PERISTIWA itu menggunakan latar masa yang tiba-tiba. Hanya itu yang dapat aku katakan. Saksinya hanya aku, dia dan sahabatku. Janjinya untuk mempertahankan kami hanya bagai angin lalu. Terlalu rapuh. Sebaliknya dihamburnya nasihat yang kukira adalah deraan mental. Malangnya, saksiku hanyalah Tuhan yang bagaimana akan kujemput ke mahkamah keadilan bagi membuktikan janjinya padaku.
“Baik engkau lawan. Orang begitu bukan boleh diberi muka. Bukan salah engkau. Aku sanggup ambil kes begini.” Masih kuingat lagi janjinya. “Buka fail berapa? Dikira klien atau member? Gurauku. “Ini soal maruah. Masih jua engkau mempersoalkan mengenai bayaran. Apa yang pasti aku akan menangkan kes kau.” Lega rasanya hati. Aku amat menghargainya bila secara yakinnya dia memberi nilai pada sebuah persahabatan. Masih ada nilai persahabatan di muka bumi yang penuh manusia bermuka materialistik.
Sejak hari itu, pejabatku sering dikunjungi peguam muda yang sedang melonjak nama itu. Berbicara tentang saman malu yang bakal dikemukakan. Sehinggalah pada suatu hari. Dengan muka yang tidak pernah kulihat sebelum ini, kelu memandangku.
“Aku rasa aku patut menarik diri dari mengendalikan kes kau. Aku tidak mahu terlibat dengan orang-orang berpengaruh. Karierku baru bermula. Sejak peristiwa kau hari tu, aku banyak menerima panggilan. Mereka mempersoalkan kewibawaanku. Tiada kes lainkah yang boleh aku ambil sehingga kes sekecil itu pun aku bersusah payah ke sana ke mari”, jelasnya sambil mata tunduk memandang karpet.
Aku hanya terdiam. Mencari kepalsuan dari sinar matanya. “Betul itu saja masalah engkau. Bukan kerana isterimu, atau kerana aku belum membayarmu walau sesen pun?” Cuba kuteka permasalahan sebenar dari tutur katanya. Renungan mataku membuka mulutnya. “Semalam rakan peguamku menelefon. Katanya ada kes besar untuk aku. Kes rogol. Keluarga tertuduh sanggup mengupahku sebanyak mana yang aku mahu asalkan kesnya menang. Maruah keluarganya mesti dijaga kerana pasti masyarakat tidak boleh menerima maksiat yang dibuat oleh keluarga berketurunan mulia. Engkau pun tahu kan? Keturunan sedemikian memang menitikberatkan soal maruah.”
“Kau menerima kes tersebut?” Soalku menduga reaksinya. “Aku fikir aku wajib menerimanya.” Jawabnya pasti. “Bagaimana dengan kesku. Sempatkah kau menanganinya?” Mataku tertancap tepat ke dalam irisnya. “Kes rogol itu perlu diselesaikan dulu. Aku harus menumpukan perhatian kepada kes tersebut kerana kejayaan kerjayaku boleh diserlahkan dari kes-kes sebegitu.”
Dari jawapannya dapat kuduga usaha yang bakal terbengkalai. Namun pantang bagiku jika janji tidak ditepati. Biarpun aku tidak minta dia berjanji, jaminannya untuk mengambil kes tersebut masih belum aku lupakan. Mempertahankan janji tersebut aku membuka mulut, “bukankah seorang peguam amat mementingkan undang-undang dan peraturan. Turutan angka satu dan dua, mana yang dahulu? Bukankah kes rogol itu datang mengekori nombor pertamaku?’
Belum sempat dia menjawab, aku menambah lagi. “Maruah yang bakal kau pertahankan itu maruah manusia atau maruah binatang. Belum kau justifikasikan lagi keadilan yang bakal kau apungkan. Manusiakah perogol itu apabila dia mengikut nafsunya merogol wanita yang tidak berdosa itu. Mangsanya adalah insan-insan sama jantina dengan ibu atau adik perempuannya Bermaruahkah dia bila tidak terlintas di fikirannya tentang maruah seorang perempuan yang dirogolnya?” Bertalu-talu hujahku persis menyoal tertuduh di kandang pesalah. Deringan telefon menyelamatkan dirinya. Seorang klien ingin berjumpa. Dia segera meminta diri. Soalanku tidak berjawab.
Aku sedang membaca buku “Bidak-Bidak di Papan Catur Iblis” terjemahan dari buku Pawns in The Game karya William Guy Carr. Kucuba menghafal plot-plot perancangan pembunuhan Nabi Isa a.s agar senang kuterangkan kepada sahabat belangkasku yang tidak suka membaca, tetapi sentiasa menyuruhku mengulas balik apa yang kubaca. “Rumah ini didirikan untuk beribadat kepada Tuhan… tetapi kamu telah menjadikannya sebagai sarang-sarang untuk pencuri.” Kritikan Nabi Isa a.s. telah menimbulkan kemarahan dan dendam membara di kalangan Yahudi yang digelar Nabi Isa a.s sebagai Jemaah Kuil Syaitan. 30 keping perak sudah cukup membeli maruah Judas bagi membunuh Nabi Isa a.s. penegak kebenaran. “Senangnya maruah tergadai kalau iman tidak setegar besi waja.” Hatiku berbisik.
Aku masih sedang membaca semasa dia memberi salam. Kupersilakan duduk. Kutarik kerusi menghadapnya. Setiap kali dia datang, aku pasti akan berhenti dari kerja-kerjaku dan melayannya. Tidak sayugia kukira jika mengabaikan kedatangannya sedangkan aku hanya usahawan kecil dan dia pula peguam yang dihormati. Lebih dari itu kerana perasaan hormatku pada seorang peguam walaupun dia sendiri sahabatku. Tugas membela kebenaran dan keadilan bukan kerja yang senang.
“Tidak banyak kerja hari ini?” Selamba sahaja suaranya. Aku tersenyum hambar. Kukira dia telah melihat aku sedang khusyuk membaca tadi. “Nasihatku padamu, janganlah terlalu mengikut emosi bila menghadapi kes sebegini. Aku tahu bukanlah kerana duit kau sanggup menuntut saman malu.” Lirih suaranya. “Habis kerana apa?” Tingkahku.
“Aku diberitahu bahawa dia telah lama memusuhimu, sejak kehadiranmu di bandar ini lagi. Perniagaanmu menjejaskan rezekinya. Banyak juga kudengar jiran-jiran pejabatmu berbual perihal kerja ‘malam’ kau. Apa lagi yang dibuat oleh anak dara di waktu malam. Pejabat dikunci sedang engkau berada di dalam. Apatah lagi baru setahun berniaga, kereta sudah berganti baru” Jelasnya.
“Habis engkau percaya tuduhan mereka? Adakah dengan hanya menutup pintu dan menyepi di dalam pejabat aku dituduh sedemikian rupa? Sempitnya dunia mereka” Suaraku menunjukkan rasa kesal yang amat sangat.
“Maksudku, lebih baik kalau kau cuba jelaskan pada mereka situasi sebenar. Mengapa engkau sering bekerja malam dan terpaksa menutup pintu pejabat”. Agak kurang sopan bila aku meningkah kata-katanya. “Bila prejudis telah menutup pintu kalbu mereka, usah lagi kita menunjuk gagah mengetuknya dengan kata-kata kebenaran. Makin menambah parah.”
“Aku telah lama bersabar dengan perangai mereka. Aku kesal dengan sikap orang Melayu sendiri, Islam lebih-lebih lagi. Mengumpat saudara sendiri. Dengkikan kejayaan orang lain. Tambahan pula aku sepatutnya dididik oleh orang yang lebih berpengalaman seperti mereka. Tujuan aku memilih lokasi ini untuk membuka tapak perniagaan kerana perihal kesopanan dan kesusilaan penduduknya. Lebih-lebih lagi kudengar mereka kuat berpegang kepada Islam.”
Kusambung lagi, “aku sanggup bersabar jika hanya umpatan yang aku terima. Tetapi bila mereka menyerbu pejabatku pada malam itu hanya kerana menyangka aku bermukah, aku tidak boleh berdiam diri kerana bagi wanita sepertiku, maruah adalah segala-galanya.”
Sayu suaraku mengenangkan nasibku di rantau orang. Keluargaku tidak kuberitahu mengenai kejadian ini. Aku tidak mahu membimbangkan mereka. Sedari kecil aku sememangnya berdikari. Tambahan pula aku tidak bersalah. Mereka tiba-tiba sahaja berlalu tanpa meminta maaf kepada kami yang terkulat-kulat tidak pasti kenapa kami diserbu. Sahabatku cepat-cepat mengenakan tudungnya. Aku sendiri bernasib baik belum menanggalkan tudungku kerana berasa agak sejuk. Skrin komputer memaparkan mukasurat separuh bertaip. Terpapar tajuk cerpen “Mencari Nostradamus”.
April 24, 2000.
Kepada sahabat yang pernah kukenali dan amat kuhormati,
Terasa terlalu sebak untuk menjelaskan segala apa yang telah diperkatakan. Dan agak sukar untuk menuturkannya. Maka, hanya dengan cara ini saya fikir paling sesuai untuk saya menyuarakan sesuatu. Terima kasih yang tidak terhingga di atas segala teguran dan nasihat yang telah diutarakan dan rasanya tidak terbalas oleh wang ringgit masa yang telah diluangkan. Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa jika tidak memahami apa yang cuba saya perjelaskan tetapi berasa amat terkilan kerana tidak dapat meyakinkan seseorang yang maruah wajib dipertahankan di masa ia disepak-terajang oleh kebanyakan manusia. Saya tidak memandang remeh peristiwa pada malam itu. Walaupun pihak tertentu ada meminta maaf menerusi surat rasmi mereka, maruah kami tidak dapat ditebus. Prasangka mereka sahaja sudah cukup mempersoalkan maruah saya. Wanita dihina jika tidak menjaga maruah. Wanita itu jugalah yang dihina apabila mempertahankan maruahnya. Sikap ego dan kebodohan seorang lelaki dijadikan alasan untuk mengorbankan maruah wanita. Adilkah begitu wahai Tuan Peguam?
Saya tidak terkilan seandainya anda menarik diri daripada kes saman malu ini jika alasannya anda tidak yakin akan kemenangannya, tetapi apa yang saya kesalkan ialah bila anda boleh meletak nilai kepada maruah seseorang. Maruah perogol adalah lebih penting bagi anda kerana saya sendiri tidak perlu gusar pada keturunan. Saya rakyat marhain. Kadangkala antara periuk nasi dan prinsip keadilan serta maruah yang ingin dipertahankan, hanya iman menjadi pemberat antara keduanya.
Kita hanya perlu bertanya kepada diri, apakah matlamat yang ditegakkan. Tiada mahkamah yang menegakkan kejahatan. Itulah yang anda pelajari sewaktu di universiti, bukan? Kita belum tahu kerenah masyarakat. Kita tidak melihat realiti dunia. Kita angguk bila pensyarah berkata demikian. Kita amat bersih semasa sedang menuntut. Gelora dan tipu daya dunia tidak kita fikirkan. Nah! Bila kita keluar dari dunia kampus, baru kita tahu apa yang kita pelajari, tidak semuanya boleh dipraktikkan. Keadilan tidak memberi makan kepada anda. Pertahankan prinsip, anda akan dipersoal. “Jika tidak membela orang salah, apa gunanya anda menjadi peguam?”
Ingatkah anda tentang seorang rakan yang dibuang kerja kerana tidak mahu mengendalikan kes rasuah orang ternama? Hujahnya, “tugas aku seorang peguam adalah mengapungkan kebenaran, bukan membela orang berdosa yang telah jelas mengaku bersalah dan mahu menutup kemungkarannya dengan belitan lidahku. Aku akan membelanya apabila neraca di mahkamah kita disenggengkan sedikit.” Masihkah kau ingat kisah rakan kita itu. Dia bagiku adalah wirawati keadilan dan maruah. Keyakinannya mempertahankan prinsip perundangan bagai kisah James V. Forrestal yang dibunuh kerana menyuarakan kebenaran. Tapi usahanya disalahtafsirkan oleh Presiden Roosevelt. Sia-siakah perjuangannya?
Akhirnya, antara dua persimpangan, hak dan batil, putih dan hitam, turutilah sirat al-mustaqim. Pasti kau tidak kesalkan apa fitnah manusia. Turutilah kata hatimu tentang kebenaran.
Salam dari rakanmu,
MARYAM ISABELL
Aku mengambil keputusan menulis sahaja kepadanya daripada berhujah seperti hari-hari yang lalu. Panggilan kepadanya sudah bertukar rasmi. Semenjak hari itu hubungan kami tidak selancar sebelum aku mempersoalkan tentang prinsipnya sebagai peguam. Sikapnya pada hari itu mematikan hajatku untuk terus berdiskusi. Marahnya bukan kepalang. Bagai tedung sela yang terancam, dia menyemburkan bisanya. Tiada lagi teduh mata sahabat. Tiada lagi kata-kata meyakinkan dari seorang peguam.
Peristiwa ini amat memaknakan hidupku. Jika Nero, Emperor Rome sanggup memerintah Seneca, sahabatnya merangkap gurunya sendiri membunuh diri demi nama baik serta kedudukannya, tidak hairan jika sejarah berulangan. Persahabatan Jebat dan Tuah juga menjadi iktibar. Walaupun insaf mengalami rentetan peristiwa sedemikian, aku pasti akan lahir jua ikatan erat sahabat demi menjulang kebenaran dan keadilan sepertimana yang dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Neraca keadilan Tuhan tidak pernah sendeng. Tidak pernah terdengar gemerencing neraca keadilan di mahkamah yang baqa’. Dan aku pasti, sahabat belangkasku, bekas peguam yang dipecat akan menyahut hajat murniku ini.

ROZAIS AL-ANAMY
Pasir Mas
Disember 17, 2000
Utusan Zaman, 21 Januari, 2001

No comments:
Post a Comment