu. Dia senyum. “Supermodel yang pernah terdera oleh tradisi masyarakat Somalia.”

Suasana gamat sebentar.

“Jika dibandingkan dengan wanita Asia Tenggara, konflik dalaman Waris Dirie lebih hebat. Dilahirkan dalam masyarakat yang ortodok dan terbelenggu oleh tradisi kuno yang mengamalkan mutilasi alat kelamin. Bayangkan betapa peritnya kehidupan yang dialami setelah klitoris, labia minora dan sebahagian besar labia majora dipotong tanpa sebarang bius. Kemudian dijahit dengan jarum tidak disteril oleh bidan-bidan kampung yang tidak tahu langsung kaedah perubatan.”

Para wanita mengerutkan dahi. Ngilu.

Dia terbayang peranan wanita yang dianggap tulang belakang Afrika. Melakukan semua kerja, tetapi pada masa yang sama tidak berkuasa membuat keputusan. Itulah fenomena universal di mana-mana jua.

“Tidak terkecuali Waris. Setelah mengalami keperitan hidup oleh belenggu tradisi, Waris Dirie berjaya bangkit dari kehidupan sebegitu rupa. Dia berjaya mengubah hidupnya. Bermula dengan sebuah pelarian, atas usaha dan pilihannya, Waris menjadi pembantu rumah. Kemudian dibawa berhijrah oleh majikannnya.

“Berkat usaha gigih, Waris akhirnya berjaya sebagai model ternama seganding dengan Cindy Crawford, Claudia Schiffer dan Lauren Hutton. Dia sendiri mengubah nasib hidupnya.”

Beberapa orang anggota polis lelaki tersenyum sinis mendengar kata-kata Dia. Masih sempat memasang telinga sambil menjalankan tugas kawalan. Bimbang juga perkumpulan itu mencetuskan huru-hara.

“Dan Waris tidak mahu kepahitan hidup yang dirasainya turut merantai bangsanya. Misinya berjaya setelah Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu sedia bekerjasama membanteras mutilasi yang diamalkan 28 negeri di benua Afrika.”

“Fenomena ini juga tidak kurang diamalkan di Eropah dan Amerika, negara yang ramai dihuni imigran Afrika. Keberanian Waris berjaya menyekat lebih ramai mangsa yang sebelum ini melibatkan penderitaan 130 juta kanak-kanak dan wanita. Dua juta kanak-kanak menanggung risiko dan mangsa yang terkorban hasil perbuatan di luar peri kemanusiaan itu mencecah 6,000 orang sehari.”

Satu pernyataan sedih menggamit deria. “Tidak pernah saya tahu sebelum ini. Tidak sangka ramai sekali yang terkorban”, seorang wanita berbisik kepada teman di sebelah.

“Bayangkan jika Waris Dirie itu wanita pendek akal. Dia juga akan menjadi mangsa keadaan. Sebaliknya, Waris Dirie adalah berlian yang terhasil daripada tekanan dan asakan batu-batan kehidupan. Dan tekanan itulah yang menjadikan dirinya bermutu.” Dia mengakhiri ucapannya dalam perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia di PWTC pada 25 Ogos 2001.

Sewaktu diajukan cerita Waris Dirie kepada masyarakat, Dia mendapat tindakbalas yang menggalakkan daripada media. Segolongan lelaki menuduh dia sengaja mereka-reka cerita sebagai umpan menarik penyokong. Dia tidak peduli. Dia tidak kira digelar feminist. Bahkan karya-karya feminismenya dicerca habis-habisan pun tidak melemahkan semangatnya.

Tugas Dia menyampaikan kebenaran. Membongkar kepincangan masyarakat. Menyedarkan kelalaian para lelaki dan masyarakat yang sudah lama alpa dengan unsur-unsur jahiliah yang semakin bermaharajela di negaranya.

Dia pernah cuba meminta sokongan lelaki yang sanggup memperjuangkan nasib kaumnya yang semakin hari tertindas di bumi sendiri. Namun usahanya dibakul sampahkan.

“Anda feminist pun masih mahu bergantung kepada lelaki. Bukankah anda tidak memerlukan lelaki dalam hidup?” Tampak sekali kejahilan dalam memahami maksud perjuangan wanita. Sejak hari itu Dia berkasam. Usaha murni itu akan dilakukannya tanpa pertolongan lelaki.

Mutakhir, kisah kegigihan Edna Adan Ismail dibangkitkan dalam perhimpunan dan pertemuan anjuran kelab dan pertubuhan wanita. Wanita Somalia yang tetap bersemangat dengan matlamatnya tanpa sebarang pertolongan. Edna sudah 40 tahun berjuang mendapatkan hak wanita Somaliland. Empat puluh tahun. Dan kini umurnya menjangkau 60 tahun.

Apakah dengan cemuhan yang sedikit sudah mematahkan semangat Dia? Tidak. Dia cuba mengikuti benang-benang ketabahan wanita-wanita seluruh negara di jagat raya. Daripada kekuatan itu Dia menanamkan pula kegigihan dalam jiwa para wanita di negaranya sendiri.

“Jika Edna, dalam usia mencecah penghujung masih tegar membina hospital bersalin pertama di wilayah barat Selatan Somaliland, apa kurangnya kita? Tenaga masih banyak. Bukan sedikit usaha yang telah dilakukan Edna. Beliau layak menjadi bidan wanita pertama dari negara sendiri tetapi menerima pengiktirafannya di Britain. Dan beliau adalah penerima pertama di Somalia bagi anugerah itu. Sanggup pula menjadi pemecah adat di bumi kelahiran apabila beliau mendapat lesen memandu pada 1991.”

Dia membuka kisah hidup Edna sebagai pengajaran kepada khalayak, seorang ibu tunggal yang dicerai kerana mahu menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Suami wanita itu tidak mahu pendidikan isteri melebihi pendidikannya sendiri.

“Wanita jangan terlalu angkuh. Mereka tetap memerlukan lelaki dalam hidup. Adat resam telah menggariskan. Wanita, setinggi mana pun pelajarannya, jawatannya, ke ceruk dapur juga tempatnya.”

Suami kepada ibu tunggal yang pernah menjadi pelanggannya datang menyerangnya di pejabat. Lelaki yang tidak pernah tidak membangkang usaha Dia. Matanya penuh kebencian menjegil pada Dia. Apa tidaknya, bekas isterinya telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya setelah bercerai dengannya malah telah berkahwin dengan chef terkemuka bertaraf antarabangsa.

Dia diam. Tidak mahu mengulas alasan basi lelaki itu. “Cuma satu saya mahu saudara fkir. Fikir dengan jiwa yang luhur. Edna, sebagaimana yang saya rincikan di dalam artikel, saya yakin saudara membacanya; berganding bahu dengan para wanita di Somaliland menyelenggarakan kegiatan tapak pembinaan bakal dijadikan hospital bersalin. Beliau dicerai suaminya, Mohamed Ibrahim Egal, bekas Perdana Menteri Somalia untuk membolehkan suaminya berkahwin lain.”

Lelaki itu meninggalkan pejabat Dia setelah Dia terpaksa memanggil polis.

“Tunggu, saya tidak akan berdiam diri. Awak tidak akan ke mana tanpa lelaki!” Sempat dia memberi amaran. Khabar angin yang Dia dengar, lelaki itu akhirnya gila talak.

Peristiwa diserang lelaki itu tidak mematikan hasratnya menjadi pembela kaum wanita. Dia segera teringat kepada ketabahan Edna yang bangkit dari kongkongan adat resam. Edna simbol wanita yang punyai kekuatan mental dan fizikal. Dia tidak tenggelam punca oleh penceraian. Edna adalah sebutir sahmura di dalam lumpur budaya masyarakat Somaliland. Sanggup beliau menggadaikan kepentingan diri demi merealisasikan harapan para wanita Somaliland.

Betapa tidak, sebahagian daripada AS$620,00.00 hasil titik peluhnya disumbangkan kepada wad yang akan diperuntukkan kepada wanita mangsa mutilasi alat kelamin. Beliau sendiri bersama para wanita bertungkus-lumus tanpa peralatan canggih, bekerja menggunakan penyodok dan menyusun batu-bata di kawasan pembinaan. Tanpa bantuan tenaga seorang lelaki pun!

Dia masih meneruskan usahanya dalam menyedarkan kaum wanita yang tertindas. Motivasi dan pidatonya sentiasa panas dengan topik hangat dan berita sensasi. Cemuhan melambak-lambak, tiga perempat datangnya daripada kaum lelaki.

Dia ketawa sendiri mengingatkan gelagat lucu seorang perwakilan dari Pahang sewaktu membentangkan usul dalam mesyuarat badan bertindak wanita yang membincangkan isu penderaan wanita.

“Apakata kalau kaum wanita belajar seni mempertahankan diri? Sekurang-kurangnya lelaki atau suami tidak sewenang-wenang mendera anak gadis dan para isteri. Saya yakin ramai yang berfikir panjang sebelum bertindak terhadap kita.” Usulnya mendapat tepukan gemuruh.

“Kalau lelaki masih tidak serik, kita tampalkan gambar Mona Fandey besar-besar dalam bilik tidur, sebagai lambang keberanian bertindak seorang wanita.” Bukan hanya seluruh hadirin ketawa, Dia sendiri tidak dapat menahan geli hati dengan saranan perwakilan itu.

Dia yakin perjuangan yang hak tidak akan disenangi oleh pejuang kebatilan. Dan musuh sentiasa mencari helah untuk menghapuskan usaha-usaha murninya. Dia cukup yakin tentang itu. Justeru, Dia tabah menerangkan kepada pegawai pencegah maksiat yang datang menyerbu ke bilik hotelnya.

“Tuan-tuan berhak mengadili saya di mahkamah. Saya percaya, Tuhan tidak pernah tidur. Jika Nabi Yusuf, seorang lelaki perkasa tidak dapat membuktikan paksaan fizikal ke atasnya, saya masih waras untuk menimbang baik buruknya jika saya membunuh lelaki yang cuba memperkosa saya.

Dalam Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Dia menjawab semua persoalan dengan tenang. Berserah kepada takdir dalam menzahirkan kebenaran. Tidak sangka lelaki yang pernah mengugutnya sanggup bertindak sehina itu. Tidak tahukah dia, menuduh perempuan baik berzina hukumnya lapan puluh sebatan dan tidak diterima persaksiannya seumur hidup kecuali setelah bertaubat mengikut hukum Islam?

“Saya dipanggil untuk membincangkan kes bekas isteri saya yang menuntut hak harta sepencarian. Katanya terlalu penting demi membela nasib wanita.”

Dia terkesima. Dendam lelaki itu menjadikan dia kreatif mencipta alasan.

Dia teringat suatu kisah berlaku di zaman Rasulullah s.a w. Isteri Baginda, Aisyah r.a. pernah dituduh bermukah dengan salah seorang sahabat Rasululullah s.a.w. sewaktu dalam sebuah perjalanan. Seluruh masyarakat Arab terkejut dengan berita tersebut, malah Rasulullah sendiri berdiam diri dalam menerima berita. Akhirnya Aisyah dibersihkan dengan sepotong wahyu.

Tahukah kamu, mengumpat dan menfitnah yang sering disinonimkan dengan wanita sebenarnya dipelopori oleh kaum lelaki? Itulah yang dibuktikan dari peristiwa Aisyah r.a. itu.

“Saya sedang cuba memulas tombol pintu semasa dia menarik baju tidur saya sehingga terkoyak.” Biarpun malu untuk menerangkan, demi maruah Dia tetap bersuara.

Walaupun di dalam al-Quran menyebut penzina perempuan mendahului sebutan penzina lelaki, bagi Dia kelaziman itu adalah satu peringatan yang wajar dititikberatkan dalam menghadapi fitnah wanita. Dan bukanlah sebagai tuduhan kepada wanita. Kerana itulah diturunkan ayat yang membela wanita baik yang dituduhfitnah.

Peristiwa itu yang sedikit sebanyak menggugat emosi Dia waima tidak sampai menelurkan dendam kepada kaum lelaki dijadikan teladan untuk terus berhati-hati dalam setiap tindakan. Dia mengganggap peristiwa itu suatu mehnah dan tribulasi dalam perjuangan. Malah, setelah kes saman malu yang dikeluarkan terhadap lelaki yang menuduhnya itu berjaya pun, Dia tetap tenang. Bersyukur kerana Allah merestui perjuangannya dengan menzahirkan sesuatu yang bernama kebenaran.

ROZAIS AL-ANAMY
Pasir Mas
April 20, 2001

* Mingguan Malaysia, 6 Mei 2001
* Antologi Cerpen Kepezi, Haqaf Enterprise, 2004

No comments: