Tuesday, September 23, 2008

PADA SENJA YANG HILANG

FAJAR Sidik muncul dari celahan deretan pohon getah. Yasmin telah bangkit dari tidurnya. Tidak seperti hari biasa. Dua tiga bulan ini Yasmin selalu terbangun awal. Bagai ada yang mengejutkan. Sewaktu ahli keluarga yang lain masih enak dibuai mimpi, dia telah ke bilik air seorang diri. Lazimnya, Yasminlah yang mencatatkan rekod manusia paling malas bangun pagi. Sekarang, tanpa dileteri, Yasmin sudah siap mengemaskan diri, sehinggakan ibu hairan melihat perubahan perangai Yasmin. Tapi ibu bukanlah ambil tahu sangat tentang anak-anaknya.

Pernah sekali adiknya yang bermulut murai itu bertanya ibu. “Mak, Kak Yasmin sekarang ini selalu bangun awal. Sewaktu ke bilik air, adik nampak Kak Min sudah ada. Terkejut adik, ingatkan hantu. Kenapa bu?”

Ibu secara acuh tidak acuh menjawab, “Buang tabiat agaknya!” Yasmin tergelak mendengarnya. Biar ibu tertanya-tanya. Yasmin lebih suka kalau ibu tidak tahu gelora perasaannya sekarang.

Pukul tujuh pagi, Yasmin sudah berada di sekolah. Kelihatan dua tiga orang pelajar lain yang juga sampai awal. Yasmin meletakkan beg di dalam kelas dan berdiri di beranda. Matanya liar memerhatikan kawasan persekitaran sekolah. Tiga buah bangunan dua tingkat berdiri megah. Yasmin memandang lepas ke arah kolam ikan di depan kelasnya. Matanya merayap ke hujung koridor. Kelas tumpuannya di hujung sana. Salah seorang pelajar dalam kelas itulah yang membuatkan hatinya selalu terlonjak-lonjak untuk bergegas ke sekolah. Yasmin tidak sabar untuk melihat wajahnya. Dia benar-benar telah jatuh hati pada pelajar kelas Enam Atas Ekonomi itu.

Yasmin tahu, setiap amalan itu bergantung kepada niat. Niatlah yang menentukan sesuatu pekerjaan. Serong niat tiada gunalah amalan. Dia juga tidak menafikan matlamat utama dia ke sekolah. Menuntut ilmu adalah kewajipannya. Ingin menjadi wanita solehah. Menjadi penghuni menara gading. Bela keluarga. Yasmin tahu keluarganya miskin. Apa yang mampu diberikan oleh ayah dan ibu ialah pelajaran. Justeru itulah dia perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarganya. Menjadi anak harapan keluarga berat tugasnya.

Namun sekarang, pemergiannya ke sekolah adalah kerana dua faktor. Pertama, belajar dan kedua ialah untuk berjumpa dengan lelaki pujaannya. Kawan-kawan pun hairan mengapa sejak akhir-akhir ini Yasmin selalu tiba awal di sekolah sedangkan rumahnya dekat dengan sekolah. Mengayuh basikal beberapa minit sahaja boleh sampai.

Apabila ditanya, “Bukankah SPM sudah dekat, kena tunjuk kesungguhan sikit”, Yasmin selamba menjawab. Kawan-kawan nampaknya puas hati dengan jawapan tersebut. Lega hati Yasmin bila mereka mempercayai alasannya. Biar mereka tidak tahu. Kalau mereka tahu tentu heboh. Dia juga yang akan menanggung malu.

Akhirnya perasaannya yang makin bergelora tidak dapat disembunyikan lagi. Yasmin terpaksa mencurahkan beban perasaannya kepada Siti. Bimbang jika dipendam akan mengganggu konsentrasi pembelajarannya. Dia perlu seorang teman untuk mendengar luahan hati. Dan Siti orang yang paling sesuai. Sejak hari itulah Siti tahu Yasmin telah pandai bermain cinta. Dan apa yang melucukan Siti ialah pelajar yang diminati Yasmin tinggal sekampung dengannya. Justeru itu, Siti mendapat berita sedikit sebanyak tentang latar belakang lelaki pujaan Yasmin. Rashidi, bapanya merupakan seorang ahli perniagaan yang ternama.

“Hai, berangan panjang nampaknya. Ingat pada si dia?” Yasmin tersentak. Terasa darah menyelirap ke mukanya.

“Jangan kau cuba menyembunyikan. Aku dapat tahu dari riak mukamu. Orang sedang dilamun cinta beginilah selalunya.” Siti cuba mengusik.

“Dia mana yang kau maksudkan?” Yasmin tetap mahu berselindung.

“Alah, buat tidak tahu pula. Kura-kura dalam perahu. Siapa lagi kalau tidak si dia buah hati pengarang jiwa kau itu!” Siti ketawa terkekeh-kekeh, kemudian mengaduh kesakitan dicubit Yasmin. Mereka sama-sama ketawa. Hati Yasmin bagai bunga melur yang kembang mekar di tepi kolam ikan depan anjung bila diusik begitu.

Tiap-tiap hari begitulah situasinya sebelum loceng berbunyi menandakan kelas bermula. Kerana itulah dia lebih suka berada di sekolah. Dapat juga mendengar gurauan teman-teman terutama Siti yang suka berjenaka. Pernah juga dia terserempak Rashidi dalam perjalanan ke kantin. Setiap kali bertentang mata, terubatlah rindunya. Yasmin tahu pelajar kelas Enam Atas Ekonomi itu tidak pernah tahu bahawa dia ada menaruh perasaan terhadapnya. Yasmin tidak hiraukan itu semua. Setakat ini dia masih belum mampu untuk meluahkan perasaannya yang satu. Setiap kali Siti mencadangkan agar dia meluahkan perasaan yang terbuku itu kepada Rashidi, Yasmin menolak.

“Nanti dikata perigi mencari timba. Aku pun bukannya tergila-gilakan sangat pada dia. Setakat meminati sahaja.” Sebagai teman akrab Siti tidak puas hati dengan jawapan Yasmin. Siti tahu perasaan sebenar di dalam hati Yasmin.

Cuba menduga, Siti bersuara. “Kau jangan main-main Yasmin. Rashidi ramai peminatnya. Ramai junior yang sukakan dia. Kau tidak berasa tergugat?” Walau secara berjenaka, Yasmin tetap berasa terancam.

“Kalau kau malu untuk menyatakan hasrat, biar aku yang sampaikan. Bolehlah aku menjadi Maisarah seperti dalam sirah Rasulullah. Biarpun Maisarah tersebut lelaki, aku pula sebagai wakil perempuan. Maisarah juga namanya. Siti Maisarah”. Petah Siti menawarkan khidmatnya. Siap dengan hujahnya sekali.

Dalam diam Yasmin mengiakan kata-kata Siti Maisarah. Bukannya salah meminang lelaki. Tapi biarlah mengikut syariat. Biarpun dia bukannya mahu meminang Rashidi, apa yang berlaku sekarang memerlukan tindakan dari pihaknya. Yasmin terpaksa berfikir beberapa kali mengenai tawaran itu. Rashidi ramai peminat. Paling memikat, sepasang mata bundarnya. Keningnya lebat. Perawakan sederhana menambat hati Yasmin.

SPM tidak sampai dua bulan lagi akan menjelma. Semua pelajar di dalam kelas telah bersiap sedia dengan senjata masing-masing. Bagi Yasmin, untuk berpuas hati dengan persediaan yang dibuat masih awal. Yang penting, usaha telah dibuat. Hasilnya hanya berserah kepada Allah. Cuma paling digusari, dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian akhir-akhir ini. Sedang belajar, ingatannya melayang kepada Rashidi. Cepat-cepat dia beristighfar. Pernah beberapa kali ditegur cikgu. Yasmin cuba mengawal perasaannya, namun sesekali di luar kawalannya, wajah Rashidi tetap juga muncul.

Dia masih ingat nasihat dari Cikgu Fatimah. “Yasmin, berpandukan keputusan lepas, awak menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran. Awak berpotensi mendapat kejayaan cemerlang. Awak juga pelajar harapan sekolah. Tapi keputusan percubaan awak tidak memuaskan. Prestasi awak merosot. SPM akan hadir dua bulan sahaja lagi. Apakah jaminan awak untuk mengekalkan keputusan cemerlang seperti yang lepas?”

Tidak sempat Yasmin menjawab Cikgu Fatimah menambah. “Saya juga mendapat aduan dari guru yang mengajar. Mereka memaklumkan bahawa awak selalu termenung di dalam kelas. Apa masalah awak?” Yasmin terkesima.

“Saya guru kelas awak. Jika ada masalah sila beritahu saya jika awak tidak dapat menghadapinya. Kalau saya tidak dapat membantu, saya akan bawa awak berjumpa guru kaunseling. Yang penting, jangan biarkan masalah awak berlarutan.”

Bermula dari nasihat Cikgu Fatimah, Yasmin mula sedar dia sudah jauh terpesong dari matlmat sebenar sebagai seorang pelajar. Namun bukan mudah melupakan Rashidi, cinta pertamanya. Kacau-bilau fikirannya. Yasmin mula sembahyang tahajjud. Semoga Allah memberikan ketenangan. Jiwanya lebih tenteram dan damai.

Pada waktu rehat dan bertemankan Siti, Yasmin mengunjungi bilik kaunseling. Sengaja dipilih waktu Ustaz Ismail bertugas. Ustaz yang sudah berumur. Mempunyai seorang anak yang juga bersekolah yang sama tapi di Tingkatan Tiga. Kerana itu Yasmin memilihnya. Sudah pasti beliau berpengalaman kerana anaknya juga remaja.

Meluahkan segala yang terbuku kepada Ustaz Ismail, Yasmin berasa lega. Kata-kata perangsang meringankan sedikit penderitaan. Semenjak hari itu, Yasmin sentiasa mengunjungi bilik kaunseling. Semacam timbul kekuatan baru untuk meneruskan pelajaran.

Suatu hari yang merenggut kebahagiaannya, Yasmin sedang berbual-bual dengan Siti. Mereka didatangi anak Cikgu Ismail dan rakannya. Perbualan Siti dan Yasmin terganggu kerana Farah hanya ingin berbicara dengan Siti. Sesekali terdengar perbualan mereka. Tiba-tiba jantung Yasmin berdebar kencang melihat dua orang pelajar lelaki melintasi kelasnya. Salah seorang amat dikenalinya.

“Eh, Farah. Rashidilah!” Yasmin sempat melihat tangan Rina menguis bahu Farah. Serentak itu kalbu Yasmin tambah kencang degupnya.

Yasmin tahu Siti sedang menjeling ke arahnya sambil menduga Farah, “Berkenan ke?”

Yasmin hanya terdiam mendengar pengakuan Farah. Tidak sanggup mendengar penjelasan Farah, Yasmin kembali ke mejanya dan berpura-pura membaca buku. Baris-baris yang dibaca tidak memberi apa-apa makna. Sebaliknya telinga tetap mencuri dengar perbualan mereka. Perbualan mereka berhenti setelah loceng berbunyi.

Dalam perjalanan pulang dari sekolah, Siti terpaksa menceritakan perbualannya dengan Farah dan rakannya. Menurut Siti, Farah sudah lama meminati Rashidi dan pernah menulis surat beberapa kali. Rashidi juga membalas setiap pucuk surat yang diterimanya. Isi kandungan surat tersebut semuanya berupa kata-kata perangsang supaya Farah terus berusaha belajar.

Malam, Yasmin memikirkan tentang peristiwa siang tadi. Dia mengitung-hitung sifir kehidupannya. Apakah hendak beralah atau terus melayan perasaan terhadap Rashidi. Apatah lagi saingannya adalah anak Ustaz Ismail, kaunselornya. Kacau. Dihitungnya lagi. Dia hanya anak seorang petani. Rupanya pula tidaklah terlalu cantik walaupun tidak hodoh.

“Awak mesti hadapi segala cabaran jika ingin berjaya. Jangan cepat mengalah dalam sesuatu perkara.” Kata-kata azimat Ustaz Ismail betul-betul membuatkan dirinya dalam dilema.

SPM bermula. Yasmin cuba menghadapinya dengan tenang. Kerap juga terserempak Rashidi yang juga sedang menjalani peperiksaaan STPM. Cepat-cepat Yasmin merasionalkan fikirannya. Dijadikan pertemuan itu sebagai perangsang untuknya.

Selepas tamat peperiksaan, Yasmin pulang ke rumah setelah sebulan tinggal di asrama. Kenangan pahit manis semasa bersekolah sentiasa terbayang di ingatan. Cuti selama tiga bulan dirasakan bagai setahun. Kerinduan pada teman-teman tidak dapat dibendung. Apalagi cuti hanya dihabiskan di rumah sepenuhnya.

Penantian yang mendebarkan berakhir jua. SPM akan diumumkan esok. Malamnya, Yasmin tidak dapat tidur memikirkan untung nasib yang bakal dihadapi. “Jika kegagalan yang diterima, itulah kaffarah di atas kelekaanku. Andai kejayaan yang menanti, itulah hadiah buat ketabahan hati.” Yasmin menulis penuh emosi dalam diari.

Pejabat sekolah dipenuhi pelajar yang ghairah ingin mengetahui keputusan peperiksaan. Yasmin menguatkan semangat untuk menjejakkan kaki ke ruang pejabat. Sambil menarik nafas dalam-dalam, Yasmin membuka slip peperiksaannya. Bagai mahu melompat di situ juga, Yasmin mengucapkan syukur. “Alhamdulillah, menang juga aku!” Kawan-kawan yang berada di situ tertumpu ke arah Yasmin. Semua mengucapkan tahniah di atas kejayaannya menjadi pelajar terbaik SPM di sekolah.

"Tahniah, Min. Tidak sangka kau jadi pelajar terbaik. Dalam menghadapi masalah pun kau masih berupaya melawan segalanya. Ingat lagi pada si dia?” Siti mengakhiri ucapan tahniah dari rakan-rakan yang lain.

“Terima kasih Siti. Aku juga tidak sangka. Itu semua kuasa Tuhan. Aku hanya berusaha. Kejayaanku ini juga adalah hasil nasihat darimu. Kau pula apa kurangnya.” Yasmin merendah diri.

“Aku bersyukur kerana Tuhan masih sayangkan aku. Hasil yang kuterima ini mungkin berkat kesabaran aku menempuhi ujian perasaan terhadap Rashidi. Kukira ia adalah hadiah buat kesabaran itu. Biarpun Rashidi tidak pernah menyedari perasaan ini, namun suatu hari nanti aku harap impianku menjadi kenyataan.” Nampak kejujuran dari sayu sinar matanya.
“Sukanya engkau Yasmin. Dapat gelaran yang didam-idamkan semua pelajar.” Siti masih tidak menyangka keputusan yang diterima Yasmin.

“Gembira pun, mati juga.” Yasmin diam dan tunduk. Kemudian merenung Siti, “Siti, andainya aku tiada lagi di dunia ini, aku harap engkau dapat menyampaikan salamku untuk Rashidi. Katakan, hatiku pernah dicurinya. Sanggup? Apa guna kawan kalau tidak boleh menolong aku.” Ada kesungguhan dalam gurauannya.

“Merepeklah Yasmin. Masin mulut kau, aku juga yang kehilangan.” Siti menempelak.

“Manalah tahu kalau aku mati terperanjat hari ini. Apa kata orang? Mati tersentak?” Sempat Yasmin bergurau sambil meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Jelas terpancar di ruang matanya kegembiraan yang bakal dipersembahkan kepada keluarganya. Bagaikan tidak sabar sampai ke rumah. Apabila hampir berpisah jalan, Yasmin bersuara, “Siti, aku tidak akan mengalah dalam menyintai Rashidi biarpun apa rintangan melintang. Cintanya akan kubawa mati.” Lirih pernyataan Yasmin disusuli pertanyaan, “Apa pula berita tentang Farah sekarang. Keputusan PMRnya bagaimana?”

“Tidak banyak yang aku tahu. Cuma khabarnya Ustaz Ismail akan bertukar ke Sabah bersama keluarganya. Farah pula tidaklah cemerlang keputusannya. Apa yang kudengar, dia kecewa bila mengetahui Rashidi tidak menyintainya. Surat yang diterimanya pun kerana Rashidi ingin menasihatinya supaya tidak bercinta semasa belajar. Apatah lagi Farah masih muda. Malangnya Farah tidak faham apa yang cuba Rashidi katakan. Disangkanya Rashidi menyintainya apabila membalas semua suratnya.” Siti mengulas panjang lebar.

“Kalau begitu, dua kemenanganlah aku terima hari ini. Seronoknya… eh Siti, jauh sudah melarat ini. Aku balik dululah.” Selesai memberi salam, Yasmin membelok ke lorong rumahnya.
“Baik-baik jalan. Nanti dirompak orang slip tu,” laung Siti.

Yasmin sedang melintas jalan apabila sebuah Honda Civic meluncur laju ke arahnya. Objek hitam itu merempuh Yasmin. Melayang ke udara dan terhempas ke bumi. Raungan histeria Siti memecah ruang. Secepat kilat Siti meluru ke arah Yasmin yang sedang terbaring di tengah aspal. Darah membuak-buak keluar dari mulut Yasmin. Membasahi slip peperiksaan yang tergenggam erat di tangan.

“Min, mengucap Min. Lailahaillallah.” Ajar Siti.

“Lailahaillallah.” Yasmin kaku di pangkuan Siti. Orang ramai mula berkerumun.

Pada suatu remang senja. Kelihatan seorang anak muda berlutut di sebuah pusara yang masih merah tanahnya. Di tangannya sejambak mawar merah.

‘Yasmin, tahniah di atas kejayaanmu. Ketabahanmu. Maafkan aku kerana tidak menyedari kehadiran cintamu. Sebenarnya aku juga menaruh cinta kepadamu. Salahku hanya kerana tidak sempat meluahkannya lantaran tidak mahu mengganggu konsentrasimu menghadapi SPM. Aku tahu kita sama-sama menghadapi satu tugas besar yang akan menentukan masa depan kita. Ternyata kita sama-sama tidak berpeluang menyatakannya.

Min, benarlah cinta sesama manusia tidak akan kekal. Hanya cinta pada Ilahi yang abadi. Semoga kau dicintai olehNya dan semoga rohmu dicucuri rahmat.’

Syahdu luahan hati seorang Rashidi dipuput bayu senja tatkala mentari perlahan-lahan memasuki kamar peraduan.


ANGGERIK DESA
Batu 6, Kuala Terengganu
Disember 1990

No comments: