Tuesday, September 23, 2008

MATA FIKIR

SEPERTI yang kujangka, perang berlaku lagi antara kami. Sekali dua aku berdebat dengannya. Aku pasti klasifikasi pertemuan kami yang berlaku secara tidak langsung di majlis puisi itu telah tersimpang. Daripada perbincangan ringan, bertukar menjadi mujadalah. Ya, aku pasti telah berlaku mujadalah antara kami. Bercakap dengan manusia “cerdik tak boleh dipakai” atau lebih tepat kukira jahil tukil ini kadangkala boleh merosakkan sistem perbincangan.

Bukan mudah meyakinkan kebenaran pada manusia yang tetap pendiriannya mengatakan kebenaran yang cuba kuapungkan itu tetap satu kejahilan. Kebenaran bagiku adalah apa-apa yang ditakwilkan olehku sebagai kebenaran dan telah kuyakini sebagai satu kebenaran. Ijtihad tentang kebenaran itu telah kubuat. Jika pun salah, walaupun kuyakini betul, ganjarannya satu. Kalau betul, dua pahala. Sekurang-kurangnya aku insan pemikir. Namun, kerana tidak berkopiah mahupun serban atau songkok tercatuk di kepala, kebenaran dihalang daripada berpihak kepadaku. Apa-apa yang dibahaskannya sahaja benar. Maka sudah tentu lawan benar itu salah. Maknanya akulah yang salah. Itulah justifikasi yang diberikan oleh lebih 90% penduduk Malaysia kukira.

Menungggu hadirnya fajar, baringku bertilamkan miang rebung. Berpaling ke kiri, lambung kiriku dicucuk miang. Beralih ke kanan, paha kananku pula gatal hingga ke tulang. Memandang syiling, petak-petak putih mentertawakanku. Manusia kalah bertarung kata-kata. Kalahkah aku jika aku cuba berundur daripada meneruskan mujadalah itu. Mujadalah tidak akan memberi keuntungan walau sesen pun. Malah mengundang kemurkaan Tuhan sebab hal ini lebih mendatangkan perbalahan.

Bukan kebenaran yang ingin dicari tetapi masing-masing akan berjuang untuk menang. Kukira ustaz yang kuanggap jahil tukil itu telah semakin sewel. Sudah gila “glamor”. Sebab itulah diteruskan juga hujahnya walaupun melihat aku menapak selangkah ke belakang. Kukira fahamlah dia tujuanku mengendurkan perbincangan yang bagai menegakkan benang yang basah itu. Marahku pada ketidaksopanannya berbincang bukanlah alasan untuk memalukannya di hadapan khalayak. Tapi memikirkan lagaknya yang nampak naik tocang apabila aku mengalah, ingin rasanya aku memaki:

“Wahai ustaz al-jahil wal-jumud. Islam membuka seluas-luasnya pintu ijtihad bagi umat Islam mengadaptasikan kehidupan dengan al-Quran. Ianya sesuai sepanjang zaman. Apa gunanya al-Quran diturunkan jika hanya sesuai pada zaman Rasulullah sahaja? Adakah ustaz datang ke majlis ini menaiki unta yang dipinjam daripada Rasulullah? Adakah ustaz peminat siri Time Tunnel sehingga apa-apa yang baru dalam kehidupan ini tidak dikira sunnah? Apakah pengertian bidaah yang ustaz fahami?” Begitu lancang mulutku. Namun kesabaran masih tersisa. Melayan orang bodoh, kita juga menjadi bodoh.

Nafsuku memarahi setiap apa yang terlintas di fikiranku. Terngiang-ngiang di cuping telinga dan terbayang-bayang lagaknya di depan mataku. Dengan hidung meninggi dia bercakap angkuh.

“Saya dah lama mengaji agama. Semua hukum telah siap untuk diamalkan. Imam yang empat sudah menggariskan kaedah-kaedah fikahnya. Awak ingat senang untuk berijtihad. Bukan semua orang layak berijtihad. Ikut sajalah hukum yang telah ada.” Betapa tipisnya jawapan yang diberikan. Aku bukan menafikan seluruh kata-katanya itu. Bukan semua manusia boleh berijtihad. Takkanlah tak pernah sembahyang pun layak membuat ijtihad. Tidak boleh jadi begini. Kalau nak menyanggah pendapatku pun biarlah dengan alasan yang konkrit.

Celaka punya otak. Kenapa asyik berputar ligat masa ini. Kenapa tidak dimalukan sahaja ustaz yang bodoh sombong itu dengan soalan-soalan paduku itu. Kenapa dibiarkan saja dia membuliku siang tadi. Kenapa dibebankan dengan fikiran sebegitu. Aku gelisah tidak menentu. Tunjal sana. Tunjal sini. Sahabat di sisi mendengus kuat. Serabut kerana mimpi-mimpinya diganggu. Wahai otak. Hentikanlah berfikir.

Otak? Ah, bukan. Salah. Bukan otak yang berfikir. Tapi kalbu. Tahukah apa itu kalbu, wahai manusia. Ya, kalbu itu bahasa Arabnya. Manusia memanggilnya hati. Sebagaimana yang difahami manusia seluruhnya.

Aku tidak setuju. Ada pendapat tentang itu. Cuba kita renungkan. Jika hati yang berfikir, apakah fungsinya kalbu. Bukankah kalbu itu berfikir, menganalisa, menerima ilham dan intuisi yang diberikan oleh Allah? Jika kalbu dalam bahasa Arab, apa pula istilahnya dalam bahasa Melayu? Bahasa Melayu?

Oh… kalbu itu tiada jawapan istilah yang tepat untuknya. Jadi untuk tidak memeningkan kita mencari nama untuknya, lebih baiklaah sama-sama mempopularkannya dengan nama “kalbu”. Hati tidak berfungsi sebagai pemikir. Sebaliknya ia adalah anggota badan yang berfungsi memproses bahan toksid atau racun dari badan dan menyahkannya melalui sistem perkumuhan dan respirasi. Itu mengikut kajian sains. Untuk lebih jelas lagi kita sifirkan begini:
Hati = liver
Jantung = heart
Kalbu = ?

Jarum jam telah mempamerkan angka lima. Mata tidak mahu juga lelap. Sampai begini sekali penangan pertemuan tadi. Jika tidak kerana egonya yang meninggi tidaklah aku terkedang begini. Tentu pada masa ini dia sedang enak lena memeluk isteri nombor empatnya. Aku juga yang sengsara. Bagai cicak tertelan kapur. Rugikah aku? Mensia-siakan masa tidurku?

Tiba-tiba terasa aliran darah di dalam urat-urat sarafku yang berselirat ditutupi hanya kulit. Satu mesej diterjemah oleh kalbuku. Lantas aku teringat kata-kata “berfikir sesaat adalah lebih baik daripada beribadat satu tahun”. Ya, betul. Aku akui. Dan aku terus menyusun batu-bata pemikiranku yang diterjemah oleh ilham yang kuterima tadi. Berfikir. Mengapa begitu sekali kelebihannya.

Bagai skrip yang telah diatur, aku menuturkan…, “berfikir lebih afdal kerana hanya orang yang cerdik dan peka sahaja akan berfikir. Berfikir itu ialah merenung, memerhati, bertafakur, mengingati dan mencari kebenaran. Tidak semua manusia sanggup meluangkan masa, mengorbankan saat-saat, minit-minit, apatah lagi jam-jam nikmat mereka semata-mata untuk berfikir. Apa untungnya berfikir? Berapa ringgit sekali dapat kalau berfikir? Paling tidak terpaksa bangun lewat untuk pergi kerja keesokan harinya.

Apatah lagi tindakan berfikir umpama semut yang merayap di atas batu hitam di malam kelam. Jika tidak peka, diteliti sudah pasti orang tidak tahu kita sedang berfikir. Paling tidak manusia mengata…, dia itu asyik termenung macam orang putus kasih, dia itu selalu berkhayal, dia itu… dia ini… dan macam-macam lagi. Negatif. Jarang yang bertanya, apakah isu yang awak fikirkan kali ini? Apa hasil kajian awak? Jarang! Melainkan orang itu juga ahli fikir.

Tapi jikalau beribadat, semua orang boleh nampak gerak lakunya. Contohnya sembahyang. Jika tidak, masakan ada gelaran lebai, alim, abid, kuat ibadat dan sewaktu dengannya.” Kerana itulah aku diserang ustaz itu. Hanya kerana aku memberi pendapatku dan meminta pandangannya tentang pendapat dan hujahanku tentang berfikir dan beribadat. Mahunya tidak disanggah aku. Dahinya ada kesan hitam.

“Tanda orang kuat sujud”, katanya.

“Ustaz, saya fikir…” Sebelum habis perkataanku, aku disergah.

“Apa fikir-fikir? Soal agama tidak boleh main fikir-fikir aje. Semua sudah jelas dalam Quran.”

Tak guna punya ustaz. Terkejut badak aku. Masya-Allah. Inikah ulama akhir zaman. Ingin saja kubersyarah di depannya. Ulama’ al-su’ lebih cepat masuk neraka daripada orang kafir. Ulama, kalau senang-senang memberi hukum tanpa berfikir dan merujuk sumber hukum, atau menyembunyikan kebenaran, merekalah yang lebih dahulu dicampak ke neraka daripada orang jahil. Tak gerunkah dia pada amaran itu. Insaf.

Perut menyanyi lagu keroncong. Biarkanlah. Korbankanlah. Bukan mudah menzahirkan kebenaran. Teringat pada kisah di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Ceritanya: Si ayah menceritakan kepada anaknya tentang seorang pemimpin yang dijamin syurga. Lalu si anak bertanya. Kenapa dia boleh masuk syurga? Apa amalannya? Maka si ayah menjemput pemimpin itu bermalam di rumahnya. Dipesan kepada si anak agar memerhatikan segala tingkah laku perbuatan pemimpin tersebut. Maka dipendekkan cerita, sehingga tiba waktu tidur, pemimpin itu terus masuk bilik dan berbaring sambil merapatkan mata. Hanya itu sajalah yang dapat dilihat oleh si anak. Keesokannya si anak bertanya kepada si bapa. Apa istimewanya dia. Tidak beribadat pun dia. Malah dia tidur sepanjang malam. Tersenyum mendengar omelan si anak. Si bapa menjawab.

“Itulah yang tidak diketahui oleh manusia dengan pandangan mata kasarnya. Tahukah engkau bahawa beliau tidak tidur sepanjang malam memikirkan tanggungjawabnya terhadap negerinya dan masalah rakyat.” Apakah Tuhan reda dengan kerja-kerjanya. Akan tergolongkah dia dalam orang yang amanah memikul beban memerintah negara. Ya, begitulah ceritanya.

Selesai sembahyang Subuh, aku terus bersarapan. Keroncong perutku wajib diisi. Bertuah mempunyai sahabat yang mengerti. Satu fikrah. Satu kepala.

“Wahai ahli fikir, makanlah bekalan ini untuk terus berfikir.” Kami sama-sama ketawa.

Sudah arif benar dia dengan setiap keperluanku. Jika berjaga semalaman, maka akan letih lesulah aku keesokannya. Apatah lagi aku ada penyakit darah rendah. Penyakit ahli-ahli fikir. Sambil bersarapan, kunyatakan tugasku hari ini padanya. Mata pena lebih tajam daripada kata-kata. Pemikir-pemikir agung juga semuanya menulis untuk menyampaikan idea dan mengembangkan pemikirannya. Langkah itu mesti kujejaki untuk menjadi manusia agung. Pemikir agung alaf ini. Dia setuju dengan pendekatan terbaruku.

“Lebih berhikmah”, katanya. Lebih selamat untuk mengelakkan debat yang tidak diredai Allah. Aku nekad.

Tanpa bertangguh, aku memulakan tugasku dengan cara baru. Mencari sandaran-sandaran sebagai penguat hujah dan idea yang bakal dikupas. Buku La Bible, le Coran et le Science tulisan Maurice Bucaille kufahami sedalam-dalamnya. Sebelum ini hanya kubelek beberapa helai dan seterusnya dijadikan perhiasan di rak buku. Karya-karya dan hasil tulisan pemikir Nostradamus cuba kuanalisis. Buku The Return of Christ in The Kingdom of God karya seorang sahabatku yang telah terputus hubungan juga kucari di kedai-kedai buku. Khabar terakhir kuterima, bukunya ini diterbitkan oleh Pustaka Minerva. Tapi belum kutemui bukunya di pasaran.

Meneliti dengan pandangan Kalbu, aku berani menulis sebegini: Nostradamus, berlawanan dengan nilaian pemikiran manusia yang menganggapnya ahli nujum, atau peramal adalah seorang Nabi yang diutus Allah pada zamannya.

Ramalan-ramalan tepat yang dibuat olehnya adalah ilham, intuisi atau ilmu laduni yang diberikan kepadanya. Beliau diberikan kelebihan mempunyai telepati dengan masa yang akan datang dan perkara yang akan berlaku. Semuanya itu bukanlah mustahil jika Allah menghendakinya. Sewaktu menggali kubur yang telah diwasiatkan tempatnya oleh beliau sendiri, dijumpai sekeping plat tercatat nama dan tarikh kematiannya. Seolah-olah beliau telah tahu tarikh kematiannya. Ramalannya tentang Revolusi Iran oleh Ayatullah Ruhullah Imam Khomeini pada tahun 1979 juga menjadi kenyataan setelah Shah Iran digulingkan oleh beliau. Beberapa ramalan lagi sedang kuperhatikan. Aku semakin yakin dengan hipotesisku. Kebangkitan Islam yang seterusnya adalah di Semenanjung Timur. Bukan di negara Arab. Aku mengiakan ramalan Nostradamus.

Pelikkah rumusanku ini. Apa-apa pun jua, itulah kebenaran yang kutemui. Pasti aku tidak dapat lari daripada soalan-soalan yang berbentuk kemusykilan dan takwilan-takwilan serta dakwaan tentang hipotesisku itu. Pasti ustaz itu naik darah lagi membaca tulisanku. Ramalanku, dia datang ke pejabatku hari ini juga.

Dapat kubayang matanya yang terjegil. Merah menyala menyinga kepadaku. Berdebat tentang hipotesis dan rumusan gilaku. Bagaimanakah sampai boleh terlepas di majalah tempatan itu. Editornya tidurkah? Majalah edisi Januari 2002 kutatap puas. Orang yang pertama akan kukhabarkan tidak lain dari sahabat belangkasku. Biar apa pun komen yang bakal kuterima, aku rela mendengarnya. Segala cemuhan sanggup aku redahi. Aku seorang pemikir. Pemikir, kalau tidak dianalisis, dihipotesis ideanya, tiada gunanya juga. Ada kritikan bermakna ada masih ada orang yang berfikir. Dan aku akan terus berfikir dan mengolah idea-ideaku. Dengan berfikir aku berasa seolah-olah dekat dengan Tuhan. Bukan berfikir rindukan kekasih yang curang. Bukan. Tapi berfikir menilai kebesaran Tuhan. Dan aku ingin termasuk di dalam golongan orang-orang yang berfikir memerhatikan ayat (bukti-bukti) tentang kehidupan.

Bukankah pemikir juga abid, jika berfikir itu adalah mengingati Allah. Berfikir ada matlamatnya. Biar apa pun pendapat manusia, aku tetap istiqamah. Kebenaran itu tetap kebenaran walaupun tidak diiktiraf dunia dan mahkluk. The truth is out there. Orang putih pun pandai berfikir. Kristian dan Yahudi, Buddha dan segala agama Samawi menggesa pengikutnya berfikir. Terfikirkah ustaz itu? (Aku hanya menyebutkan ustaz sebagai wakil mereka yang satu pemikiran dengannya).

Aku akan menulis lagi selepas ini. Aku membuat ramalan. Tulisan yang seterusnya kuhasilkan bakal membawa seluruh abid dan alim ke alam fikir. Dan tulisanku kali ini berkisar tentang: Siddartha Gautama Buddha, Plato, Socrates dan ramai lagi pemikir agung yang dianggap gila dan kufur adalah tergolong dalam golongan nabi Allah. Mereka mencari kebenaran. Merindukan kesejahteraan, dahagakan kedamaian dan keadilan di bumi ujian. Sebaris permulaan bagi tulisan ini telah ku tintakan di kertas putih. Lalu aku berfikir baris seterusnya…

ROZAIS AL-ANAMY
Pasir Mas
Disember 17, 2000
Dewan Budaya, Ogos 2001

No comments: