Wednesday, September 24, 2008

MATA AYAH

SEBELUM tidur, ayah berpesan. Bangun pagi esok biar awal. Rezeki melimpah ruah pada waktu pagi. Udara bersih kerana belum banyak tercemar. Tidur selepas Subuh mewarisi kepapaan. Pesan seperti itu selalu dititipkan untukku sehingga kukira ianya satu rutin untuk didengari. Lebih dari itu ia merupakan motivasi untukku. Menyedarkan betapa rezeki tidak menunggu sebaliknya memerlukan usaha gigih. Berbekalkan nasihat itu aku cuba melawan nafsu tidurku setiap Subuh.

Selesai mandi, aku bersarapan ubi kayu rebus dan kopi panas. Kemudian aku dan ayah bertolak ke Tanjung Angsa. Sesekali ayah menyapa apabila terasa bajunya terhenjut ditarik olehku. Sapaan itu membangunkan aku. Membonceng basikal di pagi hari yang dingin boleh melenakan juga. Kalau terjatuh di tengah jalan sekalipun mungkin tidak tersedar oleh ayah. Tubuhku yang kecil tidak memakan kudratnya walaupun menaiki lembah dengan basikal tuanya.

Mentari belum menampakkan diri ketika kami sampai ke Tanjung Angsa. Embun di rumput makin menambah kedinginan. Kaki seluarku basah. Selepas menyorong basikal ke dalam bangsal, ayah terus ke bahagian bawah lembah kebun. Anak sawi yang berumur dua minggu hijau segar disirami embun.

Aku yang telah faham dengan tugasku, tidak menanti arahan ayah sebaliknya terus mencabut rumput-rampai dan tumbuhan kecil yang menumpang tumbuh di celah-celah anak sawi di atas batas. Jika tidak dibuang pasti anak sawi tersebut akan terbantut tumbesarannya kerana baja habis diserap oleh rumput dan tumbuhan tersebut.

Sambil mencabut rumput, aku mula membayangkan batas-batas sawi tersebut adalah negaraku. Sawi-sawi pula adalah anak watan negara manakala rumput-rampai dan tumbuhan tersebut pula adalah musuh negara yang menunggu mangsa untuk menghancurkan anak watan negara tercinta. Petualang bangsa dan negara mesti dihapuskan. Dan akulah wirawati yang ditunggu-tunggu untuk menghapuskan mereka yang berani menyusup masuk ke dalam negara dengan niat membunuh kami. Aku pun terus mencabut dengan semangat kepahlawanan. Sebentar sahaja satu batas sawi bersih dari rumput. Bersih rapi.

Tiba-tiba aku terpandang satu objek berwarna hijau di atas sebatang anak sawi. Aku mendekatinya. Tanpa kawalan aku bertempik sekuat hati. Ayah datang menerkam. Cangkul di tangannya terlepas. “Ulat!” Tanganku menuding ke arah batas sawi. Ayah lalu membongkok membuang ulat tersebut. “Ulat bukannya bahaya, cuma merosakkan sawi.” Ada nada tidak puas hati terhadap sikapku. Cuma kerana telah arif dengan fobiaku terhadap ulat, ayah tidak memarahi.

Kesalku membuatkan ayah terkejut makin bertambah bila melihat darah mengalir dari ibu jari kakinya yang terhempas cangkul. Aku mula berpusing ke bangsal untuk mengambil ubat bila ayah bersuara “Sikit sahaja” dan berlalu ke bawah lembah. Aku terkesima. Mungkin ayah tidak mahu mengajarku manja dengan kehidupan.

Hampir tengahari, ayah kembali ke bangsal. Aku cepat-cepat mengemaskan barang-barang. Bimbang tidak sempat bersiap ke sekolah. Ayah tidak pernah terlewat pulang ke rumah kerana telah arif dengan waktu persekolahanku. Sedar akan kewajipannya menjadikan aku manusia berilmu, ayah sering mendorong agar aku berusaha bersungguh-sungguh.

Pernah sekali ketika aku mengeluh kepenatan menyiram sawi, ayah melabuhkan punggungnya, betul-betul di hadapanku. Sambil matanya merenung tepat ke dalam irisku, ayah membisikkan kata-kata yang metah menikam kalbu. “Ayah tidak mahu Ana meneruskan kehidupan seperti yang telah ayah lalui. Hanya dengan ilmu Ana boleh lari dari kehidupan seperti ini. Berjaya menjadi manusia agung di kedua dunia.”

Maka aku pun bersungguh-sungguh mempertahankan kejuaraanku di dalam kelas. Di kebun sawi pula aku makin bertenaga. Ingin kubantu ayah sedaya upaya. Aku tahu kehidupan sebagai petani bukan pilihannya. Namun tanpa sebarang kelulusan, kerja apalah yang boleh dibuat oleh ayah. Aku pun tidak pernah menyalahkan ayah kerana bukan dia tidak mahu bersekolah. Sebenarnya, ayah tidak pernah berpeluang ke sekolah lantaran kemiskinan yang membelenggu kehidupannya sedari kecil.

Ibu dan ayahnya bukanlah dari keluarga berada. Pernah ayah bercerita tentang keperitan hidupnya adik-beradik. Walaupun ayah adalah anak kelapan dari sepuluh adik beradik, dia terpaksa bertungkus lumus bersama kedua ibu bapanya di bendang. Adik beradik yang lain hanya membantu sekadar termampu kerana hanya ayah dan abang sulungnya sahaja merupakan anak lelaki dalam keluarga.

Keperitan hidup makin terasa setelah kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Sewaktu mendapat berita daripada ibu saudaranya di Kota Bharu tentang kedatangan Jepun, datuk cuba mengumpulkan seberapa banyak bekalan makanan untuk mereka sekeluarga. Mengikut ayah, pernah mereka tidak cukup makan apabila beras yang disimpan untuk keluarga terpaksa diberikan kepada tentera Jepun yang akan mengacukan benetnya jika mereka engkar menyerahkan apa sahaja yang diminta.

Malah ayah sendiri telah dikerah memanjat pokok kelapa walaupun baru sahaja sembuh dari demam. Hendak tak hendak terpaksa juga ayah mengerah kudrat yang tidak seberapa memetik kelapa muda untuk tentera Jepun. Menurut ayah lagi, mereka adik beradik juga pernah menikmati hidangan nasi bercampur ubi kayu. Makan bagi mereka hanyalah sekadar mengalas perut. Tambah ayah lagi, sedang enak makan, pasti ibu akan mengingatkan. Adik-adik yang lain belum makan lagi. Lalu, suapan ayah terhenti, sedangkan selera pada masa itu masih membuak-buak. Begitulah sayu dan pilu cerita ayah. Usahkah mahu bersekolah pada masa itu, makan pun belum tentu dapat.

Pernah ayah ditawarkan oleh seorang ustaz dari Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan untuk mengikuti pengajian pondok di sana. Pada masa itu ayah telah masuk ke alam remaja. Suara lunak ayah mengaji al-Quran menambat hati ustaz tersebut. Lantas beliau meminta keizinan dari datuk untuk membawa ayah ke pondok bagi melatih ayah yang mempunyai bakat terpendam. Bersinar-sinar mata ayah mendengar pelawaan ustaz tersebut. Malangnya datuk berat untuk membenarkan ayah ke sana kerana terasa segan lantaran kesempitan wang untuk menampung perbelanjaan ayah.

Ayah yang faham akan masalah datuk cuba memendam keinginannya untuk berguru di pondok agar datuk tidak merasa bersalah kerana tidak membenarkan dia berhijrah. Walhal jauh di lubuk hati ayah seolah-olah terbayang dia memakai jubah dan serban, menjadi imam dan melagukan ayat-ayat suci al-Quran di masjid-masjid. Itulah pengorbanan ayah.

Walaupun tidak berkesempatan belajar di Pondok Pasir Tumbuh, ayah tetap juga mempelajari lagu Nahwan, Bayati, Hijaz, Sikah, Rash dari datuk yang sememangnya tersohor sebagai ‘tukang lagu’ di Terengganu. Darah pendakwah dari nenek moyang yang berasal dari Pattani tetap mengalir dalam diri ayah. Keazamannya untuk menjadi qari negara tidak pernah padam.

Waktu malam, ayah akan duduk mengadap datuk mempelajari ilmu agama dan mengaji berlagu. Siangnya membantu datuk dan nenek di bendang. Sesekali pula menjadi tukang rumah jika ada yang menawarkan kerja. Pendek kata semua kerja dibuat oleh ayah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh datuk.

Jodoh sampai ketika ayah masih remaja. Ibu yang berasal dari Kota Bharu datang berhijrah ke Terengganu mengikut ibu saudaranya. Mereka menyewa rumah di sebelah rumah datuk. Ayah yang selalu berulang alik melalui halaman rumah ibu sentiasa terpandang ibu yang tekun menganyam tikar kercut untuk dijual. Adakalanya ibu sedang menumbuk beras di dalam lesung kayu ketika ayah balik dari bendang. Lama-kelamaan ayah jatuh hati kepada keayuan ibu, tambahan pula sifat ibu yang rajin membantu kerja-kerja rumah. Akhirnya ayah menyuarakan hasratnya kepada datuk. Mungkin kerana jodoh mereka telah ditentukan, tiga bulan kemudian mereka dinikahkan.

Ayah dan ibu memulakan hidup baru sebagai suami isteri dengan penuh bahagia walaupun dihimpit kemiskinan. Ayah meneruskan tradisi keluarganya mengerjakan bendang. Ibu pula membuat sata dan otak-otak dan akhirnya menjadi suri rumah sepenuh masa setelah beranak lapan.

Masih kuingat lagi mukaku merah bagai udang dibakar kerana kesungguhanku untuk menolong ibu membakar sata dan otak-otak. Adik-beradik yang lain pula dengan tugas masing-masing. Mencari kayu api, mengangkut air dari perigi dan menyiang ikan untuk dibuat ikan masin. Selesai membakar sata, aku dan kakak tergopoh gapah bersiap ke sekolah. Malamnya, kakak sering bercerita tentang seorang guru yang selalu menegurnya, bertanya kenapa kukunya kelihatan hitam. Kakak dengan muka merah menerangkan bahawa dia terpaksa memasak menggunakan dapur kayu sebelum ke sekolah.

Malam, kami yang bersekolah mengulangkaji pelajaran di bawah sinaran pelita ayan. Suasana malam yang kelam dan sunyi tidak menghalang kami untuk terus belajar. Sesekali ibu setia menemani kami sambil menunggu kepulangan ayah dari bermain rodat. Pada masa tersebut permainan rodat amat terkenal di negeri kami. Ayah mewarisi kepandaian bermain rodat dari arwah datuk. Semenjak kematian datuk dan nenek, ayah banyak menumpukan perhatiannya terhadap permainan tradisi penduduk Terengganu.

Kerana minatkan rodat, setiap kali terdengar iramanya, bahu ayah akan terhenjut-henjut mengikut alunan yang metah mengasyikkan. Bagaikan jiwa ayah telah bersatu dengan irama itu. Pernah ayah mengajak aku menonton permainan tersebut. Semenjak hari itu aku telah jatuh hati dengan permainan rodat. Cuma tugasku sebagai murid sekolah membataskan aku dari mengikutinya setiap kali ia diadakan.

Sehinggga pada suatu ketika, ayah yang biasanya kelihatan sentiasa tenang, muram air mukanya. Ibu yang metah arif dengan perangai ayah telah menyangkakan sesuatu yangburuk berlaku. Malamnya, baharulah ayah bersuara bahawa dia tidak akan bermain rodat lagi. Alasannya, terdengar suara-suara sumbang yang menuduh permainan rodat membawa kemaksiatan di mana para pemain tidak sedarkan diri dan menggunakan makhluk-makluk halus di dalam permainan. Puas ayah menerangkan kedudukan sebenar tapi dalam hidup bermasyarakat, suara majoriti mematikan pendapat ayah.

Semenjak peristiwa hari itu, ayah meneruskan kerja-kerjanya sebagai petani. Kehidupan keluarga kami dengan adik-adik yang sedang membesar memerlukan sumber kewangan yang lebih kukuh. Maka dengan rela hatinya kakak sulungku menawarkan diri untuk berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu keluarga. Ayah membantah dengan sekeras-kerasnya keputusan kakak tapi kakak yang memang tegas orangnya tetap dengan keputusannya.

Kesempitan hidup makin terasa ketika kakakku yang kedua ditawarkan memasuki universiti. Kerana sayangkan status sebagai anak kampung yang pertama diberi tawaran ke universiti, ayah berikhtiar menjual sebidang tanah pusaka untuk menampung perbelanjaan kakak ke universiti.

Sebelum menanam sawi ayah pernah menyewa sebidang tanah untuk ditanam tembakau. Selama lima tahun mengerjakan tanah tersebut, ayah terpaksa mengalah dengan kemahuan tuan tanah yang tiba-tiba sahaja berminat untuk mengerjakan tanahnya itu sendiri memandangkan hasil jualan tembakau pada masa itu agak mewah. Maka ayah terpaksa akur dan mula menyewa tanah baru untuk ditanam sawi. Peralihan kerja ayah sedikit sebanyak menggugat ekonomi kami. Namun ayah tetap tabah mengharungi onak duri kehidupannya demi kami.

Masih kuingat lagi cerita ibu tentang betapa besarnya pengorbanan. Menurut ibu, pada suatu hari ayah pulang dengan bajunya yang lenjum dibasahi keringat. Ketika mengadap hidangan, abangku yang pada masa itu masih kecil dan sedang berbogel memancutkan air seninya ke dalam pinggan nasi ayah. Malangnya, beras sudah kehabisan. Tanpa banyak soal ayah meminta penapis santan dari ibu dan menyiram nasi tersebut dengan air. Ibu memandang ayah tanpa sepatah kata. Hanya matanya yang berkaca sewaktu menemani ayah menghabiskan hidangannya.

Sewaktu aku memasuki universiti, ayah masih lagi dengan kerjanya sebagai petani. Dan aku setiap kali pulang bercuti masih juga bersama ayah menolongnya di kebun. Tanjung Angsa banyak memberi makna kepada kehidupanku. Yang pastinya, Tanjung Angsa tahu akan qasamku untuk membalas budi ayah dan ibu. Aku tidak akan membiarkan nasib malang ayah dan ibu berkesinambungan.

Ayah sekali-sekala bertanya tentang kehidupanku di universiti. Aku bercerita tentang tugasku sebagai Presiden Kelab Kebudayaan Universiti. Mutakhir, aku memperkenalkan permainan rodat. Ayah hanya merenung ke dalam mataku, dan kulihat matanya sedikit berkristal. Lalu aku membuat jenaka. Bercerita tentang sanggul palsu seorang mahasiswi Cina yang tercabut sewaktu beraksi sebagai Puteri Satu di dalam persembahan Ulik Mayang. Ayah mengukir senyum mendengar cerita tersebut.

Pulangku kali ini membawa cerita tentang seorang anak yang telah berjaya menghadapi cabaran sebagai seorang pelajar di menara gading. Penat lelahku berbalas akhirnya apabila diiktiraf sebagai doktor. Wajah ayah menampakkan kepuasan hatinya. Mungkin kerana gembira setelah berjaya menjadikan aku insan berguna. Sewaktu melewati biliknya, kulihat ayah sedang sujud syukur.

Setelah kehidupan ayah agak senang sedikit, aku mula menyambung pengajianku. Adik-beradikku yang lain juga telah berumah tangga dan bekerja. Ayah masih juga menanam sawi.

Setelah pulang ke tanah air, aku dilantik menjadi dekan di sebuah universiti yang sedang meningkat nama. Ayah tidak pernah mengucapkan tahniah buatku, namun aku tahu, hatinya berbunga seribu.

Suatu hari aku menemui ayah di kebun. Kujemput ayah pulang dengan kereta Mercedes mata bulat. Sewaktu mengadap hidangan makan malam, aku memberitahu tentang gelaran Dato’ yang baru kuterima daripada Sultan. Ayah tidak memberi komen sepatah pun sedangkan ibu pula menangis gembira.

Selesai makan aku melabuhkan punggung di sisi ayah di beranda. Kami sama-sama memandang ke arah cangkul yang tergolek di bawah rumah. Sudah berkarat ia. Air mataku tidak dapat kuseka. Ayah hanya merenung padaku. Sinar matanya masih seperti dulu.

ROZAIS AL-ANAMY
Pasir Mas
Februari 26, 2001

Pelita Bahasa, Jun 2001
Antologi Cerpen Terpilih
Sayembara Cerpen Timur 2000, "Aura",
DBP, 2004.

No comments: