Saturday, April 6, 2013

PADA TAPAK KAKIMU

PADA tapak


WANITA, OKTOBER 2012

ANTARA DUA JIWA

"KUPERAH kata-kata

WANITA, NOVEMBER 2011

TELAH DIBERINYA RAGA

WANITA itu

WANITA, MEI 2011

HASRAT SEINDAH KRISTAL

SEINGAT saya, inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke daerah ini semenjak meninggalkannya lebih tiga dekad lalu. Tempat itu bukanlah daerah asing yang pertama dalam hidup saya, malah sudah hampir sepuluh tempat saya pernah bermastautin dan menyambung kehidupan dalam dunia yang sudah berpenghujung buat saya beberapa tahun lepas. 

Tempat tumpahnya keringat saya ini bukanlah saya lupakan terus. Malah kenangan pahit maung juga suka duka sering silih berganti menghiasi mimpi saya. Kata orang, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat saya mengenal diri dan makna kehidupan. Sungguh tempat ini banyak mendidik saya menjadi insan penyabar dan bertoleransi. Apa tidaknya, saya yang bersifat perengus tidak mudah menerima keadaan yang tidak bersesuaian dengan kehendak dan jiwa beransur-ansur menjadi seorang yang bertolak ansur dan empati. Tidak keterlaluan jika saya katakan mereka ini mampu mengubah saya menjadi selembut-lembut manusia. Mereka adalah air yang menitik ke atas jiwa dan raga saya, yang sebelum ini sekeras batu.

Kampung ini telah banyak berubah. Sudah terdapat jalan tar yang menghubungkannya dengan bandar terdekat, berbanding jalan tanah merah yang hanya muat untuk laluan motosikal. Saya masih ingat bagaimana saya terhumban ke semak setelah "scrambler" yang saya tunggangi, satu-satunya pengangkutan yang mampu mendaki ke puncak sana tergelincir sewaktu mendaki laluan tanah merah basah yang baru sahaja disirami hujan lebat semalamnya. 

Hari pertama saya menjalankan tugas disambut dengan keadaan yang sangat menyesakkan perasaan. Sambil menyalahkan diri kerana tidak berpakaian basahan, saya mula meratap nasib. Dendam apakah yang bersarang dalam jiwa ketua jabatan kepada saya sehingga tergamak menghantar saya ke sini, sedangkan saya bertungkus-lumus memajukan anak bangsa dengan menabur ilmu dan hikmah kepada mereka, tidak kira tempat dan masa. 

Namun daerah yang satu ini sangat mengecewakan saya, suatu perjalanan hidup yang tidak pernah saya bayangkan. Suatu noktah pada peta yang tidak pernah saya hiraukan. Ah, sungguh perencanaan Tuhan itu mengatasi setiap harapan dan tanggapan manusia. Benar, apa yang baik pada perkiraan hamba tidak semestinya baik untuk dirinya, dan apa yang buruk pada fikiran mereka mungkin terkandung kebaikan di sebaliknya. 

Dengan pakaian yang dipenuhi selut merah, saya menapak hambar ke pejabat yang terletak di sebuah bangunan usang yang hanya dibina daripada kayu dan berlantaikan lepaan simen kasar. Saya dipelawa duduk oleh guru besar di sebuah kerusi kayu lama yang terjungkit sebelah kakinya, membuatkan saya hampir terlungkup sewaktu melabuhkan punggung. 

Guru besar senyum lebar melihat keadaan saya terkial-kial membetulkan kedudukan. Saya yang baru sahaja bersalin baju secara tergesa-gesa di sebuah tandas berdekatan sekolah tadi menahan geram dengan apa yang berlaku pagi ini. Senyum guru besar disambut senyum sumbing saya. 

Saya tidak peduli apa tanggapan dia pada saya. Biar sikap saya ini menjadi faktor utama dia tidak menyukai saya dan seterusnya lebih memudahkan urusan saya untuk minta berpindah. Oh, biarlah dia memandang saya dengan pandangan negatif hasil penampilan pertama saya yang tidak menyenangkan!

“Cikgu Mustafa Azhari bernasib baik. Ramai guru yang jatuh tergolek “digeletek” kerusi itu, dan terus hilang dari sekolah esoknya.” Guru besar ketawa kecil. Saya ketawa bodoh. 

Kelas pertama saya hadiri terletak agak jauh dengan bangunan pejabat. Tidak keterlaluan jika saya katakan ia umpama kandang kambing di kampung datuk saya. Terbina daripada kayu dan tidak bersimen. Kerusi dan meja kayu pula kebanyakannya hampir reput dan kelihatan jelas kekotoran padanya. Sepuluh anak murid dengan pakaian seragam kumal menyambut kehadiran saya dengan berdiri dan mengucapkan selamat pagi. Kebanyakan daripada mereka berambut kerinting warna kopi dan berhidung pesek. Hanya ketinggian membezakan beberapa orang daripada mereka. 

Seorang yang memakai tag nama “Alam” menuju ke arah kerusi yang bakal saya duduki, dan menyapunya dengan sehelai kain lusuh. Dia senyum dan mengangguk kepada saya, dan kembali ke tempatnya di penghujung kelas. Masing-masing mengeluarkan buku dan merenung saya yang masih kelihatan teragak-agak hendak memulakan kelas. 

Semenjak hari pertama, tidak pernah tidak saya terfikir untuk pulang ke pangkuan keluarga. Biarlah saya dibuang kerja kerana engkar dan menyalahi aku janji majikan, asalkan saya tidak terdera di kampung ini. Keadaan yang terlalu berbeza dengan keselesaan yang melingkungi saya selama ini tidak memungkinkan saya meneruskan khidmat saya di sini. 

Setiap hari saya mengadu kepada teman seperjuangan yang sudah lama bertugas. Dia mengulangi pesan yang sama – bersabarlah. Sudah naik jemu saya mendengarnya, sedangkan keadaan tidak juga berubah. Anak murid saya tetap dengan sikap mereka. Membatu dalam kelas dan membiarkan saya bercakap seorang diri. Mati kutu saya dibuatnya. 

 Fikir saya, buat apalah mereka datang awal-awal pagi semata-mata memaku mata pada pengajaran saya. Sungguh jauh bezanya dengan murid-murid di bandar yang kadangkala tidak memberi peluang kepada saya untuk mengajar, sebaliknya mulut mereka bagai bertih goreng. Hairannya mereka tidak bermasalah dengan waktu kehadiran, berbeza dengan saya yang sentiasa terbabas waktu. 

“Cantiknya, cikgu!” Dalam kehairanan saya terhadap sikap mereka yang suka membatu sewaktu dalam kelas, pada suatu hari saya dikejutkan oleh suara mereka yang jarang kedengaran sebelum ini. 

“Cikgu kan memang sentiasa cantik.” Saya berseloroh dalam keterujaan terhadap perkembangan sikap mereka. 

“Bukan cikgu, tapi motor di tangan cikgu.” Deru suara mereka sepakat menyentuh deria, menukar rona muka saya menjadi kemerahan. Malu tak terkata disapa ketulusan mereka. 

Sebaik sahaja arca motor kristal menyapa muka meja, saya terus memulakan kelas. Murid-murid kelihatan agak ceria hari ini, cuma hati saya terasa sepi. Wajah Mustika menyapa minda, teman jiwa yang menghadiahkannya sempena hari lahir saya awal tahun ini. Bilakah pengorbanan saya ini akan berakhir?

Hendak pulang bukannya senang. Perjalanan meredah hutan belantara bermula 35 km dari kaki bukit sangat mendera, lebih-lebih lagi jika sebelumnya hujan. Jalan akan licin dan kejadian tercampak dari "scrambler" sering berlaku. Ditambah lagi dengan masalah kenderaan yang sering rosak dan kejadian terserempak dengan binatang buas sangat memberi kesan kepada psikologi saya. 

Barang dan bekalan pula dibawa cukup-cukup makan sahaja. Perjalanan sejauh 175 km daripada daerah kediaman cukup memenatkan. Justeru kumpulan kami memutuskan untuk berulang sebulan sekali sahaja. Tempoh yang cukup mendera dengan persekitaran yang tidak sempurna. Namun ke mana jua saya pergi, hadiah daripada Mustika tidak akan saya lupakan. 

Saya sanggup mengurangkan jumlah bekalan makanan semata-mata mahu melebihkan pakaian bagi menggulung kristal tersebut, agar tidak pecah dan cacat cela seandainya beg saya tercampak lagi.

“Cikgu ingat kampung?” Pertanyaan klise yang selalu ditanya teman serumah sebelum ini setiap kali melihat saya termenung jauh, kali ini keluarnya daripada kerongkong salah seorang anak murid. 

“Kampung cikgu mesti cantik, kan?” Sapa murid perempuan. 

"Bukan, saya tinggal di Kuala Lumpur. Tengah bandar.” Spontan saya menjawab. Dalam hati bertanya, kenalkah mereka akan Kuala Lumpur?

“Saya dengar orang Kuala Lumpur tinggal dalam rumah tinggi, cikgu. Macamana mereka turun?” Pertanyaan Alam membuatkan saya terkedu. 

Hari itu saya tidak mengajar. Masa dihabiskan menjawab siri pertanyaan berangkai yang diajukan oleh kesepuluh orang murid. Hari itu, saya tahu mereka ini sebenarnya peramah, cuma air muka saya yang sentiasa menyebarkan aura negatif lantaran dalaman yang tidak murni menjadikan mereka begitu.

Bermula hari itu, kami menjadi semakin rapat dan saya pula mula menyuburkan pohon keredhaan dalam diri untuk menabur bakti kepada insan terpinggir lokasi ini. Saya yakin ada intan yang akan tercanai di puncak ini kerana hikmah Tuhan itu tidak mengira tempat, masa dan bangsa.

Dalam kesukaran dan kepayahan meneruskan amanah, sudah tiga suku tahun saya berbakti pada kanak-kanak orang Asli di puncak pedalaman itu. Hubungan kami semakin baik, dan setiap kali pulang saya cuba menyelitkan beberapa buah bahan bacaan tambahan, khususnya untuk Alam yang sangat berminat mengetahui dunia luar dan fakta mengenai bangunan tinggi di seluruh dunia. 

Suasana dalam kelas riuh rendah, di luar kawalan. Ketua murid diketepikan peranannya. Masing-masing bertumpu di sudut belakang kelas. Saya meluru ke arah kumpulan tanpa meletakkan beg di tempat saya dahulu. Kelihatan muka Alam pucat dan ketakutan. Murid-murid sedang memarahi dan menyalahkan Alam, seolah-olah Alam telah melakukan suatu kesalahan besar.

“Jangan bergaduh.” Saya menjerkah. Dan minta mereka ke tempat masing-masing. Saya hulur tangan kepada Alam dan menariknya bangun. Alam bangkit dan mengebas seluarnya yang kotor, menuju ke mejanya. Saya pula ke meja saya.

Degupan jantung hampir terhenti. Motor kristal tiada bentuknya. Bertukar menjadi taburan berkilau di kaki meja dan kerusi. 

“Siapa pecahkan?” Tempik saya. 

Isi kelas membatu. Saya renung wajah mereka satu-persatu. Semua tunduk kecuali Alam. 

“Siapa pecahkan?” Saya lembutkan suara. Untuk mengawal diri, bukannya untuk mengetahui jawapan lagi, kerana saya sudah tahu jawapannya. Alam memandang saya.

Dia terus menuju ke arah saya dan membersihkan taburan kristal seraya berkata “cikgu boleh jatuhkan apa sahaja hukuman kepada saya, saya bersalah. 

Saya mendengus dan meramas tangan sendiri. Saya minta Alam cepat-cepat ke mejanya. Saya bimbang emosi saya tidak terkawal. Saya ambil bungkusan kertas yang mengandungi taburan kristal yang dihulurkan Alam. Alam merenung tepat ke mata saya. Ada genang di matanya.

Sejak peristiwa itu, Alam tidak semesra dulu. Dia banyak mendiamkan diri. Dan saya mengajar seperti biasa, biarpun hati terluka, umpama taburan kristal. Hendak dimarah tiada guna. Bukan boleh diganti semula. Saya cuba menerima takdir Ilahi. Tiada dendam pada Alam, cuma rasa sedih kerana barang yang paling saya sayang tidak lama kekal di sisi, walau di hati tak pernah hilang. Saya cuba merapatkan diri dengan Alam supaya dia tidak terbeban dengan kesalahannya. Apatah lagi dia tidak tahu berapa besar nilai barang itu kepada saya. Saya yakin dia cukup menyesal dengan apa yang berlaku. Jika tidak, masakan dia akan menempatkan sejambangan bunga di atas meja saya. Pasu daripada ruas buluh yang dipotong saya jangka hasil kreativitinya. Kuntum capa rengat, ranting melur susun, anggerik hutan dan pelbagai jenis bunga yang tidak pernah saya lihat bertukar ganti saban minggu.

Sewaktu Alam dipilih ke sekolah berasrama penuh di bandar, dia mengunjungi saya di rumah. Dia minta maaf bertalu-talu daripada saya dan meminta restu dan doa saya agar dia berjaya dalam hidup.

Lima tahun berlalu, saya dipanggil balik ke bandar. Bertugas di bandar, cabarannya dalam bentuk lain. Kanak-kanak yang membesar dengan semaraknya teknologi maklumat memerlukan pendidik yang sentiasa menambah kemahiran diri. 

Saya menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dalam bidang akademik, sehingga akhirnya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri. Setelah bersara, saya sering diundang menyampaikan ceramah berkaitan pendidikan. Undangan datang dari serata pelosok negara. Dan undangan kali ini entah yang ke berapa ratus bilangannya.

Selain menghormati dan berkenalan dengan Pegawai Daerah tempat tersebut, saya menerima jemputan khas ini kerana ingin mengimbau kenangan suka duka di daerah yang pernah menjadi tempat bermastautin saya lama berdekad lalu. Amat tepatlah hasrat tuan rumah dan niat saya menerima jemputan tersebut.

Saya ditempatkan di sofa berukir di depan dewan yang telah dipenuhi penduduk tempatan. Selesai pengerusi majlis mengalu-alukan kedatangan para jemputan, saya diminta naik ke pentas. 

“Majlis ini di luar kebiasaan. Dijemput YBhg. Datuk Cikgu Mustafa Azhari untuk menerima sedikit tanda budi tersemai di sanubari khas daripada YBhg. Datuk Pegawai Daerah Hutan Sekajang.” Saya tergesa-gesa ke depan, bukan kerana cenderamata, tetapi kerana pemberinya. 

Setiba di sofa, saya menjeling motor kristal dalam bekas kaca tersebut yang saya tempatkan di meja sisi. Datuk Pegawai Daerah di sisi senyum. Pasukan koir sedang mendendangkan lagu “Anak Kecil Main Api”. 

“Maaf, saya minta pengerusi majlis kekalkan gelaran cikgu, dan tidak memperkenalkan diri saya.” Lelaki berusia lewat 30-an itu menghulurkan kad nama kepada saya.Saya renung nama yang terpapar, menjeling kristal dalam bekas kaca, memandang insan di sisi. Darah tiba-tiba menyerbu ke muka. Saya lihat mata Datuk Alam berkaca. 

“Saya bukan berniat menggantikan barang cikgu yang telah saya pecahkan. Saya hanya ingin berkongsi rasa pahit yang cikgu rasa akibat kecuaian saya. Namun waktu itu saya tak berdaya.

“Murni dah terangkan kepada saya. Awak terlanggar kristal itu sewaktu mengelap meja saya, bukan sengaja.” Saya memecahkan rahsia yang disampaikan Murni, rakan baik Alam. 

Kami berpandangan. Saya menepuknya di bahu. Pasukan koir menamatkan bait akhir dendangan mereka.

JENDELA TIMUR, APRIL 2011

Wednesday, June 23, 2010

HILAL WAHDAH DI LANGIT RAMADAN

MATA binar itu kutatap lembut, walaupun hati sedang mendidih dalam belanga amarah. Berkali-kali kupujuk rajuknya dengan kata-kata lembut, namun perangainya cukup menduga kesabaran pada petang yang masih panas. Mentari masih menyinga biarpun dua jam lagi azan maghrib akan berkumandang. Bahang daripada aspal makin menambah kuantiti keringat yang mengalir.

“Kalau bonda tak beli senapang itu, Umar tak mahu puasa esok!” Bentakan itu terasa cukup mendukacitakan jiwaku. Mana mungkin anak yang berumur tujuh tahun itu mengugut seorang ibu, lebih-lebih lagi pada bulan penuh berkat ini.

Hati menjadi hiba, terasa Umar sudah mengurangi darjah kesolehannya. Sedangkan selama ini dia kuasuh dengan tertib sopan sejalur suruhan agama dan budaya. Tidak pernah dia bersikap seperti itu semenjak enam hari ramadan lepas, kecuali hari ini. Setiap kali aku ke bazar ramadan, aku terpaksa membawanya sekali setelah menjemputnya dari kelas mengaji al-Quran. Dan setiap kali sampai ke bazar itu, setiap kali itulah juga dia merengek minta aku belikan senapang, yang dijual di gerai kurma, bersebelahan gerai lauk-pauk yang selalu kusinggahi.

Tatkala aku sibuk membeli lauk-pauk di gerai pilihanku itu sebaik pulang dari pejabat, Umar kulihat perlahan-lahan beredar ke gerai sebelah, gerai kurma yang juga menjual beberapa laras senapang. Bagaimana mungkin senapang dijual bersekali dengan kurma dan produk dari timur tengah, amat tidak sesuai, fikirku.

Namun hal itulah yang agaknya menarik minat Umar sehingga aku membiarkan sahaja dia meleraikan genggaman tangan kami, untuk beredar ke gerai kesukaannya. Setiap kali dia ke sana, kulihat dia membelek-belek senapang itu dan berbual-bual dengan perempuan separuh abad dan anaknya yang kukira sebaya Umar. Mungkin Umar tidak perasan aku melirik pergerakannya itu sambil membeli juadah. Dari pemerhatianku selama enam hari sebelumnya, Umar akan meraih kembali tanganku, sebaik aku kelihatan mahu beredar dari bazar itu, seolah-olah baginya aku tidak sedar langsung akan kehilangannya di sisiku untuk ke gerai sebelah, dan jalan bergandingan denganku seperti sebelum kami tiba di bazar.

Cuma kelihatan pada riak wajahnya dia sedang memikirkan sesuatu sewaktu kami berpulang dari padang bola yang dipilih sebagai lokasi untuk sebulan bazar ramadan itu. Terkadang wajah itu mempamerkan ceria seorang kanak-kanak, kadangkala tegang seolah-olah sedang mengikhtiarkan sesuatu dan kebanyakan masa, ia terkandung seribu persoalan yang tidak upaya difikir oleh insan seusia dia. Namun tidak pernah disuarakan padaku apa-apa sahaja, dan aku tidak pernah bertanya kepadanya, kecuali menanti dia meluahkannya padaku.

Aku mahu mengasuhnya jadi seorang lelaki yang punya kekuatan untuk meluahkan, bukan sebagaimana ayahnya, seorang pemendam. Seorang lelaki yang bagiku punya sifat sebagaimana pulau ais, sedikit sahaja terzahir di permukaan, terpendam di bawah laut sebesar-besar ketulan yang mampu mengaramkan sebuah kapal sebesar Titanic. Aku tidak mahu Umar terbiasa dengan sikap yang bagiku bahaya jika dimiliki seseorang.

Hari ini, nyata ketakutanku selama ini jadi kenyataan. Luahan yang tertunda selama enam hari itu bagaikan pulau ais yang muncul tiba-tiba dalam haluan asuhanku. Umar tidak puas hati dengan jawapanku, yang agak keras mungkin pada naluri seorang kanak-kanak seusianya.

“Senapang itu alat berbahaya, Umar!” Nadaku agak keras walaupun kututurkan dengan suara lembut. Dia membatu, menatap rahangku yang sedikit bergerak-gerak akibat mengetap gigi. Sungguh hari itu aku rasa terganggu dengan permintaan Umar yang memujukku agar membelikan senapang dari gerai sebelah. Apatah lagi cuaca panas dengan pengunjung gerai yang pelbagai aroma itu bersesak-sesakan, sebahagian besarnya pula merempuh belakangku tanpa ucapan maaf sepatah pun. Di kedua-dua tangan, penuh plastik berisi makanan.

Umar menarik hujung kebayaku. Masih meminta-minta biarpun telah kunyatakan jawapannya. Bukankah senapang itu berbahaya, apatah lagi bagi kanak-kanak sebesar dia? Senapang adalah malaikat maut yang bila-bila masa boleh menjadi alat menerbangkan roh dari jasadnya. Senapang juga terbukti menyebabkan anak kehilangan ayah ibu, suami hilang isteri dan manusia hilang yang disayangi. Senapang itu alat bahaya, Umar! Oh, senapang itu merentap kebahagiaanku.

Umar merentap hujung kebayaku. Senapang itu merampas nyawa ayahmu, Umar! Entahkan keluar atau tidak ujaran itu dari mulutku, atau ia hanya di ruang kenanganku. Namun kulihat Umar tercengang dengan situasiku yang seolah-olah baru sedar dari pukau.

“Senapang itu nanti mahukan korban, Umar!” Ugutku lagi. Walaupun kutahu kenyataan berbau ugutan amatlah tidak sihat untuk kanak-kanak seperti dia. Aku penat dan terganggu dengan kenangan yang menerpa dalam udara pengap petang ini. Ah, sudah berapa banyak pahala puasaku berkurangan dengan jiwa yang tidak tenteram dan amarah yang menguasai hari ini.

“Bukankah ayahanda juga miliki senapang?” Umar menyentakkan sedarku. Kenapalah mulut kecil itu mengeluarkan sebaris ayat yang menyengat kenangan pahitku? Aku sepi dalam riuh manusia, menarik nafas dalam-dalam.

“Dan juga pistol!” Ulas bibir merah itu mengeluarkan belati yang menusuk jantungku. Mengapa kenangan itu dibidiknya di padang latihan ramadan nan terik ini?

“Senapang dan pistol alat bahaya, Umar...” Dalam suara lirih, aku mengelus rambut lurus berona bulu jagung Umar tanpa sedar, dan menapak ke luar kawasan padang.

Umar tidak berganjak, dan aku memilih pergi tanpa dia. Aku pasti, dia akan menyertai tapakanku sebentar lagi. Budak seusia itu tidak tega ditinggal sendirian, sudah tentu dia gentar memikir bagaimana mahu pulang nanti.

Benar tekaanku, Umar menuruti langkahku. Masuk ke dalam kereta, menarik tali keledar tanpa sepatah kata. Ada titis air mata di pipinya, diseka dengan kura tangan seraya berpaling ke luar jendela, enggan menatapku. Aku memecut laju, sejam lagi azan Maghrib akan berkumandang. Nasi belum dimasak, lauk-pauk untuk jiran sebelah, sebuah keluarga daif juga perlu dihantar sebelum iftar, Asar juga belum ditunaikan. Semuanya kerana melayan kerenah Umar.

Usai solat, aku bergegas masak nasi, dan menghantar juadah ke rumah jiran. Umar tidak mahu ikut serta sebagaimana selalunya. Dia membatu dan menekuni buku doanya sewaktu aku mengajaknya. Sebaik tiba di pintu, kudengar Umar melaungkan doa wahdah dalam alunan penuh sayu, lebih sayu daripada bacaanku selama ini. Aduh, anak ini cukup menyuburkan sepohon kenangan dalam diriku, dan menggoncangnya dengan sikap-sikap luar biasa seminggu ini, sehingga helai demi helai daun kenangan yang masih hijau itu menimpa diriku.

Azan berkumandang, Umar dengan suara gemersik membaca doa berbuka. Aku dan hanya Umar beriftar dengan tiga biji kurma dan segelas air suam setiap seorang, kemudian menuju ke surau berhampiran. Umar membisu dalam perjalanan, dan kami berpisah di ruang solat. Malam ini aku berdoa agar diberi kekhusyukan solat, dan tidak dibayangi peristiwa petang tadi.

Aku berjaya meminggirkan ingatan itu pada rakaat-rakaat awal, namun sebagaimana dedaun diterpa ribut, helaian-helaian hijau kenangan aku dan suami menerpa benak sebaik sahaja imam mengangkat takbiratul ihram untuk memulakan witir. Sebak menyerbu, aku tercungap-cungap, cuba menahan sesak nafas. Ahli jemaah di sebelah mencuit, mempamerkan wajah penuh soal. Aku tunjuk isyarat ke kepala, dan beredar.

Kupilih pangkin di luar ruang surau, tepi ruang solat lelaki, agar senang kulihat Umar yang keluar nanti. Dalam kelam, aku beristighfar, semoga dukaku ini tidak dicampur urusannya oleh syaitan di jiwa, kerana syaitan telah dirantai kesemuanya dalam sepurnama bulan mulia ini, kecuali yang menghuni jiwa-jiwa manusia itu sendiri.

Terngiang-ngiang ugutan Umar petang tadi. Mungkinkah Umar akan melaksanakan ugutannya itu esok? Jika benar, akulah yang bersalah kerana tidak berhikmah menangani jiwa seorang anak. Jiwa seorang anak yatim yang kehilangan ayah dua purnama yang lepas. Yang tekun berpuasa tanpa ponteng walau sehari semenjak berusia lima tahun. Oh, bersalahnya aku, dan berdosanya aku jika Umar betul-betul melaksanakan ugutannya.

Aku gagal mendidik Umar dengan baik, sekaligus khianat akan amanah Umar Hanzalah yang berpesan dua purnama lepas, agar aku menjaga Umar Mukhtar, anak tunggal kami sehingga menjadi lelaki soleh yang berani berkorban demi agama, nusa dan bangsa. Yang tidak gentar akan musuh Islam dan umatnya, sehingga sanggup mengorbankan diri. Itulah pesan Umar Hanzalah, arwah suamiku sehari sebelum dia ditembak pengganas rejim Zionis Israel dalam tragedi serangan ke atas MV Mavi Marmara dua purnama lalu.

Betapa durjananya komando Israel yang telah menembak suamiku dengan senjata automatik biarpun bendera putih telah dikibarkan oleh MV Mavi Marmara apabila flotilla itu dipaksa memberhentikan pelayaran. Bukankah suamiku dan enam buah kapal yang membawa aktivis, sukarelawan bantuan dan bahan bantuan bagi warga Gaza yang telah dikepung dan zalimi semenjak 3 tahun lepas itu tidak membawa sebarang senjata berbahaya, melainkan melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan sesama manusia?

Menurut rakan arwah suamiku yang terselamat dan hanya cedera ringan, suamiku tidak tumpas sewenangnya di tangan komando yang selayaknya dilabel pengganas oleh dunia itu, tetapi berjuang mati-matian sebelum gugur. Ceritanya lagi, arwah suamiku melaungkan takbir sehingga terdengar di seluruh ruang, berusaha mempertahankan diri dengan hanya bersenjatakan kayu dan pisau pemotong daging. Namun sehebat manapun seni mempertahankan diri yang dipelajari suamiku, senjata automatik bukanlah lawannya.

Aku reda atas pengorbanan suamiku, dia pergi demi agama. Cita-citanya untuk berjuang demi agama sebagaimana kisah Hanzalah dalam sirah Rasulullah akhirnya terlaksana, cuma arwah suamiku tidak dimandikan malaikat sebagaimana Hanzalah. Tidak hairanlah suamiku gemar menyertai pelbagai organisasi dan persatuan yang menyuntik semangat juang sepanjang usianya sehingga layak memiliki senapang dan pistol hasil penyertaan dalam RELA dan persatuan menembak.

Cuma emosiku terganggu petang tadi dengan permintaan Umar, anak tunggalku mungkin kerana aku perit akan kehilangan orang tercinta. Sepatutnya aku menyokong minatnya, yang mewarisi kecenderungan ayahnya, serta mendidiknya ke arah landas yang betul. Kesilapanku, aku melarang kehendaknya tanpa hikmah. Aku janji, akan belikan dia senapang itu petang esok. Akan kugembirakan Umar dengan persetujuan itu sebaik sahaja dia keluar dari ruang surau itu nanti.

Para jemaah lain sudah ramai keluar, namun kelibat Umar belum nampak. Setengah jam berlalu, aku jadi risau. Ya Allah, semoga Umar waras dan tidak merajuk dengan sesuatu tindakan di luar batas. Aku mula keluh-kesah. Aku bangun menuju ruang solat lelaki. Sebelum melangkah, kelihatan Umar Mukhtar menyarung seliparnya, dan menunggu di ruang muslimat seperti selalu. Aku memanggil namanya, dan dia agak was-was memandang ke arahku, kemudian perlahan-lahan menuju ke arahku, diikuti seorang kanak-kanak lelaki sebaya.

Aku tidak sabar menunggu Umar tiba, dan terus menyatakan hasratku tadi sebaik sahaja dia menyalamiku. Umar tersentak dengan persetujuanku, dan sebelum aku menyambung janji, kanak-kanak yang membontoti Umar merapati kami. Budak itu kulihat wajahnya sama dengan kanak-kanak di gerai senapang dan kurma itu, wajah yang sama seperti kanak-kanak Palestin yang sentiasa jadi mangsa bedilan dan lontaran bom di Palestin.

“Bonda, ini Ibrahim Siddiqie. Ayahnya ada banyak senapang. Tapi bukan senapang kayu macam yang Ibrahim jual di gerai ibunya!” Umar mendahului pertanyaanku dengan jawapannya.

“Saya pun pandai buat senapang, makcik, tapi senapang kayu. Saya belajar dari arwah ayah sewaktu sebelum kami berhijrah dari Ramallah. Saya ingin hadiahkan satu senapang kepada Umar sebagai tanda persahabatan kami, saya minta kebenaran makcik.” Kanak-kanak itu masih pelat berbahasa Melayu.

“Ya, ya. Nanti makcik beli daripada Ibrahim, makcik beli lima!” Saya teruja mahu menebus kesilapan.

“Saya hanya ada empat senapang yang baru siap makcik, tak cukup lima!” Ujar Ibrahim pantas.

Ah, anak ini. Ingin saja aku mencepungnya, dan meluru ke rumahnya untuk ketemu ibunya memulakan rantai silaturrahim antara dua negara.

Dalam perjalanan ke rumah Ibrahim yang hanya didiami dengan ibunya, dia bercerita tentang nasibnya sebagai pelarian, yang kemudiannya mendapat suaka politik di sini memandangkan arwah ayah dan abang-abangnya yang terkorban adalah golongan profesional yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Menurut Ibrahim lagi, dua tahun berada di Malaysia, ibunya tidak pernah lupa akan tragedi yang melibatkan kedurjanaan Zionis Israel terhadap keluarganya. Lima abang Ibrahim terkorban dalam serangan pengganas Zionis di Ramallah, dengan tuduhan kelima abangnya itu terlibat dalam siri pengeboman terhadap beberapa bandar utama di Israel.

“Sebelum Ibrahim menjadi mangsa, saya fikir lebih baik saya bawa dia ke sini. Kalau diikut jiwa saya, saya mahu dia pun syahid mempertahankan agama, namun dia perlu hidup untuk merangka perjuangan seterusnya. Saya mahu Ibrahim menjadi pemimpin yang dapat menyatukan negara-negara Islam dalam memerangi Zionis Israel.” Ibu Ibrahim menutup cerita, sewaktu kami minta diri untuk beredar dari rumahnya. Janjinya dia akan bertamu pula ke rumahku esok, membalas kunjungan kami.

Sewaktu bergandingan dengan Umar pulang ke rumah, kugenggam erat jari-jemarinya. Terasa ada semangat ayahnya yang mengalir dari celah jari-jemari kecil itu. Dan aku berjanji kepada diri, kepada Umar Hanzalah dan kepada Tuhan, anak ini akan kuasuh dengan semangat juang yang tak kunjung padam sinarnya. Akan kuburu malam seribu bulan untuk melayangkan doaku ini. Biar Umar jadi lelaki yang memimpin bangsa dalam menyuburkan semangat perpaduan di kalangan ummah di merata alam, sebagaimana mewanginya ikatan wahdah aku dan ibu Ibrahim, dua wanita yang berkongsi duka dan semangat yang sama, biarpun berbeza bangsa.

“Umar, Islam tak menang kerana senapang atau pedang!” Aku cuba membetulkan semangat Umar agak tidak bersalahan dengan konsep perjuangan.

“Tapi kalau ada pengganas tembak kita atau Ibrahim dan ibunya dengan senapang, Umar pun kena balas dengan bedilan senapang.” Dia mendongak ke arahku, seraya membetulkan tali senapang di sebelah kiri bahu.

Aku terkesima dengan jawapan itu. Sungguh Umar telah mengerti konsep mempertahankan diri dalam usia sekecil dia. Aku yakin dia dan Ibrahim adalah hilal penyatuan sempena awal ramadan, seterusnya bakal menerangi kegelapan ummah yang berpecah dan larut dalam umpan hedonisme oleh Zionis, setelah sinar purnama menjarah dunia Islam dan pelosok marcapada.

WANITA, 23.06.2010

SEBUAH NAMA DI BUKU TAKDIR

Pertemuan saya dan Adam bagaikan ombak dinihari, tenang menghantar bebuih kecil ke pantai pada musim semi yang lepas.Dia dianugerahkan kepada saya untuk membuktikan kebesaran Tuhan yang mentadbir alam dan jiwa-jiwa hamba. Saya mula faham aturan Tuhan yang amat kreatif dan penuh seni, mula mengenal makna takdir dan kuasa Tuhan. Betapa Tuhan mampu dan boleh berbuat apa sahaja hanya dengan sepatah Kun Fayakun.

Hari ini saya menangis sepuasnya. Empangan ketabahan yang selama ini gagah bertahan tidak mampu lagi teguh diasak keresahan jiwa. Saya menanggung rasa sebak, pilu, dan gundah-gulana ini sekian waktu. Lima belas tahun, saya rasa jiwa saya pun berhak untuk mengekspresikan debar, getar yang sekian lama tidak diluahkan raga.

Segalanya tentang kesedihan, kepiluan, kekesalan dan rasa sebak yang menunda-nunda setelah kehilangan dia. Saya sedih kerana ruang waktu untuk hidup bersama terlalu singkat. Saya pilu kerana dia pergi sewaktu zaman remajanya mula mekar dan kami tidak sempat mesra. Saya kesal kerana dia pergi sewaktu busung amarah saya belum mengecut sepenuhnya.

Dia lelaki pendiam. Kami hanya bercakap apabila perlu. Jarang sekali bertembung mata. Saya pun tidak tahu mengapa begitu. Dia suka menyendiri, dan saya pula suka mengekori gerak langkahnya dan kerjanya tanpa dia sedari. Dia amat suka membaiki kenderaan bermotor, dan perkara itulah yang paling tidak saya sukai kerana ia makin merenggangkan kami.

Namun saya begitu gembira apabila melihat dia mengusung kayu dan menghimpunkannya di suatu tempat. Tentu dia mula membina reban ayam, fikir saya. Dan semenjak hari itu saya jarang lagi melihat dia bersama motornya. Dia mula menggali tanah di tepi rumah dan mendirikan rangka. Saya mengelak jadi mandur kerana saya tahu dia tidak akan menyiapkan kerjanya selagi saya masih terpacak di situ. Lalu saya tidak pedulikan kerja-kerjanya. Tidur saya sering terganggu oleh bunyi ketukan tukul dan sorong tarik mata gergaji. Beberapa hari kemudian, saya lihat sebuah rumah pondok terbina. Itulah Adam.

Suatu hari, kami bergaduh. Puncanya, saya tidak suka Adam bergaul dengan remaja yang suka merempit. Namun Adam tegaskan, dia punya misi sendiri, dan akan memberitahu saya suatu hari nanti. Saya tetap berdegil meminta Adam menjelaskan perkara sebenar. Adam nekad, tidak akan menghebahkan sebelum tiba masanya.

Masing-masing tidak dapat menahan marah, dan di antara kami tidak nampak tanda-tanda beralah. Kerana tersinggung dengan tenungan mata, dia membaling ketul-ketul ais ke arah saya. Saya tahu dia tidak sesekali bermaksud menujukan ke badan. Saya berlalu dengan kesan biru di dada dan bahu. Semenjak hari itu, saya tidak mahu lagi berselisih dengannya. Biarpun begitu, saya sentiasa ingat pengajaran dari kisah itu – usah ditenung mata lelaki yang sedang marah.

Kemarahan saya berlanjutan sehingga saya meninggalkan tanah tepian pantai, menjejak kaki ke ibu negara. Saya sengaja menyibukkan diri dengan alam kampus. Dua tahun di sana, saya tidak pernah bertanya khabar tentang dia. Hati saya masih berdarah dengan peristiwa tempohari.

Pada suatu hari, saya diserang resah luar biasa. Saya berkelintar di segenap ruang bilik tanpa tujuan. Dari tengahari hingga ke malam, resah itu tidak jua berkurangan. Saya cuba mencari punca. Buntu. Dalam keadaan keluh-kesah, nama saya diumumkan, bergema tepat-tepat tengah malam. Saya turun menemui pengawal keselamatan yang sedia menunggu di bawah blok bangunan. Dia menyambut saya dengan ucapan minta saya bersabar. Wajah bonda dan ayahanda terpamer dalam minda.

Saya cuba mendapatkan tiket penerbangan, namun hampa. Takdirnya, hanya bas perjalanan pagi esok masih bersisa. Saya menghitung. Lapan jam adalah terlalu lama untuk membiarkan jenazah menunggu kepulangan saya. Pasti dia disemadikan lebih awal dari ketibaan saya. Saya diserang pilu dan rasa berdosa.

Perjalanan terasa begitu lama. Apalagi yang mampu saya buat selain membacakan Surah Yasin dan Al-Fatihah untuk rohnya, sesekali berdoa agar berlaku keajaiban yang memungkinkan saya tiba lebih awal di sana. Namun hidup ini bukan sebuah karya kreatif yang boleh diselitkan realisma magis sebagai penyelesaiannya.

Saya tiba di kampung selepas Asar. Disambut sedu-sedan dan jiran tetangga yang sembab matanya. Mereka melihat saya seolah-olah saya orang asing. Saya lihat bonda terperuk di suatu sudut dengan bola mata yang berselirat urat merah, dan saya mula mencari wajah ayahanda. Saya jumpai dia di halaman, di bawah rimbun daun mempelam harum manis. Mata kami bertemu dan kami sama-sama kelu.

Saya segera ke rumah pondok tinggalan Adam. Tak berkunci. Saya menyelinap masuk, sambil mengintai bimbang ada mata yang memandang. Pangkin kayu beralas tilam nipis bercadar rapi. Beberapa jenis alat pertukangan kayu dan peralatan membaiki motor tersimpan kemas di atas rak kayu hasil tukangannya.

Semuanya tersusun sebagaimana kali terakhir saya melihatnya dulu, kecuali sebuah rak tukangan sendiri saya kira, tersusun padanya sejumlah buku. Tajuk-tajuknya membuatkan saya berfikir seketika, sejumlah besarnya adalah rujukan saya di universiti, dan beberapa buah buku dalam bidang psikologi. Tak kurang pula sejumlah novel Sasterawan Negara yang disusun bertindan.

Saya membelek secara rawak beberapa buah buku, tertulis pada setiap helaian pertama buku-buku “Tahtal Milki: Al-Faqiirul Ilallah”. Adam tidak keseorangankah di pondok ini? Buku-buku ini dibawah milik “yang fakir (lelaki) ke jalan Allah”? Yang pasti rakannya itu lelaki!

Saya menjenguk ke arah pohon manggis di sisi rumah melalui jendela kayu separas pusat. Kelihatan wajahnya di celahan ungu bunga senduduk, di putik manggis, pada merahnya buah mata ayam, pada kudup kemboja di halaman.

Saya tutup jendela dan baring di atas pangkin kayu. Merenung atur susun kepingan bata. Wajahnya bertampal di mana-mana. Saya lihat dia terbongkok-bongkok menukar tayar motosikal. Saya lihat dia ke paip air membersihkan sisa minyak hitam di lengan. Saya lihat dia menyapu peluh dengan tukul yang masih di tangan. Di mana-mana, saya lihat dia. Sedu telah pecah dalam dada. Saya pekup mulut, menghalang sedu melepasinya. Mata saya terasa panas, saya pejam sekemasnya agar air mata terbendung di dalam.

Di luar, saya dengar suara perempuan sedang berbual. Luahan rasa seorang makcik menyentakkan saya. Katanya dia tidak dapat menahan sebak melihat keadaan saya sewaktu tiba. “Macamana agaknya kalau dia tengok pakaian yang arwah pakai semasa kemalangan.” Saya dengar sedu-sedan. “Saya pun tak sanggup tengok besen penuh darah dalam bilik air tu.” Makcik seorang lagi menyambung sedu.

Saya bingkas menuju bilik air rumah itu dari arah belakang. Sebesen air merah darah masih di situ. Di dalamnya pakaian yang sudah tentu milik Adam. Saya angkat jaket hitam, menelitinya. Ada koyak di beberapa tempat. Baju T dan seluar dalam tidak terjejas. Saya capai jeans biru, dekat ke muka. Juga ada carikan padanya, beberapa tompok minyak hitam jelas kelihatan, kesan seretan dan ketulan batu di celah lipatan kaki seluar. Bahagian paha kanan rabak, dihubungi oleh sisa secarik kain pada bahagian lutut. Saya terjelepuk ke lantai bilik air.

Saya masih berteleku di tepi besen. Terasa jasad baru turun ke bumi. Saya gagahkan diri, berdiri dan mula membasuh pakaian tersebut. Memerhatikan air darah yang bercampur kemarahan saya dulu, mengalir ke saluran air buang dalam bilik air tersebut. Seliter demi seliter.

Ayahanda masuk tiba-tiba. Dia terkejut melihat keadaan saya. Saya letak telunjuk di bibir dan berbisik kepadanya. Saya minta keizinan untuk menyimpan pakaian penuh kenangan luka tersebut. Ayahanda berlalu. Diganti oleh abang ipar saya. Dia banyak membantu kerja-kerja menguruskan jenazah Adam. Dia kelihatan tidak terkejut dengan kehadiran saya di situ, mungkin ayahanda saya telah memaklumkan keadaan itu kepadanya sebelum dia masuk.

Saya lihat dia mengepal sesuatu dan memandang saya dengan wajah pilu. Dia membatu apabila saya tanya apa yang ada di dalam genggamannya. Dia minta saya naik ke rumah kerana katanya dia ada tugas yang belum selesai dilaksanakan berkaitan urusan jenazah. Saya mengesyaki sesuatu dari penjelasannya, dan mendesak agar dia menyatakan tugasnya itu.

Dia buka kepalan. Seketul daging merah-kebiruan memanah jiwa saya. Ada debar dan getar di hati. “Daging paha arwah yang terlekat di bahagian motornya. Abang nak basuh dan tanam di kubur arwah.”

Dan saya tidak dengar butir bicaranya lagi. Saya nampak imej daging seketul dan bahagian paha seluar yang rabak di merata dinding bilik air. Tanpa sedar saya hanggau daging tersebut, membasuh secermat-cermatnya dengan jiwa. Air merah mengalir perlahan, membawa bersamanya sejumlah kenangan. Saya lihat dia berdiri di tepi saya, memandang saya dengan sebuah senyum. Senyum yang sampai di sukma. Hati saya terasa dibelai angin dingin, sedingin ais yang pernah singgah di dada dan bahu lima belas tahun dulu.

Saya hulurkan ketul daging kepada abang ipar. Selesai membasuhnya sekali lagi, dia ajak saya bersamanya ke kubur, namun saya menolak. Dia disergah kehairanan dengan penolakan saya. Saya katakan padanya, “Saya semadikan dia di jiwa, bukan di sana.”

Dan sehingga kini, saya tidak pernah melihat nisannya. Lima belas tahun berlalu, dia masih di hati ini. Dan setiap kali saya melihat ketulan ais, saya sentiasa doakan rohnya dirahmati dan mendapat tempat mulia di sana. Dan setiap kali dimarahi lelaki, saya selalu merenung bumi.

Saya kehilangan Adam. Dan semenjak itu saya tidak pernah berharap saya akan menemui seseorang yang mampu bertapak di jiwa. Saya benar-benar serik diterpa ujian sebegitu. Saya hanya terfikir untuk menghabiskan sisa hidup dengan mengakrabkan diri kepada Ilahi, tiada cinta seagung cinta-Nya. Saya menjadi manusia bohemian, semenjak pemergian Adam.

Sehingga hari ini, saya merenung bumi bukan kerana dimarahi. Tapi saya keliru berhadapan dengan seorang lelaki yang datang mengetuk pintu hati saya. Dia mengingatkan saya pada nisan dan kemboja, pada saat saya hilang jiwa. Katanya, dia berhutang budi dan nyawa dengan saya. Alangkah, cerita yang bagaimana pula harus saya hadapi kali ini. Saya tidak pernah kenal lelaki itu!

“Saya Han, sahabat Adam. Saya suka cara dia menasihati kami, dingin bagai air di kali, meresap terus ke jiwa. Ramai di antara kami tinggalkan dunia rempit, dan kebanyakan mereka jadi orang berguna kepada bangsa.” Seolah-olah dia dapat melihat pertanyaan yang berselirat di dalam minda saya.

“Saya tahu berita kematian Adam melalui laporan surat khabar. Waktu itu saya sedang belajar di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Saya pulang seminggu selepas pemergian arwah, dan sempat melawat pusaranya, juga pondok ilmunya. Buku-buku miliknya, semuanya diwasiatkan kepada saya. Surat wasiat yang Adam poskan kepada saya sampai seminggu selepas saya pulang menziarahi pusaranya, namun alamat wasiat bertarikh empat puluh hari daripada tarikh kematiannya...”

“Kenapa dia mewasiatkan harta bukan miliknya kepada awak. Ke mana Al-Faqir Ilallah?” Saya tidak merungkaikan pertanyaannya, tetapi menambah tanya.

Usai saya bertutur, lelaki di depan saya melepas nafas, seolah-olah dia tidak bernafas sebelumnya. Dia senyum, seperti senyum seorang ayah tatkala usai mendengar kerisauan seorang anak.

“Adam suka menggunakan nama penanya untuk menandatangani buku-bukunya.” Penjelasan ringkas itu menjelaskan bukan hanya satu persoalan.

“Adam banyak bercerita tentang awak. Malangnya awak terlalu jauh, dan kata Adam pula, dia berharap awak memaafkan dia atas apa yang menyebabkan kalian berdua berpisah, dan sering mengharapkan awak menyambung semula tali kasih persahabatan kalian. Dia menunggu kemaafan dari Madinah.”

Saya mendengar cerita Han dalam keadaan membatu, namun fikiran terbang sayup ke saujana langit kenang, lapis berlapis peristiwa. Saya terhempas ke bumi dengan ucapan mohon diri dan salam daripada Han, dan setelah saya tanpa sedar mengucapkan “jumpa lagi.”

Semenjak pertemuan pertama itu, dua patah perkataan terakhir saya kepada Han mengikat silah temu kami kepada siri-siri perbualan lain, namun jarang sekali bertemu. Kami bukan bercerita tentang diri masing-masing, tetapi banyak berbicara seputar Adam, sehingga saya kadangkala cemburu akan keintiman mereka berdua, seolah-olah saya hanya pendengar kepada kisah mereka.

Sehinggalah semalam, saya diserang kerinduan kepada Adam, entah kenapa. Sewaktu Han menyatakan hasratnya untuk menyunting saya, sebagaimana wasiat Adam; saya menangis sepuasnya. Mereka bukan kembar, tetapi saya rasakan mereka berkongsi keperibadian yang sama.

“Saya menerima awak bukan sepenuhnya kerana wasiat Adam, tetapi kerana jiwa saya.” Jelas Han merungkaikan kerisauan saya.

Hari keempat puluh setelah lamarannya, hari ini saya mengutusi Han, dengan jawapan bertinta ke pejabatnya.

“Saya menerima awak bukan kerana wasiat Adam, tetapi kerana saya temui awak di dalam diri Adam.”

Keesokannya, saya menziarahi pusara Adam, buat pertama kalinya.

WANITA, Jun 2010

SEBUTIR MUTIARA, SEGUNUNG KACA

DIA senyum, setelah menamatkan cerita duka. Dan saya masih lagi berfikir-fikir, apakah masih wujud wanita setia, sebagaimana dia? Atau dia seorang lagi wanita yang bakal memuramkan hidup saya, sehingga saya rela digelar teruna daripada beristerikan wanita berjiwa kaca?

“Saya menangis saban ketika hingga kepala berdenyut-denyut dan rasa mahu pecah. Matahari tiada lagi dalam kamus hidup, yang terbit saban hari selepas Subuh itu hanyalah malam, malam dan malam.” Matanya memandang perbukitan yang tampak ilam-ilam di depan kami, bukan ke arah saya.

“Bertahun-tahun dibakar penderitaan, suatu malam saya mengambil satu keputusan – saya menulis dalam diari “confirmed bachelor”. Dan menutup diari itu, selamanya; berjanji, itulah kali terakhir saya mahu menangis.” Kelihatan dia menyapu air mata dengan kura tangan. Saya membatu.

“Sehinggalah suatu hari, tatkala purnama buram di dada malam, saya terasa aliran hangat keluar daripada saluran telinga. Saya tidak peduli, saya fikir mungkin air mata yang sedang mengalir jatuh ke kelopak telinga.” Dia jeda, menarik nafas.

Kemudian dengan suara serak menyambung “namun setelah aliran itu semakin banyak, dan dirasakan puncanya dari dalam telinga, cepat-cepat saya nyalakan lampu kamar. Saya terkedu. Titis darah memerahkan lengan saya yang kebas setelah sekian lama dijadikan bantal.” Dia mengesat hidungnya pula dan meneruskan cerita.

“Baru saya sedar, hati saya sedang menangis rupanya, pecah berderai dan titisnya mencari rongga yang mampu menyalirinya. Pada masa itu hanya Tuhan di jiwa – saya mohon agar Tuhan ambil nyawa saya, atau lahirkan kembali saya tanpa jiwa. Malam kelam, dan bertambah kelam, segalanya hitam. Saya berasa kosong, sekosong-kosongnya.” Dia menamatkan ceritanya, yang saya kira cukup derita buat seorang wanita sebatang kara; tiada tempat bergantung dan bergelandangan pula di kota batu sejak berdekad lalu.

Dan katanya, dia gembira kerana Tuhan telah beri pilihan kedua kepadanya. Masih berjiwa, bukan untuk memahami jiwa manusia, tetapi jiwa yang hanya mampu mengerti jiwa alam.

Mega, wanita tabah yang saya kenali sebulan lalu; bagai pelakon teater malam tersebut. Malam yang menemukan kami di sebuah panggung ketika sama-sama menonton teater “Sebutir Mutiara, Segunung Kaca” hasil tulisan Kartika. Teater arahan rakan saya, mengisahkan perjuangan ibu tunggal yang masih mengekalkan jati diri Melayu di ibu negara, walaupun terpaksa bergelut dengan seribu duga dan goda kota harta.

Penulis skripnya sudah lama arwah, jawab rakan saya sewaktu saya nyatakan hasrat untuk ketemu penulis skripnya. “Ini skrip pertama dan terakhirnya.” Tambahnya lagi.

Sengaja saya memenuhi undangan rakan saya setelah penat mencipta lagu dan menulis lirik semenjak pagi. Apatah lagi karya saya hari ini bagaikan gulai tidak bergaram. Tidak berjiwa. Kecewa dengan keadaan, saya meninggalkan studio dan bergegas menaiki LRT ke kotaraya.

“Kamu percaya akan takdir, Az?” Perempuan itu menyentakkan lamun saya. Seorang pelakon wanita yang sedang disepak terajang oleh seorang lelaki, dan seorang bayi dipijak-henyak oleh seorang pemuda sedang beraksi di pentas. Barulah saya sedar saya sedang menonton teater. Pandangan saya berkalih pada Mega di kerusi sebelah. Dalam cahaya samar, saya lihat kerut keningnya dan kemudian, dia mengeleng-geleng kepada saya.

“Adakah kamu percaya bahawa setiap kesengsaraan itu ditakdirkan kepada seseorang?” Dia tertumpu ke pentas sebaik menuturkan itu.

"Apa yang berlaku kepada mereka itu adalah ujian, namun perlukan usaha dan tindakan untuk melepasi ujian itu. Tetapi, ramai juga yang salah faham erti takdir, bukankah wanita itu sudah tahu bakal suaminya itu jenis perengus, kasar dan tidak berhati perut, masih juga mahu dipilih sebagai suami!” Saya merujuk jawapan kepada adegan di pentas. Sungguh saya geram dengan skrip yang dituturkan wanita yang sedang ditendang itu.

Sewaktu keluar dari panggung, saya sempat minta nombor telefonnya. Dia mencatat sesuatu pada sampul surat putih dengan pen yang dihulur oleh perempuan hampir seabad usianya, saya kira, di sisinya.

“Ini untuk awak, sebagai tanda pertemuan kita andai kita tak lagi bertemu.” Dia pun minta diri, dan berjalan ke seberang bangunan.

Saya menatap tulisan bertinta biru pada lembaran kertas rona kapas. Tulisan kemas dan rapi, senggeng ke kanan, berkait antara huruf-hurufnya. Pasti Mega wanita yang bukan mudah untuk difahami. Itu yang terlintas di benak saya.

Tajuk sajak terlakar “Lelaki Dengan Sekarung Kata” saya nikmati dalam lekit udara setelah kesejukan penghawa dingin panggung beransur hilang dari kulit.

Ah, saya harus ketemu Mega! Lantas saya menghubunginya. Tiada jawapan. Seminggu saya berusaha menelefonnya. Kalau tidak hormatkan prinsip berkarya, ingin saja saya menggubah terus lagu dari sajak ini tanpa makluman kepada Mega. Dan memakai nama Azka Zihni sebagai penulis liriknya.

Suatu hari, Mega tercegat di depan pintu pejabat saya, masih berteman perempuan seabad usia itu. Perempuan yang tidak pernah saya dengar suaranya.

“Bukan susah mahu cari pejabat seorang komposer kepada syarikat rakaman yang terkenal.” Dia menjelaskan, seolah-olah otak saya ini telus pandang.

“Bagaimana kamu  tahu saya sedang menanti dan berhajat pada kehadiran kamu?’ Saya rasa seolah-olah Mega dapat “membaca” naluri saya.

“Dengan jiwa!” Pantas dia menyampuk.

Saya terangkan hajat saya. Keizinan yang diberikan Mega membuatkan saya sedikit terkejut. Seumpama telah lama dia mengharapkan sajaknya itu dijadikan lirik lagu, hanya dengan sedikit syarat “hanya lelaki yang menyanyikannya”. Dia senyum sewaktu saya memberi janji. Kerana kegembiraan, saya menahan mereka berdua untuk menemani saya di pejabat, dan seterusnya ke kawasan perbukitan. Berkat kehadiran mereka, karya saya siap sebelum Asar. Dan dua wanita itu jadi saksi kepada kerja seni saya.

Bayu hampir senja membelai bunga lalang kawasan perbukitan mewah itu. Tempat saya mendengar cerita Mega buat kali pertama, pada pertemuan kedua. Dan perempuan seabad usia itu sebagaimana waktu sebelumnya, tetap membisu.

Mega pada mulanya enggan berkisah kepada saya, namun selepas dia melihat perempuan seabad usia itu memandang sayu kepadanya, dia pun merenung mata saya; dan berkisah. Walaupun kisah antara dia dan lelaki yang disebutkannya itu tidak diceritakan secara terperinci, saya dapat menebak bahawa lelaki itu sudah pergi dari hidupnya. Saya cuba menghubungkan sajaknya dengan cerita yang diringkaskan kepada saya itu.

“Hati-hati menebar jala kata. Jangan sampai ia koyak tatkala kau sangat-sangat memerlukan suatu masa nanti.” Dia ketawa, kelihatan seperti berseloroh.

“Penggubah lagu yang kehilangan kata?” Saya ketawa. Tidak tahu maksudnya, sebenarnya.

Semenjak pertemuan kedua itu, saya sibuk dengan urusan keluarga di kampung. Saya cuba menghubungi Mega namun sepertimana sebelum ini; gagal. Ah, terdera sungguh saya.

Saya sengaja lewat ke pejabat. Selalunya beginilah jika berlamaan di kampung. Sewaktu tiba di depan pintu, saya lihat Mega terpacak di situ, perempuan seabad usia terlena di sofa pada suatu sudut. Tentu sudah lama mereka menunggu.

"Saya ada hajat besar ketemu kamu.” Ujarnya lembut. Dia menghulurkan sekeping sampul surat putih sebelum saya sempat bertanya akan hajatnya, dan meminta izin untuk pergi.

Saya membuka sampul surat nipis itu. Hanya sekeping nota tertulis alamat sebuah rumah. Jauhnya Mega menghuni.

Saya memilih hari cuti untuk ke sana. Sengaja tidak menelefon, kerana saya yakin ia tidak berjawab. Biar Mega pula yang tertunggu-tunggu telefon dari saya. Biar dia rasa bagaimana peritnya saya menanti; merindu sebenarnya!

Rumah kampung tepi jeram yang agak tersohor itu tampak sepi dan terbiar. Pintu terkunci dari dalam. Saya memberi salam kali ketiga, apabila kepala perempuan hampir seabad yang selalu menemani Mega itu terjongol ke luar jendela. Dan terdengar selak pintu ditarik.

Dia mengisyaratkan saya supaya mendaki tangga kayu bulat, dan mengarahkan dengan ibu jari ke sebuah kerusi jati. Dia tanpa sapa, terus ke dapur. Saya memanfaatkan ruang itu untuk menjelajah seluruh ruang; dengan mata.

Sekeping gambar dalam bingkai kayu seraya tergantung di sudut kanan dinding. Seorang wanita dan seorang lelaki dalam usia 20-an. Gambar hitam putih itu pada telahan saya diambil sekitar tahun 70-an. Di antara mereka berdua, seorang wanita separuh abad, bersanggul matterhorn menguntum senyum.

“Di kanan itu Mega Kartika semasa muda, lelaki itu kekasihnya yang diceritakan pada kau tempohari, masa kita ambil angin di perbukitan.” Jika jantung saya berada di luar badan, sudah tentu ia terloncat ke tikar mengkuang rumah itu. Saya terlopong, mati-mati saya ingat perempuan seabad usia itu pekak bisu! Dan, tiba-tiba saya teringat rakan pengarah itu.

“Di tengah itu makcik.” Dia senyum, sebagaimana selalu.

“Kamu mahu ke kubur arwah?” Dia meletakkan dulang minuman di hadapan saya. Saya tertinjau-tinjau ke ruang dapur, masih menunggu kehadiran Mega; mengesahkan sesuatu.

“Kamu tunggu siapa lagi, ayuhlah kita pergi!” Ajak perempuan seabad usia itu, gagah suaranya.

“Mega tak mahu ikut?” Saya sedikit terkilan. Perempuan seabad usia itu nampak terkejut. Dia menangis tiba-tiba dan meraung kemudiannya.

“Kan aku dah cakap Mega tak ada, tak ada, tak ada. Dia dah meninggal setahun lalu.” Dia tersedu-sedu, mengusap-usap dada. Kemudian meluru ke dinding, menanggalkan frem dari dinding dan meletakkan ke riba saya.

“Itu lelaki, anak makcik. Mati disantau peminat. Lain kali jangan tulis lirik ada nama perempuan. Lirik itu bukan hanya kata, lirik itu ada jiwa.” Dia meraung lagi.

“Itu... itu Mega Kartika. Dia selamatkan Halimah yang cuba bunuh diri dalam jeram. Lain kali jangan cuba selamatkan orang kalau kita tak tahu berenang.” Dia mengusap gambar perempuan di kirinya.

“Mulianya hati kau, nak. Sanggup kau gadaikan nyawa selamatkan orang yang bunuh kekasih kau.” Dia tersedu-sedan.

Saya terlontar ke liang lahad yang paling dalam, gelap gelita. Rasa terselam ke dalam sebaldi air, kemudian dibawa mendaki langit pada sebuah malam tanpa sekilas cahaya, dan akhirnya dihunjam ke kerak bumi.

“Huhu, makcik nak tinggal dengan siapa?” Perempuan seabad usia merintih.

Saya yang terbungkam melihat teater yang saya sendiri salah seorang pelakonnya terujar kata, “dengan saya, makcik.”

Saya renung gambar Mega yang sedih, bertukar ceria. Saya merenung perempuan seabad usia, hilang kata.

URTV, 15.04.2010

Saturday, December 13, 2008

APABILA ALAM BERBICARA

.
GEMURUH bunyi bagai larian kuda Iltschie dan Hatatitla yang dibesarkan di kandang suku Apache Mescalero. Ia menyerbu pantas, menerbangkan debu dan menerbitkan api, menembus ke tengah-tengah warga di kondominium tiga blok, Taman Hillview, Hulu Kelang.

Inilah harinya. Manusia bagai kupu-kupu bertebaran, harta benda bagai bulu yang dihembus. Empat puluh lapan jasad kandas meloloskan diri, akhirnya terpaksa mencium lahad atas dua nama; qadar mubram, dan muallaq yang dipersia. Lima belas tahun lalu.

Semenjak tragedi runtuhan yang pertama dan terburuk dalam sejarah Malaysia merdeka yang membentuk igauan ngeri berlaku, saya tidak lagi mempunyai nama lengkap. Ia sirna dalam tanah merah yang meluncur laju dari cerun bukit, membawa bersamanya pohon-pohon agam menghijau. Berpalut dengan batu-batuan, bahagian kenderaan yang musnah dan bangunan yang sujud.

Nama itu hanyut oleh derasnya air yang terjun dari puncak bukit, sekelip mata menukar warna alam kepada rona nestapa. Dan sepatah nama saya bersemadi di suatu sudut bumi; bersama darah, air mata, pekik lolong dan jerit tangis yang bersipongang, dan sekujur jasad yang saya berikan hak memanggil kembaran nama yang tidak pernah saya izin orang lain menyebutnya.

Dua

“MAAF terpaksa menyekat encik. Sebagai penghuni di sini, bila encik sedar kejadian ini bermula?” Saya berhenti menapak, membatu di depannya. Wartawan lokasi dari sebuah stesen televisyen tempatan menyua mikrofon.

“Dinihari, tepatnya saya tidak pasti. Saya pelawat, singgah seminggu di sini.” Wartawan muda yang kelihatan kurang terurus itu mengelak daripada sebuah van penyelamat yang hampir menyondol rusuknya.

“Apa perasaan encik menjadi salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh ini, ya lah… menjelang raya pula?” Pertanyaan itu gagal menyentuh minat saya.

“Saya datang bercuti ke sini untuk membuktikan kepada warga negara tercinta bahawa alam pun punya suara. Kajian saya tentang kejadian lima belas tahun lalu membuktikannya. Awak masih ingat insiden Highland Towers?” Jawapan yang jauh menyimpang, mempalitkan kerut di dahinya.

“Maaf, saya terpaksa minta diri. Ada janji temu.” Saya mula menapak.

Ada resah terpamer pada wajahnya. Tercungap-cungap meraih kata, mata tunak memandang video rakaman. Suara tidak juga keluar. Saya menyambung tapakan, semakin laju dan menjauh dari lokasi kejadian.

“Prof, prof!” Suara itu sayup-sayup. Saya tidak peduli. Minda saya terisi kenangan Highland Towers.

“Profesor Alam!” Saya hentikan langkah. Memusing badan ke belakang. Wartawan tadi termengah-mengah berlari ke arah saya.

“Maaf, penerbit suruh saya minta nombor telefon Prof.” Kelihatan dia amat berharap.

“Satu lagi, apa komen Prof. tentang kejadian tadi. Apa faktor berlakunya fenomena alam ini, harap Prof. dapat ulas sedikit?” Saya tidak hairan sumber dia mendapat nama saya, tetapi saya sungguh ingin tahu siapa gerangan penerbit Warta Tengahari itu.

“Ia merupakan ekspresi alam. Rajuk alam. Berdasarkan kajian, hujan lebat, pergerakan tanah, bentuk serta struktur tanah dan takungan air di permukaan cerun tidak stabil adalah punca tanah runtuh berlaku.” Saya tidak menyalahkan wartawan itu atas diksi yang digunakan untuk merujuk tragedi ini. Takdir sentiasa menjadi pujukan kepada kebanyakan manusia setiap kali ditimpa bala.

“Jadi Prof...”

Soalannya dapat saya teka dan terus menjawab “bermula Disember 1985, sudah 10 kejadian berlaku di kawasan Bukit Antarabangsa. Saya tidak fikir ia kebetulan. Kajian saya selama ini menyangkal kenyataan ia adalah fenomena alam, sebaliknya natijah mencintai kekayaan dengan kecintaan yang luar biasa.”

“Tanyalah pada alam, fahamilah ia dengan jiwa. Pasti kita berjaya memujuknya. ” Saya jemu mengulas isu sama setiap kali tragedi serupa berlaku, berpuluh tahun lalu sehinggalah saya pencen dari sebuah menara gading.

Sebelum berlalu, saya sempat bertanya nama penerbit pada wartawan itu. Jawapannya mendetakkan debar. Dejavu bertandang.

Tiga

KAMI sama-sama menjalankan kajian tentang kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku di seluruh dunia. Merangka langkah terbaik untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar memandangkan kejadian berulang ini tidak diambil iktibar penghuni bumi. Satu demi satu kecelakaan mengisi takwim dunia. Tiga siri kejadian di Bukit Antarabangsa sebelum ini belum cukup memanusiakan manusia.

Saya masih ingat, kajian itu mengambil latar masa hujung tahun 1992. Kami menghuni kondominium Highland Towers. Didanai organisasi bukan kerajaan, dianggotai oleh aktivis alam sekitar. Sengaja kami pilih kawasan ini untuk memudahkan urusan kajian, dan berbicara sedekat-dekatnya dengan alam lereng bukit. Kami mahu mengkajinya dengan jiwa.

Usaha inilah mempertemukan saya dengan gadis itu. Dia adalah segaris cahaya dalam zulmat malam. Saya hampir tewas kepada hujahan bahawa siri kejadian berlaku adalah takdir Tuhan, malapetaka atau ujian buat manusia.

“Maaf, saya tidak bersetuju dengan pendapat anda. Jangan sewenangnya melibatkan takdir dalam kegagalan urusan mentadbir alam. Anda mahu kata Tuhan itu zalim. Anda mahu cakap manusia itu didera oleh tangan yang tidak nampak, begitu?” Peluru pertanyaan bertaburan dari mulut Ros, menghala tepat ke tempurung akal.

Saya terpempan, kemudian digerak hujah berbaki membalas “bukankah takdir manusia itu di tangan Tuhan? Hey, anda tidak percaya kudrat Tuhan?”

Ros ketawa, beranak pinak. Saya mengesan itu setiap kali hujah saya tidak dipersetujuinya. Dan di hujung tawa, dia selalu menyarankan “kita bincang lain kali, setuju?” Dan lazimnya saya akur, kerana saya tahu apabila Ros ketawa begitu, itu tanda dia sedang menewaskan marah.

“Terapi. Untuk hilangkan tekanan dan redakan kemarahan.” Alasan itu saya terima dan saya pun turut mempraktikkan. Semenjak itu, tekanan darah saya mula normal.

Hampir setahun berjiran di blok sama, akhirnya kajian kami berjaya ke proses penerbitan. Saya ditugaskan menguruskan hal percetakan, Ros menguruskan kerja-kerja promosi.

Saya masih ingat hari itu, awal pagi 11 Disember 1993. Saya menyelitkan sekeping nota bertinta biru laut di bawah pintu pangsapuri Ros, Saya ke kilang cetak. Jumpa awak malam nanti.

Dan kali ini saya memilih untuk menandatangani, tidak menulis nama seperti lazimnya di bawah perkataan “Yang Sama-Sama Menjalankan Tugas”. Namun saya pasti Ros dapat mengeja aksara jawi itu.

Sengaja dia tidak dikejutkan dengan khidmat pesanan ringkas kerana saya ingin memberi peluang rehat kepadanya setelah berjaga hingga dinihari semalam.

Sewaktu keluar dari kilang cetak, renyai mula turun. Saya bergegas ke kereta, bimbang lewat untuk pertemuan malam nanti. Saya yakin Ros sengaja tidak menghubungi saya kerana waktu perjumpaan telah ditetapkan melalui nota.

Saya sampai di kawasan Highland Towers lewat petang. Imej Ros yang terpapar dalam benak pecah berderai oleh gegak gempita tangisan dan raung manusia yang memenuhi sekitar kondominium tiga blok itu. Satu blok sujud ke bumi, bagai kuih lapis dipotong rentas.

Saya melihat matahari digulung dan bintang-bintang jatuh bertaburan. Saya melihat gunung-gunung telah dihilangkan dan unta-unta betina yang sedang mengandung ditinggalkan. Saya lihat lautan bergelombang besar menelan blok pangsapuri yang kami huni, membawa Ros pergi. Manuskrip “Nafas Bumi” usahasama kami menimpa kaki.

Empat

SEJAM berurusan di kilang cetak dan singgah di pejabat sebentar bagi memaklumkan pengurus yang saya akan bercuti sehingga tahun depan., saya kembali ke Bukit Antarabangsa.

Usaha menyelamat masih giat dijalankan. Persekitaran Taman Bukit Mewah bertukar bentuk topografi kini tersenarai dalam sejarah malapetaka dunia.

“Tahun depan Prof., lamanya!” Saya senyum teringat komen pengurus tengahari tadi.

“Tahun depan tak sampai sebulan lagi. Minta bahagian promosi iklankan buku tersebut segera. Jangan sampai tahun depan pula.” Pengurus yang amanah dan jujur itu tersengih-sengih mendengar jawapan saya kepada pertanyaan tanpa tanda soal.

Perasmian buku “Apabila Bumi Berbicara” akan dirasmikan di tapak runtuhan Highland Towers yang tidak lagi didiami dan telah ditumbuhi semak samun, menjadi mangsa sasaran laku musnah.

Sengaja saya pilih lokasi dan tanggal berdarah itu bagi mengingatkan pembaca bahawa alam juga mempunyai jiwa dan nyawa, punyai rajuk tersendiri. Dan rajuknya itu berupa peristiwa yang serupa berlaku di Highland Towers dan Taman Bukit Mewah ini. Hanya latar waktu yang berbeza.

“Kerana alam di mana-mana pun jua berkongsi rasa dan jiwa yang satu. Menanggung citra manusia yang sama walau tidak serupa.” Ujaran Ros sedekad lebih lalu bertandang di relung ingatan. Sewaktu kami menyimpulkan punca kejadian yang berlaku di serata marcapada.

Setiba di kediaman sahabat yang saya tumpangi itu, saya terus mengajaknya tinggal bersama saya pula. Saya percaya kawasan itu masih bahaya untuk dihuni, dan saya tidak mahu kehilangan sahabat yang banyak membantu saya bangun semula mengejar cita-cita sebagai pakar geologi negara setelah terseradung batang wali dan jadam kehidupan selepas pemergian Ros.

Telefon genggam saya berbunyi. “Saya dapat nombor Prof. daripada wartawan lokasi kami. Saya ingin menemui Prof. Sangat-sangat. Ada hal yang ingin dibincangkan.” Suara halus itu meluncur laju, menjelaskan secara rinci sumber maklumat yang dapat saya teka.

Getar suara mengembalikan nostalgia kepada Ros. Suara yang sama, insan berbeza. Saya teruja walaupun amat letih, fizikal dan emosi. Kami janji bertemu di sebuah rendezvous sekitar Ampang, tempat yang selalu saya kunjungi dengan Ros. Lima belas tahun dulu. Dan saya memilihnya hari ini, buat kali pertama setelah meminggirkannya selama waktu itu.

Saya memilih meja berhampiran pagar kayu yang sekelilingnya ditumbuhi bunga-bunga putih. Agar senang saya mencari wanita bertudung ungu, berbaju rona bunga kapas.

Dari kejauhan kelihatan wanita berpakaian serba putih beriringan seorang jejaka mendekati meja saya.

“Saya Maryam Qistina. Ini saya kenalkan, Umar Mukhtar.” Saya menyambut huluran tangan lelaki itu, tanpa genggaman kerana seluruh badan saya dihipnotis tenungan mata wanita di sisi. Penerbit Warta Tengahari TV4 itu mengundang nostalgia.

“Ros!” Mereka duduk selepas melihat saya duduk, yang sebenarnya terhenyak ke kerusi.

“Apa dia, Prof.?” Umar Mukhtar sempat menangkap nama yang terpacul. Maryam Qistina merenung saya, tepat ke hati.

“Kami ingin menemui Prof. atas dua perkara. Urusan perniagaan dan peribadi.” Lelaki itu memulakan, seakan tahu pertanyaannya tidak akan berjawab.

“Saya mewakili sebuah badan bukan kerajaan yang terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar. Kami berhasrat mewujudkan hubungan sinergi bagi mencapai cita-cita bersama menyedarkan masyarakat tentang kepentingan mematuhi hukum dan sistem alam.” Umar Mukhtar cermat berbicara.

“Kenapa memilih saya?” Saya berjaya mengheret titik fokus ke alam sedar.

“Prinsip syarikat Prof. menepati visi dan misi pertubuhan kami. Kami sangat berharap Prof. bersetuju. Nanti saya kenalkan ahli jawatankuasa lain. Malam ini hanya pendahuluan hasrat kami.” Saya mengangguk kepada Umar Muhktar setelah dia selesai bertutur. Bola mata ke arah Maryam Qistina.

“Keduanya, saya telah lama cari Prof. Untuk ini.” Wanita itu menghulurkan sebuah diari kusam kepada saya. Tertera di kulitnya tulisan bercetak perak “Maryam Isabella.”

“Kita berpisah dulu. Kami berjanji dengan ayah untuk menziarahi keluarga sahabatnya, mangsa tragedi Taman Bukit Mewah.” Ada penjelasan dalam kenyataan Umar Mukhtar. Saya ditinggalkan dengan sebuah diari bertinta biru laut.

Saya belek muka pertamanya. Beberapa baris ayat mengisi ruang diari tanggal 1 Januari 1993. Tulisan condong ke kanan itu memaparkan - Hari ini seluruh dunia menyambut tahun baru, sebenarnya mereka menyambut hari lahir saya.
Saya terkedu, menarik nafas dalam-dalam.

Terima kasih atas nama yang awak berikan. Saya menghargainya, sangat-sangat. Hadiah paling istimewa pernah saya terima sempena hari lahir.

Saya membelek lagi.

Minggu depan, Nafas Bumi akan jadi kenyataan. Noktah.

Ros! Saya membelek dengan laju, mencari tarikh 11 Disember sewaktu telefon genggam mengalunkan lagu “Berita Kepada Kawan”.

“Alam bagai mengerti segala yang terjadi. Apabila Subuh bernafas, dan bumi mengitari matahari pada paksinya. Dan apabila sistem alam diingkari, bala bencana menghadirkan diri. Bumi terlalu tua untuk menanggung beban keserakahan manusia, Jiwa.” Lancar suara dari dalam talian menerpa gegendang. Tiada sepatah perkataan ditambah atau dikurangkan sebagaimana tercatat dalam diari yang sedang ditatap.

“Saya yakin nama Jiwa dan Alam itu dimiliki jasad yang sama.” Jantung saya semakin laju degupnya.

“Saya dan Umar cuba menjejak Prof. selesai upacara pengkebumian kembar saya, tapi tiada petanda dalam diarinya tentang Prof, kecuali dua patah nama.” Pernyataan itu cukup untuk menjelaskan seribu tanya yang bersarang dalam minda saya. Begitulah Ros yang perahsia.

“Ayah bonda kami kebetulan menziarahi kakak dua jam sebelum kejadian. Mereka bawa sepasang baju putih seperti yang diminta. Kak Bella bercadang mahu pakai untuk majlis perasmian bukunya. Diari tersebut sempat dikirim kepada saya melalui ayah.” Saya sebak mendengar esakan wanita berjarak umur lima belas tahun dengan saya itu.

“Kita jumpa 11 Disember ini. Saya jemput awak dan Umar ke majlis perasmian buku terbaru terbitan syarikat kami, sekaligus perasmian kerjasama syarikat saya dan pertubuhan Umar, setuju?” Saya selitkan nada ceria, sedang jiwa saya sendiri bertubi-tubi ditusuk belati peristiwa lalu.

Dan pada pagi yang ceria, Maryam Qistina serta Umar Mukhtar menerpa saya. “Sebelum perasmian, kami wajibkan Prof. mengesahkan, Jiwa itu nama milik Prof., bukan? Itu paksaan, kalau tidak saya merajuk.” Maryam Qistina tunak merenung iris.

“Dan sebagai balasan, awak wajar jelaskan bagaimana awak dapat mengecam saya.” Saya berjual beli kisah dengannya.

“Dengan jiwa.” Lirih suaranya.

Jawapannya memanah jiwa saya. Perlahan saya hulur sebuah buku terbitan tahun 1993 berkulit putih, dilatari Banjaran Titiwangsa disepuh nafas Subuh.

Saya lihat Maryam Qistina mengusap-usap nama “Maryam Isabella” yang bercop perak, sedikit tersentak melereti nama yang bergandingan dengannya; kemudian mengangkat pandang ke arah saya lalu menyebut “Jiwa Alam?”

Dan pagi ini saya mendapat nama saya kembali.

Kamar Rindu, Padang Embun
9 Zulhijjah 1429H / Disember 7, 2008
(malam: 8.00 - pagi: 3.30)
.
Mingguan Malaysia, Disember 14, 2008

Thursday, September 25, 2008

PELANGI BERJALUR LIMA

DIA sedang membelek buku setebal setengah inci berkulit keras bukti cintanya itu. Gambar pelangi berjalur lima yang terhias pada kulit buku tersebut ditatap dengan sinaran mata yang kelihatan penuh kekecewaan. Sambil memanggung kepala, tangannya menyusupkan kancing ke lubang baju bulu yang tidak terlalu tebal.

Di luar, kedengaran hujan dan ombak membentur karang dan tebing yang menjulang. Angin dan badai menampar bunga-bunga pagar di halaman. Rumah kayu yang sederhana besar terletak kira-kira seperempat kilometer dari deruan ombak Laut China Selatan itu menyaksikan resahnya.

Aksara-aksara Jawi yang membentuk perkataan “Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi” menjadi tajuk buku tersebut tunak direnung lagi. Dia senyum kecil melirik namanya tertera di bahagian bawah gambar pelangi berjalur lima, seminit kemudian membuang pandangan ke tengah ombak yang membadai dan melepaskan keluhan kecil.

Kelihatannya dia sudah menghabiskan beberapa dekad untuk membukukan kaedah mudah mempelajari teknik menguasai tulisan dan membaca Jawi dengan cepat dan berkesan yang kini telah terhasil sebagai sebuah buku dalam genggamannya. Dan dari keluhannya tadi, terfikir seolah-olah lebih mudah baginya untuk mencapai bintang di langit daripada memindahkan kaedah-kaedah yang terjana dalam dua kepal otaknya ke dalam buku yang menjadi magnum opusnya itu.

Namun demi cintanya - sebagaimana yang tercatat dalam pendahuluan buku hasil penyelidikannya yang mengambil masa dua puluh lima tahun itu, dia sanggup menyumbat telinganya dengan gabus ketidakpedulian terhadap umpatan dan cercaan rakan sebangsa, juga tegar menutup matanya dengan perisai kecekalan bagi menepis setiap kerlingan dan jelingan dari masyarakat berlainan bangsa. Dia sanggup menghadapi semua itu demi cintanya!

Dia berumur dua puluh dua tahun sewaktu kalbunya tertawan oleh cinta. Cinta yang telah membuatkan dia kelu untuk bertutur bahasanya sendiri dan cinta yang telah membuatkan dia kekok untuk menulis sesuatu dengan aksara bahasa ibunda. Dan semenjak dia diamuk edan kasmaran pada kecintaannya itu, saban hari dia mempelajari bahasa dan tulisan asal bahasanya itu.

Dia tidak segan dan silu jika terpaksa bertanya pada rakan berlainan bangsa yang mengerti akan hasrat murninya, lebih-lebih lagi terpaksa berhadapan dengan sentimen agama sewaktu dia mendampingi beberapa tokoh ulama negeri sepanjang penyelidikannya ini. Dia hampir kebal dengan pelbagai onak dan duri yang dilemparkan atas laluan perjalanannya mengejar cinta yang hampir sirna dalam jiwa nurani bangsa pemilik geliga permata cinta pujaannya.

Dia yang berhijrah dari bumi paksina ke tanah masyhrik ini hampir tiga dekad yang lalu kerana tugas, telah terpanah cinta pada bahasa dan larikan tulisan yang seterusnya menjadi tumpuan rutin hidupnya yang kedua seusai melaksanakan beban tugas sebagai Pembantu Penerangan Kanan di Cawangan Perancangan dan Penyelidikan di Jabatan Penerangan Kelantan.

Dan semenjak kalbunya tertusuk bisa cinta itulah dia berikrar pada diri sendiri untuk menjadi lelaki pertama yang mewakili bangsanya bagi mengembalikan kegemilangan dan kemasyhuran bahasa dan tulisan itu - dengan menghasilkan sebuah buku rujukan bagi generasi kini dan mendatang agar bahasa dan tulisan yang pernah gah suatu zaman dahulu tidak terus dihina oleh negara atau diinjak oleh bangsa pemiliknya.

Dan setiap kali dia hampir tewas dalam perjuangannya, segera diingatkan pada dirinya akan kata-kata Imam Syaukani, “Sebahagian ulama menasihatiku; janganlah engkau berhenti menulis dan mengarang sekalipun dalam sehari kamu hanya dapat menulis dua baris sahaja. Aku telah berpegang dengan nasihat itu dan aku telah dapat buah hasilnya." Benarlah kata-kata itu, berkat ketabahan menempuhi pelbagai rintangan dia berjaya menghasilkan buku yang menuntut separuh usianya itu.

Dia berkasad dalam hati “takkan Melayu hilang di dunia”. Biarlah dia dianggap penderhaka oleh rakan sebangsa atau dicop pengkhianat oleh persatuan bangsanya di negeri ini tetapi niatnya ikhlas untuk melihat bangsa yang pernah agung dan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia itu terus lestari dalam arus globalisasi.

Dia hanya ingin membela bahasa yang dulunya menjadi bahasa ilmu yang banyak menyumbang kepada ketamadunan dan peradaban dunia melalui ilmu-ilmu yang tidak pernah luput padam dalam dada para ilmuan yang banyak membantu bangsanya di tanah besar membangunkan tamadun dengan sumber ilmu dalam pelbagai bidang. Dia percaya serta yakin akan kemampuan bahasa ini sebagai bahasa penyebaran ilmu dan kedudukannya sebagai lingua franca di rantau Asia seawal tahun 1688.

“Sudah pelatkah lidah kau untuk berbahasa Hokkien sehinggakan saban hari kau mengasah lidahmu dengan bahasa Melayu? Kau sudah lupakah asal usul nenek moyang kita dengan perit derita mereka naik tongkang untuk sampai ke tanah ini?” Ahli jawatankuasa persatuan Tionghua di negerinya itu menghamburkan kemarahan yang nampaknya telah lama terbekam.

“Aku tidak pernah lupa bangsa kita. Aku tidak juga pelat untuk bertutur Hokkien atau Mandarin atau Kantonis. Malah aku sentiasa ingat bagaimana tabahnya jiwa Pendeta I Tsing yang ingin mempelajari agama Buddha yang menuntut di Sriwijaya serta sanggup mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan itu. Jika beliau sanggup meruntuhkan egonya belajar bahasa asing, siapalah aku untuk menolak peluang ini semata-semata kerana menurut egoku, bimbang disalah tafsirkan oleh rakan-rakan dan bangsa?”

Angin di luar rumah kayu berlantaikan cengal bervarnis merah kecoklatan masih lagi menampar-nampar bunga-bunga putih di halaman. Rimbunan melur di jihat kanan pagar terliuk ke satu arah. Deruman ombak sekejap datang dan kemudian pergi, mengheret gulungan serupa tikar mengkuang anyaman ke sisir pantai. Ombak datang dan pergi, begitu juga sejarah akan berulang kembali.

Dia meletakkan buku dalam dakapannya di atas meja kopi. Mengusap-usap rambut ikal berwarna hitam kopi separas bahu yang sesekali ditiup angin dari pantai, dan melurut janggutnya yang sejemput. Gambar pelangi berjalur lima ditatap lagi, kemudian menyandar ke kerusi. Kelihatan ada pedih dalam wajahnya setiap kali menatap jalur-jalur pelangi yang kehilangan dua warna itu.

“Nenek harap kau kirimkanlah buku-buku tentang tenunan songket atau lukisan batik dari sana. Yang mudah sahaja olahannya. Nenek masih kurang mahir membaca tulisan berbahasa Melayu, bercakap pelat sedikit sahaja.”

Senyuman nenek sering bertandang dalam ingatan. Bau melur berkembang di halaman rumah sesekali menusuk deria dan bersatu dalam minda dengan aroma melur di perkarangan rumah nenek. Dia ketawa kecil mengingatkan nyanyian nenek sewaktu menyiram pohon melur di tepi rumah. Walaupun sedikit pelat, nenek tetap ingin membuktikan kelebihannya yang pandai menyanyi irama Melayu asli.

Neneknya pasti menyanyikan sebuah dua lagu irama Melayu asli setiap kali dia berkunjung ke rumah nenek di Beijing sebagaimana dia tidak pernah lupa bertanya usaha penyelidikan cucunya yang yatim piatu sejak berumur sebelas tahun itu. Dan dia pula akan sentiasa mengorek cerita-cerita lama yang penuh duka lara daripada neneknya tentang kematian kedua ibubapanya. Mereka berdua akan bertukar-tukar cerita setiap kali dia pulang menjenguk nenek di tanah besar.

“Ayah dan ibumu menjadi mangsa sengketa perkauman, sedangkan mereka berdua tidak pernah ada sekelumit rasa kebencian pun dalam hati terhadap mana-mana kaum. Namun bila tuhan datangkan sesuatu bala, semua orang akan terkena, termasuklah mereka.” Nenek membuka cerita pada suatu musim dingin.

“Seorang ekstrimis kaum Tionghua merodok perut ibu dan bapamu sewaktu pulang dari membeli surat khabar di Bangsar pada pagi berdarah yang tercatat dalam sejarah Malaysia. Apabila nenek diberitakan hal tersebut, nenek tidak berani keluar kerana keadaan huru-hara memungkinkan apa-apa sahaja untuk sesiapa jua. Mayat kedua ibu bapamu dihantar ke rumah nenek oleh pihak berkuasa lewat petang pada hari tersebut. Kau masih ingat lagi, kan?” Nenek membuang pandang pada sekawan burung yang terbang dalam bentuk huruf V ke arah daksina.

“Saya tidak lupa gambaran kedua jasad ibu dan ayah yang penuh darah. Dan yang paling kekal dalam ingatan saya ialah naskhah surat khabar jawi yang masih dalam genggaman ayah.” Ada genang dalam matanya.

“Bila melihat wajahmu yang mirip bapamu itu, nenek bimbang perkara sama akan berulang padamu. Engkau mungkin tidak tahu bahana sentimen perkauman pada waktu itu. Bapamu dibunuh kerana dia disangkakan orang Melayu. Jarang terdapat orang Cina berambut ikal dan berjambang sepertinya.”

Dia masih ingat, selepas peristiwa berdarah tersebut, nenek mengharamkan dirinya dari memijak bumi penuh adat resam ini. Dia tidak dapat melawan rasa kedukaan yang memanah jiwanya, dan nekad untuk pulang ke tanah besar. Apatah lagi mengingatkan suami yang terkorban sewaktu pendudukan Jepun di tanah Malaya.

Dia ditinggalkan pada seorang jiran Melayu yang telah dianggap keluarga sendiri oleh nenek. Dan semenjak itu, dia hanya menerima beberapa pucuk surat sebagai ganti diri nenek yang jauh beribu batu. Tidak lama kemudian jirannya itu pulang ke kampung halamannya di paksina. Dan dia pun terpaksa menyambung persekolahannya di negeri jelapang padi itu, sehinggalah akhirnya berjaya masuk ke menara gading, kemudian berkerjaya. Dengan gaji yang dikumpulkan pada tahun pertama, dia ke tanah besar berziarah nenek. Sehinggalah sekarang, setiap tahun dia akan ke Beijing menjenguk nenek dan kaum kerabat di sana.

Esok dia akan ke sana lagi. Membawa khabar gembira tentang ciptaannya yang telah dipatenkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 29 Mac lepas, hasil kajiannya yang menagih masa 25 tahun untuk disiapkan. Berbekalkan buku ini, dia ingin memujuk nenek tinggal bersamanya di bumi yang menyaksikan kejayaannya sebagai lelaki Cina pertama mencipta Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi.

Yang lebih penting ialah pada hari pelancaran buku tersebut, dia mahu nenek bercakap sesuatu tentang peristiwa berdarah 13 Mei dan kepentingan bahasa terhadap sesuatu bangsa. Dia mahu ketua persatuan Tionghua dan rakan-rakan yang membangkang usahanya selama ini mendengar sendiri lontaran pengalaman warga tua kaum Tionghua yang pernah hidup di dua negara berlainan bangsa dan agama, namun cintakan bahasa yang indah pada pendengarannya.

“Bahasa yang sinis tetapi menerkam, gaya yang kadang-kala begitu lurus tetapi menikam meletakkan bahasa Melayu sebagai sebuah tamadun pengucapan yang indah dan intelek”. Dia melereti baris-baris kata terakhir dalam pendahuluan bukunya itu. Pasti nenek bersetuju benar dengan kesimpulan seperti itu.

Dia bertekad untuk membawa neneknya pulang. Biar kata-kata sinis yang dihamburkan dalam bahasa penjajah oleh rakan sebangsa mahupun berlainan bangsa terhadap usahanya memperjuangkan bahasa Melayu selama ini dibalas pula dengan pantun budi bahasa dan gurindam oleh nenek. Dia juga akan menyarankan kepada nenek supaya membaca petikan kata-kata Abdullah Munsyi pada tahun 1882 yang juga dimuatkan dalam pendahuluan buku bagi menggambarkan mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri.

“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

Sebuah ketawa kecil terloncat dari mulutnya. “Agak lancang juga buah peri Abdullah Munsyi ini”, gumamnya. Dia bersetuju benar dengan luahan Abdullah itu.

Dia dapat menyelami kekecewaan Abdullah dengan mentaliti bangsa Melayu, apatah lagi bahasa rasmi negara ini telah diperkotak-katikkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Dia bimbang suatu hari nanti bahasa ini mengalami nasib serupa dengan bahasa bangsa Kurdi yang pupus bersama bangsanya yang kian hari terbakar oleh matahari zaman.

Dia segera teringat pada ugutan seorang pemuda Melayu yang terkocoh-kocoh ke rumahnya pada suatu petang panas, sehari selepas dia meletakkan jawatan dari Jabatan Penerangan untuk menumpukan perhatian pada usaha penyelidikannya.

“Lu jangan pandai-pandai mau tunjuk lagak dalam ini negeri. Lu ingat orang Melayu talak pandai tulis Jawi atau cakap Melayu, ka? Lu punya tulisan sudah habis mau belajar, ka? Pemuda Melayu yang sering ke hulu ke hilir tanpa sebarang pekerjaan itu nampaknya sudah lama mengikuti perkembangan usahanya.

“Saya minta maaf, Abang Lan. Saya tidak pernah berniat mahu memandai-mandai atau menjadi juara dalam kampung atau negeri ini. Saya hanya berminat untuk mendalami pembelajaran bahasa dan tulisan kaum abang. Tidak salah jika kita mahir dalam banyak bahasa, bukankah begitu Abang Lan?” Dia menyiram api di mata pemuda itu dengan hujan daripada sinar matanya.

“Bukankah nabi Muhammad juga berpesan agar kita belajar bahasa kaum lain kerana banyak faedah yang boleh kita dapat daripadanya.” Pemuda itu menguis pasir pantai dengan kakinya.

“Saya pun mahu belajar bahasa Melayu dari Abang Lan. Saya dengar Abang Lan pun lancar bercakap Siam. Suatu hari nanti saya pun mahu belajar bahasa Thai, boleh?” Wajah pemuda itu pun meredup. Dia pasti tohmahan daripada mulut pemuda itu bukan sepenuhnya daripada hati, tetapi menyampaikan kata-kata daripada orang lain yang tidak bersetuju dengan usahanya.

“Kalau awak mahu belajar dengan saya, silalah ke rumah bila-bila masa.” Pemuda itu menghulurkan tangan. Dan semenjak hari itu dia menjadi akrab. Abang Lan pula tidak segan bertutur bahasa Hokkien yang sedikit sebanyak telah dipelajarinya.

“Barangsiapa tidak mengetahui bahasa Melayu dari Persia di sebelah Barat hingga ke Filipina di sebelah timur, maka orang itu tidak dianggap berpelajaran.” Kata-kata Francis Valentyne dalam bukunya pada tahun 1726 cukup membuktikan akan kebodohan mereka yang mengagung-agungkan bahasa penjajah sehingga lupa bahasa sendiri.

Ditatapnya lagi kulit buku berjalur pelangi. Pelangi yang kehilangan warna hijau dan biru. Hijau lambang kehidupan dan pengharapan yang mewakili rumput dan tumbuh-tumbuhan; dan biru yang mewakili air dan langit. Air yang menjadi dasar kehidupan, dan langit memberi ruang angkasa, damai dan ketenangan - kedua-dua warna yang telah lama hilang dari hidupnya semenjak kehilangan kedua ibu bapa. Dua warna yang menjadikan dia insan antara biru langit dan hijau bumi.

Dia yakin nenek akan mengikutnya pulang nanti. Dia yakin sumpah nenek untuk tidak menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini bukan muktamad, tetapi lahir dari hati yang kecewa. Dia yakin pelangi hidupnya tidak selamanya berjalur lima. Dia yakin dua warna itu akan bersatu kembali. Dia yakin magnum opusnya ini akan mengubah mentaliti bangsa-bangsa yang berkongsi bendera sama di negara yang dihuninya. Dan dia tidak sabar menantikan hujan di luar sana teduh. Dia kepingin menyaksikan pelangi berjalur tujuh di langit perpaduan.

ROZAIS AL-ANAMY
Padang Embun
Mei 2007
Dewan Budaya, November 2008

Wednesday, September 24, 2008

SAYAP

SAYAP. Ya, sayap itulah. Sepasang kepak daripada pelepah-pelepah cenderawasih, burung kayangan yang hanya minum titisan embun dan meragut awan. Pelepah-pelepah yang disulam dengan jaringan kayu halus. Tempat duduknya daripada kayu zaitun yang tidak tumbuh di maghrib atau di masyrik.

Dia memandang ke biru langit tanpa awan seketul kapas, kelihatan penuh tulus khusyuk berdoa pada Yang Melihat usaha kerdil seorang hamba. “Tuhan, kapalku kecil, samudera angkasa-Mu luas. Izinkanlah aku mengenderai angin-Mu, aku hanya mahu terbang!”

Seiring lafaz Basmalah ternoktah, dia mengenderai pesawat rekaannya itu menuruni sebuah gunung. Penerbangan pendek dari kaki-kaki gunung sekitar itu cukup menumbuhkan syukur yang merendang dalam jiwanya. Betapa luas langit Allah, makhluk hanya sebutir debu yang disergah angin padang pasir.

Berlegar beberapa ketika di udara, dia terkumat-kamit berdoa meminta bantuan Rabbul Jalil untuk menyentuh bumi. Dengan sepasang tangannya, dia mengawal gerakan kepak cara burung untuk merendah ke tanah. Angin keras yang tiba-tiba menyergah menyimpangkan pesawatnya ke arah bukit batu, dan tanpa sempat mengawal kepak-kepaknya, dia telah pun terperosok ke kawasan berbatu-batan di kaki gunung. Dalam kesakitan, dia bertahmid beribu kali sebaik sahaja bahagian belakangnya menjamah bumi berkematu.

Seluruh penduduk Qurtubah mengelilingi kaki gunung menyaksikan demonstrasi usaha yang telah menjadi realiti pada hari tersebut. Kalau dulu mereka dibanggakan oleh terhasilnya jirim kaca daripada gabungan bahan-bahan dari tanah dan batu-batu, juga ditakjubkan oleh rekaan jam mekanikal yang boleh menunjukkan pergerakan bintang, planet dan bulan bergelar al-Muqata, pada hari bersejarah dalam tahun 875 Masihi ini pula, mereka terpilih untuk menyaksikan terhasilnya satu model kapal terbang pertama di dunia, di bumi gemilang Andalusia.

Mereka menerpa ke arah pencipta sejarah dunia berusia 65 tahun itu sambil di mulut tidak lepas mengucapkan “Selamat, selamat. Selamatklanlah Ibnu Firnas kami, selamatkanlah si pereka kaca. Sesungguhnya Engkau Maha Pencipta!”

Dalam kesakitan dia masih sempat tersenyum kepada mereka yang menyerbu datang menawarkan bantuan. Setelah dapat berdiri dengan betul, dia berterima kasih kepada penduduk yang datang membantu, dengan muka ceria berjanji akan cuba memperbaiki penerbangannya pada kali yang lain.

Dia berdoa agar ciptaannya itu bakal menjadi penerus kepada ketamadunan ummah sedunia, agar rekaan itu mencetus ketakjuban pada kekuasaan Tuhan dan simbol keindahan ciptaan-Nya.

“Semoga ia dimanfaatkan oleh ummah akhir zaman, semoga mereka yang seagama denganku memanfaatkannya dengan Rahim-Mu dan mereka yang engkar dimudahkan jua oleh sifat Rahman-Mu. Benarlah al-Quran itu petunjuk dan sumber ilmu, Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.” Itulah qasad ciptaannya.

Sememangnya penerbangan hari itu berjaya, cuma pendaratannya agak keras. Dia lupa untuk mengkaji tentang penggunaan ekor burung sewaktu pendaratan, maka tidak hairanlah dia terhentam ke bumi. Dalam keadaan badan yang masih sengal-sengal, dia berdiri di atas batu di kaki gunung tempat dia terlentang jatuh sebentar tadi, memejamkan mata dan bertafakkur seketika. Bunyi daripada seekor helang di angkasa memanggil ingatannya pada penerbangan tadi. Dia mendongak sambil tertawa kecil. Sungguh leka akal manusia!

Dua

SAYAP! Ya, sayap itulah yang selalu menggangu lenanya sejak dia lahir dan mengenal apa itu mimpi. Dia tidak sabar ingin menebarkan sayapnya di angkasa membiru. Berazam ingin menjadi pemuka sejarah yang dikenang sepanjang hayat. Dia tidak mahu lagi bermimpikan kepak-kepak yang terjalin pada jaringan kayu halus.

Dia muak melihat wajah jilah penuh sinar menyuluh wajah lelaki berjubah dari zaman pemerintahan Bani Umaiah yang berjarak 1000 tahun dengan zamannya, terawang-awang di langit membiru dengan sepasang kepak sambil membasahkan bibir merah dengan zikir dan tahmid kepada Penciptanya.

Dia ingin memadamkan wajah itu dari mimpi, dan menggantikannya dengan jasadnya sendiri dalam realiti. Dia ingin terbang! (Seperti pemuda yang dilihat dalam mimpinya itu.)

Hasratnya itu disuarakan kepada saudara lelakinya. Nampaknya saudaranya itu bersetuju benar dengan usul yang turut lama singgah di mindanya. Rupa-rupanya saudaranya itu pun dikunjungi mimpi yang sama, cuma tidak dimaklumkan kepadanya, bimbang diketawakan. Namun begitu, mimpi saudara lelakinya itu agak berlainan dengan mimpinya, di mana lelaki yang wujud dalam mimpinya itu bukanlah warga Sepanyol, bahkan berasal dari rumah ladang di daerah Anchiano, Itali dan hidup pada latar masa abad ke-16 Masihi.

Menurut saudara lelakinya itu, lelaki tersebut mendapat sanjungan masyarakat Vinci oleh idea pembinaan sebuah kenderaan bagi tujuan penerbangan yang tidak pernah menjamah minda manusia lain pun sebelum ini. Hanya pelukis itulah yang pertama dipilih Tuhan untuk diilhami rekaan seperti itu. Maka selain terkenal oleh lukisan Monalisa yang tersenyum sepanjang zaman, lelaki itu juga dijuluki gelaran “si lelaki bersayap” pertama dunia oleh masyarakat pada kurun tersebut. Begitulah cerita saudara lelakinya itu.

Tambahnya lagi, lelaki dalam mimpinya itu sempat menuturkan kepadanya, “selagi Monalisa tersenyum, selagi itulah manusia akan menghargai jasaku sebagai pereka pertama alat penerbangan yang dipanggil “kapal terbang”.

Dan semenjak hari didatangi mimpi bertemu si pelukis Monalisa itulah, dia berazam ingin mencipta alat penerbangan yang lebih baik dari ciptaan kapal terbang pertama itu.

Setelah mengerti perasaan dan cita-cita masing-masing, dua bersaudara itu berjabat tangan tanda muafakat, menjalinkan ikatan kerjasama secara sinergi. Bermula detik itu, mereka memfokuskan fikiran, energi, dan emosi mereka untuk bekerja keras. Pada setiap petang diperhatikan burung yang berterbangan, mengkaji pergerakan burung semasa terbang dan sewaktu melayah, singgah di dahan kayu, atau teknik untuk turun, juga cara terbaik untuk mencengkam mangsa yang berkeliaran di bumi.

“Ya, ekornya! Jangan pula lupa posisi ekor itu penting semasa pendaratan. Bukankah kerana terlupa mengkaji peranan ekor burung, lelaki Cordova itu hampir menemui ajalnya di kaki bukit?” Wilbur menyimpulkan kajian mereka. Ada pesanan dalam ujarannya itu.

Mereka tidak mengenal jerit-perih mengunjungi muzium dan arkib untuk menelaah buku-buku karangan ilmuan Muslim dari Sepanyol yang tersimpan rapi di sana saban hari. Sejumlah besar buku dan kitab muktabar karya ilmuan dan cendekiawan Muslim Cordova yang telah pun menjadi koleksi di muzium mereka setelah dirampas oleh tentera yang menang sewaktu peperangan Salib dahulu, kini merupakan harapan terbesar kepada ciptaan mereka.

Ternyata buku-buku tersebut merupakan sumur di sahara kajian mereka. Menurut catatan kajian penerbangan dan teknologi karya Armen Firman, salah sebuah buku dalam senarai “bertanda merah” pusat dokumentasi muzium, menerangkan kajian penggunaan ekor burung sewaktu pendaratan.

Hari demi hari mereka menekuni kerja-kerja penciptaan kapal terbang tersebut sehingga kadangkala sekeping roti pun tidak diberi peluang mengunjungi perut mereka. Dalam mata mereka hanya terpantul satu imej rekaan bersayap yang bakal melonjakkan nama mereka berdua di persada sejarah dunia.

Selain menelaah buku, berguru pada para ahli, ilmuwan, dan penulis buku, kajian mengenai penerbangan dilakukan tanpa rasa malu. Selama lima tahun kegiatan ini mereka lakukan dengan sepenuh hati. Sepanjang usaha itu, rasa lelah, sakit hati dan malu oleh berbagai kegagalan dan ejekan berbagai pihak tidak menghambat keduanya untuk tetap berkarya. Meyakinkan diri sendiri dan keluarga bukanlah usaha yang mudah, apalagi meyakinkan dunia bahawa manusia memang mampu terapung di langit dengan bantuan sebuah pesawat terbang. Inilah cabaran minda yang dialami mereka berdua.

Dan ketika mereka menyuarakan hasrat untuk demonstrasi terbang, hanya lima orang sahaja yang tidak mengatakan mereka gila, dan lima orang itu jugalah yang menjadi saksi bersejarah penerbangan pertama di dunia. Kelima-lima orang inilah yang namanya juga ikut terukir dalam sejarah aviasi dunia.

Sinergi usaha mereka yang tekun serta azam yang begitu tegar untuk melakar nama di peta sejarah sebagai pencipta pertama pesawat udara, Dzat dan Kuasa Yang Maha Agung membenarkan usaha itu menjadi realiti dengan sifat Rahman. Mereka berjaya meraih mimpi. Sebuah pesawat udara yang amat gah pada zaman tersebut telah terhasil dan berupaya menebarkan sayap di udara pada 17 Disember 1903, hari yang merupakan tanggal bersejarah tidak hanya bagi mereka berdua, tetapi juga bagi dunia.

Walaupun hanya berada 12 detik di udara Kitty Hawk, North Carolina, prestasi yang dibuat oleh Orville sebagai juruterbang dan abangnya itu telah tercatat dalam sejarah penerbangan dunia yang akhirnya memegang peranan penting pada penciptaan pesawat oleh generasi seterusnya.

Atas kegembiraan itu, si dua beradik berjalan kira-kira 6.4 kilometer untuk mengirim berita gembira melalui telegram kepada ayah mereka. Tulis Orville, “maka mulailah era baru yang telah diimpi-impikan manusia sejak dulu: Era manusia tinggal landas untuk terbang menjelajah langit dan angkasa.”

Hari Khamis pada musim dingin tersebut, lelaki yang sebelum ini sentiasa berusaha memadamkan mimpinya tentang si penerbang dari kota Cordova itu, menjabat tangan adiknya yang muda empat tahun darinya itu.

“Malam ini kuharap dapat menatap wajahku, menggantikan wajah lelaki dari Cordova yang selalu kulihat itu”, dia memberitahu adiknya sungguh-sungguh.

Dan adiknya, Orville, mengangguk-angguk seraya meluahkan kata - “Dan aku harap sungguh akan jadi lebih terkenal dalam penciptaan pesawat berbanding si pelukis Monalisa itu.”

Mereka sedang menapak ke bengkel di belakang rumah ladang mereka - sepulangnya dari mengirim telegram - sewaktu seekor hering melayah ke arah sekumpulan arnab, menyambar seekor dari mereka dan membawa pergi. Ketawa mereka berdua mengiringi jeritan arnab yang dibawa terbang.

Tiga

WILBUR mendahului adiknya bangun pada pagi itu. Wajahnya muram, persis awan yang gelap di langit Kitty Hawk. Sejak semalam, matanya mungkir pada arahan otaknya. Usahkan tidur bermimpikan dirinya mengenderai pesawat, sebagaimana yang menjadi hasratnya siang tadi, sepicing pun dia tidak dapat lelap.

Walaupun dia bangga dengan kejayaan penerbangan mereka, jauh di sudut hati, dia tidak puas hati terhadap kegagalannya pada penerbangan keempat mereka, di mana dia menjadi juruterbang pada kali ini setelah bergiliran dengan adiknya pada kali sebelumnya. Rasa ketidakpuasan hati itu akhirnya membenihkan rasa cemburu pada Orville yang memilih untuk menjadi juruterbang, mendahuluinya pada penerbangan pertama.

Sindiran Orville yang manja-bangga itu mencarikkan secebis hatinya. Mana mungkin seorang adik bermulut kurang manis terhadap abangnya sendiri, sedangkan dialah yang bersungguh benar mencadangkan usul ciptaan mereka pada peringkat awal.

Cupingnya masih terasa panas dengan kata-kata Orville, “Abang, perasankah kau, aku yang memulakannya dengan jaya, kau pula mengakhirinya dengan kegagalan. Nasib baik kau tidak maut. Takdirmu sama dengan lelaki Cordova yang kau benci itu. Kalau tidak, sudah tentu aku seorang sahaja yang bakal mencipta nama.”

Gurauan itu amat pedih di telinga, di kalbunya. Namun di depan khalayak, dan sebagai abang pula, dia masih mengukir senyum, walaupun pahit.

Tetapi pada pagi yang suram itu, hatinya meruntun, bercampur baur dengan rasa marah, dengki pada adiknya, sakit hati – dan pelbagai rasa itu berputar-putar dalam kepalanya, lantas meletup.

Dia sempat berpaling kepada adiknya yang sedang enak tidur, sambil tersenyum-senyum, kelihatan puas dan menang, sebelum bergegas ke sebuah padang berhampiran. Dia nekad menerbangkan pesawat tanpa Orville, dengan masa penerbangan yang jauh lebih lama daripada keempat-empat rekod sebelumnya.

Ribut yang tiba-tiba datang menjerkah tidak dihiraukan. Kasad hanya satu – membuktikan kepada adiknya yang dia lebih handal dengan rekod masa yang lebih panjang dengan jayanya, sekali gus menepis gurauan adiknya semasa dia terjerembab ke tanah tempohari.

Dia sedang menghidupkan enjin sewaktu dilihat sebatang tubuh tersusup-sasap menghampiri pesawat. Orville di luar menempikkan sesuatu, namun tidak dihiraukannya. Dia pun melayangkan pesawat, biarpun agak terolang-oleng oleh terpaan angin deras. Dan pesawat pun makin menjauh ke angkasa. Tidak didengarinya tempikan Orville, diselewengkan tempias dendam di hati dan angin yang berpusaran.

“Hentikan, abang. Sebentar tadi aku bermimpi batang tubuhmu berwajahkan Icarus. Dan kita sama-sama tenggelam dalam Laut Icaria. Turun, turun. Selamatkan diri kita dari mimpi itu!”

Dalam keadaan hati membara, Wilbur mendengar tempikan itu sebagai “Turunlah, bodoh. Jangan berlagak hebat dalam ribut sebegini. Kegagalanmu dalam penerbangan keempat telah jadi sejarah.”

Laungan itu menaikkan semangatnya untuk terbang lebih tinggi. Kalau boleh biar menyentuh matahari. “Engkau Daedalus, sememangnya engkau bapa yang cemburukan anaknya. Kerana itulah engkau melarang Icarus menghampiri matahari!” Dan dia membawa pesawatnya lagi tinggi. Pusaran angin telah sampai berhampiran pesawat. Orville masih menempikkan “turun, turun!” Pesawat terolang-oleng sewaktu bertembung pusaran ribut berbentuk sarang tempua. Dan sarang itu menyedut pesawatnya dan akhirnya melantunkannya ke bumi setelah ribut beransur reda. Orville terbeliak matanya melihat pesawat yang menghampiri, sempat menyebut, “Binasalah kau, Icarus…” Dia hancur dibantai badan pesawatnya yang gugur. Wilbur yang nazak menancap ke langit, memandang helang sedang menyambar arnab.

Empat

SEWAKTU mengunjungi bumi Al-Andalus empat tahun lepas untuk menjejaki puing-puing sejarah kegemilangan Islam di Qurtubah, senario keamanan dunia mula menampakkan kegoyahannya. Polis dunia, Amerika mula menggerakkan kapal-kapal pengangkut pesawat pejuangnya ke perairan Iraq. USS Harry S Truman dan USS Constellation sedang menuju ke arah USS George Washington dan USS Lincoln yang telah sedia berada di Timur Tengah lengkap dengan pesawat-pesawat pejuang dan pemusnah F/A-18 Super-Hornet, F-16 dan pesawat pengebom B-2 Stealth.Dengan gahnya ia dihantar ke negara musuh, semegah itu jugalah pencipta pesawat tersebut mendabik dada, menyaksikan hasil rekaan yang bakal menjadi suruhan menundukkan negara musuh menyembah mereka. Pesawat yang beribu kali ganda lebih sofistikated daripada ciptaan si pelukis Monalisa atau si dua beradik Wright, pencipta kapal terbang. Pesawat mereka kini bukan bermaksud kemudahan, lebih daripada itu adalah mencetuskan kesengsaraan. Dan ia bukanlah mensasarkan (menyasarkan) arnab atau ular, bahkan manusia.

Lima

POYANGKU berasal dari tanah al-Andalus. Aku lebih suka mengekalkan nama yang melambangkan kegemilangan Islam berbanding nama Sepanyol yang dipaksakan oleh King Philip dan Isabella. Begitu juga nama poyangku, Abbas Qasim Ibnu Firnas yang tercatat dalam kitab penerbangannya, yang diwariskan turun-temurun kepadaku secara sulit sejak 1120 tahun dahulu. Tidak sesekali lidahku menukarnya menjadi Armen Firman.

Kitab yang selamat dalam amanahku ini, satu-satunya kitab yang sempat disembunyikan oleh keturunan kami sewaktu Perang Salib. Selainnya, habis jatuh ke tangan musuh, banyak pula dibakar dan dihumban ke laut.

Dan pada detik bersejarah ini, setelah setengah abad aku menjalankan kajian untuk meneruskan ciptaan poyangku, aku tegar mempamerkan inovasi dari tamadun Islam yang hilang ini di Pameran Sains Islam Mendahului Zaman pada 26 Jun 2007, dan kupilih KLCC tempatnya untuk menghebahkan kejayaan dari masa silam ini.

Ia memang kelihatan seperti Tomcat, namun sebenarnya ia jauh lebih daripada itu. Tomcat hanyalah sepuluh peratus daripada kejayaan ciptaan yang sepatutnya, kerana sembilan puluh peratus daripadanya termuat dalam kitab warisan yang berada dalam genggamanku. Justeru itulah sebuah pesawat supersonik itu pernah dilaporkan terhempas di Iraq dua tahun lepas. Kasihan Amerika, sehingga sekarang tidak dapat mengenal pasti punca kerosakan, hanya melaporkannya sebagai “kerosakan mekanikal”.

Dan aku pasti ada kuasa besar dunia nanti akan menuduh ciptaan yang dinamakan “Al-Andalus” itu sebagai sihir, oleh sifatnya yang tidak dapat ditenung mata kasar. Aku juga sudah bersedia dituduh sebagai pencuri idea “stealth” yang dibangga-banggakan mereka. Yang pasti mereka hanya mencipta “stealth” satu persepuluh ilmu poyangku. Sudah tentu banyak perbezaannya!

Jangan dicari aku pada pameran itu. Yang ada hanya wakil diriku, sebuah model “stealth” sebagai saksi kegemilangan ilmu dan peradaban Islam. Pesawat yang siap sepenuhnya ada di sana!

ROZAIS AL-ANAMY
Noble Art Creation
Jun 2007
Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007