Saturday, December 13, 2008

APABILA ALAM BERBICARA

.
GEMURUH bunyi bagai larian kuda Iltschie dan Hatatitla yang dibesarkan di kandang suku Apache Mescalero. Ia menyerbu pantas, menerbangkan debu dan menerbitkan api, menembus ke tengah-tengah warga di kondominium tiga blok, Taman Hillview, Hulu Kelang.

Inilah harinya. Manusia bagai kupu-kupu bertebaran, harta benda bagai bulu yang dihembus. Empat puluh lapan jasad kandas meloloskan diri, akhirnya terpaksa mencium lahad atas dua nama; qadar mubram, dan muallaq yang dipersia. Lima belas tahun lalu.

Semenjak tragedi runtuhan yang pertama dan terburuk dalam sejarah Malaysia merdeka yang membentuk igauan ngeri berlaku, saya tidak lagi mempunyai nama lengkap. Ia sirna dalam tanah merah yang meluncur laju dari cerun bukit, membawa bersamanya pohon-pohon agam menghijau. Berpalut dengan batu-batuan, bahagian kenderaan yang musnah dan bangunan yang sujud.

Nama itu hanyut oleh derasnya air yang terjun dari puncak bukit, sekelip mata menukar warna alam kepada rona nestapa. Dan sepatah nama saya bersemadi di suatu sudut bumi; bersama darah, air mata, pekik lolong dan jerit tangis yang bersipongang, dan sekujur jasad yang saya berikan hak memanggil kembaran nama yang tidak pernah saya izin orang lain menyebutnya.

Dua

“MAAF terpaksa menyekat encik. Sebagai penghuni di sini, bila encik sedar kejadian ini bermula?” Saya berhenti menapak, membatu di depannya. Wartawan lokasi dari sebuah stesen televisyen tempatan menyua mikrofon.

“Dinihari, tepatnya saya tidak pasti. Saya pelawat, singgah seminggu di sini.” Wartawan muda yang kelihatan kurang terurus itu mengelak daripada sebuah van penyelamat yang hampir menyondol rusuknya.

“Apa perasaan encik menjadi salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh ini, ya lah… menjelang raya pula?” Pertanyaan itu gagal menyentuh minat saya.

“Saya datang bercuti ke sini untuk membuktikan kepada warga negara tercinta bahawa alam pun punya suara. Kajian saya tentang kejadian lima belas tahun lalu membuktikannya. Awak masih ingat insiden Highland Towers?” Jawapan yang jauh menyimpang, mempalitkan kerut di dahinya.

“Maaf, saya terpaksa minta diri. Ada janji temu.” Saya mula menapak.

Ada resah terpamer pada wajahnya. Tercungap-cungap meraih kata, mata tunak memandang video rakaman. Suara tidak juga keluar. Saya menyambung tapakan, semakin laju dan menjauh dari lokasi kejadian.

“Prof, prof!” Suara itu sayup-sayup. Saya tidak peduli. Minda saya terisi kenangan Highland Towers.

“Profesor Alam!” Saya hentikan langkah. Memusing badan ke belakang. Wartawan tadi termengah-mengah berlari ke arah saya.

“Maaf, penerbit suruh saya minta nombor telefon Prof.” Kelihatan dia amat berharap.

“Satu lagi, apa komen Prof. tentang kejadian tadi. Apa faktor berlakunya fenomena alam ini, harap Prof. dapat ulas sedikit?” Saya tidak hairan sumber dia mendapat nama saya, tetapi saya sungguh ingin tahu siapa gerangan penerbit Warta Tengahari itu.

“Ia merupakan ekspresi alam. Rajuk alam. Berdasarkan kajian, hujan lebat, pergerakan tanah, bentuk serta struktur tanah dan takungan air di permukaan cerun tidak stabil adalah punca tanah runtuh berlaku.” Saya tidak menyalahkan wartawan itu atas diksi yang digunakan untuk merujuk tragedi ini. Takdir sentiasa menjadi pujukan kepada kebanyakan manusia setiap kali ditimpa bala.

“Jadi Prof...”

Soalannya dapat saya teka dan terus menjawab “bermula Disember 1985, sudah 10 kejadian berlaku di kawasan Bukit Antarabangsa. Saya tidak fikir ia kebetulan. Kajian saya selama ini menyangkal kenyataan ia adalah fenomena alam, sebaliknya natijah mencintai kekayaan dengan kecintaan yang luar biasa.”

“Tanyalah pada alam, fahamilah ia dengan jiwa. Pasti kita berjaya memujuknya. ” Saya jemu mengulas isu sama setiap kali tragedi serupa berlaku, berpuluh tahun lalu sehinggalah saya pencen dari sebuah menara gading.

Sebelum berlalu, saya sempat bertanya nama penerbit pada wartawan itu. Jawapannya mendetakkan debar. Dejavu bertandang.

Tiga

KAMI sama-sama menjalankan kajian tentang kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku di seluruh dunia. Merangka langkah terbaik untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar memandangkan kejadian berulang ini tidak diambil iktibar penghuni bumi. Satu demi satu kecelakaan mengisi takwim dunia. Tiga siri kejadian di Bukit Antarabangsa sebelum ini belum cukup memanusiakan manusia.

Saya masih ingat, kajian itu mengambil latar masa hujung tahun 1992. Kami menghuni kondominium Highland Towers. Didanai organisasi bukan kerajaan, dianggotai oleh aktivis alam sekitar. Sengaja kami pilih kawasan ini untuk memudahkan urusan kajian, dan berbicara sedekat-dekatnya dengan alam lereng bukit. Kami mahu mengkajinya dengan jiwa.

Usaha inilah mempertemukan saya dengan gadis itu. Dia adalah segaris cahaya dalam zulmat malam. Saya hampir tewas kepada hujahan bahawa siri kejadian berlaku adalah takdir Tuhan, malapetaka atau ujian buat manusia.

“Maaf, saya tidak bersetuju dengan pendapat anda. Jangan sewenangnya melibatkan takdir dalam kegagalan urusan mentadbir alam. Anda mahu kata Tuhan itu zalim. Anda mahu cakap manusia itu didera oleh tangan yang tidak nampak, begitu?” Peluru pertanyaan bertaburan dari mulut Ros, menghala tepat ke tempurung akal.

Saya terpempan, kemudian digerak hujah berbaki membalas “bukankah takdir manusia itu di tangan Tuhan? Hey, anda tidak percaya kudrat Tuhan?”

Ros ketawa, beranak pinak. Saya mengesan itu setiap kali hujah saya tidak dipersetujuinya. Dan di hujung tawa, dia selalu menyarankan “kita bincang lain kali, setuju?” Dan lazimnya saya akur, kerana saya tahu apabila Ros ketawa begitu, itu tanda dia sedang menewaskan marah.

“Terapi. Untuk hilangkan tekanan dan redakan kemarahan.” Alasan itu saya terima dan saya pun turut mempraktikkan. Semenjak itu, tekanan darah saya mula normal.

Hampir setahun berjiran di blok sama, akhirnya kajian kami berjaya ke proses penerbitan. Saya ditugaskan menguruskan hal percetakan, Ros menguruskan kerja-kerja promosi.

Saya masih ingat hari itu, awal pagi 11 Disember 1993. Saya menyelitkan sekeping nota bertinta biru laut di bawah pintu pangsapuri Ros, Saya ke kilang cetak. Jumpa awak malam nanti.

Dan kali ini saya memilih untuk menandatangani, tidak menulis nama seperti lazimnya di bawah perkataan “Yang Sama-Sama Menjalankan Tugas”. Namun saya pasti Ros dapat mengeja aksara jawi itu.

Sengaja dia tidak dikejutkan dengan khidmat pesanan ringkas kerana saya ingin memberi peluang rehat kepadanya setelah berjaga hingga dinihari semalam.

Sewaktu keluar dari kilang cetak, renyai mula turun. Saya bergegas ke kereta, bimbang lewat untuk pertemuan malam nanti. Saya yakin Ros sengaja tidak menghubungi saya kerana waktu perjumpaan telah ditetapkan melalui nota.

Saya sampai di kawasan Highland Towers lewat petang. Imej Ros yang terpapar dalam benak pecah berderai oleh gegak gempita tangisan dan raung manusia yang memenuhi sekitar kondominium tiga blok itu. Satu blok sujud ke bumi, bagai kuih lapis dipotong rentas.

Saya melihat matahari digulung dan bintang-bintang jatuh bertaburan. Saya melihat gunung-gunung telah dihilangkan dan unta-unta betina yang sedang mengandung ditinggalkan. Saya lihat lautan bergelombang besar menelan blok pangsapuri yang kami huni, membawa Ros pergi. Manuskrip “Nafas Bumi” usahasama kami menimpa kaki.

Empat

SEJAM berurusan di kilang cetak dan singgah di pejabat sebentar bagi memaklumkan pengurus yang saya akan bercuti sehingga tahun depan., saya kembali ke Bukit Antarabangsa.

Usaha menyelamat masih giat dijalankan. Persekitaran Taman Bukit Mewah bertukar bentuk topografi kini tersenarai dalam sejarah malapetaka dunia.

“Tahun depan Prof., lamanya!” Saya senyum teringat komen pengurus tengahari tadi.

“Tahun depan tak sampai sebulan lagi. Minta bahagian promosi iklankan buku tersebut segera. Jangan sampai tahun depan pula.” Pengurus yang amanah dan jujur itu tersengih-sengih mendengar jawapan saya kepada pertanyaan tanpa tanda soal.

Perasmian buku “Apabila Bumi Berbicara” akan dirasmikan di tapak runtuhan Highland Towers yang tidak lagi didiami dan telah ditumbuhi semak samun, menjadi mangsa sasaran laku musnah.

Sengaja saya pilih lokasi dan tanggal berdarah itu bagi mengingatkan pembaca bahawa alam juga mempunyai jiwa dan nyawa, punyai rajuk tersendiri. Dan rajuknya itu berupa peristiwa yang serupa berlaku di Highland Towers dan Taman Bukit Mewah ini. Hanya latar waktu yang berbeza.

“Kerana alam di mana-mana pun jua berkongsi rasa dan jiwa yang satu. Menanggung citra manusia yang sama walau tidak serupa.” Ujaran Ros sedekad lebih lalu bertandang di relung ingatan. Sewaktu kami menyimpulkan punca kejadian yang berlaku di serata marcapada.

Setiba di kediaman sahabat yang saya tumpangi itu, saya terus mengajaknya tinggal bersama saya pula. Saya percaya kawasan itu masih bahaya untuk dihuni, dan saya tidak mahu kehilangan sahabat yang banyak membantu saya bangun semula mengejar cita-cita sebagai pakar geologi negara setelah terseradung batang wali dan jadam kehidupan selepas pemergian Ros.

Telefon genggam saya berbunyi. “Saya dapat nombor Prof. daripada wartawan lokasi kami. Saya ingin menemui Prof. Sangat-sangat. Ada hal yang ingin dibincangkan.” Suara halus itu meluncur laju, menjelaskan secara rinci sumber maklumat yang dapat saya teka.

Getar suara mengembalikan nostalgia kepada Ros. Suara yang sama, insan berbeza. Saya teruja walaupun amat letih, fizikal dan emosi. Kami janji bertemu di sebuah rendezvous sekitar Ampang, tempat yang selalu saya kunjungi dengan Ros. Lima belas tahun dulu. Dan saya memilihnya hari ini, buat kali pertama setelah meminggirkannya selama waktu itu.

Saya memilih meja berhampiran pagar kayu yang sekelilingnya ditumbuhi bunga-bunga putih. Agar senang saya mencari wanita bertudung ungu, berbaju rona bunga kapas.

Dari kejauhan kelihatan wanita berpakaian serba putih beriringan seorang jejaka mendekati meja saya.

“Saya Maryam Qistina. Ini saya kenalkan, Umar Mukhtar.” Saya menyambut huluran tangan lelaki itu, tanpa genggaman kerana seluruh badan saya dihipnotis tenungan mata wanita di sisi. Penerbit Warta Tengahari TV4 itu mengundang nostalgia.

“Ros!” Mereka duduk selepas melihat saya duduk, yang sebenarnya terhenyak ke kerusi.

“Apa dia, Prof.?” Umar Mukhtar sempat menangkap nama yang terpacul. Maryam Qistina merenung saya, tepat ke hati.

“Kami ingin menemui Prof. atas dua perkara. Urusan perniagaan dan peribadi.” Lelaki itu memulakan, seakan tahu pertanyaannya tidak akan berjawab.

“Saya mewakili sebuah badan bukan kerajaan yang terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar. Kami berhasrat mewujudkan hubungan sinergi bagi mencapai cita-cita bersama menyedarkan masyarakat tentang kepentingan mematuhi hukum dan sistem alam.” Umar Mukhtar cermat berbicara.

“Kenapa memilih saya?” Saya berjaya mengheret titik fokus ke alam sedar.

“Prinsip syarikat Prof. menepati visi dan misi pertubuhan kami. Kami sangat berharap Prof. bersetuju. Nanti saya kenalkan ahli jawatankuasa lain. Malam ini hanya pendahuluan hasrat kami.” Saya mengangguk kepada Umar Muhktar setelah dia selesai bertutur. Bola mata ke arah Maryam Qistina.

“Keduanya, saya telah lama cari Prof. Untuk ini.” Wanita itu menghulurkan sebuah diari kusam kepada saya. Tertera di kulitnya tulisan bercetak perak “Maryam Isabella.”

“Kita berpisah dulu. Kami berjanji dengan ayah untuk menziarahi keluarga sahabatnya, mangsa tragedi Taman Bukit Mewah.” Ada penjelasan dalam kenyataan Umar Mukhtar. Saya ditinggalkan dengan sebuah diari bertinta biru laut.

Saya belek muka pertamanya. Beberapa baris ayat mengisi ruang diari tanggal 1 Januari 1993. Tulisan condong ke kanan itu memaparkan - Hari ini seluruh dunia menyambut tahun baru, sebenarnya mereka menyambut hari lahir saya.
Saya terkedu, menarik nafas dalam-dalam.

Terima kasih atas nama yang awak berikan. Saya menghargainya, sangat-sangat. Hadiah paling istimewa pernah saya terima sempena hari lahir.

Saya membelek lagi.

Minggu depan, Nafas Bumi akan jadi kenyataan. Noktah.

Ros! Saya membelek dengan laju, mencari tarikh 11 Disember sewaktu telefon genggam mengalunkan lagu “Berita Kepada Kawan”.

“Alam bagai mengerti segala yang terjadi. Apabila Subuh bernafas, dan bumi mengitari matahari pada paksinya. Dan apabila sistem alam diingkari, bala bencana menghadirkan diri. Bumi terlalu tua untuk menanggung beban keserakahan manusia, Jiwa.” Lancar suara dari dalam talian menerpa gegendang. Tiada sepatah perkataan ditambah atau dikurangkan sebagaimana tercatat dalam diari yang sedang ditatap.

“Saya yakin nama Jiwa dan Alam itu dimiliki jasad yang sama.” Jantung saya semakin laju degupnya.

“Saya dan Umar cuba menjejak Prof. selesai upacara pengkebumian kembar saya, tapi tiada petanda dalam diarinya tentang Prof, kecuali dua patah nama.” Pernyataan itu cukup untuk menjelaskan seribu tanya yang bersarang dalam minda saya. Begitulah Ros yang perahsia.

“Ayah bonda kami kebetulan menziarahi kakak dua jam sebelum kejadian. Mereka bawa sepasang baju putih seperti yang diminta. Kak Bella bercadang mahu pakai untuk majlis perasmian bukunya. Diari tersebut sempat dikirim kepada saya melalui ayah.” Saya sebak mendengar esakan wanita berjarak umur lima belas tahun dengan saya itu.

“Kita jumpa 11 Disember ini. Saya jemput awak dan Umar ke majlis perasmian buku terbaru terbitan syarikat kami, sekaligus perasmian kerjasama syarikat saya dan pertubuhan Umar, setuju?” Saya selitkan nada ceria, sedang jiwa saya sendiri bertubi-tubi ditusuk belati peristiwa lalu.

Dan pada pagi yang ceria, Maryam Qistina serta Umar Mukhtar menerpa saya. “Sebelum perasmian, kami wajibkan Prof. mengesahkan, Jiwa itu nama milik Prof., bukan? Itu paksaan, kalau tidak saya merajuk.” Maryam Qistina tunak merenung iris.

“Dan sebagai balasan, awak wajar jelaskan bagaimana awak dapat mengecam saya.” Saya berjual beli kisah dengannya.

“Dengan jiwa.” Lirih suaranya.

Jawapannya memanah jiwa saya. Perlahan saya hulur sebuah buku terbitan tahun 1993 berkulit putih, dilatari Banjaran Titiwangsa disepuh nafas Subuh.

Saya lihat Maryam Qistina mengusap-usap nama “Maryam Isabella” yang bercop perak, sedikit tersentak melereti nama yang bergandingan dengannya; kemudian mengangkat pandang ke arah saya lalu menyebut “Jiwa Alam?”

Dan pagi ini saya mendapat nama saya kembali.

Kamar Rindu, Padang Embun
9 Zulhijjah 1429H / Disember 7, 2008
(malam: 8.00 - pagi: 3.30)
.
Mingguan Malaysia, Disember 14, 2008

Thursday, September 25, 2008

PELANGI BERJALUR LIMA

DIA sedang membelek buku setebal setengah inci berkulit keras bukti cintanya itu. Gambar pelangi berjalur lima yang terhias pada kulit buku tersebut ditatap dengan sinaran mata yang kelihatan penuh kekecewaan. Sambil memanggung kepala, tangannya menyusupkan kancing ke lubang baju bulu yang tidak terlalu tebal.

Di luar, kedengaran hujan dan ombak membentur karang dan tebing yang menjulang. Angin dan badai menampar bunga-bunga pagar di halaman. Rumah kayu yang sederhana besar terletak kira-kira seperempat kilometer dari deruan ombak Laut China Selatan itu menyaksikan resahnya.

Aksara-aksara Jawi yang membentuk perkataan “Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi” menjadi tajuk buku tersebut tunak direnung lagi. Dia senyum kecil melirik namanya tertera di bahagian bawah gambar pelangi berjalur lima, seminit kemudian membuang pandangan ke tengah ombak yang membadai dan melepaskan keluhan kecil.

Kelihatannya dia sudah menghabiskan beberapa dekad untuk membukukan kaedah mudah mempelajari teknik menguasai tulisan dan membaca Jawi dengan cepat dan berkesan yang kini telah terhasil sebagai sebuah buku dalam genggamannya. Dan dari keluhannya tadi, terfikir seolah-olah lebih mudah baginya untuk mencapai bintang di langit daripada memindahkan kaedah-kaedah yang terjana dalam dua kepal otaknya ke dalam buku yang menjadi magnum opusnya itu.

Namun demi cintanya - sebagaimana yang tercatat dalam pendahuluan buku hasil penyelidikannya yang mengambil masa dua puluh lima tahun itu, dia sanggup menyumbat telinganya dengan gabus ketidakpedulian terhadap umpatan dan cercaan rakan sebangsa, juga tegar menutup matanya dengan perisai kecekalan bagi menepis setiap kerlingan dan jelingan dari masyarakat berlainan bangsa. Dia sanggup menghadapi semua itu demi cintanya!

Dia berumur dua puluh dua tahun sewaktu kalbunya tertawan oleh cinta. Cinta yang telah membuatkan dia kelu untuk bertutur bahasanya sendiri dan cinta yang telah membuatkan dia kekok untuk menulis sesuatu dengan aksara bahasa ibunda. Dan semenjak dia diamuk edan kasmaran pada kecintaannya itu, saban hari dia mempelajari bahasa dan tulisan asal bahasanya itu.

Dia tidak segan dan silu jika terpaksa bertanya pada rakan berlainan bangsa yang mengerti akan hasrat murninya, lebih-lebih lagi terpaksa berhadapan dengan sentimen agama sewaktu dia mendampingi beberapa tokoh ulama negeri sepanjang penyelidikannya ini. Dia hampir kebal dengan pelbagai onak dan duri yang dilemparkan atas laluan perjalanannya mengejar cinta yang hampir sirna dalam jiwa nurani bangsa pemilik geliga permata cinta pujaannya.

Dia yang berhijrah dari bumi paksina ke tanah masyhrik ini hampir tiga dekad yang lalu kerana tugas, telah terpanah cinta pada bahasa dan larikan tulisan yang seterusnya menjadi tumpuan rutin hidupnya yang kedua seusai melaksanakan beban tugas sebagai Pembantu Penerangan Kanan di Cawangan Perancangan dan Penyelidikan di Jabatan Penerangan Kelantan.

Dan semenjak kalbunya tertusuk bisa cinta itulah dia berikrar pada diri sendiri untuk menjadi lelaki pertama yang mewakili bangsanya bagi mengembalikan kegemilangan dan kemasyhuran bahasa dan tulisan itu - dengan menghasilkan sebuah buku rujukan bagi generasi kini dan mendatang agar bahasa dan tulisan yang pernah gah suatu zaman dahulu tidak terus dihina oleh negara atau diinjak oleh bangsa pemiliknya.

Dan setiap kali dia hampir tewas dalam perjuangannya, segera diingatkan pada dirinya akan kata-kata Imam Syaukani, “Sebahagian ulama menasihatiku; janganlah engkau berhenti menulis dan mengarang sekalipun dalam sehari kamu hanya dapat menulis dua baris sahaja. Aku telah berpegang dengan nasihat itu dan aku telah dapat buah hasilnya." Benarlah kata-kata itu, berkat ketabahan menempuhi pelbagai rintangan dia berjaya menghasilkan buku yang menuntut separuh usianya itu.

Dia berkasad dalam hati “takkan Melayu hilang di dunia”. Biarlah dia dianggap penderhaka oleh rakan sebangsa atau dicop pengkhianat oleh persatuan bangsanya di negeri ini tetapi niatnya ikhlas untuk melihat bangsa yang pernah agung dan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia itu terus lestari dalam arus globalisasi.

Dia hanya ingin membela bahasa yang dulunya menjadi bahasa ilmu yang banyak menyumbang kepada ketamadunan dan peradaban dunia melalui ilmu-ilmu yang tidak pernah luput padam dalam dada para ilmuan yang banyak membantu bangsanya di tanah besar membangunkan tamadun dengan sumber ilmu dalam pelbagai bidang. Dia percaya serta yakin akan kemampuan bahasa ini sebagai bahasa penyebaran ilmu dan kedudukannya sebagai lingua franca di rantau Asia seawal tahun 1688.

“Sudah pelatkah lidah kau untuk berbahasa Hokkien sehinggakan saban hari kau mengasah lidahmu dengan bahasa Melayu? Kau sudah lupakah asal usul nenek moyang kita dengan perit derita mereka naik tongkang untuk sampai ke tanah ini?” Ahli jawatankuasa persatuan Tionghua di negerinya itu menghamburkan kemarahan yang nampaknya telah lama terbekam.

“Aku tidak pernah lupa bangsa kita. Aku tidak juga pelat untuk bertutur Hokkien atau Mandarin atau Kantonis. Malah aku sentiasa ingat bagaimana tabahnya jiwa Pendeta I Tsing yang ingin mempelajari agama Buddha yang menuntut di Sriwijaya serta sanggup mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan itu. Jika beliau sanggup meruntuhkan egonya belajar bahasa asing, siapalah aku untuk menolak peluang ini semata-semata kerana menurut egoku, bimbang disalah tafsirkan oleh rakan-rakan dan bangsa?”

Angin di luar rumah kayu berlantaikan cengal bervarnis merah kecoklatan masih lagi menampar-nampar bunga-bunga putih di halaman. Rimbunan melur di jihat kanan pagar terliuk ke satu arah. Deruman ombak sekejap datang dan kemudian pergi, mengheret gulungan serupa tikar mengkuang anyaman ke sisir pantai. Ombak datang dan pergi, begitu juga sejarah akan berulang kembali.

Dia meletakkan buku dalam dakapannya di atas meja kopi. Mengusap-usap rambut ikal berwarna hitam kopi separas bahu yang sesekali ditiup angin dari pantai, dan melurut janggutnya yang sejemput. Gambar pelangi berjalur lima ditatap lagi, kemudian menyandar ke kerusi. Kelihatan ada pedih dalam wajahnya setiap kali menatap jalur-jalur pelangi yang kehilangan dua warna itu.

“Nenek harap kau kirimkanlah buku-buku tentang tenunan songket atau lukisan batik dari sana. Yang mudah sahaja olahannya. Nenek masih kurang mahir membaca tulisan berbahasa Melayu, bercakap pelat sedikit sahaja.”

Senyuman nenek sering bertandang dalam ingatan. Bau melur berkembang di halaman rumah sesekali menusuk deria dan bersatu dalam minda dengan aroma melur di perkarangan rumah nenek. Dia ketawa kecil mengingatkan nyanyian nenek sewaktu menyiram pohon melur di tepi rumah. Walaupun sedikit pelat, nenek tetap ingin membuktikan kelebihannya yang pandai menyanyi irama Melayu asli.

Neneknya pasti menyanyikan sebuah dua lagu irama Melayu asli setiap kali dia berkunjung ke rumah nenek di Beijing sebagaimana dia tidak pernah lupa bertanya usaha penyelidikan cucunya yang yatim piatu sejak berumur sebelas tahun itu. Dan dia pula akan sentiasa mengorek cerita-cerita lama yang penuh duka lara daripada neneknya tentang kematian kedua ibubapanya. Mereka berdua akan bertukar-tukar cerita setiap kali dia pulang menjenguk nenek di tanah besar.

“Ayah dan ibumu menjadi mangsa sengketa perkauman, sedangkan mereka berdua tidak pernah ada sekelumit rasa kebencian pun dalam hati terhadap mana-mana kaum. Namun bila tuhan datangkan sesuatu bala, semua orang akan terkena, termasuklah mereka.” Nenek membuka cerita pada suatu musim dingin.

“Seorang ekstrimis kaum Tionghua merodok perut ibu dan bapamu sewaktu pulang dari membeli surat khabar di Bangsar pada pagi berdarah yang tercatat dalam sejarah Malaysia. Apabila nenek diberitakan hal tersebut, nenek tidak berani keluar kerana keadaan huru-hara memungkinkan apa-apa sahaja untuk sesiapa jua. Mayat kedua ibu bapamu dihantar ke rumah nenek oleh pihak berkuasa lewat petang pada hari tersebut. Kau masih ingat lagi, kan?” Nenek membuang pandang pada sekawan burung yang terbang dalam bentuk huruf V ke arah daksina.

“Saya tidak lupa gambaran kedua jasad ibu dan ayah yang penuh darah. Dan yang paling kekal dalam ingatan saya ialah naskhah surat khabar jawi yang masih dalam genggaman ayah.” Ada genang dalam matanya.

“Bila melihat wajahmu yang mirip bapamu itu, nenek bimbang perkara sama akan berulang padamu. Engkau mungkin tidak tahu bahana sentimen perkauman pada waktu itu. Bapamu dibunuh kerana dia disangkakan orang Melayu. Jarang terdapat orang Cina berambut ikal dan berjambang sepertinya.”

Dia masih ingat, selepas peristiwa berdarah tersebut, nenek mengharamkan dirinya dari memijak bumi penuh adat resam ini. Dia tidak dapat melawan rasa kedukaan yang memanah jiwanya, dan nekad untuk pulang ke tanah besar. Apatah lagi mengingatkan suami yang terkorban sewaktu pendudukan Jepun di tanah Malaya.

Dia ditinggalkan pada seorang jiran Melayu yang telah dianggap keluarga sendiri oleh nenek. Dan semenjak itu, dia hanya menerima beberapa pucuk surat sebagai ganti diri nenek yang jauh beribu batu. Tidak lama kemudian jirannya itu pulang ke kampung halamannya di paksina. Dan dia pun terpaksa menyambung persekolahannya di negeri jelapang padi itu, sehinggalah akhirnya berjaya masuk ke menara gading, kemudian berkerjaya. Dengan gaji yang dikumpulkan pada tahun pertama, dia ke tanah besar berziarah nenek. Sehinggalah sekarang, setiap tahun dia akan ke Beijing menjenguk nenek dan kaum kerabat di sana.

Esok dia akan ke sana lagi. Membawa khabar gembira tentang ciptaannya yang telah dipatenkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 29 Mac lepas, hasil kajiannya yang menagih masa 25 tahun untuk disiapkan. Berbekalkan buku ini, dia ingin memujuk nenek tinggal bersamanya di bumi yang menyaksikan kejayaannya sebagai lelaki Cina pertama mencipta Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi.

Yang lebih penting ialah pada hari pelancaran buku tersebut, dia mahu nenek bercakap sesuatu tentang peristiwa berdarah 13 Mei dan kepentingan bahasa terhadap sesuatu bangsa. Dia mahu ketua persatuan Tionghua dan rakan-rakan yang membangkang usahanya selama ini mendengar sendiri lontaran pengalaman warga tua kaum Tionghua yang pernah hidup di dua negara berlainan bangsa dan agama, namun cintakan bahasa yang indah pada pendengarannya.

“Bahasa yang sinis tetapi menerkam, gaya yang kadang-kala begitu lurus tetapi menikam meletakkan bahasa Melayu sebagai sebuah tamadun pengucapan yang indah dan intelek”. Dia melereti baris-baris kata terakhir dalam pendahuluan bukunya itu. Pasti nenek bersetuju benar dengan kesimpulan seperti itu.

Dia bertekad untuk membawa neneknya pulang. Biar kata-kata sinis yang dihamburkan dalam bahasa penjajah oleh rakan sebangsa mahupun berlainan bangsa terhadap usahanya memperjuangkan bahasa Melayu selama ini dibalas pula dengan pantun budi bahasa dan gurindam oleh nenek. Dia juga akan menyarankan kepada nenek supaya membaca petikan kata-kata Abdullah Munsyi pada tahun 1882 yang juga dimuatkan dalam pendahuluan buku bagi menggambarkan mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri.

“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

Sebuah ketawa kecil terloncat dari mulutnya. “Agak lancang juga buah peri Abdullah Munsyi ini”, gumamnya. Dia bersetuju benar dengan luahan Abdullah itu.

Dia dapat menyelami kekecewaan Abdullah dengan mentaliti bangsa Melayu, apatah lagi bahasa rasmi negara ini telah diperkotak-katikkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Dia bimbang suatu hari nanti bahasa ini mengalami nasib serupa dengan bahasa bangsa Kurdi yang pupus bersama bangsanya yang kian hari terbakar oleh matahari zaman.

Dia segera teringat pada ugutan seorang pemuda Melayu yang terkocoh-kocoh ke rumahnya pada suatu petang panas, sehari selepas dia meletakkan jawatan dari Jabatan Penerangan untuk menumpukan perhatian pada usaha penyelidikannya.

“Lu jangan pandai-pandai mau tunjuk lagak dalam ini negeri. Lu ingat orang Melayu talak pandai tulis Jawi atau cakap Melayu, ka? Lu punya tulisan sudah habis mau belajar, ka? Pemuda Melayu yang sering ke hulu ke hilir tanpa sebarang pekerjaan itu nampaknya sudah lama mengikuti perkembangan usahanya.

“Saya minta maaf, Abang Lan. Saya tidak pernah berniat mahu memandai-mandai atau menjadi juara dalam kampung atau negeri ini. Saya hanya berminat untuk mendalami pembelajaran bahasa dan tulisan kaum abang. Tidak salah jika kita mahir dalam banyak bahasa, bukankah begitu Abang Lan?” Dia menyiram api di mata pemuda itu dengan hujan daripada sinar matanya.

“Bukankah nabi Muhammad juga berpesan agar kita belajar bahasa kaum lain kerana banyak faedah yang boleh kita dapat daripadanya.” Pemuda itu menguis pasir pantai dengan kakinya.

“Saya pun mahu belajar bahasa Melayu dari Abang Lan. Saya dengar Abang Lan pun lancar bercakap Siam. Suatu hari nanti saya pun mahu belajar bahasa Thai, boleh?” Wajah pemuda itu pun meredup. Dia pasti tohmahan daripada mulut pemuda itu bukan sepenuhnya daripada hati, tetapi menyampaikan kata-kata daripada orang lain yang tidak bersetuju dengan usahanya.

“Kalau awak mahu belajar dengan saya, silalah ke rumah bila-bila masa.” Pemuda itu menghulurkan tangan. Dan semenjak hari itu dia menjadi akrab. Abang Lan pula tidak segan bertutur bahasa Hokkien yang sedikit sebanyak telah dipelajarinya.

“Barangsiapa tidak mengetahui bahasa Melayu dari Persia di sebelah Barat hingga ke Filipina di sebelah timur, maka orang itu tidak dianggap berpelajaran.” Kata-kata Francis Valentyne dalam bukunya pada tahun 1726 cukup membuktikan akan kebodohan mereka yang mengagung-agungkan bahasa penjajah sehingga lupa bahasa sendiri.

Ditatapnya lagi kulit buku berjalur pelangi. Pelangi yang kehilangan warna hijau dan biru. Hijau lambang kehidupan dan pengharapan yang mewakili rumput dan tumbuh-tumbuhan; dan biru yang mewakili air dan langit. Air yang menjadi dasar kehidupan, dan langit memberi ruang angkasa, damai dan ketenangan - kedua-dua warna yang telah lama hilang dari hidupnya semenjak kehilangan kedua ibu bapa. Dua warna yang menjadikan dia insan antara biru langit dan hijau bumi.

Dia yakin nenek akan mengikutnya pulang nanti. Dia yakin sumpah nenek untuk tidak menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini bukan muktamad, tetapi lahir dari hati yang kecewa. Dia yakin pelangi hidupnya tidak selamanya berjalur lima. Dia yakin dua warna itu akan bersatu kembali. Dia yakin magnum opusnya ini akan mengubah mentaliti bangsa-bangsa yang berkongsi bendera sama di negara yang dihuninya. Dan dia tidak sabar menantikan hujan di luar sana teduh. Dia kepingin menyaksikan pelangi berjalur tujuh di langit perpaduan.

ROZAIS AL-ANAMY
Padang Embun
Mei 2007
Dewan Budaya, November 2008

Wednesday, September 24, 2008

SAYAP

SAYAP. Ya, sayap itulah. Sepasang kepak daripada pelepah-pelepah cenderawasih, burung kayangan yang hanya minum titisan embun dan meragut awan. Pelepah-pelepah yang disulam dengan jaringan kayu halus. Tempat duduknya daripada kayu zaitun yang tidak tumbuh di maghrib atau di masyrik.

Dia memandang ke biru langit tanpa awan seketul kapas, kelihatan penuh tulus khusyuk berdoa pada Yang Melihat usaha kerdil seorang hamba. “Tuhan, kapalku kecil, samudera angkasa-Mu luas. Izinkanlah aku mengenderai angin-Mu, aku hanya mahu terbang!”

Seiring lafaz Basmalah ternoktah, dia mengenderai pesawat rekaannya itu menuruni sebuah gunung. Penerbangan pendek dari kaki-kaki gunung sekitar itu cukup menumbuhkan syukur yang merendang dalam jiwanya. Betapa luas langit Allah, makhluk hanya sebutir debu yang disergah angin padang pasir.

Berlegar beberapa ketika di udara, dia terkumat-kamit berdoa meminta bantuan Rabbul Jalil untuk menyentuh bumi. Dengan sepasang tangannya, dia mengawal gerakan kepak cara burung untuk merendah ke tanah. Angin keras yang tiba-tiba menyergah menyimpangkan pesawatnya ke arah bukit batu, dan tanpa sempat mengawal kepak-kepaknya, dia telah pun terperosok ke kawasan berbatu-batan di kaki gunung. Dalam kesakitan, dia bertahmid beribu kali sebaik sahaja bahagian belakangnya menjamah bumi berkematu.

Seluruh penduduk Qurtubah mengelilingi kaki gunung menyaksikan demonstrasi usaha yang telah menjadi realiti pada hari tersebut. Kalau dulu mereka dibanggakan oleh terhasilnya jirim kaca daripada gabungan bahan-bahan dari tanah dan batu-batu, juga ditakjubkan oleh rekaan jam mekanikal yang boleh menunjukkan pergerakan bintang, planet dan bulan bergelar al-Muqata, pada hari bersejarah dalam tahun 875 Masihi ini pula, mereka terpilih untuk menyaksikan terhasilnya satu model kapal terbang pertama di dunia, di bumi gemilang Andalusia.

Mereka menerpa ke arah pencipta sejarah dunia berusia 65 tahun itu sambil di mulut tidak lepas mengucapkan “Selamat, selamat. Selamatklanlah Ibnu Firnas kami, selamatkanlah si pereka kaca. Sesungguhnya Engkau Maha Pencipta!”

Dalam kesakitan dia masih sempat tersenyum kepada mereka yang menyerbu datang menawarkan bantuan. Setelah dapat berdiri dengan betul, dia berterima kasih kepada penduduk yang datang membantu, dengan muka ceria berjanji akan cuba memperbaiki penerbangannya pada kali yang lain.

Dia berdoa agar ciptaannya itu bakal menjadi penerus kepada ketamadunan ummah sedunia, agar rekaan itu mencetus ketakjuban pada kekuasaan Tuhan dan simbol keindahan ciptaan-Nya.

“Semoga ia dimanfaatkan oleh ummah akhir zaman, semoga mereka yang seagama denganku memanfaatkannya dengan Rahim-Mu dan mereka yang engkar dimudahkan jua oleh sifat Rahman-Mu. Benarlah al-Quran itu petunjuk dan sumber ilmu, Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.” Itulah qasad ciptaannya.

Sememangnya penerbangan hari itu berjaya, cuma pendaratannya agak keras. Dia lupa untuk mengkaji tentang penggunaan ekor burung sewaktu pendaratan, maka tidak hairanlah dia terhentam ke bumi. Dalam keadaan badan yang masih sengal-sengal, dia berdiri di atas batu di kaki gunung tempat dia terlentang jatuh sebentar tadi, memejamkan mata dan bertafakkur seketika. Bunyi daripada seekor helang di angkasa memanggil ingatannya pada penerbangan tadi. Dia mendongak sambil tertawa kecil. Sungguh leka akal manusia!

Dua

SAYAP! Ya, sayap itulah yang selalu menggangu lenanya sejak dia lahir dan mengenal apa itu mimpi. Dia tidak sabar ingin menebarkan sayapnya di angkasa membiru. Berazam ingin menjadi pemuka sejarah yang dikenang sepanjang hayat. Dia tidak mahu lagi bermimpikan kepak-kepak yang terjalin pada jaringan kayu halus.

Dia muak melihat wajah jilah penuh sinar menyuluh wajah lelaki berjubah dari zaman pemerintahan Bani Umaiah yang berjarak 1000 tahun dengan zamannya, terawang-awang di langit membiru dengan sepasang kepak sambil membasahkan bibir merah dengan zikir dan tahmid kepada Penciptanya.

Dia ingin memadamkan wajah itu dari mimpi, dan menggantikannya dengan jasadnya sendiri dalam realiti. Dia ingin terbang! (Seperti pemuda yang dilihat dalam mimpinya itu.)

Hasratnya itu disuarakan kepada saudara lelakinya. Nampaknya saudaranya itu bersetuju benar dengan usul yang turut lama singgah di mindanya. Rupa-rupanya saudaranya itu pun dikunjungi mimpi yang sama, cuma tidak dimaklumkan kepadanya, bimbang diketawakan. Namun begitu, mimpi saudara lelakinya itu agak berlainan dengan mimpinya, di mana lelaki yang wujud dalam mimpinya itu bukanlah warga Sepanyol, bahkan berasal dari rumah ladang di daerah Anchiano, Itali dan hidup pada latar masa abad ke-16 Masihi.

Menurut saudara lelakinya itu, lelaki tersebut mendapat sanjungan masyarakat Vinci oleh idea pembinaan sebuah kenderaan bagi tujuan penerbangan yang tidak pernah menjamah minda manusia lain pun sebelum ini. Hanya pelukis itulah yang pertama dipilih Tuhan untuk diilhami rekaan seperti itu. Maka selain terkenal oleh lukisan Monalisa yang tersenyum sepanjang zaman, lelaki itu juga dijuluki gelaran “si lelaki bersayap” pertama dunia oleh masyarakat pada kurun tersebut. Begitulah cerita saudara lelakinya itu.

Tambahnya lagi, lelaki dalam mimpinya itu sempat menuturkan kepadanya, “selagi Monalisa tersenyum, selagi itulah manusia akan menghargai jasaku sebagai pereka pertama alat penerbangan yang dipanggil “kapal terbang”.

Dan semenjak hari didatangi mimpi bertemu si pelukis Monalisa itulah, dia berazam ingin mencipta alat penerbangan yang lebih baik dari ciptaan kapal terbang pertama itu.

Setelah mengerti perasaan dan cita-cita masing-masing, dua bersaudara itu berjabat tangan tanda muafakat, menjalinkan ikatan kerjasama secara sinergi. Bermula detik itu, mereka memfokuskan fikiran, energi, dan emosi mereka untuk bekerja keras. Pada setiap petang diperhatikan burung yang berterbangan, mengkaji pergerakan burung semasa terbang dan sewaktu melayah, singgah di dahan kayu, atau teknik untuk turun, juga cara terbaik untuk mencengkam mangsa yang berkeliaran di bumi.

“Ya, ekornya! Jangan pula lupa posisi ekor itu penting semasa pendaratan. Bukankah kerana terlupa mengkaji peranan ekor burung, lelaki Cordova itu hampir menemui ajalnya di kaki bukit?” Wilbur menyimpulkan kajian mereka. Ada pesanan dalam ujarannya itu.

Mereka tidak mengenal jerit-perih mengunjungi muzium dan arkib untuk menelaah buku-buku karangan ilmuan Muslim dari Sepanyol yang tersimpan rapi di sana saban hari. Sejumlah besar buku dan kitab muktabar karya ilmuan dan cendekiawan Muslim Cordova yang telah pun menjadi koleksi di muzium mereka setelah dirampas oleh tentera yang menang sewaktu peperangan Salib dahulu, kini merupakan harapan terbesar kepada ciptaan mereka.

Ternyata buku-buku tersebut merupakan sumur di sahara kajian mereka. Menurut catatan kajian penerbangan dan teknologi karya Armen Firman, salah sebuah buku dalam senarai “bertanda merah” pusat dokumentasi muzium, menerangkan kajian penggunaan ekor burung sewaktu pendaratan.

Hari demi hari mereka menekuni kerja-kerja penciptaan kapal terbang tersebut sehingga kadangkala sekeping roti pun tidak diberi peluang mengunjungi perut mereka. Dalam mata mereka hanya terpantul satu imej rekaan bersayap yang bakal melonjakkan nama mereka berdua di persada sejarah dunia.

Selain menelaah buku, berguru pada para ahli, ilmuwan, dan penulis buku, kajian mengenai penerbangan dilakukan tanpa rasa malu. Selama lima tahun kegiatan ini mereka lakukan dengan sepenuh hati. Sepanjang usaha itu, rasa lelah, sakit hati dan malu oleh berbagai kegagalan dan ejekan berbagai pihak tidak menghambat keduanya untuk tetap berkarya. Meyakinkan diri sendiri dan keluarga bukanlah usaha yang mudah, apalagi meyakinkan dunia bahawa manusia memang mampu terapung di langit dengan bantuan sebuah pesawat terbang. Inilah cabaran minda yang dialami mereka berdua.

Dan ketika mereka menyuarakan hasrat untuk demonstrasi terbang, hanya lima orang sahaja yang tidak mengatakan mereka gila, dan lima orang itu jugalah yang menjadi saksi bersejarah penerbangan pertama di dunia. Kelima-lima orang inilah yang namanya juga ikut terukir dalam sejarah aviasi dunia.

Sinergi usaha mereka yang tekun serta azam yang begitu tegar untuk melakar nama di peta sejarah sebagai pencipta pertama pesawat udara, Dzat dan Kuasa Yang Maha Agung membenarkan usaha itu menjadi realiti dengan sifat Rahman. Mereka berjaya meraih mimpi. Sebuah pesawat udara yang amat gah pada zaman tersebut telah terhasil dan berupaya menebarkan sayap di udara pada 17 Disember 1903, hari yang merupakan tanggal bersejarah tidak hanya bagi mereka berdua, tetapi juga bagi dunia.

Walaupun hanya berada 12 detik di udara Kitty Hawk, North Carolina, prestasi yang dibuat oleh Orville sebagai juruterbang dan abangnya itu telah tercatat dalam sejarah penerbangan dunia yang akhirnya memegang peranan penting pada penciptaan pesawat oleh generasi seterusnya.

Atas kegembiraan itu, si dua beradik berjalan kira-kira 6.4 kilometer untuk mengirim berita gembira melalui telegram kepada ayah mereka. Tulis Orville, “maka mulailah era baru yang telah diimpi-impikan manusia sejak dulu: Era manusia tinggal landas untuk terbang menjelajah langit dan angkasa.”

Hari Khamis pada musim dingin tersebut, lelaki yang sebelum ini sentiasa berusaha memadamkan mimpinya tentang si penerbang dari kota Cordova itu, menjabat tangan adiknya yang muda empat tahun darinya itu.

“Malam ini kuharap dapat menatap wajahku, menggantikan wajah lelaki dari Cordova yang selalu kulihat itu”, dia memberitahu adiknya sungguh-sungguh.

Dan adiknya, Orville, mengangguk-angguk seraya meluahkan kata - “Dan aku harap sungguh akan jadi lebih terkenal dalam penciptaan pesawat berbanding si pelukis Monalisa itu.”

Mereka sedang menapak ke bengkel di belakang rumah ladang mereka - sepulangnya dari mengirim telegram - sewaktu seekor hering melayah ke arah sekumpulan arnab, menyambar seekor dari mereka dan membawa pergi. Ketawa mereka berdua mengiringi jeritan arnab yang dibawa terbang.

Tiga

WILBUR mendahului adiknya bangun pada pagi itu. Wajahnya muram, persis awan yang gelap di langit Kitty Hawk. Sejak semalam, matanya mungkir pada arahan otaknya. Usahkan tidur bermimpikan dirinya mengenderai pesawat, sebagaimana yang menjadi hasratnya siang tadi, sepicing pun dia tidak dapat lelap.

Walaupun dia bangga dengan kejayaan penerbangan mereka, jauh di sudut hati, dia tidak puas hati terhadap kegagalannya pada penerbangan keempat mereka, di mana dia menjadi juruterbang pada kali ini setelah bergiliran dengan adiknya pada kali sebelumnya. Rasa ketidakpuasan hati itu akhirnya membenihkan rasa cemburu pada Orville yang memilih untuk menjadi juruterbang, mendahuluinya pada penerbangan pertama.

Sindiran Orville yang manja-bangga itu mencarikkan secebis hatinya. Mana mungkin seorang adik bermulut kurang manis terhadap abangnya sendiri, sedangkan dialah yang bersungguh benar mencadangkan usul ciptaan mereka pada peringkat awal.

Cupingnya masih terasa panas dengan kata-kata Orville, “Abang, perasankah kau, aku yang memulakannya dengan jaya, kau pula mengakhirinya dengan kegagalan. Nasib baik kau tidak maut. Takdirmu sama dengan lelaki Cordova yang kau benci itu. Kalau tidak, sudah tentu aku seorang sahaja yang bakal mencipta nama.”

Gurauan itu amat pedih di telinga, di kalbunya. Namun di depan khalayak, dan sebagai abang pula, dia masih mengukir senyum, walaupun pahit.

Tetapi pada pagi yang suram itu, hatinya meruntun, bercampur baur dengan rasa marah, dengki pada adiknya, sakit hati – dan pelbagai rasa itu berputar-putar dalam kepalanya, lantas meletup.

Dia sempat berpaling kepada adiknya yang sedang enak tidur, sambil tersenyum-senyum, kelihatan puas dan menang, sebelum bergegas ke sebuah padang berhampiran. Dia nekad menerbangkan pesawat tanpa Orville, dengan masa penerbangan yang jauh lebih lama daripada keempat-empat rekod sebelumnya.

Ribut yang tiba-tiba datang menjerkah tidak dihiraukan. Kasad hanya satu – membuktikan kepada adiknya yang dia lebih handal dengan rekod masa yang lebih panjang dengan jayanya, sekali gus menepis gurauan adiknya semasa dia terjerembab ke tanah tempohari.

Dia sedang menghidupkan enjin sewaktu dilihat sebatang tubuh tersusup-sasap menghampiri pesawat. Orville di luar menempikkan sesuatu, namun tidak dihiraukannya. Dia pun melayangkan pesawat, biarpun agak terolang-oleng oleh terpaan angin deras. Dan pesawat pun makin menjauh ke angkasa. Tidak didengarinya tempikan Orville, diselewengkan tempias dendam di hati dan angin yang berpusaran.

“Hentikan, abang. Sebentar tadi aku bermimpi batang tubuhmu berwajahkan Icarus. Dan kita sama-sama tenggelam dalam Laut Icaria. Turun, turun. Selamatkan diri kita dari mimpi itu!”

Dalam keadaan hati membara, Wilbur mendengar tempikan itu sebagai “Turunlah, bodoh. Jangan berlagak hebat dalam ribut sebegini. Kegagalanmu dalam penerbangan keempat telah jadi sejarah.”

Laungan itu menaikkan semangatnya untuk terbang lebih tinggi. Kalau boleh biar menyentuh matahari. “Engkau Daedalus, sememangnya engkau bapa yang cemburukan anaknya. Kerana itulah engkau melarang Icarus menghampiri matahari!” Dan dia membawa pesawatnya lagi tinggi. Pusaran angin telah sampai berhampiran pesawat. Orville masih menempikkan “turun, turun!” Pesawat terolang-oleng sewaktu bertembung pusaran ribut berbentuk sarang tempua. Dan sarang itu menyedut pesawatnya dan akhirnya melantunkannya ke bumi setelah ribut beransur reda. Orville terbeliak matanya melihat pesawat yang menghampiri, sempat menyebut, “Binasalah kau, Icarus…” Dia hancur dibantai badan pesawatnya yang gugur. Wilbur yang nazak menancap ke langit, memandang helang sedang menyambar arnab.

Empat

SEWAKTU mengunjungi bumi Al-Andalus empat tahun lepas untuk menjejaki puing-puing sejarah kegemilangan Islam di Qurtubah, senario keamanan dunia mula menampakkan kegoyahannya. Polis dunia, Amerika mula menggerakkan kapal-kapal pengangkut pesawat pejuangnya ke perairan Iraq. USS Harry S Truman dan USS Constellation sedang menuju ke arah USS George Washington dan USS Lincoln yang telah sedia berada di Timur Tengah lengkap dengan pesawat-pesawat pejuang dan pemusnah F/A-18 Super-Hornet, F-16 dan pesawat pengebom B-2 Stealth.Dengan gahnya ia dihantar ke negara musuh, semegah itu jugalah pencipta pesawat tersebut mendabik dada, menyaksikan hasil rekaan yang bakal menjadi suruhan menundukkan negara musuh menyembah mereka. Pesawat yang beribu kali ganda lebih sofistikated daripada ciptaan si pelukis Monalisa atau si dua beradik Wright, pencipta kapal terbang. Pesawat mereka kini bukan bermaksud kemudahan, lebih daripada itu adalah mencetuskan kesengsaraan. Dan ia bukanlah mensasarkan (menyasarkan) arnab atau ular, bahkan manusia.

Lima

POYANGKU berasal dari tanah al-Andalus. Aku lebih suka mengekalkan nama yang melambangkan kegemilangan Islam berbanding nama Sepanyol yang dipaksakan oleh King Philip dan Isabella. Begitu juga nama poyangku, Abbas Qasim Ibnu Firnas yang tercatat dalam kitab penerbangannya, yang diwariskan turun-temurun kepadaku secara sulit sejak 1120 tahun dahulu. Tidak sesekali lidahku menukarnya menjadi Armen Firman.

Kitab yang selamat dalam amanahku ini, satu-satunya kitab yang sempat disembunyikan oleh keturunan kami sewaktu Perang Salib. Selainnya, habis jatuh ke tangan musuh, banyak pula dibakar dan dihumban ke laut.

Dan pada detik bersejarah ini, setelah setengah abad aku menjalankan kajian untuk meneruskan ciptaan poyangku, aku tegar mempamerkan inovasi dari tamadun Islam yang hilang ini di Pameran Sains Islam Mendahului Zaman pada 26 Jun 2007, dan kupilih KLCC tempatnya untuk menghebahkan kejayaan dari masa silam ini.

Ia memang kelihatan seperti Tomcat, namun sebenarnya ia jauh lebih daripada itu. Tomcat hanyalah sepuluh peratus daripada kejayaan ciptaan yang sepatutnya, kerana sembilan puluh peratus daripadanya termuat dalam kitab warisan yang berada dalam genggamanku. Justeru itulah sebuah pesawat supersonik itu pernah dilaporkan terhempas di Iraq dua tahun lepas. Kasihan Amerika, sehingga sekarang tidak dapat mengenal pasti punca kerosakan, hanya melaporkannya sebagai “kerosakan mekanikal”.

Dan aku pasti ada kuasa besar dunia nanti akan menuduh ciptaan yang dinamakan “Al-Andalus” itu sebagai sihir, oleh sifatnya yang tidak dapat ditenung mata kasar. Aku juga sudah bersedia dituduh sebagai pencuri idea “stealth” yang dibangga-banggakan mereka. Yang pasti mereka hanya mencipta “stealth” satu persepuluh ilmu poyangku. Sudah tentu banyak perbezaannya!

Jangan dicari aku pada pameran itu. Yang ada hanya wakil diriku, sebuah model “stealth” sebagai saksi kegemilangan ilmu dan peradaban Islam. Pesawat yang siap sepenuhnya ada di sana!

ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
Jun 2007
Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007

BOXTHORN DILAHAP BUMI

Satu

APABILA akhi melereti baris demi baris risalah ini, tidak tahulah apa takdir yang telah ditetapkan untuk saya pada saat berikutnya. Mungkin beberapa butir peluru akan menembusi kepala, atau saya diberitakan terlibat dalam kemalangan, atau ghaib dari pandangan awam buat selamanya tanpa nisan. Apa sahaja kemungkinan sedia saya terima natijah usaha dan keyakinan dengan perjuangan ini.

Saya yakin Yahudi akan pupus dari bumi Allah dalam masa terdekat ini. Jika empat tahun dahulu saya hanya memendamkan keyakinan ini dalam kalbu lantaran melihat semakin banyak kezaliman terhadap umat Islam berlaku tanpa pembelaan, hari ini saya terpanggil untuk memekarkan keyakinan ini dalam jiwa saudara seagama saya, untuk sama-sama berdiri dalam satu saf menuju kejayaan ummah dan mengembalikan agama pada kedudukannya yang tertinggi sebagaimana sewajibnya ia. Biar bangsa terkutuk itu menerima padahnya. Dan tidak pernah ada keraguan dalam jiwa saya untuk menghapuskan bekas saudara dalam segala makar terhadap agama yang menjadi pilihan saya sekarang.

Ingin saya nyatakan perdirian saya bahawa berita yang saya dengar lebih kurang empat tahun dahulu adalah benar dan bukanlah rekaan atau impian umat Islam sama sekali. Bahkan ia adalah ayat Allah bagi membuktikan bahawa Dia sentiasa menjaga agama Islam jika hamba-hamba-Nya sanggup berjual beli dengan harta, pangkat dan darah sekalipun dengan-Nya.

Memang benar pepohonan dan batu-batuan berkata-kata di Ramallah! Dan pepohonan itu ialah semua jenis pokok melainkan pokok gharqad yang membisukan diri kerana menyembunyikan Yahudi. Semoga kebisuannya itu mendapat ganjaran azab yang setimpal dengan bangsa yang dibelanya itu.

Akhbar "Afaq Arabiah" milik Ikhwan Muslimin di Mesir keluaran 15 Mei 2002 itu tidak pernah berbohong atau bermimpi di siang hari, bahkan ia telah berjaya mendapat laporan lengkap mengenai perkara ini dari sumbernya di Palestin. Dan percayalah, semua berita ini benar dan untuk menyahihkannya lagi, pihak akhbar telah menghubungi Syeikh Ahmad Yassin, Pemimpin Gerakan Islam HAMAS di Palestin pada waktu itu melalui telefon.

Pada waktu itu saya telah pun berada di bumi Ramallah dengan selamatnya, menumpang di rumah sahabat Syeikh Ahmed Yasin setelah menyusup keluar dari bumi Mesir pada suatu dinihari yang merubah pegangan saya terhadap agama samawi yang saya anuti sebelum ini kepada satu agama suci yang dibawa rasul terakhir. Dan hamparan berita gembira ini menyambut kedatangan saya sebagai tetamu agama yang kerdil di bumi agam warisan anbia ini, suatu hadiah tidak ternilai kepada seorang Muslim yang baru seminggu usia keimanannya.

“Pokok berkata-kata di Ramallah adalah salah satu tanda bagi kemenangan Islam, dan ini bukan tanda yang pertama. Sebelum ini sebahagian dari pejuang kami yang syahid di dalam pertempuran, jasad-jasad mereka berbau harum ketika hendak dikebumikan”. Syeikh Ahmad Yassin menyatakan semasa dihubungi oleh pihak akhbar melalui telefon.

Air mata pertama dari seorang bekas biskop yang telah mengabdikan diri selama hampir tiga dekad di Gereja Ortodoks Coptic dan melaksanakan amanah sebagai Setiausaha Agung Holy Synod di Mesir akhirnya tumpah di pasir Ramallah sewaktu mendengar ulasan dari Syeikh yang sentiasa mendambakan syahid itu. Kesayuan menerpa jiwa saya yang baru dijinakkan oleh belaian kesejahteraan agama para syuhada’ ini.

“Sesungguhnya berita gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW mengenai pokok-pokok dan batu-batu berkata-kata telahpun berlaku dan masa akan datang akan menyaksikan tanda-tanda lain dari dari apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dari berita gembira tersebut. Inilah yang meneguhkan keyakinan kami bahawa sesungguhnya pertolongan Allah SWT akan datang dan ia tidak mustahil berlaku. Perkara ini juga mengembalikan kekuatan barisan pejuang-pejuang Islam di Palestin. Ini juga memberikan makna yang besar kepada kami bahawa musuh kami akan hancur dan musnah dengan izin dari Allah SWT dan kami yakin dengan sabda Baginda SAW:

“Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga orang-orang Islam memerangi orang-orang Yahudi. Maka orang-orang Yahudi akan bersembunyi di sebalik batu-batu dan pokok-pokok (kerana takutkan orang-orang Islam) dan batu-batu dan pokok-pokok tersebut berkata kepada orang-orang Islam: “Wahai Muslim! Wahai hamba Allah! Ini Yahudi di belakangku. Bunuhlah ia!” Kecuali pohon 'Gharqad' kerana sesungguhnya pohon tersebut adalah pohon Yahudi”.

Amat benarlah kata yang keluar dari mulut Syeikh pemimpin mujahidin itu. Kata-kata yang menukarkan kegembiraan kepada kedukacitaan, janji yang terucap dari kalam Rasulullah yang mengecutkan busung keangkuhan bangsa yang sombong dan sumpah keramat dari pejuang Palestin yang menunggu hadirnya pembelaan dari Yang Maha Perkasa terhadap bangsa pemusnah.

Dan ketakutan yang kian hampir kepada bangsa Yahudi itu akan terbukti tidak lama lagi, saya yakin mereka juga sedar akan hal itu kerana perkara ini sering dibicarakan oleh pemimpin mereka pada setiap masa, juga dibangkitkan semasa perbincangan antara pemimpin agama mereka dengan saya dahulu setiap kali kami membuat perjumpaan bagi merangka langkah penghapusan agama dan umat Islam.

Sewaktu isu ini masih berlegar di langit Palestin, saya amat pasti mereka sedang merangka makar untuk umat Islam sedunia setelah mendengar hebahan yang menggugat keselesaan mereka selama ini dan saya yakin cita-cita Syeikh Ahmed Yassin untuk syahid akan tercapai tidak lama lagi kerana mereka tidak akan sekali-kali membiarkan kalimah yang boleh membunuh jiwa bangsa mereka itu terus berlagu untuk kali yang berikutnya.

Dan amat benarlah telahan saya itu. Langit kelabu Gaza terpercik darah Syeikh Ahmed Yassin pada tanggal 22 Mac 2004, sebaik mentari baru bersiap menebarkan sinar. Syeikh Ahmed yang berada di perkarangan masjid Akademi Islam yang dibinanya itu tiba-tiba diserang Israel dengan tiga buah peluru berpandu, salah satunya jatuh tepat ke atas beliau sehingga beliau menemui syahadah bersama ramai lagi yang lain termasuk dua orang pembantu yang menolak kerusi roda beliau. Serpihan badan dan darah berhamburan di segenap penjuru kawasan.

Matahari enggan menebarkan sinarnya selama tujuh hari dan bulan pula berwarna suram. Namun, peristiwa luka bagi umat Islam sedunia ini disambut pesta oleh bangsa yang dilaknat Allah, sekaligus meredakan ketakutan mereka yang sekian tahun terbekam dalam dada berikutan ucapan As-Syahid berkaitan pohon yang berkata-kata. Dan pada hari yang sama juga mereka merasmikan dana kebangsaan khas untuk penanaman pokok gharqad di Palestin bagi tujuan berlindung dari kebenaran kata-kata As-Syahid Syeikh Ahmed Yasin.

Semenjak hari tersebut, mereka mula menanam pokok-pokok ‘boxthorn’ tersebut dan sehingga kini berjaya membiakkan sebanyak 220 juta pokok, dan untuk mengelabukan mata dunia, mereka meuar-uarkan usaha mereka itu sebagai langkah memelihara alam sekitar. Begitulah makar yang dibuat oleh mereka, sehingga para pemimpin agama Kristian, sekutu mereka sendiri takjub mengikuti strategi dan cita-cita yang sehasta demi sehasta mereka capai.

Keganasan yang dicetuskan oleh Yahudi itu makin menambahkan keimanan saya bahawa Islam itu agama benar, dan rancangan keganasan dunia sebenarnya diatur oleh Yahudi yang dihempapkan ke pundak umat Islam. Saya rasa bertanggungjawab mendedahkan pekung Yahudi ini kepada seluruh umat Islam di merata dunia, suatu usaha yang pernah menjadi tugas saya suatu ketika dahulu.

Saya ingin umat Islam kembali kepada agama mereka dan menghargai usaha As-Syahid dan para mujahid lain yang bergadai nyawa mengembalikan kegemilangan Islam dan sedar akan bahaya belitan bangsa Yahudi dan sentiasa berhati-hati dengan cengakaman tipu helah mereka. Dan saya harap janganlah ada sebarang syak dan prasangka atas usaha saya ini kerana saya dengan rela hati memeluk agama suci ini dan saya bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak ada muslihat dalam memilih Islam sebagai agama saya.

Saya tidak akan sekali-kali mengkhianati ikrar saya kepada As-Syahid bahawa penyertaan saya dalam gerakan dan saf kepimpinan Hamas bertujuan menebus dosa saya yang selama ini memerangi Islam. Kerana itulah saya amat yakin pembunuhan Syeikh Yassin ini menjadi api dan laknat ke atas Israel dan darahnya akan mengakhirkan hayat Israel yang sudah semakin hampir.

Dan saya dapat rasakan detik-detik kemusnahan itu amat dekat dengan mereka sekarang ini. Bukankah kerosakan di atas muka bumi ini hasil daripada tangan manusia itu sendiri? Jelas sekali sekarang betapa banyak kerosakan yang telah diakibatkan daripada kesombogan bangsa terlaknat itu, dan sewajarlah mereka dihumban balik ke dalam segala kemusnahan yang dicipta mereka itu. Sesungguhnya masa itu semakin hampir, percayalah!

Semalam, kejadian seperti yang pernah dilaporkan empat tahun dahulu berlaku lagi, dan saya serta sahabat serumah saya itu mengalaminya sendiri sewaktu kami pulang dari pertemuan sulit gerakan pada suatu dinihari, sehari selepas pembunuhan belasan mujahidin di Gaza oleh Yahudi.

Semasa di pertengahan jalan, kami melihat seorang penduduk Yahudi berdiri di atas sebuah tembok, sedang mengintai tempat persembunyian kami yang seperempat kilometer dari tembok tersebut. Kami mengambil kata sepakat untuk membunuh Yahudi tersebut dan segera menghampirinya secara senyap supaya kedatangan kami tidak disedari, namun pemuda itu sempat lari juga.

Kami terus berusaha mencari dan mengepung Yahudi tersebut sehingga ke sebatang jalan mati tetapi tidak ketemu. Kami mengambil keputusan untuk pulang kerana menyedari tugas yang lebih penting sedang menunggu di rumah sewaktu terdengar satu suara memanggil. Pada sangkaan kami itu adalah khayalan kerana kami gagal mencari punca dari mana suara itu datang dan seterusnya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan, namun sekali lagi kedengaran suara tersebut berulang-kali memanggil.

Puas terkindap-kindap, kami akhirnya mendapati bahawa suara itu datang dari belakang salah satu dari pokok-pokok yang berhampiran. Kami fikir seseorang sedang dalam kesusahan meminta pertolongan kami, sebaliknya apabila sampai berhampiran dengan pokok tersebut kami mendengar suatu suara yang halus menyuruh kami melihat dan membunuh Yahudi yang bersembunyi di belakang pokok tersebut.

Subhanallah! Memang benar, pemuda Yahudi tadi sedang bersembunyi di balik batang pokok di sebelah batu besar di situ. Kami pun terus mengepung dan membunuh Yahudi tersebut sebelum sempat dia membidik kami dengan raifalnya. Kemudiannya, kami meronda seputar kawasan itu bagi memastikan tiada musuh lain yang bersembunyi, sekali gus mengesan suara halus tadi. Namun tiada seseorang pun melainkan pokok yang runduk dahannya ke arah kami dan selonggok batu besar yang kelihatan seolah-olah berinteraksi dengan kami. Segera saya teringat akan kata-kata As-Syahid empat tahun dahulu.

Perkara ini menakutkan tentera-tentera Israel dan mereka telah mengurangkan jumlah tentera di tempat kejadian dan kawasan sekitar yang banyak pepohonan dan batu-batuan. Saluran berita Qatar telah menyebarkan berita mengenai peristiwa ini melalui akhbar dan media massa dan mengiktibarkan bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah salah satu daripada tanda-tanda kiamat dan ini adalah satu peluang bagi penduduk Palestin untuk mencapai pertolongan daripada Allah yang semakin hampir.
Dan ketika ini juga, semakin ramai penderma bangsa Yahudi membeli pokok-pokok gharqad yang ditanam di Palestin untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan dan tabung Yahudi sendiri melalui tabung dana mereka, Jewish National Fund yang mengendalikan penanaman secara besar-besaran dengan menawarkan pokok-pokok berharga USD18 sepohon dan diskaun untuk belian yang lebih kuantitinya. Bayangkanlah ketakutan yang mencengkam bangsa yang angkuh ini berikutan perang saraf yang dilancarkan oleh umat Islam.

Kelmarin, saya dikhabarkan oleh sahabat yang menggantikan tugas As-Syahid Syeikh Ahmed Yasin bahawa tawaran untuk menangkap kami telah tersebar di media utama negara dengan alasan kami telah menyerang hendap tentera Yahudi di Gaza dan mengorbankan seorang dari mereka. Kami dikecam kerana bertindak kejam membunuh pemuda Yahudi tersebut yang sedang berkawal.

Keesokannya pula, berita berkaitan penanaman pokok oleh Jewish National Fund disiarkan di media utama negara dengan tajuk berita utama “Menanti detik kehancuran Yahudi yang semakin hampir”. Dinyatakan dalam berita mengenai kejadian pokok yang berkata-kata yang berlaku pada tahun 2002 dan yang mutakhir pada awal Muharam 1427 Hijrah yang lepas.

Pada perenggan terakhir berita menyatakan pokok yang berkata-kata merupakan tanda awal kemenangan bagi pejuang-pejuang kebenaran yang tidak akan ditimpa kehinaan dan kelemahan seperti yang dijelaskan di dalam hadis Rasulullah SAW:

"Tidak akan hilang satu golongan daripada umatku yang akan menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan dapat dimudaratkan oleh orang-orang yang cuba menentang dan merendah-rendahkan mereka sehinggalah tiba pertolongan dari Allah SWT". Sahabat bertanya kepada Baginda SAW: "Siapakah mereka Wahai Rasulullah? Manusia dari umatku di Baitul Muqaddis dan pelindung-pelindung (mujahid-mujahid) di Baitul Muqaddis".

Sesungguhnya saya kini bercita-cita menurut jejak langkah As-Syahid Syeikh Ahmed Yasin, dan saya berikrar untuk mendedahkan makar dan kezaliman yang telah banyak mengorbankan jutaan Muslim. Jika pada tahun 1968 dahulu saya sanggup mengembara selama lima tahun di padang pasir sebagai rahib dan mengorbankan kerjaya saya sebagai jurutera untuk ditahbiskan sebagai biskop pada awal 70-an, kenapa harus saya ragu-ragu memilih jalan perjuangan yang telah disebutkan dalam al-Quran dan juga kitab Taurat dan Injil?

Dan kerana sejak dahulu lagi saya arif tentang helah dan tipu daya Yahudi dalam memerangi agama Islam sehingga sanggup berbaik-baik dengan saya, musuh agama terbesar mereka suatu ketika dahulu demi menghapuskan umat nabi Muhammad, saya berikrar untuk mendedahkan makar mereka lebih-lebih lagi berkaitan pokok gharqad kesayangan mereka yang dibaja suburkan selama ini. Saya berdoa semoga usaha saya ini mendapat perhatian dan pemahaman seluruh umat Islam agar tidak leka menghadapi segala perencanaan musuh agama ini.

Jika penganut agama Kristian telah lama beriman dengan kitab mereka dan mempercayai dengan sebenar-benarnya kata-kata Saint Paul sewaktu di Thessaloniki yang mengakui bahawa orang Yahudi adalah musuh kepada seluruh umat dunia, walhal dia sendiri adalah orang Yahudi, betapa malangnya umat Islam sekiranya masih buta membaca derap langkah bangsa Yahudi mengajak mereka ke arah kehancuran hasta demi sehasta.

Perkara seperti inilah yang ingin benar saya bangkitkan pada saudara seagama saya malah penganut Kristian yang pernah saya pimpin dahulu. Saya mohon kepada semua agar menanam fikrah penyatuan dalam diri masing-masing untuk melawan serangan Yahudi dalam bentuk fizikal dan rohani kerana mereka akan mengharuskan apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka di dunia. Biarpun para penganut Kristian akan mengikut cakap mereka dalam usaha menghancurkan Islam sebagaimana yang kita faham dari pesanan Allah “Dan tidak akan sekali-kali redha daripada engkau orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani sehingga engkau mengikut agama mereka”, tetapi orang Kristian sendiri amat berhati-hati dan percaya bahawa Yahudi akan memusnahkan juga mereka seusai tugas mereka meluputkan nama Islam dari muka bumi.

Dua

AKU menerima risalah yang dikirim dari bumi Gaza sehari selepas berita tentang kemusnahan keseluruhan tanaman yang diusahakan oleh Jewish National Fund (JNF) dilaporkan media seluruh dunia. Beratus ribu pokok boxthorn dilaporkan hancur bagai dimamah ulat, dikenalpasti akibat percikan cecair yang dipercayai campuran pati buah olea europaea dan air yang berasal dari tanah Makkah. Justeru itu, pihak JNF masih belum berpuas hati dengan uji kaji tersebut dan mengerahkan majlis tindakan segera mengkaji virus sebenar yang menyerang tanaman tersebut sekaligus melancarkan tawaran berjuta dolar kepada sesiapa yang berjaya menangkap pemimpin Hamas yang disyaki bertanggungjawab dalam bencana yang menimpa mereka.

Tiga

SAYA pasti akhi pun tertanya-tanya bagaimana campuran minyak zaitun dan air zam-zam boleh bersebati dan mampu meleburkan pohon gharqad mereka. Dua tahun yang lalu, sehari sebelum As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin terbunuh, beliau meminta saya mengunjunginya di Akademi Islam, dan beliau mengijazahkan ilmu ini kepada saya dan berpesan supaya saya melaksanakan suatu tugas sekiranya saya ditakdirkan menjadi saksi kepada pohon yang berkata-kata.

Saya fikir akhi seorang yang bijaksana untuk memahami pesanan beliau dan setelah saya melaksanakan amanah tersebut, barulah jiwa saya tenteram setelah sekian lama saya diserang nestapa memikirkan sebab tuhan tidak menggerakkan hati saya untuk mengunjungi As-Syahid sehari lewat dari tarikh janji temu kami, supaya saya juga terpilih untuk syahid.

Saya amat hampir dengan akhi sekarang ini. Dan seminggu lagi saya harap kita dapat bersua wajah untuk merangka langkah seterusnya dalam perjuangan. Sesungguhnya saya tidak sabar ingin menatap wajah pewaris amanah suci yang akan meneruskan agenda kita, apatah lagi akhi dikhabarkan berbangsa Yahudi yang bermastautin di Semenanjung Emas. Kita bersatu kerana Islam, bukan dalam memeranginya. Dan saya fikir, sepertimana saya, akhi tidak perlulah menukar nama asal secara rasmi. Saudara-saudara kita di sini telah bersetuju dengan pilihan dan agenda yang saya bariskan, dan kami sentiasa mendoakan supaya ramai lagi golongan seperti kita yang diberi hidayah oleh-Nya. Selamat bertemu di sana.

Empat

WARKAH tanpa tanda tangan aku lemparkan dalam api pendiang. Butiran masa dan tempat pertemuan kurakam dalam minda. Aku harus tidur sebentar setelah penat memandu melalui bukit berlereng dan bengkang bengkok ke Genting Highlands.


ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
2007

Dewan Budaya, Januari 2007

BERUK

MIMPINYA terpelanting ke alam nyata sebaik sahaja disergah seranah yang tercampak ke kamarnya. Sepantas kilat dia terduduk di birai katil, pandangan mata terlontar melepasi daun jendela. Pagi hari sudah mahu menyakitkan hati orang, rungutnya sendirian. Satu-satunya adik perempuannya, Ruqayyah sudah keluar mengikuti usrah hari minggu di madrasah hujung kampung.

“Pulaslah cepat, bodoh.” Suara garau itu memang tidak selesa pada pendengaran, apatah lagi itulah suara pertama didengar selepas dibangunkan secara paksa.

“Wuish, wuish!” Suara itulah yang mematahkan semangatnya untuk bersua permulaan hari dengan tenang.

“Memang dasar binatang tak tahu diuntung!” Mahu dicekik batang leher lelaki yang selalu menyumpah itu, biar dia terus bisu dan tidak menyeranah lagi.

Dia masih tercatuk di birai katil, mendongak ke arah daun kelapa yang segar warnanya. Suasana pagi cerah ceria, matahari baru mula menjangkau jari-jemarinya di celah pelepah kelapa, dahan sentul dan gulungan daun pisang yang hampir terbuka. Dilihat Pak Mat Yeh tercegat dua meter berhampiran sebatang pohon kelapa, tangan kanannya memegang seutas tali sebesar kelingking, sedang tangan kirinya pula tercekak ke pinggang. Kepalanya terdongak, hampir memburaikan semutar di kepala. Ditariknya baki belitan semutar yang enggan bertapa di kepala, dilibas-libas nyamuk dan unggas yang menghurung tubuhnya dengan kain semutar itu.

“Hoi, binatang. Cepatlah pulas buah tu.” Dia menempik lagi. Dihenjut-henjut tali di tangan, sesekali pula disentap keras. Namun tiada juga kelapa yang jatuh. Sakit hatinya makin bertambah melihat ketidakpedulian binatang peliharaannya itu.

“Dasar binatang tak kenang budi. Tiap-tiap hari aku bagi makan, makin malas pula jadinya.” Dia menyentap tali, kali ini terlalu keras. Terdengar suara menyeringai dari atas pucuk sana. Sebutir kelapa jatuh setengah hasta dari kaki Pak Mat Yeh.

“Yes.” Kelihatan Pak Mat Yeh senyum puas. Dia menggulung kain pelikatnya sedikit tinggi dan beralih ke arah sebelah matahari naik. Proses yang sama berulang. Arahan pulas kelapa, henjut tali, sumpah seranah dan ucapan “yes’ bersilih ganti dengan dentuman buah kelapa gugur ke tanah yang masih berembun. Semalu terkatup tompok demi tompok.

Sepuluh biji kelapa bergelimpang di atas bumi. Satu daripadanya jatuh di atas najis lembu yang masih baru. Pak Mat Yeh menyumpah beruk yang tak bernama atas kecuaian menghitung jarak dan ruang.

Pak Mat Yeh membuang pandang ke hujung kampung. Kali ini tiada arahan diberikan. Beruk di atas sana pun sepi. Dia terpandang atap zink rumahnya dari kejauhan. Rumah yang tak berpenghuni jika dia keluar bekerja.

Dia menggulung sedikit tembakau dalam rokok daun, menyalakan api dan menyedut sedalam-dalamnya. Sambil memerhatikan kepulan asap rokok yang berpusar-pusar, ingatannya terputar ke zaman silam sewaktu muda-muda dahulu.

Dia masih ingat akan zaman kegemilangannya dinobat sebagai juara “mat rempit” Kampung Buluh Pecah pada era 70-an. Siapa yang tidak kenal Mat Yeh anak Penghulu Mat No Kampung Buluh Pecah yang suka pandu vespa macam roket? Memang dangkallah barangsiapa yang tidak kenal Mat Yeh yang suka berlagak bagai “orang putih” melebihi “mat salleh” sendiri. Mat Yeh yang menjadi pujaan anak dara sekampung, juga dari beberapa kampung berdekatan. Mat Yeh yang menjadi idola para remaja sebaya umurnya dalam aksi-aksi lasak sewaktu memandu vespa bapanya yang dipakai guna seperti hartanya sendiri.

“Nak main ke nak race?” Mat Yeh masih ingat dia mencabar Muhammad anak Imam Abdullah suatu pagi sewaktu terserempak Muhammad berkayuh basikal ke sekolah Arab. Muhammad beristighfar sebaik sahaja Mat Yeh meludah hampir kena kasutnya sebagai tindakbalas kepada jawapan Muhammad yang mengajaknya kembali ke sekolah yang ditinggalkannya hampir seminggu.

“Bapak aku pun tak paksa aku pergi sekolah. Engkau yang bodoh sajalah pergi sekolah!” Mat Yeh meninggalkan asap ekzos yang berkepulan dan deraian tawa. Selahzah kemudian vespanya menghilang di balik selekoh tajam. Dia puas hati dapat memperlekeh Muhammad yang dianggap “tua sebelum jadi tua” kerana selalu menasihatinya membuat makruf dan meninggalkan sikapnya yang suka berlumba vespa sehingga tidak menghiraukan pelajaran.

Dia benci pada Muhammad sepertimana dia bencikan Imam Abdullah. Dia teringat kata bapanya, Mat No yang Imam Abdullah busuk hati. Nampak sahaja warak, berkopiah atau berserban, tetapi gila jawatan. Ketamakan Imam Abdullah hampir menyebabkan Mat No tidak terpilih sebagai penghulu. Kata bapanya lagi, Imam Abdullah pernah menghasut dan berpakat dengan orang kampung untuk mengenepikan Mat No dari menjadi penghulu Kampung Buluh Pecah. Imam Abdullah hasad dengki atas kekayaan yang diwarisi Mat No dari bapanya yang pernah bekerja dengan pemerintah British di Malaya suatu ketika dahulu. Perkara itu jugalah yang sentiasa diungkit Mat Yeh setiap kali Imam Abdullah menasihatinya supaya mengurangkan aktiviti rempitnya.

“Sudah banyak lembu kambing orang kampung Mat Yeh langgar, nanti kalau tidak beringat, mungkin kemalangan nyawa pula berlaku. Pakcik Dolah bukan larang Mat Yeh bawa vespa, tapi kalau boleh tengoklah keadaan jalan. Jalan kampung kita sempit, orang pula ramai lalu-lalang.” Imam Abdullah dengan suara kebapaan cuba memujuk Mat Yeh, sedang tangan kirinya masih menjinjit bangkai seekor ayam yang baru digilis Mat Yeh.

“Siapa suruh tak pandai jaga ternakan sendiri?” Setelah memeriksa kerosakan vespanya secara lebih kurang, Mat Yeh pun kembali memecut tanpa menunjukkan riak kekesalan atas kesalahannya. Imam Abdullah meneliti ayam jantan yang masih segar titisan darahnya.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Ayam Penghulu Mat No rupanya!”

Imam Abdullah teringatkan Muhammad yang masih belum pulang. Teringat pada Muhammad, ingatannya terimbau pada pertanyaan Muhammad tentang cerita perebutan jawatan penghulu kampung pada awal perlantikan Mat No sebagai penghulu kampungnya suatu ketika dahulu. Muhammad menyatakan kesedihannya kerana selalu dituduh sebagai anak imam yang laparkan pangkat oleh Mat Yeh dan sekutunya.

“Memang betul ayah didatangi sekumpulan orang kampung untuk memujuk ayah menerima jawatan penghulu kampung kita, tapi ayah tetap menolak dan mencadangkan Pak Mat No untuk jawatan itu. Orang kampung membantah kerana sikap dan perangai Pak Mat No. Kamu faham sendirilah. Tapi ayah berkeras dan memberi jaminan bahawa Pak Mat No akan berubah.

Sekurang-kurangnya dia akan malu pada jawatannya. Mudah-mudahan dia diberi hidayah. Kerana kunjungan itulah Pak Mat No menyangkakan ayah berpakat dengan orang kampung untuk menyisihkannya dari jawatan penghulu kerana masih ada beberapa kerat orang kampung yang tidak dapat menerima lantikan Pak Mat No sebagai penghulu. Maka dituduhnya ayah yang menghasut.”

Prengggggggggg, prenggggggggg! Pak Mat Yeh tersentak. Kelihatan seorang remaja belasan tahun meniarap di atas pelana motosikal, berlalu nun jauh ke selekoh. Beruk di atas pohon kelapa melatah, nasib baik sempat bergayut pada pelepah.

Muhammad hilang, Imam Abdullah ghaib, arwah bapanya Mat No lesap. Beruknya? Beruknya sedang melangut di celah pelepah kelapa.

“Celaka punya beruk. Inilah namanya beruk subsidi. Kalau tak diarah, terus berhenti buat kerja!” Pak Mat Yeh mula menyambung kerja.

Muda, muda!” Pak Mat Yeh mula mengarah. Beruk terkasima.

“Petik yang muda, bodoh! Yang tua buat apa.” Beruk keliru. Tadi suruh petik yang tua. Tiba-tiba berubah. Apa betulkah tuannya ini? Beruk membatu.

“Yang mudalah sedap. Bodoh punya binatang!” Disentap tali sehabis tenaga. Beruk hampir tercampak ke bumi, nasib baik tangan panjangnya sempat mencapai mayang kelapa.

“Hei si tua bangka yang tak sedar diri, engkaulah binatang!” Tempik beruk sekuat hati.

Ruqayyah gadis sunti, cucu arwah Imam Muhammad terpana mendengar sergahan dari pucuk kelapa. Terkebil-kebil, kemudian berlari ke arah rumahnya yang berada tiga depa dari pohon kelapa tersebut. Dilihat abangnya tersenyum dari jendela yang mengadap pohon kelapa, sedang menyaksikan Pak Mat Yeh yang terduduk sambil mengangguk “Oh, no,no!”

ROZAIS AL-ANAMY
Pohon Buloh, Pasir Mas
November 5, 2006

Sinar Harian, 10 November 2006

DARI PAKSINA KE DAKSINA

MEGA tak pernah kenal erti cinta. Kehidupannya di bumi paksina ini tidak mengajarnya apa itu cinta, pun masa kecilnya, remajanya jua, hidupnya tidak ditatang cinta. Lahirnya pun bukan kerana cinta, dan wujudnya dia bukan atas nama cinta. Sekarang pula manusia yang selalu hadir dalam hidupnya tidak mengendong nilai cinta dalam sakunya, melainkan harta yang mampu membeli jasadnya. Manusia sekeliling pula tidak pernah menghamburkan ucapan cinta melainkan dia hidup dengan seribu karenah dan fitnah.

Namun jika ada jiran yang melempar kata nista, senyum ialah jawapannya sedangkan dalam hatinya berkata - aku punyai aspirasi yang tidak mereka fahami, buat apa bermusuh dengan mereka. Kerana aspirasinya itu tidak pernah diketahui dan didengari oleh musuhnya, maka senyuman itu menambahkan ledakan lahar kemarahan pada mereka yang tersinggung oleh kesabarannya.

Mega manusia bohemian, dia bukan hanya pelukis alam, malah lebih daripada itu dia melukis kanvas kamarnya dengan palitan noda dan dosa lelaki yang sering bertukar ganti saban malam. Wajah-wajah lukisan dalam kamarnya itu bukan calang-calang orang. Jika tidak, masakan dia boleh hidup mewah tanpa perlu keluar dari bilik setiap hari, sebagaimana kehidupan biasa jirannya yang terpaksa keluar awal pagi dan pulang lewat petang. Berpuluh tahun bertungkus lumus bekerja, namun hasilnya tidak juga menjadikan mereka kaya. Kata nista sebegitu bukan hanya kali ini dibawa angin ke telinga Mega, namun seperti biasa dia hanya tersenyum. Terik mentari dan hujan ribut kotaraya di paksina ini tidak melekangkan janji pada dirinya, jua tidak mereputkan pasak keazamannya.

“Mega, tinggalkan duniamu...”

“Aku tidak pernah menyusahkan sesiapa!”

“Mega, tinggalkan cintamu...”

“Aku tidak pernah mencintai sesiapa..”

“Mega, tinggalkan cinta akan duniamu!”

“Aku bukan Rabiah.”

Setiap permintaan bersulamkan jawapan tegas Mega menghancurluluhkan hati Ammar. Impian untuk mengutip bunga-bunga kasih sayang dan dedaunan kebahagiaan sirna bersama Mega, retak oleh gegar kenyataan Mega yang memanah jiwa. Hancur berkecai.

Seminggu selepas itu, Ammar berkunjung lagi. Kali ini terus menuju ke jendela, membelek-belek dedaun melur yang semakin subur dalam pasu di birai tingkap di jihat kanan sedang sepasu yang lain di sudut bertentangan telah pun menghitam daunnya, kelihatan akan mengosongkan pasu seminggu dua lagi.

“Menyiram bunga pun tidak adil, Mega? Kedua-duanya memerlukan siramanmu.”

“Aku menyiram kedua-duanya. Pasu di kanan kusiram dengan kasih sayang, setiap hari kulagukan ayat suci walaupun sepotong cuma. Pasu di kiri kusiram hanya kerana kemanusiaanku, sambil kucurah kata nista.” Tanpa memalingkan muka, Mega menerangkan. Ammar mempamerkan muka penuh pertanyaan.

“Di kanan itu wakil ibuku, bertentangan itu wakil ayahku.” Mega menambah lagi.
“Sampai bilakah dendammu, Mega? Lupakanlah, marilah kita bina hidup penuh cinta bersama.”
Ammar masih menagih. Niatnya hanya satu – mengeluarkan Mega dari lembah hina dan dendam. Dia juga ingin memupuk jiwa Mega dengan baja keimanan dan siraman cinta murni.

“Aku tahu niat sucimu, Ammar. Aku amat menghargainya dengan seluruh jiwa ragaku. Namun selagi hutang dendam ini tidak berbayar, aku akan tetap di bumi paksina ini, memburunya sampai lunas hutangnya padaku. Dan aku amat berharap kau tidak lagi menemuiku selepas ini.”

Ammar tidak lagi menemui Mega di kamarnya. Bumi paksina pun haram dijejaknya, lalu memilih jihat bertentangan 180 darjah ke daksina membawa lara hati. Cinta kasihnya pada Mega mengheretnya ke suatu tempat pada dua arah mata angin yang tidak pernah bertemu. Biarlah dia mengorbankan rasa rindu ribangnya yang tak bertepi ke suatu daerah khalwah mencari cinta hakiki. Sambil dalam sendu zikir munajatnya dipanjatkan doa supaya Mega menemui jalan mustakim dan disuluhi nur Ilahi.

Usai solat Asar, Ammar menapak ke pelantar kayu yang terhujung, dan bayu Selat Melaka mengusap-usap pipinya. Direnungnya tanah Singapura yang ilam-ilam dalam pandangan bersetentangan dengan jeti tempat dia berdiri di penghujung benua Asia itu. Dia seolah-olah terlihat wajah ibu sedang tersenyum padanya, dan kelibat ayahnya yang sedang sakarat. Cepat-cepat Ammar beristighfar, menyedarkan dirinya dari buaian kenangan.

Setelah tiga dekad berdagang ke daerah penghujung daksina ini, Ammar berasa tenang menjadi penghuni Tanjung Piai, Pontian dan bertugas sebagai pemandu pelancong ke penghujung benua Asia manakala malamnya mengajar al-Quran kepada penduduk sekitarnya. Dia tidak lupa mensedekahkan bacaan ayat suci kepada arwah ibu yang semasa hayatnya direnggut kesengsaraan setelah hidup ternoda angkara bapa sendiri, kemudian melahirkan Ammar. Dan setelah setahun bersama ibunya, kisah pedih itu pun berlaku. Ayah atau datuknya itu mendapat balasan dosanya setelah mati oleh lading anak perempuannya sendiri pada suatu subuh yang diiringi renyai dinihari. Ibunya dibebaskan atas sebab mempertahankan diri, namun tidak lama iaitu kira-kira tujuh purnama dijemput Ilahi oleh kedukaan yang keterlaluan.

Di bumi daksina inilah jasad ibunya bersemadi dan di penghujung benua inilah juga Ammar kembali mencari kekuatan bagi meneruskan hidup yang makin ke penghujungnya. Kepada para pelancong juga sentiasa dititipkan kata-kata akhir sewaktu berpisah di check point bahawa “penghujung sesebuah benua itu ada pulau atau benua yang lain, dan di penghujung alam dunia manusia juga ada dunia yang lain sedia menanti di penghujung usia.”

Setiap kali usai menuturkan kalimah itu wajah Ammar kelihatan berseri seakan-akan terpandang seseorang yang lama berpisah dengannya dan sedang mendepangkan tangan dengan penuh kasih sayang kepadanya.

Dan pada suatu subuh yang bening, Ammar merenung lagi ke tengah samudera yang masih kelam kelabu, kelihatan bibirnya terkumat-kamit menuturkan sesuatu. Dia memejamkan mata sambil tangannya dalam keadaan kiam, memusatkan ingatan sepenuhnya kepada suatu wajah yang telah berdekad hadir dalam setiap doanya.

“Demi kuasaMu yang menemukan Adam dan Hawa di bumi tandus manusia, demi kudratMu yang mengurniakan cahaya mata kepada nabiMu Zakaria pada penghujung usia, demi RahimMu yang menjodohkan Zulaikha pada penghujung penuh keinsafan dengan Yusuf, pertemukanlah kami.” Ammar membuka matanya, dan dia mahu berpaling pulang sewaktu didengarnya tapakan kaki menghala ke arah jeti semakin mendekat.

“Dari paksina aku datang menuju daksina, urusanku dengan manusia telah selesai, wahai Ammar. Manusia yang pernah kupanggil ayah itu telah kutusuk dadanya dengan belati dendamku, sewaktu dia pada penghujung usianya masih belum serik mendatangiku. Kalau dulu aku pasrah menyerah, kali ini maruahku memberi kekuatan padaku untuk melawannya. Dan telah pun aku jalani hukum dunia terhadap kesalahanku. Terimalah aku di penghujung usiaku ini jika cintamu padaku masih berbaki.”

Ammar merenung jasad yang tiga dekad tidak ditemuinya itu, dan wajah ibunya menerpa ruang ingatan, seakan-akan terlihat senyum ibunya yang mesra pada rona wajah Mega yang dimakan usia. Mentari naik perlahan menebarkan warna ceria ke jeti penghujung benua Asia yang menyaksikan pertemuan dua jiwa.

ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
Disember 05, 2005

MASA, Januari 2006

CINTA PUNCAK SAGARMATHA

CEMBURU benar dia terhadap dua lelaki yang telah mencapai klimaks dalam hidup itu. Apa tidaknya, mereka berjaya menawan Sagarmatha sedangkan dia belum berupaya melakukan apa pun pada waktu itu. Dia hanya mampu mendengar pujian dari seluruh buana terhadap dua lelaki perkasa yang telah menikmati keindahan tubuh Sagarmatha yang belum tercemar, sesuatu yang terlalu sukar dicapai oleh orang lain kecuali dua lelaki itu sahaja.

Beribu-ribu manusia lain hanya mampu meneguk liur, ramai pula memikirkan jalan bagaimana mahu berjaya seperi mereka berdua yang bersemangat tegar itu, tidak kurang pula yang menemui ajal kerananya.

Peristiwa dan kenangan itu berlaku hampir setengah abad lalu, namun di jiwanya kini semangat sama yang tertanam pada dua pemuda terdahulu dibelai, disiram, bertunas dan kini telah membesar sebagai jati nan merendang. Ya, semangatnya untuk menawan Sagarmatha telah tumbuh teguh!

Dan Sagarmatha masih seperti dulu, tetap ayu dan menawan hati lelaki sepertinya, lelaki yang mempunyai impian menakluk Sagarmatha. Walaupun ada tanda-tanda ternoda, dia tidak menghiraukan hal itu. Qasamnya hanya satu, menyahut cabaran menakluk Sagarmatha, biar bagaimana keadaan pun Sagarmatha dan dirinya pada waktu itu. Kini dialah lelaki perkasa pada usia separuh abad yang akan menikmati kejayaan itu.

Dia cuba mengirai benang sejarah penawanan Sagarmatha. Sejarah membuktikan Sagarmatha bukan sewenangnya untuk ditawan. Hanya yang perkasa dan bijaksana akan terus hidup, dan tarikh-tarikh tertentu tidak leka mencatatkan kecundangnya beberapa orang lelaki yang mempunyai niat sama. Seluruh bangsa, segenap marca pada bermimpikan Sagarmatha dan sesiapa yang berjaya menawannya akan membawa pulang kemenangan pada warga dan bangsa negaranya.

Seingatnya, kali pertama Sagarmatha ditemui oleh George Everest pada 1841, namun Edmund Hillary dan Tenzing Norgay yang berjaya menyuntingnya pada 29 Mei 1953, jam 11.30 pagi. George Mallory yang pernah tiga kali cuba menawannya sebelum itu pula gagal sampai ke puncak malah maut di dada Sagarmatha ketika percubaan ketiga pada 1924 dan mayatnya hanya ditemui 75 tahun kemudian.

Memikirkan George Mallory yang kecundang, bergadai nyawa ingin menakluk Sagarmatha, dia akur jika takdir menentukan hasratnya tidak kesampaian. Namun semangat pahlawan Melayu yang mengalir dalam darahnya tidak membenarkan dia mengundur diri sebelum berjuang. Jika Mallory dikenang kerana ungkapan kata-kata perangsang sewaktu ditanya tentang hasrat besarnya, beliau tidak ragu-ragu menjawab, “Because it is there”, dia pula tidak pernah berhati walang menjawab “Tidak Melayu kecundang di dunia.”

Dia masih ingat sewaktu Sagarmatha berada dalam pelukan dua lelaki berbangsa asing itu, dia hanya baru lepas berkhatan di usia awal remaja. Pada waktu itu dunia heboh memperihalkan kejayaan dua lelaki menawan Sagarmatha buat kali pertamanya. Dia yang masih belum menjejakkan kaki ke tanah semenjak berkhatan, buat hari pertamanya menanggalkan pelikat dan bergegas ke kedai Haji Ali Kaya untuk menonton detik-detik bersejarah tersebut. Tidak dihiraukan laungan ibu yang melarang pemergiannya itu.

Dia pulang ke rumah sewaktu teja telah mewarnai langit. Tersembul di muka pintu, ibunya masam mencuka menanti alasan yang bakal keluar dari bibirnya.

“Kata ibu, selepas berkhatan saya akan bergelar lelaki sejati. Lelaki sejati layak memimpin dunia, harus perkasa merenangi samudera meredah hutan rimba. Dan pesan ibu lagi, saya mestilah berjaya dalam hidup, dunia akhirat kerana itulah niat ibu sewaktu memilih nama Faiz untuk mewakili jiwa saya.”

Bernas jawapannya mengunci mulut ibunya, dan dengan mesra mengusap rambut lembut anak lelaki yang sudah ketiadaan ayah itu. Hakikatnya, ibu terharu dengan untaian tiga ayat itu yang tidak terduga lahir dari mulut puteranya yang masih di awal remaja.

“Saya ingin menurut jejak ayah. Ayah bukan lelaki kecundang, saya percaya itu, ibu. Ayah menjadi mangsa iri hati bangsa lain yang tidak mahu melihat kejayaan bangsa kita. Mereka berasa tercabar jika tahu ada bangsa lain selain daripada mereka mampu menawan Sagarmatha sedangkan di mata mereka, hanya merekalah yang perkasa.” Ikrar itu amat pilu menyentuh gegendang ibunya, pada masa yang sama wajah ibunya kelihatan keruh pedih menahan sebak.

Perkataan seumpama itu jugalah yang menjadi nadi kepada arwah suaminya yang gemar mengembara dan menggemari aktiviti lasak. Menurut arwah suaminya, sesuatu bangsa agung mestilah bersifat pengembara, penakluk dan tidak takut mati. Berbekalkan rasional itulah, arwah suaminya berazam menawan Sagarmatha sebagai simbol kekuatan bangsanya, lebih-lebih lagi agamanya. “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.”

Dia mengimbau cita-cita murni arwah suaminya dan pemergiannya ke sisi Ilahi setelah diisytiharkan hilang dalam usaha menawan Sagarmatha. Dia sedang sarat mengandungkan anak sulung pada waktu itu. Lahirnya Faiz tanpa ayah, hanya hujung namanya, Syahid membuktikan Faiz anak suci. Mengenang peritnya berpisah dengan insan tercinta, dia tidak sanggup lagi kehilangan putera tersayang di dada Sagarmatha.

“Ibu tidak rela kamu menyentuh Sagarmatha biarpun hanya kakinya, selagi ibu bernafas. Cukuplah ayahmu sahaja hilang di mata ibu kerananya.” Lafaz itu adalah benteng yang amat tebal dan kukuh memagari jasadnya daripada mengunjungi Sagarmatha. Namun jiwa dan hasratnya telah lama mengembara untuk menemui lambang kekuatan, kesungguhan, ketabahan dan kecekalan manusia.

Akur kepada pesan ibu, dia tidak pernah lagi membangkitkan hal itu. Dia menjalani hidup dengan tabah bersama ibunya. Tidak pernah diingkari suruhan atau melawan tegahan ibunya. Dia membesar sebagai remaja terdidik oleh ajaran agama dan adat resam setempat.

Sewaktu Malaya akan menyambut kemerdekaan pada 1957, dia merupakan antara ikon penting dalam usaha-usaha merealisasikan hasrat negara. Manakala selepas merdeka, dia menceburkan diri dalam politik dan tugas-tugas mengisi kemerdekaan dan membangunkan tanah air.

Sahabat taulan sebaya usianya seorang demi seorang menyahut panggilan cinta, namun dia masih jua belum berpunya. Hasrat utamanya bukan mengejar cinta sebagaimana kawan-kawannya yang lain. Cintanya hanya pada Sagarmatha. Dia diamuk ribang pada puncak Sagarmatha. Dalam lena, Sagarmatha sentiasa menyeru namanya.

Para sahabat bukan tidak pernah menasihati supaya dia menjalani kehidupan seperti insan lain. Bercinta, berkerjaya, berkahwin, punyai anak, cucu dan seumpamanya. Ramai pula yang tidak memahami dirinya seolah-olah mengejek apabila mengetahui cita-citanya terhadap Sagarmatha.

Hajat di hati nak peluk gunung,
Tapi sayang tangan tak sampai.

Dia telah kalis diperli seperti itu. Berlian terhasil daripada tekanan dan asakan batu-batan. Dan dia ingin memiliki sifat-sifat berlian yang bertindak menghalau kuasa jahat daripada pemakainya.

Dia mengharap berkat namanya “yang berjaya” mengharungi gelombang kehidupan. Atas usaha gigih membesar dan mendidiknya dengan peribadi mahmudah, dia naik setangga demi setangga ke puncak kejayaan. Menjadi duta di Lebanon, kemudian ke Iran dan akhirnya ke Nepal cukup memberi kesedaran kepadanya bahawa dunia gersang daripada cinta dan kasih-sayang. Dia yakin jika bumi jua manusia dipenuhi cinta, perang dan mala petaka tidak akan berlaku. Apatah lagi cinta kepada Ilahi telah sirna dari sanubari.

Ibu yang tidak mengenal jerit-perih sentiasa di sampingnya menyaksikan kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya. Sebagaimana impian ibunya ingin melihat kejayaan anaknya tahun demi tahun, dekad demi dekad, begitulah juga dia tetap tenang menyulam sutera azam yang belum terlangsai dari satu purnama ke purnama yang lain. Tidak lupa juga berdoa agar berubah hati ibunya dan memberikan kunci kepada benteng yang memagarinya selama berpuluh tahun itu. Biarpun negara Nepal telah didiaminya, Sagarmatha baginya bagaikan menyunting bunga di taman larangan.

Dia usai mengkhatami ayat terakhir dari surah Yasin, “Maka Maha Suci Allah yang ditangan-Nya milik tiap-tiap sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan”, sewaktu telefon tangannya berkelip memaparkan nama pemanggil “Bonda”. Dia memikirkan tentu ibu ingin bertanya tentang waktu kembali ke tanah air keesokan hari, mungkin ibu gembira untuk menyediakan masakan kegemaran atau ingin bercerita peri tentang keletah cucu angkat warga Lebanon itu sepanjang pemergiannya ke kem pelarian Shabra dan Shatilla.

Dia reda dan pasrah dengan berita kematian ibu tersayang dinihari Jumaat itu. Didoakan agar ibunya dirahmati Ilahi dan dengan rahmat-Nya juga dipertemukan kedua insan yang sekian lama terpisah di dunia itu.

Setahun pemergian ibunya, dia membuka jeriji benteng yang tidak terlihat oleh mata kasar yang mengepunginya selama ini dengan surah Yasin kepada arwah ibu dan ayahnya. Dia memohon kekuatan agar direstui perjalanan murni yang sekian lama dipendamnya demi menjaga hati ibu, sabar menahan kehendak diri yang berkobar-kobar setiap kali mendengar berita ada kumpulan bangsa asing berjaya menawan Sagarmatha saban tahun, dan setiap kali berita itu singgah di gegendangnya, dia memujuk diri- “Akulah lelaki Melayu pertama yang akan menaklukmu secara rasmi, Sagarmatha!”

Dia juga tersenyum bangga sewaktu menerima khabar Perdana Menteri Keempat berjaya mengharung Antartika, malah juga Lembah Amazon dan menemui kawasan hutan getah, tempat asal komoditi yang satu ketika dulu pernah memberi nikmat kepada rakyat negaranya. Tanpa sedar air mata keterharuan tumpah menyaksikan pemimpin negaranya itu memeluk pokok getah yang tumbuh di hutan Amazon itu sebagai tanda kesyukuran nikmat yang diperolehi pekebun kecil hasil daripada pokok itu satu ketika dulu.

Dan azamnya makin meninggi didorong oleh kejayaan pemimpinnya itu merentasi Banjaran Andes serta melihat bagaimana kehidupan Gaucho, puak yang sanggup mati menentang penjajah Sepanyol suatu ketika dulu tetapi kini hidup terbiar dalam kemelaratan akibat sikap kerajaan yang tidak mempedulikan nasib mereka.

Hayatnya menyaksikan pelbagai peristiwa, mengenal manusia pelbagai rupa, meniti roda yang sekejap ke bawah sebentar ke atas, dan menyusur lembaran sejarah dari empat arah mata angin. Dia telah puas mengembara dari masyrik ke maghrib, dari paksina ke daksina, namun hasratnya yang satu belum tertunai. Sagarmatha adalah pencabarnya dalam usia yang hampir ke penghujung.

Dia membuang pandangan ke tengah Selat Melaka di daerah daksina ini. Jeti Tanjung Piai, Pontian menyaksikan sumpah yang dia tidak akan kembali ke bumi Malaysia selagi Sagarmatha tidak ditawan lelaki Melayu.

Dia tidak rela melihat maruah bangsa diperlekehkan oleh bangsa asing sebagai negara yang lemah sedang kata-kata “Tidak Melayu hilang di dunia” menjadi ungkapan kemegahan negara. Dia yakin bahawa bangsanya adalah bangsa berperadaban tinggi, bangsa penakluk dan pelaut yang agung suatu ketika dulu.

Dan di jeti penghujung benua Asia ini, pada subuh yang tenang, matanya tepat tertancap ke arah petunjuk yang bertulis “Nepal”. Negara itu akan dijejakinya lagi esok, dan doanya, Sagarmatha tidak merajuk menerima kunjungan cinta lelaki berumur separuh abad sepertinya. Kali ini dia akan mengumandangkan ucapan cinta kepada Sagarmatha dan Penciptanya.

Di Malaysia – Warta Perdana TV1.
Jumaat, 1 Januari 1996, jam 10.00 pagi waktu Nepal: Seorang warga Malaysia, Faiz Syahid, 56 berjaya melaungkan azan di kemuncak Everest setelah 43 tahun menyimpan hasrat tersebut. Beliau merupakan lelaki Melayu warga Malaysia pertama yang berjaya dalam misi menawan gunung tertinggi di dunia.

Berita selanjutnya – Sagarmatha bukanlah seorang perawan atau wanita dari Himalaya, tetapi nama yang diberikan oleh orang Nepal kepada Everest, puncak tertinggi di dunia. Di kalangan orang Tibet pula, gunung setinggi 8,850 meter (29,035 kaki) itu dikenali sebagai Chomolongma. Apa pun jua namanya, sebenarnya, kita amat berbangga kerana daripada lebih 1,250 pendaki dari 69 negara yang berjaya menawan Sagarmatha sejak 1975, seorang daripadanya adalah rakyat Malaysia.

Temubual di talian telefon satelit dari kemuncak Everest ke bilik berita – “Saya bersyukur kerana dengan rasminya bergelar lelaki Melayu pertama warganegara Malaysia yang berjaya menawan Sagarmatha, namun enam dekad yang lalu, saya yakin seorang watan Malaya telah pun berjaya memeluk Sagarmatha yang agam dengan tidak rasminya.”

Di puncak Everest- Assalamualaikum Sagarmatha, biarpun engkau bukan seorang perawan Himalaya, hari ini aku melamarmu!

Di dalam buku catatan Faiz Syahid tertulis: 1 Januari 1996, jam 10.00 pagi waktu Nepal, aku berdiri di puncak Sagarmatha yang diseliputi salji. Sebaik sahaja usai melaungkan azan di puncak Sagarmatha, aku menuju ke kolam kecil berhampiran Island Peak tempat Hillary dan Norgay berkhemah satu ketika dahulu.

Kolam itu kini sudah melebar menjadi tasik. Aku menemui sesuatu yang menjelaskan kecintaanku yang keterlaluan kepada Sagarmatha selama ini. Ya, aku menemui sebilah keris lama tujuh lok di celah batu batan di tepi kolam tersebut. Keris itu seolah-olah kembar kepada keris simpanan ibu di kamar beradunya selama ini yang kemudiannya diamanahkan kepadaku setelah dia pergi. Aku dapat rasakan getaran di dalam jiwaku sewaktu mencapai senjata tersebut. Benarlah, ayah telah terlebih dahulu sampai ke sini sebelum mereka berdua. Itu bisik hatiku.

ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
Jun 10, 2005

* Mingguan Malaysia, 9 April 2006
* Antologi "Pusaka Cendana",
Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 2007
(Hadiah Utama Cerpen Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006)

DI SINI PENYU TIDAK MENANGIS LAGI

KEPADA warga Darul Iman,
Telah sampai ke telinga kami bahawa tampuk pemerintahan negara kalian telah bertukar sejak Mac 2003 lalu. Pertamanya, kami ingin mengucapkan tahniah kepada jentera parti yang berjaya memimpin negeri, dan kepada pihak yang tidak terpilih menerajui negeri Ulek Mayang ini, kami doakan semoga terus berusaha dengan niat murni kalian; muhasabahlah kembali segala kekurangan yang mungkin menyebabkan kalian tidak lagi dapat diterima warga negeri penyu ini, musibah apa yang mengakibatkan kejatuhan kali ini. Nilailah kembali keputusan ini dengan waras akal berpandukan dalil Ilahi.

Kedua, kami juga berasa terharu apabila mengetahui replika Batu Bersurat dipilih sebagai mercu tanda ilmu telah terpahat gagah di Bulatan Ladang sebagai tukar ganti ikon kami dari spesies belimbing yang sinonim dengan masyarakat Darul Iman suatu waktu dahulu. Rakyat kami di bawah sana turut bersyukur kerana doa kami dimakbulkan Tuhan. Terbayang jelas gambaran keagungan pemerintahan Islam dan kecintaan terhadap budaya ilmu semakin bersemarak di laman negeri kalian.

Semenjak ia dibuang ketika awal pemerintahan kerajaan dahulu pada akhir 1999, bulatan tersebut khabarnya tiada lagi serinya. Kami sedih mendengar hal tersebut kerana ia membuktikan seolah-olah tidak terfikir oleh kalian untuk menggantikan ikon yang sesuai yang lebih afdal dari replika nenek moyang kami itu sebelum keputusan untuk membuangnya diambil. Maka pemilihan Batu Bersurat yang berbentuk tirus di bawah bagi menggantikan ikon kami itu secara rasionalnya amat wajar dilakukan bagi menggambarkan keagungan pemerintahan Islam dan kecintaan terhadap budaya ilmu – sebagaimana laporan Menteri Luar Negara kami sewaktu melawat kerajaan Darul Iman baru-baru ini. Khabarnya lagi, replika itu dianggap lebih dinamik dan mempunyai nilai estetik selaras usaha kerajaan negeri mahu menjadikan Darul Iman sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan pelancongan di rantau ini. Syabas kami ucapkan kepada saf kepimpinan Darul Iman. Memang benarlah, “Safwah Mukhtarah, Nadi Ummah!”

Khabar menteri kami lagi, pemilihan itu juga dikatakan tepat kerana era kami sudah berakhir dan Darul Iman yang mempunyai pantai sepanjang 320 kilometer itu tidak lagi menjadi destinasi utama kami bertelur. Hasil kami yang banyak dijual di Pasar Besar Kedai Payang misalnya, bukan daripada hasil kami yang mendarat di pantai Darul Iman, sebaliknya dari saudara kami di Sabah. Berikutan itu, pelbagai pihak mengalu-alukan langkah kerajaan negeri membina replika Batu Bersurat itu bagi menggantikan replika kami kerana berpendapat ia boleh memberi dorongan kepada masyarakat membudayakan minat menimba ilmu. Ini juga bertepatan dengan pelaksanaan dasar Islam Hadhari Terengganu Bestari yang menjadi agenda utama kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang syumul, maju, moden, berdaya saing, penyayang dan cemerlang.

Rakyat hamba di laut senyum mendengar cadangan dan alasan bijak daripada pihak Tuan sekalian. Walaupun sedih kerana kami seolah-olah tidak lagi diperlukan di negeri Tuan, namun jauh di sudut hati kami berasa gembira dengan perubahan ini. Hakikatnya, perkara ini telah kami bincangkan lama dahulu namun tidak tergamak hati kami untuk mengemukakan hal ini kepada kepimpinan dahulu. Kami agak sedih kerana replika kami diluputkan sebagai mercu tanda dengan tiada alternatif lain, melainkan membiarkan bulatan tersebut kosong tidak bermaya. Semenjak hari itu, kami membuat keputusan untuk berkelana ke pantai lain yang lebih menghargai akan kewujudan kami.

Apa yang kami kesalkan ialah replika moyang kami dibuang tanpa alasan kukuh. Sekurang-kurangnya berilah jawapan yang rasional kepada kami, bukan berselindung di sebalik topeng agama untuk kepentingan diri. Bukankah lebih bijaksana jika langkah menggantikannya dengan replika baru yang lebih bermakna seperti yang dilakukan oleh pemimpin Darul Iman sekarang difikirkan lama dahulu? Tidaklah kami rasa kecewa dan terbuku hati kerana disingkirkan sedemikian rupa, sedangkan rakyat Darul Iman sekalian banyak bergantung kepada hasil kehadiran kami untuk menjana ekonomi negeri.

Kami juga turut bersyukur kerana kegemilangan pemerintahan Darul Iman yang pernah terkenal 700 tahun lalu dan menjadi pusat perkembangan Islam dan ilmu di rantau Melayu; sebagaimana tercatat dalam Batu Bersurat bertarikh 702 Hijrah atau 1303 Masehi itu bakal mengulangi sejarah. Sesungguhnya, rakyat kami sentiasa mengikuti perkembangan negeri tempat persinggahan kami ini dari zaman ke zaman. Apa tidaknya, Kerajaan Darul Iman ketika itu berjaya menyusun pentadbirannya berdasarkan perundangan Islam yang dikenali “Itqanul muluk li ta'dilus suluk”.

Dari khabar yang singgah ke alam kami juga, sebelum 20 Julai 2004 nan lalu bersempena tarikh keputeraan Sultan Darul Iman, Sultan Mizan Zainal Abidin, rakyat negeri ini mahupun pelancong yang datang ke ibu negeri Darul Iman khabarnya terpegun melihat arca Batu Bersurat dan tulisan pada batu itu yang menggunakan bahasa Melayu Sanskrit. Kami amat yakin, walaupun tiada siapa dapat menentukan kesahihan tarikh sebenar Batu Bersurat itu diukir dan ditemui, yang pasti batu berukir berkenaan menyimpan pelbagai sejarah dan warisan yang hingga kini masih menjadi misteri. Batu Bersurat dianggap batu warisan pertama dunia kerana ia adalah satu-satunya batu berukir yang menerangkan sejarah pemerintahan Islam menerusi seni ukiran.

Apa pun, sedarilah kalian akan pesan kami, kehadiran replika Batu Bersurat di Bulatan Ladang yang dihiasi pancutan air saja, tidak akan mengangkat martabat dan mengubah pemikiran masyarakat Terengganu. Satu usaha jitu secara bersepadu perlu dirangka dan digembleng sepenuh jiwa untuk mencapai hasrat negeri gemilang tersebut.

Kepada Tuan Menteri Besar yang menerajui kerajaan Islam Hadhari, sesungguhnya kami sedang memantau usaha dan jerih perih Tuan selama ini. Nampaknya Tuan sudah menyusun pelbagai langkah bagi meningkatkan dan menaik taraf kemudahan pendidikan di negeri Darul Iman.

Ikhtiar Tuan menubuhkan sebuah Universiti Darul Iman dan usaha menaik taraf Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dan Institut Teknikal Tinggi Terengganu (Tati) serta menggalakkan institusi pengajian tinggi membuka kampus cawangan di negeri ini adalah usaha yang amat terbilang kerana bukti kegemilangannya sudah pun luas tercanang.

Sememangnya benar seperti kata Tuan, institusi pendidikan bukan saja berfungsi membekalkan ilmu menerusi program dan kegiatan pendidikan, tetapi dilihat sebagai gedung yang mampu melahirkan insan yang dapat berinteraksi dan memajukan masyarakat. Ini kerana, usaha mendalami ilmu adalah tunjang kepada proses pembentukan pemikiran dan intelektual untuk melahirkan insan tanpa mengira jantina yang ahli dalam pelbagai bidang. Syabas dan tahniah kami ucapkan atas usaha drastik Tuan dalam waktu yang singkat demi pembangunan negeri di bawah amanah Tuan.

Kami juga menyanjungi tindakan dan usaha Tuan bagi meningkatkan pemikiran rakyat dengan mengambil pelbagai langkah seperti menganjurkan syarahan “In Transition: Politics, Society and The Economy – Lessons For Terengganu” itu. Majlis syarahan yang khabarnya disampaikan oleh Penolong Ketua Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (Isis), Prof Dr Stephen Leong dan Timbalan Setiausaha yang berperanan menyumbang idea serta kepakaran memajukan negeri itu nampaknya sedikit sebanyak dapat membuka minda rakyat negeri Tuan.

Biarpun ada pihak yang tidak suka dan tidak berpuas hati dengan usaha Tuan itu, usahlah kecewa dengan sikap segelintir mereka itu. Memang kami juga mendengar bisik-bisik kurang enak yang mempersoalkan tentang kehadiran golongan wanita ke majlis tersebut. Mereka tidak puas hati kerana daripada 150 tetamu yang mendengar syarahan itu hanya ada empat wanita, termasuk dua pensyarah dari institut pengajian tinggi awam. Penyertaan wanita pada majlis syarahan seperti itu hanya boleh dikira dengan jari sebelah tangan, sedangkan tenaga mereka perlu digembleng untuk memajukan negeri. Tidak ramaikah wanita di wilayah Darul Iman yang layak untuk turut menyumbang tenaga dan buah fikiran sehingga pembabitan golongan hawa itu seolah-olah ‘dipinggirkan’? Pertanyaan itu sewajarnya dikaji untuk menemui punca kekurangan wanita yang berminat kepada majlis sedemikian dan merangka tindakan untuk mengatasi masalah seumpama itu.

Hal kekurangan penyertaan wanita itu secara langsung dikaitkan dengan isu kenapa Darul Iman merupakan satu-satunya negeri yang tidak mencalonkan wanita bertanding pada pilihan raya umum lalu, sedangkan di negeri lain semakin ramai wanita dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

Namun kami fikir, Tuan mempunyai jawapan untuk kesemua soalan yang bermain di fikiran mereka. Kami juga menunggu dengan sabar untuk mendengar jawapan tersebut pada musim akan datang. Kami tetap akan melawat negeri Tuan, walaupun bukan dalam jumlah yang banyak. Maklumlah, bukan senang untuk memujuk hati-hati mereka yang pernah kecewa dengan tindakan pemerintah Darul Iman sedikit masa dahulu. Hamba akan cuba memaklumkan keadaan dan perubahan yang berlaku dalam Darul Iman sekarang ini dan menjelaskan kembali letak duduk sebenar kehadiran kami di negeri ini kepada rakyat hamba di bawah sana.

Semoga mereka dapat menerima penjelasan dan hamba berharap agar mereka tidak menangis lagi di pantai Darul Iman, malah gembira pula dengan cita-cita murni Tuan menggemilangkan kembali Darul Iman di mata dunia dengan kejayaan menganjurkan Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir, Swimathon Kapas-Marang dan Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun menjadikan negeri tercinta ini tidak asing untuk kejohanan bertaraf dunia. Firasat kami kuat mengatakan Tuan amat berhasrat memartabatkan semula status Darul Iman ini sebagai pusat maritim Melayu dengan kemasyhuran Payang dan Bedar.

Bukan sesuatu yang pelik untuk mencipta sesuatu yang pernah ada. Keinginan untuk mengembalikan status ini umpama melepaskan itik ke air. Darul Iman sudah terkenal dalam bidang pelayaran dan pembuatan kapal sejak zaman tradisi lagi. Laut sememangnya menjadi hubungan penting bagi negeri yang memiliki pantai memanjang ini.

Kami bukan membesar-besarkan cerita atau mahu mengampu kepimpinan sekarang. Tetapi sejarah membuktikan perkisahan ini. Nenenda kami pernah berkisah akan pelayar-pelayar perahu besar yang menempatkan nama Darul Iman di peta dunia sehingga kesannya masih terdapat hingga kini. Pantai dan pepasir di Pattani, Teluk Siam, Bangkok, Khmer dan Saigon serta kawasan-kawasan di selatan seperti Siantan, Riau, Inderagiri dan Sambas jadi bukti cerita kami ini.

Kami amat bangga diberitakan akan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13. Kami bertambah yakin Baginda Tuanku bakal mengembalikan kegemilangan ketuanan Raja Mandalika dan poyang kita yang sememangnya telah terkenal sebagai pelaut yang handal, juga pencetus tradisi intelektual sehingga Darul Iman gemilang dengan pusat pembelajaran yang disertai pembesar-pembesar sezaman. Masjid, surau dan langgar sentiasa dipenuhi Muslimin yang cintakan ilmu dan agama.

Bukankah sewaktu berada di puncak kegemilangan, orang-orang Melayu telah sampai ke kebanyakan pulau-pulau yang jauh sehinggakan seluruh kawasan ini dikenali sebagai kepulauan Melayu? Malah leluhur orang-orang Melayu telah pun sampai sehingga ke Kepulauan Polinesia dan belayar ke sebelah barat sehingga ke Pulau Madagasar dan pantai barat Afrika dan mewariskan keturunan mereka yang masih mendiami tempat-tempat ini. Benih yang disemai tidak sia-sia menumbuhkan jati nan merendang di merata alam.

Zaman kegemilangan tersebut kami yakin amat hampir sekarang. Tidakkah Tuan dengar kini genta itu bergema kembali? Dan senandung ini selalu kami lagukan di bawah sini, jadi ingatan warisan kami nanti, yang Darul Iman mekar kedua kalinya pada abad ini.

Di tanah pesisir pantai ini
Dalam deru angin Laut China Selatan
Pasir jadi intan dalam tangan watan
Batu jadi berlian dengan ilmu dan iman.
Terdengar-dengar lantang suara nenek moyang
Bersyukur pada kelestarian sebuah peradaban yang diteruskan
Anak bangsa yang semakin kenal jati diri
Kenal akan haknya,
Kenal akan tanah air
Dan kenal budaya warisan sendiri
Dalam usaha mengembalikan “khair ummah” ke puncak kegemilangan.

Dan mutakhir ini pula, hamba dengar Lembah Bidong di Setiu pula bakal menjadi tumpuan dunia pada Ogos 2008 apabila julung kalinya dipilih Federation Equestre Internationale (FEI) untuk menjadi tuan rumah FEI World Endurance Championship 2008. Syabas buat teraju kepimpinan Darul Iman yang gigih menseimbangkan kegemilangan negeri dan warganya dalam pembangunan jasmani dan rohani, mengabsahkan kepimpinan ummah pilihan pada akhir zaman.

Sebelum mengundur diri, kami mendoakan semoga cita-cita al-Sultan dan Tuan terlaksana kerana kami ingin melihat anak-anak Darul Iman yang berada di perantauan pulang ke tanah air mereka untuk sama-sama membangunkan negeri tercinta mereka. Salam penuh takzim dari hamba untuk Tuan dan rakyat Darul Iman sekalian. Hamba menunggu musim mendatang untuk bertandang menatang sedulang senyuman kerana di negeri Hadhari, kami tidak menangis lagi!
Sekian.

Sembah dan salam,
Penghulu Bahrul Anam

ROZAIS AL-ANAMY
Kuala Terengganu
2004