Wednesday, September 24, 2008

BERUK

MIMPINYA terpelanting ke alam nyata sebaik sahaja disergah seranah yang tercampak ke kamarnya. Sepantas kilat dia terduduk di birai katil, pandangan mata terlontar melepasi daun jendela. Pagi hari sudah mahu menyakitkan hati orang, rungutnya sendirian. Satu-satunya adik perempuannya, Ruqayyah sudah keluar mengikuti usrah hari minggu di madrasah hujung kampung.

“Pulaslah cepat, bodoh.” Suara garau itu memang tidak selesa pada pendengaran, apatah lagi itulah suara pertama didengar selepas dibangunkan secara paksa.

“Wuish, wuish!” Suara itulah yang mematahkan semangatnya untuk bersua permulaan hari dengan tenang.

“Memang dasar binatang tak tahu diuntung!” Mahu dicekik batang leher lelaki yang selalu menyumpah itu, biar dia terus bisu dan tidak menyeranah lagi.

Dia masih tercatuk di birai katil, mendongak ke arah daun kelapa yang segar warnanya. Suasana pagi cerah ceria, matahari baru mula menjangkau jari-jemarinya di celah pelepah kelapa, dahan sentul dan gulungan daun pisang yang hampir terbuka. Dilihat Pak Mat Yeh tercegat dua meter berhampiran sebatang pohon kelapa, tangan kanannya memegang seutas tali sebesar kelingking, sedang tangan kirinya pula tercekak ke pinggang. Kepalanya terdongak, hampir memburaikan semutar di kepala. Ditariknya baki belitan semutar yang enggan bertapa di kepala, dilibas-libas nyamuk dan unggas yang menghurung tubuhnya dengan kain semutar itu.

“Hoi, binatang. Cepatlah pulas buah tu.” Dia menempik lagi. Dihenjut-henjut tali di tangan, sesekali pula disentap keras. Namun tiada juga kelapa yang jatuh. Sakit hatinya makin bertambah melihat ketidakpedulian binatang peliharaannya itu.

“Dasar binatang tak kenang budi. Tiap-tiap hari aku bagi makan, makin malas pula jadinya.” Dia menyentap tali, kali ini terlalu keras. Terdengar suara menyeringai dari atas pucuk sana. Sebutir kelapa jatuh setengah hasta dari kaki Pak Mat Yeh.

“Yes.” Kelihatan Pak Mat Yeh senyum puas. Dia menggulung kain pelikatnya sedikit tinggi dan beralih ke arah sebelah matahari naik. Proses yang sama berulang. Arahan pulas kelapa, henjut tali, sumpah seranah dan ucapan “yes’ bersilih ganti dengan dentuman buah kelapa gugur ke tanah yang masih berembun. Semalu terkatup tompok demi tompok.

Sepuluh biji kelapa bergelimpang di atas bumi. Satu daripadanya jatuh di atas najis lembu yang masih baru. Pak Mat Yeh menyumpah beruk yang tak bernama atas kecuaian menghitung jarak dan ruang.

Pak Mat Yeh membuang pandang ke hujung kampung. Kali ini tiada arahan diberikan. Beruk di atas sana pun sepi. Dia terpandang atap zink rumahnya dari kejauhan. Rumah yang tak berpenghuni jika dia keluar bekerja.

Dia menggulung sedikit tembakau dalam rokok daun, menyalakan api dan menyedut sedalam-dalamnya. Sambil memerhatikan kepulan asap rokok yang berpusar-pusar, ingatannya terputar ke zaman silam sewaktu muda-muda dahulu.

Dia masih ingat akan zaman kegemilangannya dinobat sebagai juara “mat rempit” Kampung Buluh Pecah pada era 70-an. Siapa yang tidak kenal Mat Yeh anak Penghulu Mat No Kampung Buluh Pecah yang suka pandu vespa macam roket? Memang dangkallah barangsiapa yang tidak kenal Mat Yeh yang suka berlagak bagai “orang putih” melebihi “mat salleh” sendiri. Mat Yeh yang menjadi pujaan anak dara sekampung, juga dari beberapa kampung berdekatan. Mat Yeh yang menjadi idola para remaja sebaya umurnya dalam aksi-aksi lasak sewaktu memandu vespa bapanya yang dipakai guna seperti hartanya sendiri.

“Nak main ke nak race?” Mat Yeh masih ingat dia mencabar Muhammad anak Imam Abdullah suatu pagi sewaktu terserempak Muhammad berkayuh basikal ke sekolah Arab. Muhammad beristighfar sebaik sahaja Mat Yeh meludah hampir kena kasutnya sebagai tindakbalas kepada jawapan Muhammad yang mengajaknya kembali ke sekolah yang ditinggalkannya hampir seminggu.

“Bapak aku pun tak paksa aku pergi sekolah. Engkau yang bodoh sajalah pergi sekolah!” Mat Yeh meninggalkan asap ekzos yang berkepulan dan deraian tawa. Selahzah kemudian vespanya menghilang di balik selekoh tajam. Dia puas hati dapat memperlekeh Muhammad yang dianggap “tua sebelum jadi tua” kerana selalu menasihatinya membuat makruf dan meninggalkan sikapnya yang suka berlumba vespa sehingga tidak menghiraukan pelajaran.

Dia benci pada Muhammad sepertimana dia bencikan Imam Abdullah. Dia teringat kata bapanya, Mat No yang Imam Abdullah busuk hati. Nampak sahaja warak, berkopiah atau berserban, tetapi gila jawatan. Ketamakan Imam Abdullah hampir menyebabkan Mat No tidak terpilih sebagai penghulu. Kata bapanya lagi, Imam Abdullah pernah menghasut dan berpakat dengan orang kampung untuk mengenepikan Mat No dari menjadi penghulu Kampung Buluh Pecah. Imam Abdullah hasad dengki atas kekayaan yang diwarisi Mat No dari bapanya yang pernah bekerja dengan pemerintah British di Malaya suatu ketika dahulu. Perkara itu jugalah yang sentiasa diungkit Mat Yeh setiap kali Imam Abdullah menasihatinya supaya mengurangkan aktiviti rempitnya.

“Sudah banyak lembu kambing orang kampung Mat Yeh langgar, nanti kalau tidak beringat, mungkin kemalangan nyawa pula berlaku. Pakcik Dolah bukan larang Mat Yeh bawa vespa, tapi kalau boleh tengoklah keadaan jalan. Jalan kampung kita sempit, orang pula ramai lalu-lalang.” Imam Abdullah dengan suara kebapaan cuba memujuk Mat Yeh, sedang tangan kirinya masih menjinjit bangkai seekor ayam yang baru digilis Mat Yeh.

“Siapa suruh tak pandai jaga ternakan sendiri?” Setelah memeriksa kerosakan vespanya secara lebih kurang, Mat Yeh pun kembali memecut tanpa menunjukkan riak kekesalan atas kesalahannya. Imam Abdullah meneliti ayam jantan yang masih segar titisan darahnya.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Ayam Penghulu Mat No rupanya!”

Imam Abdullah teringatkan Muhammad yang masih belum pulang. Teringat pada Muhammad, ingatannya terimbau pada pertanyaan Muhammad tentang cerita perebutan jawatan penghulu kampung pada awal perlantikan Mat No sebagai penghulu kampungnya suatu ketika dahulu. Muhammad menyatakan kesedihannya kerana selalu dituduh sebagai anak imam yang laparkan pangkat oleh Mat Yeh dan sekutunya.

“Memang betul ayah didatangi sekumpulan orang kampung untuk memujuk ayah menerima jawatan penghulu kampung kita, tapi ayah tetap menolak dan mencadangkan Pak Mat No untuk jawatan itu. Orang kampung membantah kerana sikap dan perangai Pak Mat No. Kamu faham sendirilah. Tapi ayah berkeras dan memberi jaminan bahawa Pak Mat No akan berubah.

Sekurang-kurangnya dia akan malu pada jawatannya. Mudah-mudahan dia diberi hidayah. Kerana kunjungan itulah Pak Mat No menyangkakan ayah berpakat dengan orang kampung untuk menyisihkannya dari jawatan penghulu kerana masih ada beberapa kerat orang kampung yang tidak dapat menerima lantikan Pak Mat No sebagai penghulu. Maka dituduhnya ayah yang menghasut.”

Prengggggggggg, prenggggggggg! Pak Mat Yeh tersentak. Kelihatan seorang remaja belasan tahun meniarap di atas pelana motosikal, berlalu nun jauh ke selekoh. Beruk di atas pohon kelapa melatah, nasib baik sempat bergayut pada pelepah.

Muhammad hilang, Imam Abdullah ghaib, arwah bapanya Mat No lesap. Beruknya? Beruknya sedang melangut di celah pelepah kelapa.

“Celaka punya beruk. Inilah namanya beruk subsidi. Kalau tak diarah, terus berhenti buat kerja!” Pak Mat Yeh mula menyambung kerja.

Muda, muda!” Pak Mat Yeh mula mengarah. Beruk terkasima.

“Petik yang muda, bodoh! Yang tua buat apa.” Beruk keliru. Tadi suruh petik yang tua. Tiba-tiba berubah. Apa betulkah tuannya ini? Beruk membatu.

“Yang mudalah sedap. Bodoh punya binatang!” Disentap tali sehabis tenaga. Beruk hampir tercampak ke bumi, nasib baik tangan panjangnya sempat mencapai mayang kelapa.

“Hei si tua bangka yang tak sedar diri, engkaulah binatang!” Tempik beruk sekuat hati.

Ruqayyah gadis sunti, cucu arwah Imam Muhammad terpana mendengar sergahan dari pucuk kelapa. Terkebil-kebil, kemudian berlari ke arah rumahnya yang berada tiga depa dari pohon kelapa tersebut. Dilihat abangnya tersenyum dari jendela yang mengadap pohon kelapa, sedang menyaksikan Pak Mat Yeh yang terduduk sambil mengangguk “Oh, no,no!”

ROZAIS AL-ANAMY
Pohon Buloh, Pasir Mas
November 5, 2006

Sinar Harian, 10 November 2006

No comments: