Wednesday, September 24, 2008

ILI MELI

KERUH kalbu Awang Lah sekeruh air Sungai Kelantan. Tergamak Kasim Tembakau menyumpah seranahnya di depan khalayak. Kalau tidak Tok Penghulu Jasin masuk campur, tentu banyak lagi caci maki Kasim Tembakau terhadapnya. Malunya bukan kepalang. Tebal kulit muka dibuatnya. Semua pengunjung Kedai Kopi Haji Soh telah mendengar sumpah cerca Kasim Tembakau.

Tidak sangka pula anaknya Meli sudah berani bertindak. Naik angin. Dulu, setakat berkurung dalam rumah sahaja. Paling tidak pun, bercakap seorang diri. Tidak pernah pula dia kacau orang lain. Apatah lagi harta benda. Pelik memikirkannya. Hantu mana yang merasuk Meli kali ini? Dicantasnya tanaman tembakau Kasim Tembakau yang sudah boleh dipetik daunnya. Kalau dia sendiri empunya tanaman, tentu hampir separuh gila juga mengenangkan nasib. Tapi patutkah disalahkan Meli yang tidak siuman itu?

Mengenangkan anak tunggalnya yang sudah ketiadaan ibu itu, kesayuan Awang Lah makin parah. Apalah dosa anaknya Meli dibedal sedemikian. Puas dipujuknya Kasim Tembakau siang tadi. Duit ganti rugi tembakau akan dibayar bila hasil padi sudah terjual. Bukan dia hendak lari dari tanggungan masalah. Cuma sekarang dia tidak cukup duit. Hendak membeli lauk pun susah. Lagipun, perkara sudah berlaku. Menyesali apa yang terjadi hanya merosakkan diri. Langkah yang utama ialah memikirkan tindakan yang perlu dibuat. Tambahan pula Meli gila isim. Dibedal seratus kali pun dia bukan boleh menggantikan kerugian tersebut. Silap haribulan mandul Meli jadinya. Kasim Tembakau peduli apa. Dibedalnya juga Meli sambil menyumpah seranah.

"Anak engkau ini gila. Gila. Masakan engkau tidak tahu. Entah-entah engkau pun gila macam dia juga. Sudah keturunan agaknya gila engkau ini. Orang lain pun belajar agama juga tetapi tidaklah sampai gila macam anak engkau ini. Kalau sudah tahu anak gila isim, tambat sahajalah di rumah. Menyusahkan orang sahaja." Bibir Kasim Tembakau yang hitam kesan merokok ingin sahaja dirobeknya. Terlalu lancang.

Pedih kalbu Awang Lah tiada siapa yang mengelusnya. Tercabar maruah sebagai seorang bapa bila anak sendiri dibelasah di depan mata. Kudrat tuanya tidak dapat menandingi tubuh sasa Kasim Tembakau. Nasib baik Tok Penghulu Jasin cepat datang menyejukkan Kasim Tembakau yang sudah masuk hantu. Meli sudah terjelepuk ke tanah.

"Aku tahu anak aku gila. Tapi ini bukan caranya, Kasim. Cuba mengucap Kasim. Mengucap. Bukankah aku sudah berjanji akan membayar ganti rugi tersebut? Walaupun tidak hari ini, pasti aku bayar."

Dengan mata menyala Kasim Tembakau menjerkah. "Bayar kepala otak engkau. Berapa karung duit kau ada untuk bayar ganti rugi? Anak kau sudahlah gila. Sesen pun tidak boleh bagi duit. Buat apa dibela budak isim itu? Mampus lagi baik!"

Kuasa Tok Penghulu Jasin pun setakat meleraikan pergaduhan dan memberi nasihat. Ganti rugi sebab perbuatan Meli dia seorang yang menanggung. Terasa ada gunung terhempap di pundaknya. Air Sungai Kelantan makin kelam di pandangan. Nyamuk sudah lama kenyang menikmati darah Awang Lah. Azan Maghrib yang berkumandang menyentakkan lamunan Awang Lah. Segera Awang Lah bingkas pulang ke rumah. Sudah bangunkah Meli yang ditinggalkannya sedang tidur tadi?

Kegelapan malam yang datang menambah lagi rasa kebersalahan dalam diri Awang Lah. Kalau isterinya masih ada, boleh juga dia berkongsi masalah. Mengenangkan yang telah tiada pun apa gunanya. Saodah telah menjadi tanah. Mengingati Saodah, Awang Lah masih menyalahkan dirinya kerana tidak dapat menyelamatkan Saodah yang mati lemas sewaktu mencari etak di Sungai Kelantan. Sepatutnya tidak dibiarkan Saodah pergi seorang diri. Bukan dia tidak tahu penyakit isterinya. Penyakit epilepsy menyerang tidak tentu masa. Kalau tidak si mangsa mati lemas, biasanya akan mati dalam kebakaran. Begitulah yang pernah dikatakan doktor sewaktu Awang Lah membawa Saodah mendapatkan rawatan; juga jiran tetangga dan saudara mara yang tahu.

Awang Lah menghela nafas kecewa bercampur sesal. Igauan Meli mematikan fikiran yang berserabut dalam jiwa. Meli bukannya gila sejak lahir. "Wujudkah orang gila sejak dari lahir lagi?" Gerutu Awang Lah. Setahunya tiada pula. Meli pun bukannya gila sejak lahir. Rasanya bukan juga kerana dia Meli jadi gila. Bukan kerana isterinya. Bukan kerana keturunannya. Tidak tahu Awang Lah dari mana asal bermula gila Meli.

Di kampungnya pun bukan Meli seorang yang gila. Kegilaan ada bermacam jenis. Kasim Tembakau pun ada gilanya. Gila betina. Ramai anak dara kampung digodanya. Mula-mula diupah menanam tembakau. Sambil menanam matanya tidak lepas menjeling punggung gadis-gadis yang bertonggeng menyulat anak tembakau. Selesai memetik daun peringkat pertama, belang Kasim Tembakau mula terserlah. Duit sudah di tangan. Milah diajak ke luar hari Sabtu. Ronda-ronda di Kota Bharu. Lewat malam masih bercanda di Pantai Cahaya Bulan. Muak dengan muka Milah, Lijah yang berbadan lentik disapunya. Mula-mula diajak ke luar sebagai pekerja dan majikan. Lama-kelamaan Lijah pun berbadan dua. Hampir naik gila isterinya. Mek Bidah mengamuk. Apatah lagi terpaksa bermadu dengan Lijah yang menjadi idaman anak teruna kampung.

Naimah tunangan Meli pun dijeratnya sama. Walaupun Naimah pada mulanya bagai liar merpati, akhirnya bertukar menjadi belangkas dengan Kasim Tembakau. Meli sudah tidak dikenalinya. Hanya Kasim Tembakau dipujanya. Sakit kepala Tok Penghulu Jasin menangani masalah penduduk kampung. Apatah lagi Naimah sudah tunangan orang. Rumit untuk diselesaikan. Waima bercupak nasihat diberikan, Naimah tetap memilih Kasim Tembakau. Minyak cenua Kasim Tembakau mengatasi kasih Naimah pada Meli. Dengan alasan mengelakkan maksiat, Tok Penghulu Jasin mencadangkan Kasim Tembakau dan Naimah dinikahkan. Pada malam perkahwinan mereka itulah, Awang Lah kehilangan anak kesayangan.

Di Kampung Aur Duri, kehilangan Meli dilaporkan kepada polis. Setelah sebulan, Meli masih tidak juga dijumpai. Sehinggalah pada raya tahun lepas, sebuah kereta peronda polis berhenti di depan rumah Awang Lah. Bersama mereka ada Meli yang kelihatan kusut masai dan amat kurus susuk tubuhnya.

Awang Lah masih menghitung-hitung. Salasilah keluarganya tiada pula yang berketurunan gila. Cuma Saodah mengidap gila babi. Bukan gila meraban seperti Meli. Nenek moyang Saodah berasal dari Selatan Thailand. Merantau ke Kelantan sebagai mubaligh. Buktinya, masih ramai saudara maranya berada di sana. Saodah pula disuntingnya dari keturunan ulama' di Besut. Itupun dari keturunannya juga. Cuma keluarga Saodah diasingkan oleh jarak sempadan ciptaan manusia. Dulunya Besut adalah milik Kelantan. Tetapi kerana kelalaian pemerintah, Besut tergadai kepada Terengganu.

Sesekali memikirkan sikap orang kampungnya gemar berlaga ayam, dan tidak pernah mahu berubah ke arah kebaikan, ingin sahaja Awang Lah berhijrah. Tapi terfikir pula Awang Lah, sudah cukupkah dakwah pada jiran-jirannya? Darah sufi yang mengalir dalam dirinya memujuk agar menuding jari ke muka sendiri dahulu. Rasulullah sendiri bersabar dan meneruskan dakwahnya. Sambil menghitung-hitung keadaan , Awang Lah tertidur.

Kokok ayam yang bersahut-sahutan membangunkan Awang Lah. Baru disedari, sudah Subuh rupanya. Dijenguknya bilik Meli. Tiada kelihatan kelibatnya. Ke manakah perginya Meli pagi-pagi buta begini? Badannya masih lemah. Awang Lah dengan segera ke perigi. Meli tiada di situ. Dijenguknya di sebalik rimbunan pokok 'bintang berayun'. Pun tiada. Meli tiada di mana-mana. Awang Lah terpaksa mengalah. Fajar hampir menyingsing. Kewajipan mesti ditunaikan.

Berdasarkan pengalaman, Awang Lah yakin Meli akan kembali dalam masa terdekat. Paling lama pun seminggu. Kalau tidak, mungkin sebulan. Meli pergi sehelai sepinggang. Macam kehilangannya yang pertama. "Sejuk hatinya, kembalilah Meli," fikir Awang Lah. Tepatnya memujuknya hati yang gundah.

Meli yang ditunggu tidak jua kunjung tiba. Penantian Awang Lah belum berhasil. Kedut di dahi semakin bertambah. Awang Lah cuba menerima takdir. Namun di hati kecil masih terkilan. Kehilangan Saodah ada nisan, ghaibnya Meli tiada kesan.

Setiap ujian ada teladan. Suria bersinar, kabus sirna. Awang Lah akur kebesaran Ilahi. Sepuluh tahun di dalam kepedihan ditinggal orang tersayang, ingatan kepada Meli tidak pernah pudar.

Pada suatu subuh ketika Awang Lah turun ke tanah untuk mengangkat wuduk, tiba-tiba jantungnya berdegup kencang. Awang Lah disapa seorang pemuda yang tiba-tiba muncul dari sebalik rumpun "bintang berayun." Tampan wajahnya mengingatkan Awang Lah kepada Meli. Tekaan Awang Lah tepat sebaik sahaja pemuda itu datang memeluknya. Panggilannya kepada Awang Lah tambah meyakinkan.

Sambil berehat di beranda, Meli menceritakan kisahnya. Bermula dari kehilangannya pada suatu pagi sehingga sembuh dari penyakitnya. Menurut Meli, dia merayau-rayau di sebuah bandar tiba-tiba dilanggar kereta. Sebaik sedar dari pengsan selama tiga hari, Meli dibawa ke rumah Dr. Firdaus yang merawatnya. Dr. Firdaus mengenalpasti Meli mengalami tekanan jiwa berpunca daripada penderitaan dan asakan hidup yang keterlaluan. Meli bukan sekadar dirawat Dr. Firdaus malah diterima sebagai keluarga angkatnya.

Meli diberi peluang menjadi pembantu di klinik Dr. Firdaus. Bermula dari situ dia berminat untuk mempelajari ilmu perubatan alternatif iaitu Perubatan Getaran (Vibrational Medicine) yang ternyata dapat mengenalpasti punca penyakit yang tidak mampu diubati oleh perubatan moden, di samping merawatnya. Meli mengorak langkah dengan bantuan semangat dan kepakaran Dr. Firdaus. Meli mengikut nasihat Dr. Firdaus. "Tiada istilah terlewat dalam mencari ilmu". Sejak pertemuan dengan Dr. Firdaus, Meli berili kepada kehidupan yang lebih bemakna, hijrah dari sebuah kegelapan yang sirna.

Meli diperkenalkan dengan kaedah rawatan yang membabitkan proses penyembuhan yang holistik dan sistematik ini. Ia menyerupai cara homeopati cuma dipermudahkan dengan menggabungkan kaedah perubatan alternatif, komplimentari dan tradisional pelbagai budaya dari seluruh dunia. Dari pembelajarannya, Meli mengetahui bahawa ketidakseimbangan tenaga dalam tubuh manusia menjadi punca pelbagai penyakit. Cara mengubatinya ialah dengan mengembalikan keseimbangan dalam bahagian badan terbabit. Menariknya, cara perubatan dengan sentuhan tapak tangan dan hujung jari itu telah menyelamatkan Meli dari terus menjadi layang-layang yang terputus talinya. Melalui kaedah inilah Dr. Firdaus dapat mengenalpasti penyakitnya.

Awang Lah tidak putus-putus bersyukur di atas kepulangan Meli. Kejayaan Meli sebagai pengamal perubatan alternatif adalah hadiah kesabarannya dalam sebuah penantian yang panjang. Awang Lah bangga. Insan yang pernah dicerca telah menjadi manusia berguna. Terdetik di hatinya untuk meminta Meli merawat Kasim Tembakau yang sedang tenat menghidap penyakit respiratori. Pembunuh keempat selepas barah, penyakit jantung dan buah pinggang. Penyakit yang sering dikaitkan dengan saluran atau organ pernafasan seperti asma, batuk kering, barah peparu, jangkitan peparu termasuk mereka yang dijangkiti virus HIV serta menghidap komplikasi pelbagai penyakit.

Kasim Tembakau tidak pernah mahu ke hospital. Jika didesak sekalipun dia tetap berdegil menolak. Penduduk kampung tidak pula menyangka tentang ketakutannya yang amat terhadap hospital. Setelah jemu memujuk, mereka habis ikhtiar. Mereka sudah arif akan perangai Kasim Tembakau. Dia sanggup bergolok jika ada di antara mereka mengatakan penyakitnya berpunca dari ketagihan rokok.

"Apa engkau ingat, semua yang menghuni kubur itu kerana merokok?" Kejahilannya tentang perangkaan laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan kematian empat juta perokok di seluruh dunia setiap tahun atau 11,000 orang sehari menenggelamkan kepentingan menghargai nyawanya.

Meli hanya tersenyum bila ayahnya menyuarakan hasrat supaya Meli menjenguk Kasim Tembakau. Tiada dendam di wajah Meli. Awang Lah terpempan apabila mendengar Meli menuturkan "Jika pelampau agama Kristian dan Yahudi sanggup mengenepikan fahaman agama untuk memerangi Islam, apakah Melayu tidak boleh melumatkan dendam untuk sebuah perpaduan?" Sayu hati Awang Lah bila Meli dengan jawapan sesejuk salju mengajak dia bertolak.

ROZAIS AL-ANAMY
Pasir Mas
April 1, 2001

Antologi Cerpen "Janji Mandala Hijau",
DBP, 2005.

No comments: