Wednesday, September 24, 2008

NEUROSIS

(i)

DIA cukup sedar, selepas manusia yang dipanggil Diri Sendiri, makhluk lain yang menghuni dunia ini ialah manusia yang bernama Orang Lain atau binatang, atau serangga atau apa sahaja spesies yang hidup di jagat raya.

Sentiasa memegang prinsip bahawa Orang Lain tidak boleh menolong dirinya, sama ada orang itu rapat atau paling dekat dengan dia sekalipun, dia akur hanya Diri Sendiri mampu mengangkat dirinya daripada segala penderitaan.

Dia ketawa. Tidak sangka prinsip yang dipegang selama ini rupa-rupanya termaktub di dalam sebaris ayat suci, pegangan seluruh umat Islam. Tetapi kenapa tidak ditemui sejak sekian lama dia membaca Kitab Suci?

Kerana engkau membaca dengan lidahmu, bukan menghayati dengan kalbu! Suatu jawapan meneriak dari dalam. Suara syaitankah? Dia was-was, bimbang fikiran yang sedang menerawang itu tersasar ke dalam gelombang musuh durjana.

Dia sedang berfikir, sesekali menunduk, kemudian mendongak ke langit, seperti ayam mematuk sesuatu. Siapa lagi yang hendak menolong dirinya, kecuali Diri Sendirinya? Bukankah itu yang difikirkan selama ini, sehingga dia diserang insomnia, dan akhirnya meningkat darjah kegawatan keresahan ke paras neurosis.

Dia membebel kepada diri sendiri kerana masih tidak dapat menjadi Diri Sendiri yang berupaya membawa dirinya keluar dari lubang gelap, masalah yang tidak pernah selesai. Dia cuba mengintai sinar cahaya yang mungkin menerobos masuk ke dalam kawasan yang didiami, tetapi hampa. Tuhan pun tidak sudi menolongnya, itulah andaian setelah dia berasa cukup kecewa. Dia hampir putus asa mengharapkan pancaran suria menerangi telaga kegelapan yang dihuninya. Sampai bila dia harus begini?

Sehinggalah dia menyedari bahawa hanya Diri Sendiri yang boleh menarik dia dari lubang gelap, kecewa, rendah diri dan putus harapan. Dia mampu mengukir senyum, secara teorinya; kerana sekurang-kurangnya dia mahu berubah, daripada menjadi manusia gelandangan yang berideologi Jabariah @ Fatalisme @ Pre-destination @ Indeterminisme yang dipelopori Prestly+Augustinus+Spinoza – manusia tiada pilihan, hanya Tuhan berkuasa – dia mampu melangkah setapak, berhinjak dari kemelut fikiran. Cuma yang dikhuatirkan kini, mampukah dia mencipta kecemerlangan dengan kekuatan dan pertolongan Diri Sendiri?

(ii)

DIA akui, tidak semua yang diimpikan menjadi kenyataan. Ungkapan ini sudah terlalu biasa dia dengar. Dia telah beribu kali dipujuk dengan ucapan klise sebegini. Persoalannya, bagaimana seharusnya dia menyiapkan diri untuk menerima kenyataan yang tidak seindah impian.

Apatah lagi cita-cita itu sudah melangit tingginya. Betapa pedih menerima kenyataan bahawa ia sudah tersembam ke lantai. Terseksa sekali. Dia pasti, orang lain juga pernah mengalami keadaan serupa. Kenyataan yang terjelma tidak semanis yang dihajatkan, dan dia berasa sengsara sekali. Pada waktu itulah dia ingin bertanya, apakah cara atau petua untuk mengubati jiwa yang kecewa+resah? Dan apa yang lebih penting, adakah kesengsaraan, kekecewaan, kesedihan itu mematikannya?

Akhirnya, dia tidak juga menemui sebarang jawapan. Dia bertambah merana. Dia gagal mendapat apa yang dicitakan sepanjang perjalanan hidupnya. Yang dia temui hanya penunjuk arah yang menghala ke arah dirinya - Diri Sendiri. Justeru itu, dia membulatkan keyakinan, membuat satu perisytiharan: Mega bangkit kembali dari abu!

(iii)

DIBESARKAN dalam latar belakang keluarga yang miskin, hampir mencecah tahap fakir, hidup Mega sekeluarga hanya diubati keakraban+kasih sayang para penghuni rumah yang sebesar reban kambing. Jika anda masih ingat cerpen A. Samad Said, “Perempuan dari Kampung Kambing”, begitulah persekitaran kehidupan yang didiami Mega. Cuma kesengsaraan hidupnya berlatarkan masa yang lebih moden daripada cerita A. Samad Said, maka sudah tentu hampir tidak percaya, masih ada lagi penghidupan seperti itu.

Ibu Mega adalah anak peniaga kopi. Pada masa tersebut, tidak ramai yang ingin mengambil menantu dari keluarga kerjanya yang hanya menjual kopi. Tidak dapat menumpang hartanya.

Sebaliknya bapa Mega, waima berasal dari keturunan kaya, harta tidak pernah sampai ke tangannya lantaran sikap tidak suka mempertahankan hak, pelajarannya pula tidak setinggi mana kerana kemewahan yang diberi serta terkurung oleh didikan manja keluarga. Hanya setelah umur pada penghujung jalan baru menyesali kepentingan ilmu dalam memimpin hidup yang sempurna. Paling tepat, mengangkat martabat diri.

Menyedari asal yang bermula dari keluarga yang pincang, Mega bangkit mencungkil akar keturunan. Pohon yang tumbuh dari akar yang tidak dapat dipilih, cuba diusahakan untuk terus subur, tetap gagah menentang angin zaman, biar merendang bagaikan payung untuk generasi mendatang.

Bertolak dari matlamat itulah Mega terus merungkaikan diri daripada cengkaman kemiskinan hidup. Mimpi-mimpi akar cuba disambung menjadi sebuah kenyataan. Sesetengah mimpi ibunya, cuba diwarasi agar tidak menjadi kacang lupakan kulit. Hidup biarlah sederhana. Zuhud.

Zuhud mengikut fahaman Mega yang jelas bertentangan dengan istilah zuhud penyeleweng agama, bukan sebagaimana fahaman zuhud ramai manusia yang memberi alasan mahu hidup zuhud kerana kegagalan mengharungi hidup. Zuhud mengikut definisi Mega ialah memilih hidup sederhana biarpun mempunyai harta berjuta. Itulah pengertiannya. Bukan mengaku zuhud kerana sememangnya tidak mempunyai harta.

(iv)

LUPAKAN cerita keluarga saya - Mega mengalih konsentrasi pembaca kepada gagasan pemikirannya. Dia tidak mahu biodata dirinya disentuh, kerana yang lebih penting ialah gagasan yang bercangkaliwang di benaknya selama ini, dan proses kebangkitan Mega daripada abu. Cukuplah pengenalan latar hidupnya dicatat sedikit sahaja di ruang pengenalan novelnya – Dari Neurosis ke Katarsis. Mega mahu pembaca menyelami keadaannya semasa dijarah neurosis, dan cita-cita yang mendorongnya untuk mengubah kegagalan kepada kejayaan.

Terlebih dahulu saya ingin sekali pembaca menilai impian saya. Impian yang saya bina satu persatu. Jika anda jemu, beleklah helaian lain. Tinggalkan impian-impian saya di kertas ini sahaja. Sebaliknya, jika anda ingin berkongsi pengalaman membina impian, cuba teliti rentetan cita-cita ini yang akan direalisasikan bertitik tolak dari penderitaan yang dialami. Saya hanya mencipta tiga impian penting dalam kehidupan sebagai manusia:

Mega kemudian meneruskan pengolahan cita-citanya, sebab dia memilihnya. Pembaca mungkin tertunggu-tunggu, cita-cita manakah yang menjadi kenyataan, atau kesemuanya lingkup atau Mega berjaya merealisasikan setiap cita-citanya itu?

Pertama:
Saya impikan menjadi seorang manusia kaya. Kaya harta. Semestinya pula kaya budi. Ingin saya ubati jerit-perih keluarga petani kecil, nelayan dan golongan marhaen yang lemas dalam arus globalisasi. Setiap hari Jumaat, saya akan ke tempat awam. Pada masa itulah semua fakir miskin boleh berjumpa saya dan meminta keperluan dunia dan dirinya. Setiap masalah akan diambil kira.

Kedua:
Saya mahu menjadi manusia agung. Sasterawan agung. Bait-bait puisi dan hasil tinta perahan minda saya mampu mengalirkan air mata keinsafan para pendengar dan pembaca. Si dajal menjadi abid. Pemimpin gementar dengan amanah yang terpikul di pundak. Penulis yang tersimpang daripada matlamat sebenar mencari pangkal jalan menuju keredaan di dalam berkarya.

Ketiga:
Saya ingin jadi pemimpin. Waima bukan dengan jalan meminta-minta jawatan, mahupun menggunakan jalan mudah menyogok wang, saya tetap berharap agar suatu hari nanti saya dipilih menjadi pemimpin. Biarpun kedengaran desas-desus yang menyatakan pemimpin wanita tidak boleh diterima, saya tetap berusaha ke arah itu. Menjadi pemimpin bagi saya bukan hanya dengan memegang jawatan tertentu.

Mungkin anda tertanya mengapa saya memilih ketiga tokoh di atas. Mengapa tidak dipilih penyanyi tersohor sebagai impian?

Saya terangkan. Menurut teman saya yang penuh falsafah hidupnya, hanya ada tiga golongan manusia yang agung di dunia - Pemimpin, sasterawan dan ahli perniagaan yang jujur. Sehingga sekarang saya terus berusaha untuk menjadi salah satu daripadanya, walaupun tidak semua. Anda pula?

Salah satu impian saya itu mungkin sama dengan impian anda. Anda mungkin juga lebih bernasib baik daripada saya. Ketiga-tiga impian anda mungkin sudah separuh realiti atau telah pun menjadi kenyataan. Tahniah saya ucapkan.

Berbalik kepada impian saya, justifikasi kesudahannya memerlukan pandangan dan komen dari anda. Secara jujurnya, impian yang telah lama terbina di benak saya sehingga kini belum menjadi mahligai kenyataan.

Tapak yang saya bina belum dapat mendirikan impian-impian saya. Maka saya menjadi letih dan lesu. Hendak menyalahkan Tuhan, saya masih terfikir kedudukan saya sebagai orang Islam.

Perniagaan saya belum menjadikan saya orang kaya. Kata mereka yang berpengalaman, saya terlalu lurus dalam berniaga. “Jika hendak membina pagar dari semua tiang yang lurus, lambatlah siap.”

Perjalanan merentas tujuh benua bermula dengan langkah pertama. Saya cuba praktikkan. Bakat yang lahir bersama-sama saya cuba diasah agar menjadi lebih tajam.

Belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Saya fikir walaupun saya tidak dilahirkan dengan bakat kepemimpinan, saya yakin pemikiran saya tidaklah setumpul belakang kapak. Saya percaya bakat tanpa usaha dan ilmu tidak akan sampai ke mana juga. Maka, saya terus belajar untuk menjadi pemimpin.

Matlamat menjadi pemimpin, saya semat kukuh di benak. Malangnya, belum sempat bertunas, kepimpinan yang telah saya buktikan dicantas oleh pemimpin yang metah fanatik terhadap gender.

Saya mula mengarang. Namun tidak pernah disiarkan. Saya menyalahkan editor kerana tidak memberi saya ruang. Sehinggalah saya diberitahu secara ikhlas, kerana kasihankan saya yang selang seminggu berulang-alik ke pejabatnya. Cerpen-cerpen saya tidak menghiburkan apatah lagi mendidik, jauh sekali. Saya hanya memaparkan cerita neurosis. Itulah kelemahan saya yang tidak dapat mengawal keadaan sedih saya, terbawa-bawa dalam karya.

Saya ketawa membaca mukaddimah novel Mega. Kisah Mega sedikit sebanyak mengingatkan kepada saya resah+dura yang menyelubungi sewaktu karya saya ditolak editor pada awal pembabitan dalam dunia sastera. Saya menyambung pembacaan sasterawan idola.

(v)

SEMINGGU mabuk di alam neurosis, pada suatu malam, saya mengheret kaki ke tepi pantai, menghirup udara laut, mencari sedikit ketenangan. Fikiran saya masih bersipongang ketika itu. Saya berada di suatu keadaan separa sedar, tenggelam dalam gagasan pemikiran yang menuntut tindakan, tetapi saya tidak berupaya melakukannya.

Saya mengenderai sebuah kapal layar, harapan saya ialah menuju ke pulau harapan. Setengah jam belayar, ribut melanda, memukul kapal dan saya terpelanting ke laut. Saya cuba berenang ke pantai, ombak yang mengganas dihasut taufan menimpa saya. Saya tenggelam ditimpa badai, beberapa kali, sehingga saya lemah longlai. Hidung dan mata saya pedih diasak air masin. Saya mengalah dan membiarkan ombak memperlakukan apa sahaja kepada saya yang sudah tidak berdaya. Jasad saya terumbang-ambing ditolak badai, sehingga saya terdampar di sebuah pulau. Pulau yang metah asing. Namanya pun tidak pernah saya dengar. Saya berasa sungguh tidak bermaya, cuba menyeret tubuh menyandar ke sebuah batu berhampiran, dan saya tidak sedarkan diri lagi kerana terlalu letih.

Saya menghayati bab seterus novel Mega. Apa sudah jadi pada Mega?

(vi)

SAYA bertemu dengan seorang pujangga, Muhammad Iqbal. Beliau hanya merenung kepada saya. Tiada kata-kata terucap, namun saya memahami apa yang ingin diluahkan. Hendak berjaya dalam bidang perniagaan, contohilah tabiat helang - menyambar. Belum sempat bertanyakan maksudnya, dia terus berlalu.

Sedang terpinga-pinga ditinggalkan Iqbal, saya terdengar bunyi salam. Saya baru sahaja membuka mulut untuk bertanya, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdullah Ka’ki. Mukanya penuh cahaya tersenyum kepada saya. Teringat saya akan kisahnya. Saudagar kapal yang hanya boleh ditemui di tiang-tiang Masjidil Haram setiap kali waktu solat. Kemudian beliau hilang begitu sahaja.

Saya menunggu, mungkin ada lagi yang datang. Jangkaan saya tepat. Tanpa memperkenalkan dirinya pun, saya kenal siapa dia. A. Samad Said yang tidak pernah saya temui di alam nyata sudi menemui saya di sini, di sebuah pulau terpencil, dan memberi amanatnya. “Jangan jadi di kiri dalam tulisan; kanan dalam kehidupan.”

Saya terkedu memikirkan maksudnya ketika beliau menambah, “Masing-masing diajar bahawa kaya itu mulia. Cuma yang tidak diajar ialah cara jalan kekayaan itu perlu mulia dahulu.”

Sebelum meninggalkan saya, beliau secara berseloroh berbicara, “Bila kepala berperang, tentu banyak zat yang mati. Lalu yang hitam cepat putih.” Mata saya tertancap pada rambut dan janggutnya yang putih, segera beralih tunduk ke bumi. Sungguh tajam dia mentafsir fikiran saya.

(vii)

KEPALA saya berdenyut-denyut. Saya membuka mata, melihat sekeliling. Ketiga-tiga tokoh agung tadi tiada di sisi saya, hanya bunyi ombak yang menghempas menghiburkan pulau yang sunyi.

Saya tiba-tiba dibangunkan segumpal semangat untuk meneruskan kehidupan. Benak saya berasa lega biarpun kepala masih pening. Saya berkira-kira masuk ke dalam hutan di pulau itu untuk mengikhtiarkan sebuah kolek apabila gegendang disapa bunyi enjin bot. Saya berlari ke tepi pantai dan melambai-lambai ke arah bot penambang yang sedang hampir ke pulau saya berada.

Saya membaca sepintas lalu helaian bab yang menceritakan bagaimana Mega dapat pulang dari pulau tersebut, sebaliknya menghayati bahagian yang memperincikan plot selepas insiden yang berlaku sehingga Mega pulih dari alam neurosisnya.

(viii)

SEMENJAK bertemu tokoh-tokoh tersebut dalam mandala hipnotis – tokoh-tokoh yang mengunjungi saya sewaktu terasing di sebuah pulau, saya mula mengkaji tabiat helang. Sekian lama raja angkasa itu wujud di dunia, baru saya mengetahui bahawa ia tidak memakan bangkai persis gagak, dan hanya memilih makanan segar.

Erti yang mendalam boleh difahami, dalam perniagaan, bangkai itu ialah rasuah, manakala makanan segar yang disambar helang adalah punca halal daripada peluang yang perlu segera disambar.

Saya berazam untuk menjadi pemimpin. Perkara itu masih saya fikirkan. Doktrin para demagogue cuba saya sanggahkan. Bukan hanya menjadi orang politik yang mencari sokongan dan pengaruh. Berucap mengapi-apikan semangat atau menghasut kaumnya agar memusuhi kaum lain demi kepentingan diri sendiri. Impian saya yang ini semestinya bukan menjadi pemimpin utama kerana saya juga tahu pemimpin utama hanya layak bagi kaum lelaki. Yang pentingnya, semua ide dan ode dunia baru yang ingin saya binadirikan disalurkan melaluinya. Bukankah itu bermakna saya yang menjadi pemimpin? Dan pemimpin utama itu hanyalah proksi saya sebenarnya!

Saya tetap menyedari, budaya ilmu masih belum kental di hati penduduk negara saya. Mungkin mereka belum menyedari kejatuhan tamadun Islam besar berpunca daripada ketandusan ilmu lantaran tiada kesedaran membangunkan budaya ilmu dalam masyarakat, sebagaimana yang disebut oleh Paul Kennedy dalam bukunya The Rise and Fall of the Great Powers.

Apabila pena sasterawan sudah tumpul, bermulalah era kejatuhan sesebuah negara. Bermakna, ilmu sudah dicemari keakuan dan telah lari daripada garis pendidikan. Pada waktu itu, harta kekayaan sudah tiada nilainya. Pemimpin akan gugur daripada tampuk kepimpinannya.

Saya mula menghitung, mendarab, menolak, mencampur, membahagi. Akhirnya saya mula terfikir untuk meniru sifat rebung yang tabah. Makin kuat cabaran, makin tinggi naiknya. Diraut buluhnya menjadi wau. Bebas di angkasa. Kali ini salah satu impian saya akan cuba bawa terbang ke angkasa.

Saya yakin, Tuhan tidak akan menenggelamkan hamba-Nya ke laut yang dalam untuk melemaskan mereka, tetapi untuk menyedarkan mereka. Kegelapan yang melingkungi saya di lorong neurosis, rentetan pencarian sebuah hakikat kehidupan akhirnya berakhir oleh Diri Sendiri saya, keyakinan bahawa saya mampu merangkak ke luar dari lubang itu, menuju punca cahaya dari muka terowong kebenaran.

Saya mahu membelek helaian lain daripada novel Mega apabila menyedari helaian itu adalah kulit belakang novel. Hanya wajah Mega dan sebaris ayat - Tiada istilah terlewat dalam kamus seorang penulis dan penggali kubur kebenaran – Mega Kartika, terakhir ditatap saya.

ROZAIS AL-ANAMY
Rumah GAPENA
Ogos 15, 2001

Tunas Cipta, November 2001

No comments: