Wednesday, September 24, 2008

KEMBALINYA SEORANG GELANDANGAN

PEMUDA itu tidak tahu ke mana mahu diseret kakinya yang longlai. Perut yang memulas makin menambah kebuntuan. Petang panas dengan debu berterbangan di sapu angin liar turut menyumbang keberangan si pemuda. Dia menyeranah pada matahari yang memancar silau ke matanya yang separuh terpejam.

Bayangan peristiwa dia dihina oleh kawan sendiri masih kuat melekat di benaknya yang serabut. Dia tidak pernah menyangka kawan yang pernah berjanji sehidup semati sanggup membuangnya hanya kerana dia tidak lagi berupaya memberi kesenangan hidup kepada mereka; walhal semasa senangnya, segala suka duka dikongsi bersama.

Kawan yang papa kedana diberinya duit, malah makan-minum mereka ditanggung sepenuhnya tanpa meminta pulangan sesen pun. Dia bukan manusia yang lupa daratan. Kemewahan yang diperolehi secara sekelip mata itu bukan untuknya seorang, ia harus diagihkan; kerana rezeki bagai bulan jatuh ke riba itu sumbernya dari seorang rakannya juga.

Masih terbayang di ingatan, suatu hari doanya dimakbulkan Tuhan. Waktu dia hampir berputus asa kerana hidupnya yang melarat, dia dikunjungi seorang rakan yang lama tidak ditemuinya. Dia terkesip-kesip melihat muka rakan yang terjongol di pintu gubuknya. Azan Maghrib sedang berkumandang sewaktu rakan tersebut menarik tangannya ke luar, menuju ke sebuah kereta mewah yang pernah menjadi idamannya suatu ketika dahulu.

“Tidak guna kau meradang dan menyalahkan orang lain kerana hidupmu yang demikian, kerana nasibmu tidak akan juga berubah, malah makin menambah musuh.”

Kawannya itu cermat menyusun ayat paling sesuai bagi memujuk jiwa si pemuda yang tertekan lantaran hidup gelandangannya semenjak dia dihalau keluar dari rumah oleh keluarga sendiri; setelah segala harta benda mereka dikikis untuk kesenangan hidupnya yang gemar berpoya-poya dan bercampur dengan kutu rayau.

Pemuda yang hidup gelandangan itu dibawa oleh rakannya ke sebuah pub. Dalam kebingitan irama muzik, rakannya menerangkan hasratnya kepada si pemuda. Sesekali tangannya menepuk bahu si pemuda dan sesekali pula tawanya bergelegak.

Pada mulanya, si pemuda agak gusar mendengar penerangan rakannya itu; tentang perniagaan yang ditawarkan kepadanya. Dia yang pada masa itu masih naif, dibidas oleh rakannya sewaktu membangkitkan persoalan kewajaran menjebakkan diri dalam perniagaan tersebut.

“Jika kau yakin Tuhan boleh memberi kekayaan sebaik saja kau celik mata pada pagi esok, akulah orang pertama yang akan menurut prinsip hidupmu.” Dan si pemuda tidak lagi mengungkit hal tersebut.

Kepetahan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh rakannya juga berjaya melenyapkan kegusaran, malah minatnya tambah menyala setelah rakannya memutuskan agar dia menjadi rakan kongsi dalam perniagaan yang tidak sedikit akan memberi habuan kepadanya itu.

“Percayalah, hanya dengan wang kita boleh menguasai. Kau menjadi iri hati dan sentiasa meradang kerana hidupmu yang terbelenggu oleh kepapaan. Sekarang kau pasti mampu membebaskan dirimu dari ikatan neraka dunia.”

Bermula dari malam tersebut, si pemuda mula mengubah diri. Dia menyemat azam untuk menjadi sekaya George Soros, berpengaruh seperti Yahudi dan berpendirian tegar sepertimana Karl Mark. Dia berjanji, dunia yang pernah mencemuhnya akan tunduk pada kekuasaannya nanti. Baginya sekarang, wang adalah Tuhannya. Falsafah itulah yang dianutinya sebagai pendorong.

Sewaktu menerima ganjaran pertama, dia tersenyum megah. Harta, takhta dan wanita berlegar di benaknya. Matanya bersinar, berkaca-kaca apabila membayangkan kehidupannya sedikit masa lagi.

Hari demi hari hidupnya dilimpahi harta kekayaan. Dia amat terhutang budi kepada rakannya yang memberi dimensi baru dalam hidupnya. Dengan tidak perlu bekerja keras, dia mampu menjadi jutawan dalam sekelip mata.

Si pemuda puas menjalani kehidupan sebagai jutawan. Dia megah membeli masa dengan wang. Membeli undang-undang dengan wang. Bukankah dia pernah ditindas dan dihenyak suatu ketika dahulu? Amat wajarlah baginya kini mengecap nikmat hidup pula. Impian hidupnya selama ini menjadi kenyataan. Pagi dia bersuara dengan wang, tengahari dia membeli pengaruh dengan wang, dan malam dia tidur dengan wang.

Harta, wanita dan takhta menjadi rutin hidup si pemuda; sehinggalah pada suatu hari celaka yang meranapkan seluruh hidupnya. Dia diserbu polis sewaktu menjalankan perniagaan haramnya. Nasib baik tidak sampai didakwa di bawah Akta 39B.

Meringkuk dalam penjara bertahun lamanya membuntukan fikiran; apatah lagi teringatkan kawannya yang bertanggungjawab membawanya ke dalam dunia penuh risiko itu. Tiada sesiapapun mengunjunginya; hidupnya sepi. Sehingga pada hari dia dibebaskan pun, dia tidak tahu siapakah yang harus ditemuinya. Apabila terserempak rakan di jalanan, mereka menjauhinya, seolah-olah dia pembawa bala. Hidupnya kembali melarat.

Si pemuda amat letih setelah berhari-hari menjalani kehidupan yang tak tentu hala. Sewaktu rebah di pintu pagar rumah yang pernah menjadi miliknya dahulu, dia mula terfikir, roda hidupnya telah berputar ke bawah. Kenangan silam sebagai gelandangan muncul di benak.

Dunia sudah hampir kiamat, dia menggerutu lagi. Malah dunia sudah tidak bermakna apa-apa lagi padanya. Ia tidak lebih daripada sehelai sayap nyamuk yang telah gugur dari jasad yang mati.

Tuhan sudah mati! Tempiknya lagi. Gagak-gagak yang berceretet di kabel elektrik bertempiaran terbang. Dia menekan perutnya sambil mengaduh. Rasa pedih dan senak menikam ulu hati. Kini, dia tidak percaya akan kewujudan Tuhan kerana jika Tuhan wujud, keadaannya tidak sebegini rupa. Si pemuda membebel tidak putus, menyalahkan takdir yang tidak menyebelahinya.

Salahkah dia bercita-cita menjadi kaya-raya, bukankah dengan menjadi kaya dia boleh menolong marhaen dan kemacar? Bukankah dengan ekonomi Yahudi boleh membeli dunia? Kenapa Tuhan tidak membiarkan rakan yang mengkhianatinya itu ditimpa nasib sepertinya? Dia menentang langit, melontar soalan bertalu-talu.

Dia hanya ingin membantu anak yatim, menghulur bantuan kepada pelarian Palestin dan mangsa perang di seluruh dunia. Dia tidak mahu mereka menjadi mangsa kepapaan dan kemelaratan hidup. Bukankah kepapaan menjurus kepada kekufuran? Namun kenapa Tuhan tidak merestuinya, kenapa hidupnya ditakdir sebegini rupa?

Si pemuda menekan lagi perutnya yang pedih sambil merintih, sejenak kemudian terlelap. Dia bermimpi berada di sebuah singgahsana, mengagihkan wang kepada fakir miskin dari serata dunia, seorang pun tidak tertinggal. Mereka datang dari segenap jihat untuk mengadu nasib kepadanya – jutawan dermawan.

Seorang yatim dari negeri atas angin memujinya kerana sifat murah hatinya, menyamakannya dengan hartawan Mekah, Abdullah Ka’ki yang menghabiskan sejumlah besar masanya di tiang Masjidil Haram. Sepasang suami isteri fakir dari negara jiran pula sanggup menghadiahkan anak gadisnya untuk berkhidmat untuknya. Yang tepok datang berpapah, yang buta datang berpimpin, dan memujinya dengan gelaran yang muluk setelah mendapat habuan.

Santak ke dinihari masih ramai yang datang, sehinggalah dia terpaksa memerintahkan pintu istana ditutup agar dia dapat berehat seketika. Sebaik saja dia beredar turun dari singgahsana, seorang pengawal memaklumkan bahawa seorang fakir dari Timur Tengah terlalu ingin menemuinya, dan tidak mahu pulang ke negaranya selagi tidak dapat berjumpa dengan manusia tersohor di jagat raya itu.

Dia membenarkan fakir tersebut menghadap. Sebaik memandang wajah si pemuda dermawan, si tua fakir yang berjubah, berserban dan berjanggut putih itu memberi salam. Si pemuda terus menghulurkan sejumlah wang kepadanya, agar tetamunya itu cepat beredar. Namun si fakir dengan suara lemah lembut menolaknya, dan tanpa sempat si pemuda bertanya, dia bersuara.

Hamba amat menyanjungi sikap anak yang dermawan, kerana mudah bagi anak menjelaskan di mahkamah Akhirat tentang ke manakah harta anak dilaburkan…”, dia menarik nafas dalam dan menyambung, “Namun dapatkah anak jawab di hadapan Tuhan akan sumber pendapatan anak selama ini, dan sanggupkah anak bertanggungjawab ke atas darah daging yang terjadi dari sumber tersebut sekiranya seluruh mereka yang datang tadi menyuruh anak menjawabnya bagi pihak mereka nanti?”

Dia terkedu, terduduk oleh pertanyaan tak diduga itu; dan sewaktu dia ingin bertanya lebih lanjut siapakah sebenarnya si fakir itu, orang tua itu sudah pun ke luar istana. Diperintahnya pengawal menurut jejak, namun mereka pulang dengan wajah hampa.

Si pemuda tersedar dari lelapnya sewaktu angin keras menerbangkan daun kering ke wajah kusamnya. Peluh memercik di seluruh badannya. Hari sudah lewat senja dan perutnya yang sejak tadi memulas bertambah pedih apabila dia teringatkan mimpinya tadi. Rasa sesal dan pilu bersipongang dalam jiwanya. Dalam kelesuan, dia merangkak ke sebatang pohon berdekatan rumah tersebut; namun sebelum sempat sampai sehasta, seorang tua menghampirinya.

Dalam ilam-ilam senja, dia sempat menjeling ke arah manusia di depannya. Si pemuda tergamam melihat wajah bersih orang tua yang rasanya pernah ditemuinya. Ya, itulah orang tua yang mengunjunginya dalam mimpi.

“Nama bapak, Abdullah Ka’ki. Ini rumah bapak. Kenapa anak berada di sini? Si pemuda bingung dan tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Tanpa sedar dia menangis semahu-mahunya.

ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
Januari 19, 2003

Tunas Cipta, Disember 2003

No comments: