Satu
DERAP sepatu di luar mengganggu konsentrasi. Bunyinya semakin menghampiri. Sikah sudah dapat mengagak, ketukan tapak kasut itu datangnya dari jenama Bonia saiz lima.
Ustazah Aloyah memberi salam. Sikah sempat menjenguk kasut Ustazah Aloyah. Sah! Bonia. Tetapi kali ini warna kuning, sedondon dengan baju dan tudungnya. Beg tangan juga berkemilau kuning.
Pelajar-pelajar lelaki tersengih-sengih macam kerang busuk. Dua tiga orang yang nakal berdehem-dehem. Yang nampak alim sedikit tunduk memandang buku Pengetahuan Agama Islam Tingkatan Lima di atas meja.
”Ustazah kita ini mahu mengajar atau memperagakan pakaian?” Nudin ketawa terkekeh-kekeh. Saipul menyiku Nudin.
Ustazah Aloyah mengerling tajam ke belakang kelas. Sindiran Nudin sempat sampai ke telinganya.
“Nudin, apa awak kata?” Ustazah Aloyah pura-pura bertanya.
“Tiada apa-apa, ustazah. Ulat rambai merayap di atas kaki saya.” Nudin berlagak menguis-nguis kakinya di bawah meja.
“Jangan menipu saya. Orang Islam berdosa menipu.” Ustazah Aloyah menyinga.
“Berdiri atas kerusi sehingga kelas tamat.” Ustazah Aloyah tidak dapat menyelindungkan marahnya. Bukan kerana Nudin menipu, tetapi geram dengan sindirannya yang tajam.
Dua
Sikah tidak puas hati dengan hukuman yang dikenakan kepada Nudin. Nudin berkata yang benar. Walaupun sikapnya kurang sopan kerana bercakap dan ketawa di dalam kelas, hukuman yang dipilih oleh Ustazah Aloyah tidak wajar.
Sebaliknya Nudin telah mempraktikkan ajaran Ustazah Aloyah. Sikah masih ingat pelajaran bulan lepas.
“Berkata benarlah walaupun ia pahit.” Bercakap memanglah mudah. Tapi melaksanakannya, Ustazah Aloyah sendiri menjadi penghalang kepada falsafah yang diujarnya sendiri.
Sikah memprotes dalam diam. Sudah lama dipendamkan ketidakpuasan hatinya terhadap Ustazah Aloyah, malah segelintir guru perempuan di sekolahnya.
Bagi Sikah, tugas guru bukan setakat mengajar. Lebih daripada itu, guru adalah pendidik. Justeru itulah kabinet telah bersetuju menukar nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. Semoga menjadi ingatan kepada para guru akan peranan mereka sebagai pendidik. Amanah mendidik anak bangsa bukanlah suatu tugas yang enteng.
“Sikah, cuba awak bacakan terjemahan ayat al-Quran mengenai kepentingan menunaikan apa yang dikata.” Sikah tersentak. Ustazah Aloyah bagaikan tahu apa yang bersarang dalam benaknya.
“Amat besarlah kemurkaan di sisi Allah bagi mereka yang berkata sesuatu yang mereka tidak kerjakan.” Lancar Sikah menuturkan. Nasib baik ayat itu dihafalnya.
‘Tetapi Ustazah Aloyah kata, wanita Islam hendaklah mengelakkan pakaian yang menjolok mata. Busana berwarna terang dan menarik perhatian ditegah.’ Suara hati Sikah cuba membandingkan ajaran Ustazah Aloyah dengan baju kebaya pendek yang sendat tersarung pada tubuhnya yang montok. Lekuk-lekuk tubuh Ustazah Aloyah metah ketara.
Tiga
“Macam mana boleh jadi begini?” Nada kesal pengetua singgah ke telinga Ustazah Aloyah. Ustazah Aloyah gugup. Riak mukanya berubah pucat.
“Saya tidak sangka dia menghidap penyakit epilepsi, Cikgu Hashim.” Ustazah Aloyah cuba membela diri. Soalan pengetua dijawab sipi.
“Mendenda pelajar biarlah berpadanan dengan kesalahan. Bukan ikut perasaan marah sahaja.” Pengetua cukup berang dengan tindakan Ustazah Aloyah yang dikira kebudak-budakan.
Ustazah Aloyah terkedu. Tidak pernah pula dia melihat pengetua semarah itu.
“Pada peringkat remaja, pelajar tidak memerlukan denda seperti itu. Bukankah guru telah didedahkan dengan psikologi pendidikan.” Muka Ustazah Aloyah diserbu darah. Tidak berani ditentang muka pengetua.
“Tindakan ustazah mendenda Nudin, saya kira melampau. Malah, jika Nudin tidak menghidap epilsepsi pun, hukuman itu tidak betah digunakan. Empat puluh lima minit adalah suatu jangka masa yang lama. Apatah lagi kedudukannya tinggi daripada pelajar lain. Gayat. Lama-lama boleh pening.” Suara pengetua menurun, namun masih kesal dengan apa yang telah berlaku.
Empat
“Jangan biarkan pisang berbuah dua kali.” Harap apa-apa yang saya tegur dijadikan panduan pada masa depan,” pengetua mengakhiri kata-katanya. Kadangkala teguran yang sedikit tetapi berisi lebih baik daripada bebelan berjela yang kosong.
Ustazah Aloyah minta diri. Kemudian terkedek-kedek keluar dari bilik pengetua. Pengetua sempat mencuri pandang kasut Ustazah Aloyah yang bereben besar di hadapan. Detap-detup sepatunya semakin menghilang. Pengetua menggeleng-geleng.
Betul kata Nudin. Pelajar itu memang nakal tetapi tidak pandai berselindung. Katan-katanya adalah suara hatinya. Kuning dilihat, kuninglah katanya. Nudin tidak hipokrit sebagaimana sesetengah guru atau pekerja bawahan pengetua. Di depan, mereka mengampu. Semua yang diutarakan diangguk. Bagai belatuk. Sebaliknya, di luar pengetahuan pengetua, mereka jugalah yang mengutuk.
Pengetua bukan tidak pernah mendengar umpatan terhadapnya. Omelan dan kejian segelintir guru sering sampai ke telinga pengetua. Tapi pengetua tidak menaruh sekelumit dendam. Kalau dia manusia pendendam, boleh sahaja dia menukar Ustazah Aloyah ke sekolah lain. Walau apa pun alasan Ustazah Aloyah, pengetua ada kuasa untuk berbuat demikian.
Tetapi pengetua bukan manusia kategori itu. Biarpun Ustazah Aloyah sering mempertikaikan keputusan dan cadangannya, pengetua tetap dengan pendirian. Segala komen di luar mesyuarat tidak akan diambil kira. Mempertikaikan cadangan di luar medan hanya bagi insan pengecut dan tidak bermoral.
Pernah sekali Ustazah Aloyah marah-marah kepada pengetua kerana menegur sikap segolongan guru yang suka berniaga pada waktu persekolahan. Pengetua tidak pernah menyebut nama individu terbabit. Malangnya, Ustazah Aloyah terasa pedas oleh cili padi yang dimakannya. Selesai mesyuarat, Ustazah Aloyah tergesa-gesa meninggalkan dewan mesyuarat.
Esoknya, sikap Ustazah Aloyah terserlah di depan mata pengetua. “Dia tidak apalah, gajinya besar. Pakai Volvo model terbaru.”
Pengetua sempat menangkap cemuhan Ustazah Aloyah sewaktu melintasi bilik guru perempuan. Suara nyaring Ustazah Aloyah memungkinkan orang pekak mendengarnya.
“Kita hendak jual kain pun dihalangnya. Apalah yang boleh diharapkan dari gaji kita yang tidak seberapa ini. Kerja makin bertambah. Gaji sama sahaja setiap bulan.”
Kelihatan beberapa orang guru sedang membelek-belek kain sutera India di meja Ustazah Aloyah.
“Saya bukannya mengabaikan tugas. Berniaga secara kecil-kecilan sahaja. Sekurang-kurangnya, dapat juga saya beli sepasang dua kain fesyen terkini.” Ustazah Aloyah cuba meyakinkan guru-guru yang menjadi pelanggan tetapnya.
“Kalau sudah tahu kerja sebagai guru tidak boleh kaya, berhenti sahajalah. Buka bisnes.” Ustazah Aloyah menjeling Cikgu Tipah yang memperlinya. Mulut berus Cikgu Tipah mahu sahaja ditenyeh.
Loceng pertukaran kelas berbunyi, namun tidak ada tanda-tanda jual-beli tersebut akan berakhir. Bunyi itu tidak menggugat keasyikan sebilangan guru yang sedang memilih kain.
Pengetua berdehem kuat. Dua tiga orang guru yang masih kekal di meja Ustazah Aloyah bercempera lari ke meja, mencapai buku dan berlenggang ke kelas masing-masing. Pengetua menghitung waktu. Paling tidak lewat lima minit masuk kelas.
Lima
Pengetua nekad. Dia mesti tegas dalam mendidik orang bawahannya. Baginya, guru juga adalah pelajar yang perlu dididik. Keadaan yang disaksikan kedua belah mata dan telinganya yang masih sihat tidak boleh dibiarkan berterusan.
“Mencegah lebih baik daripada mengubat.” Sebelum senario sedemikian lebih parah, sesuatu tindakan perlu diambil. Biarlah apa pun penerimaan daripada guru, pengetua akan menegur segala kepincangan yang berlaku di dalam mandala kepimpinannya. Tugas menyampaikan kebenaran wajib diteruskan demi merealisasikan hasrat murni pendidikan negara.
Pengetua teringat aduan Sikah tentang sikap sebilangan guru yang mengabaikan tanggunngjawab mereka. Ustazah Aloyah termasuk senarai guru yang sentiasa masuk lewat ke kelas. Insiden yang berlaku kepada Nudin juga telah membuka mulut Sikah yang telah lama memendam perasaan tidak puas hati terhadap gelagat guru terutama guru perempuan.
“Kami akan menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi, cikgu. Yang kami kesalka, sebilangan guru selalu lewat masuk mengajar dan mereka menganggap kami seperti budak-budak. Hukuman yang tidak setimpal dikenakan terhadap pelajar yang membuat kesalahan kecil, seperti apa yang berlaku kepada Nudin.” Sikah sebagai wakil pelajar yang tidak berpuas hati terhadap sikap sesetengah guru di sekolah tersebut mengutarakan hujah bagi menyedarkan kepincangan yang berlaku.
“Kami juga kerap kehilangan daya tumpuan terhadap pelajaran oleh pakaian ala peragawati yang dikenakan guru”, Sikah mengorak kata.
“Maaf jika tindakan saya keterlaluan. Saya telah membuat kaji selidik berhubungan perkara ini. Berpandukan jawapan daripada borang kaji selidik tersebut, lapan puluh peratus pelajar di sekolah ini bersetuju; faktor berpakaian guru mempengaruhi tumpuan pelajaran mereka.” Sikah tidak mahu bercakap tanpa dalil dan bukti.
Pengetua tidak menduga tindakan Sikah sebijak itu. Nyata gadis manis itu metah matang dalam tindakan.
“Ada awak luahkan ketidakpuasan hati kepada guru berkenaan?” Pengetua mahu bertindak adil kepada kedua-dua belah pihak.
“Sudah puas, cikgu. Malah kami menerima segala hukuman tidak langsung daripada tindakan itu.” Redup mata Sikah menceritakan perasaannya. Peristiwa yang menimpa Nudin amat dikesalinya.
“Ramai juga yang dikambing-hitamkan oleh guru terbabit. Jadi, mereka hanya berdiam diri dan putus ikhtiar.” Pengetua terkejut dengan penerangan itu, tidak menduga sejauh itu kemerosotan disiplin para guru di sekolahnya.
“Cuba cikgu bayangkan, datang mengajar dengan baju sendat dan kain berbelah paras lutut. Bertabarruj pula mengalahkan orang ke majlis kenduri. Ramai pelajar yang lebih suka melihat gaya cikgu daripada menumpukan perhatian kepada pelajaran.” Sikah meluahkan segala apa yang terpendam. Sebenarnya dia sendiri tidak rela mengemukakan perkara tersebut, lebih-lebih lagi menyentuh tentang orang yang mendidiknya sendiri, namun demi sebuah kebenaran – untuk membendung kemerosotan disiplin di sekolahnya, Sikah percaya kepahitan menyuarakan yang hak akan menghasilkan buah yang manis.
Enam
“Kementerian Pendidikan telah membuat pelbagai rancangan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan bagi memasuki alaf baru sejajar dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020. Perubahan ini juga selaras dengan perubahan global yang pesat di bidang teknologi maklumat.” Pengetua memulakan bicara dalam pertemuan dengan para guru di dalam dewan mesyuarat sekolah.
“Kerajaan juga menekankan pembentukan insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berketerampilan agar wujud keseimbangan.” Suara pengetua masih tenang.
“Dalam konteks ini, sekolah harus memainkan peranannya sebagai pusat kecemerlangan penguasaan ilmu dan penyuburan nilai-nilai murni.” Pengetua meneruskan ucapannya. Para guru diam.
Saya yakin dengan kepimpinan yang dinamik daripara guru, pelajar kita dapat mencapai hasrat membentuk generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.” Pengetua menyedarkan peranan besar para guru.
Pengetua memandang para guru. Memerhatikan seorang demi seorang. Menatap tepat ke dalam anak mata masing-masing. Ucapannya terhenti. Seolah-olah seorang imam yang berhenti sebentar untuk menyambung khutbah kedua.
Para guru menunjukkan pelbagai reaksi. Ramai yang resah-gelisah. Kerusi terasa panas. Pengetua sedar ada di antara mereka yang berasa tidak senang diperhatikan sedemikian.
Tujuh
Pengetua tiba-tiba senyum. Senyum yang metah ikhlas. Prasangka dalam sanubari sesetengah guru sirna. Namun, mereka tetap berdebar menanti ucapan seterusnya.
“Saudara-saudari rakan pendidik. Saya melihat sesuatu yang tidak sihat sedang menular dalam sekolah kita. Sama ada guru semua menyedarinya atau tidak, saya percaya gejala ini jika dibiarkan berterusan akan menjejaskan semangat pengajaran dan pembelajaran di sekolah.” Guru-guru memandang sesama sendiri.
“Apa halnya.” Kedengaran seorang guru bertanya. Masih tidak dapat menangkap butir bicara pengetua.
“Soal berpakaian terpaksa saya bangkitkan memandangkan masih ada yang tidak dapat menyesuaikan pakaian dan profesion perguruan. Yang ingin saya tekankan, peristiwa yang berlaku kepada Nudin wajar di ambil iktibar. Usikan Nudin bukanlah manifestasi kenakalannya tetapi protes terhadap cara berpakaian guru.” Pengetua mengaitkan teguran dengan kisah yang berlaku kepada Nudin.
“Sudah lama saya memerhati cara berpakaian para guru yang saya kira tidak sesuai untuk dipakai ke sekolah.” Pengetua metah cermat menyusun bicara agar guru terbabit tidak berasa ditegur secara langsung.
“Nudin adalah salah seorang pelajar yang ikhlas menyatakan ketidakpuasan hatinya. Ramai lagi pelajar yang meluahkan rasa tidak senang mereka terhadap cara berpakaian guru yang kadangkala mengganggu tumpuan mereka. Namun mereka takuit untuk menegur. Bimbang akan dianaktirikan oleh guru yang tidak dapat menerima teguran.”
“Sebagaimana persekitaran mencorak tingkah-laku kanak-kanak, warna di sekeliling juga mempengaruhi sikap dan emosi pelajar. Untuk seorang pelajar berada dalam keseimbangan dan harmoni, warna yang sesuai amatlah perlu pada paparan mata mereka.”
“Sudah tentu kita tidak mahu pelajar yang bertindak agresif. Maka, cubalah elakkan memakai pakaian yang terang dan garang.” Pengetua mengulas panjang.
Guru-guru menjeling pakaian masing-masing. Ustazah Aloyah tunduk apabila menyedari pakaiannya paling menarik dan menjolok mata. Kebaya pendek dan kain belah warna kuning pinang masak memancing perhatian.
Ustazah Aloyah melirik pada Cikgu Fatonah di sebelah. ‘Bukan aku sahaja yang makan cili rupanya.’ Ustazah Aloyah cuba menyedapkan hati. Cikgu Fatonah seolah-olah dapat membaca fikiran Ustazah Aloyah.
‘Kalau aku tahu pengetua akan menyentuh soal pakaian, sumpah aku tidak pakai baju kurung Kedah warna merah ini.’ Terdetik rasa kesal dalam hati Cikgu Fatonah. Cepat-cepat dia menyembunyikan kasut jenama Satinni merahnya di celah kain.
“Kadangkala tumpuan belajar boleh hilang sekiranya warna baju yang dikenakan oleh guru tidak disukai oleh pelajar.” Pengetua memetik kata-kata Dr. Norhisham Wahab, pengamal terapi getaran warna.
“Ini menunjukkan wujud gangguan keseimbangan dan sekiranya berterusan akan membabitkan masalah disiplin.” Pengetua mahu setiap kata-katanya berasas.
“Sebaliknya warna putih mampu meningkatkan kecerdasan kerana warna putih dan warna-warna lembut menambahkan IQ secara maksimum. Warna ungu pula mampu mengatasi kurang daya tumpuan pelajar dan disifatkan sebagai rangsangan minat belajar.” Pengetua mencadangkan.
“Saya tidak pula menyuruh cikgu semua memakai kain kafan ke sekolah.” Pengetua cuba menyelitkan lelucon untuk mengendurkan keadaan.
“Oleh itu, sedarlah bahawa amanah sebagai pendidik metah berat dan bukan boleh dibuat sambil lewa. Segala aspek wajib diambil kira.” Pengetua mengakhiri sesi kaunseling kepada guru-guru.
Lapan
“Mengapa cara berpakaian kita dipertikaikan. Lihatlah kepada apa yang diajar, bukan kepada orang yang mengajar,” Ustazah Aloyah membebel dalam bilik guru.
“Kerana tidak semua manusia boleh berfikir, undang-undang dan peraturan diwujudkan.” Cikgu Tipah menyelar.
Ustazah Aloyah terperangkap dengan kata-katanya tadi. Patutkah dia menolak kata-kata Cikgu Tipah yang nyata benarnya semata-mata kerana dia tidak sukakan Cikgu Tipah?
Ustazah Aloyah teringat sindiran Nudin. Seolah-olah terdengar pula bacaan terjemahan Sikah. Rasa insaf menerpa.
ROZAIS AL-ANAMY
Pasir Mas
Mei 11, 2001
Dewan Siswa, September 2001

No comments:
Post a Comment