Wednesday, September 24, 2008

DI SINI PENYU TIDAK MENANGIS LAGI

KEPADA warga Darul Iman,
Telah sampai ke telinga kami bahawa tampuk pemerintahan negara kalian telah bertukar sejak Mac 2003 lalu. Pertamanya, kami ingin mengucapkan tahniah kepada jentera parti yang berjaya memimpin negeri, dan kepada pihak yang tidak terpilih menerajui negeri Ulek Mayang ini, kami doakan semoga terus berusaha dengan niat murni kalian; muhasabahlah kembali segala kekurangan yang mungkin menyebabkan kalian tidak lagi dapat diterima warga negeri penyu ini, musibah apa yang mengakibatkan kejatuhan kali ini. Nilailah kembali keputusan ini dengan waras akal berpandukan dalil Ilahi.

Kedua, kami juga berasa terharu apabila mengetahui replika Batu Bersurat dipilih sebagai mercu tanda ilmu telah terpahat gagah di Bulatan Ladang sebagai tukar ganti ikon kami dari spesies belimbing yang sinonim dengan masyarakat Darul Iman suatu waktu dahulu. Rakyat kami di bawah sana turut bersyukur kerana doa kami dimakbulkan Tuhan. Terbayang jelas gambaran keagungan pemerintahan Islam dan kecintaan terhadap budaya ilmu semakin bersemarak di laman negeri kalian.

Semenjak ia dibuang ketika awal pemerintahan kerajaan dahulu pada akhir 1999, bulatan tersebut khabarnya tiada lagi serinya. Kami sedih mendengar hal tersebut kerana ia membuktikan seolah-olah tidak terfikir oleh kalian untuk menggantikan ikon yang sesuai yang lebih afdal dari replika nenek moyang kami itu sebelum keputusan untuk membuangnya diambil. Maka pemilihan Batu Bersurat yang berbentuk tirus di bawah bagi menggantikan ikon kami itu secara rasionalnya amat wajar dilakukan bagi menggambarkan keagungan pemerintahan Islam dan kecintaan terhadap budaya ilmu – sebagaimana laporan Menteri Luar Negara kami sewaktu melawat kerajaan Darul Iman baru-baru ini. Khabarnya lagi, replika itu dianggap lebih dinamik dan mempunyai nilai estetik selaras usaha kerajaan negeri mahu menjadikan Darul Iman sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan pelancongan di rantau ini. Syabas kami ucapkan kepada saf kepimpinan Darul Iman. Memang benarlah, “Safwah Mukhtarah, Nadi Ummah!”

Khabar menteri kami lagi, pemilihan itu juga dikatakan tepat kerana era kami sudah berakhir dan Darul Iman yang mempunyai pantai sepanjang 320 kilometer itu tidak lagi menjadi destinasi utama kami bertelur. Hasil kami yang banyak dijual di Pasar Besar Kedai Payang misalnya, bukan daripada hasil kami yang mendarat di pantai Darul Iman, sebaliknya dari saudara kami di Sabah. Berikutan itu, pelbagai pihak mengalu-alukan langkah kerajaan negeri membina replika Batu Bersurat itu bagi menggantikan replika kami kerana berpendapat ia boleh memberi dorongan kepada masyarakat membudayakan minat menimba ilmu. Ini juga bertepatan dengan pelaksanaan dasar Islam Hadhari Terengganu Bestari yang menjadi agenda utama kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang syumul, maju, moden, berdaya saing, penyayang dan cemerlang.

Rakyat hamba di laut senyum mendengar cadangan dan alasan bijak daripada pihak Tuan sekalian. Walaupun sedih kerana kami seolah-olah tidak lagi diperlukan di negeri Tuan, namun jauh di sudut hati kami berasa gembira dengan perubahan ini. Hakikatnya, perkara ini telah kami bincangkan lama dahulu namun tidak tergamak hati kami untuk mengemukakan hal ini kepada kepimpinan dahulu. Kami agak sedih kerana replika kami diluputkan sebagai mercu tanda dengan tiada alternatif lain, melainkan membiarkan bulatan tersebut kosong tidak bermaya. Semenjak hari itu, kami membuat keputusan untuk berkelana ke pantai lain yang lebih menghargai akan kewujudan kami.

Apa yang kami kesalkan ialah replika moyang kami dibuang tanpa alasan kukuh. Sekurang-kurangnya berilah jawapan yang rasional kepada kami, bukan berselindung di sebalik topeng agama untuk kepentingan diri. Bukankah lebih bijaksana jika langkah menggantikannya dengan replika baru yang lebih bermakna seperti yang dilakukan oleh pemimpin Darul Iman sekarang difikirkan lama dahulu? Tidaklah kami rasa kecewa dan terbuku hati kerana disingkirkan sedemikian rupa, sedangkan rakyat Darul Iman sekalian banyak bergantung kepada hasil kehadiran kami untuk menjana ekonomi negeri.

Kami juga turut bersyukur kerana kegemilangan pemerintahan Darul Iman yang pernah terkenal 700 tahun lalu dan menjadi pusat perkembangan Islam dan ilmu di rantau Melayu; sebagaimana tercatat dalam Batu Bersurat bertarikh 702 Hijrah atau 1303 Masehi itu bakal mengulangi sejarah. Sesungguhnya, rakyat kami sentiasa mengikuti perkembangan negeri tempat persinggahan kami ini dari zaman ke zaman. Apa tidaknya, Kerajaan Darul Iman ketika itu berjaya menyusun pentadbirannya berdasarkan perundangan Islam yang dikenali “Itqanul muluk li ta'dilus suluk”.

Dari khabar yang singgah ke alam kami juga, sebelum 20 Julai 2004 nan lalu bersempena tarikh keputeraan Sultan Darul Iman, Sultan Mizan Zainal Abidin, rakyat negeri ini mahupun pelancong yang datang ke ibu negeri Darul Iman khabarnya terpegun melihat arca Batu Bersurat dan tulisan pada batu itu yang menggunakan bahasa Melayu Sanskrit. Kami amat yakin, walaupun tiada siapa dapat menentukan kesahihan tarikh sebenar Batu Bersurat itu diukir dan ditemui, yang pasti batu berukir berkenaan menyimpan pelbagai sejarah dan warisan yang hingga kini masih menjadi misteri. Batu Bersurat dianggap batu warisan pertama dunia kerana ia adalah satu-satunya batu berukir yang menerangkan sejarah pemerintahan Islam menerusi seni ukiran.

Apa pun, sedarilah kalian akan pesan kami, kehadiran replika Batu Bersurat di Bulatan Ladang yang dihiasi pancutan air saja, tidak akan mengangkat martabat dan mengubah pemikiran masyarakat Terengganu. Satu usaha jitu secara bersepadu perlu dirangka dan digembleng sepenuh jiwa untuk mencapai hasrat negeri gemilang tersebut.

Kepada Tuan Menteri Besar yang menerajui kerajaan Islam Hadhari, sesungguhnya kami sedang memantau usaha dan jerih perih Tuan selama ini. Nampaknya Tuan sudah menyusun pelbagai langkah bagi meningkatkan dan menaik taraf kemudahan pendidikan di negeri Darul Iman.

Ikhtiar Tuan menubuhkan sebuah Universiti Darul Iman dan usaha menaik taraf Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dan Institut Teknikal Tinggi Terengganu (Tati) serta menggalakkan institusi pengajian tinggi membuka kampus cawangan di negeri ini adalah usaha yang amat terbilang kerana bukti kegemilangannya sudah pun luas tercanang.

Sememangnya benar seperti kata Tuan, institusi pendidikan bukan saja berfungsi membekalkan ilmu menerusi program dan kegiatan pendidikan, tetapi dilihat sebagai gedung yang mampu melahirkan insan yang dapat berinteraksi dan memajukan masyarakat. Ini kerana, usaha mendalami ilmu adalah tunjang kepada proses pembentukan pemikiran dan intelektual untuk melahirkan insan tanpa mengira jantina yang ahli dalam pelbagai bidang. Syabas dan tahniah kami ucapkan atas usaha drastik Tuan dalam waktu yang singkat demi pembangunan negeri di bawah amanah Tuan.

Kami juga menyanjungi tindakan dan usaha Tuan bagi meningkatkan pemikiran rakyat dengan mengambil pelbagai langkah seperti menganjurkan syarahan “In Transition: Politics, Society and The Economy – Lessons For Terengganu” itu. Majlis syarahan yang khabarnya disampaikan oleh Penolong Ketua Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (Isis), Prof Dr Stephen Leong dan Timbalan Setiausaha yang berperanan menyumbang idea serta kepakaran memajukan negeri itu nampaknya sedikit sebanyak dapat membuka minda rakyat negeri Tuan.

Biarpun ada pihak yang tidak suka dan tidak berpuas hati dengan usaha Tuan itu, usahlah kecewa dengan sikap segelintir mereka itu. Memang kami juga mendengar bisik-bisik kurang enak yang mempersoalkan tentang kehadiran golongan wanita ke majlis tersebut. Mereka tidak puas hati kerana daripada 150 tetamu yang mendengar syarahan itu hanya ada empat wanita, termasuk dua pensyarah dari institut pengajian tinggi awam. Penyertaan wanita pada majlis syarahan seperti itu hanya boleh dikira dengan jari sebelah tangan, sedangkan tenaga mereka perlu digembleng untuk memajukan negeri. Tidak ramaikah wanita di wilayah Darul Iman yang layak untuk turut menyumbang tenaga dan buah fikiran sehingga pembabitan golongan hawa itu seolah-olah ‘dipinggirkan’? Pertanyaan itu sewajarnya dikaji untuk menemui punca kekurangan wanita yang berminat kepada majlis sedemikian dan merangka tindakan untuk mengatasi masalah seumpama itu.

Hal kekurangan penyertaan wanita itu secara langsung dikaitkan dengan isu kenapa Darul Iman merupakan satu-satunya negeri yang tidak mencalonkan wanita bertanding pada pilihan raya umum lalu, sedangkan di negeri lain semakin ramai wanita dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

Namun kami fikir, Tuan mempunyai jawapan untuk kesemua soalan yang bermain di fikiran mereka. Kami juga menunggu dengan sabar untuk mendengar jawapan tersebut pada musim akan datang. Kami tetap akan melawat negeri Tuan, walaupun bukan dalam jumlah yang banyak. Maklumlah, bukan senang untuk memujuk hati-hati mereka yang pernah kecewa dengan tindakan pemerintah Darul Iman sedikit masa dahulu. Hamba akan cuba memaklumkan keadaan dan perubahan yang berlaku dalam Darul Iman sekarang ini dan menjelaskan kembali letak duduk sebenar kehadiran kami di negeri ini kepada rakyat hamba di bawah sana.

Semoga mereka dapat menerima penjelasan dan hamba berharap agar mereka tidak menangis lagi di pantai Darul Iman, malah gembira pula dengan cita-cita murni Tuan menggemilangkan kembali Darul Iman di mata dunia dengan kejayaan menganjurkan Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir, Swimathon Kapas-Marang dan Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun menjadikan negeri tercinta ini tidak asing untuk kejohanan bertaraf dunia. Firasat kami kuat mengatakan Tuan amat berhasrat memartabatkan semula status Darul Iman ini sebagai pusat maritim Melayu dengan kemasyhuran Payang dan Bedar.

Bukan sesuatu yang pelik untuk mencipta sesuatu yang pernah ada. Keinginan untuk mengembalikan status ini umpama melepaskan itik ke air. Darul Iman sudah terkenal dalam bidang pelayaran dan pembuatan kapal sejak zaman tradisi lagi. Laut sememangnya menjadi hubungan penting bagi negeri yang memiliki pantai memanjang ini.

Kami bukan membesar-besarkan cerita atau mahu mengampu kepimpinan sekarang. Tetapi sejarah membuktikan perkisahan ini. Nenenda kami pernah berkisah akan pelayar-pelayar perahu besar yang menempatkan nama Darul Iman di peta dunia sehingga kesannya masih terdapat hingga kini. Pantai dan pepasir di Pattani, Teluk Siam, Bangkok, Khmer dan Saigon serta kawasan-kawasan di selatan seperti Siantan, Riau, Inderagiri dan Sambas jadi bukti cerita kami ini.

Kami amat bangga diberitakan akan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13. Kami bertambah yakin Baginda Tuanku bakal mengembalikan kegemilangan ketuanan Raja Mandalika dan poyang kita yang sememangnya telah terkenal sebagai pelaut yang handal, juga pencetus tradisi intelektual sehingga Darul Iman gemilang dengan pusat pembelajaran yang disertai pembesar-pembesar sezaman. Masjid, surau dan langgar sentiasa dipenuhi Muslimin yang cintakan ilmu dan agama.

Bukankah sewaktu berada di puncak kegemilangan, orang-orang Melayu telah sampai ke kebanyakan pulau-pulau yang jauh sehinggakan seluruh kawasan ini dikenali sebagai kepulauan Melayu? Malah leluhur orang-orang Melayu telah pun sampai sehingga ke Kepulauan Polinesia dan belayar ke sebelah barat sehingga ke Pulau Madagasar dan pantai barat Afrika dan mewariskan keturunan mereka yang masih mendiami tempat-tempat ini. Benih yang disemai tidak sia-sia menumbuhkan jati nan merendang di merata alam.

Zaman kegemilangan tersebut kami yakin amat hampir sekarang. Tidakkah Tuan dengar kini genta itu bergema kembali? Dan senandung ini selalu kami lagukan di bawah sini, jadi ingatan warisan kami nanti, yang Darul Iman mekar kedua kalinya pada abad ini.

Di tanah pesisir pantai ini
Dalam deru angin Laut China Selatan
Pasir jadi intan dalam tangan watan
Batu jadi berlian dengan ilmu dan iman.
Terdengar-dengar lantang suara nenek moyang
Bersyukur pada kelestarian sebuah peradaban yang diteruskan
Anak bangsa yang semakin kenal jati diri
Kenal akan haknya,
Kenal akan tanah air
Dan kenal budaya warisan sendiri
Dalam usaha mengembalikan “khair ummah” ke puncak kegemilangan.

Dan mutakhir ini pula, hamba dengar Lembah Bidong di Setiu pula bakal menjadi tumpuan dunia pada Ogos 2008 apabila julung kalinya dipilih Federation Equestre Internationale (FEI) untuk menjadi tuan rumah FEI World Endurance Championship 2008. Syabas buat teraju kepimpinan Darul Iman yang gigih menseimbangkan kegemilangan negeri dan warganya dalam pembangunan jasmani dan rohani, mengabsahkan kepimpinan ummah pilihan pada akhir zaman.

Sebelum mengundur diri, kami mendoakan semoga cita-cita al-Sultan dan Tuan terlaksana kerana kami ingin melihat anak-anak Darul Iman yang berada di perantauan pulang ke tanah air mereka untuk sama-sama membangunkan negeri tercinta mereka. Salam penuh takzim dari hamba untuk Tuan dan rakyat Darul Iman sekalian. Hamba menunggu musim mendatang untuk bertandang menatang sedulang senyuman kerana di negeri Hadhari, kami tidak menangis lagi!
Sekian.

Sembah dan salam,
Penghulu Bahrul Anam

ROZAIS AL-ANAMY
Kuala Terengganu
2004

No comments: